Followers

Thursday, December 26, 2013

Lelaki Itu...Syurgaku - Bab 3


CAHAYA terang menyuluh masuk melalui celah-celah tirai jendela yang tersingkap. Orked masih terpisat-pisat di atas katil. Perasaan keliru dan bingung saling bercambah dalam dirinya. Dia merenung persekitaran bilik tidur yang dilengkapi perabut mewah bergaya ala Inggeris itu. Cuba mengingati semula bagaimana dia boleh terperosok di atas katil mewah yang asing dari kamar tidurnya sendiri.

            Sejauh yang masih diingatinya, dia mengikut wanita bernama Sarah yang ditemuinya di dalam kapal terbang. Menaiki keretapi ekspress dari Lapangan Terbang Antarabangsa Malpensa sehingga ke Stesyen Cadorna. Di Stesyen Cadorna, mereka dijemput seorang lelaki berbangsa Itali. Tapi siapa lelaki itu dia tidak sempat mahu ambil tahu lantaran matanya yang bengkak-bengkak kelmarin.

            Bunyi daun pintu berkeriut membuatkan Orked berpaling. Di muka pintu, Sarah berdiri sambil tersenyum memandangnya.

            “Orked dah bangun?” Sapa Sarah lalu menghampirinya.

            Dia mengangguk.

            “Kak, saya di rumah kakak ya?” Soalnya inginkan kepastian.

            Sarah ketawa besar mendengar kata-kata gadis itu. “Yalah kita kat rumah kakak, takkan kat hotel kut. Orked tak ingat semalam Orked ikut kakak?”

            Dia menggeleng sambil memegang kepalanya yang berdenyut-denyut sedari tadi. Sakitnya mencucuk ditambah lagi sinaran matahari yang mencelah masuk dari tirai langsir yang tersingkap, tepat menghujani iris matanya.

            “Besar bilik ni.” Komen Orked. Dia tidak berniat mahu mengatakannya, tapi entah kenapa semua itu meluncur laju dari mulutnya tanpa disedari.

            Rumah ni sengaja dibina dengan senibina Inggeris dan digabungkan dengan senibina di zaman Renaissance Itali sewaktu era Florence dulu. Suami kakak yang bina rumah ni. Dia seorang arkitek. Nama Islamnya Daud Callisto Abdullah.” Terang Sarah.

            Orked mengangguk, mula mengerti kedudukan sebenarnya. Rupa-rupanya Sarah berkahwin dengan warga Itali dan menetap di Milan. Patutlah wajah Iman Rayyan tidak seperti kanak-kanak melayu yang lain.

            “Kakak bekerja?” Tanya Orked ingin tahu.

            Sarah menggeleng. “Dulu kakak belajar di Bristol, kemudian sewaktu bercuti ke Europe dengan kawan-kawan universiti, kakak jumpa dengan suami kakak. Kami jatuh cinta dan ambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Keputusan yang agak drastik kan?” Sarah ketawa lagi.

Orked hanya mampu tersenyum. Cinta boleh hadir walau hanya dalam sesaat! Apa yang dipelikkan?

            “Mulanya ingat nak kerja, tapi  suami kakak tak bagi. Dia minta kakak jaga dia aje dan jaga rumahtangga kami. Kakak pun tak kisah, lagipun kakak suka memasak dan mengemas untuk suami dan anak kakak. Dah dekat lima tahun kami kahwin dan sejak tiga tahun yang lalu kakak pindah dan menetap di Milan. Setiap tiga bulan sekali, kakak akan bawa Iman balik ke Malaysia untuk bertemu keluarga kakak kat sana.” Cerita Sarah panjang lebar.

            Orked terdiam. Di dalam hatinya,  singgah rasa kagum pada Sarah yang berani berkahwin dengan warga asing dan hidup di rantau orang. Kalau jatuh di tempatnya, belum tentu dia akan berani melakukannya.

            “Keluarga kakak macamana? Mereka tak kisah?”

            Sarah tersenyum kecil. “Mula-mula dulu mereka memang menghalang hubungan kakak dan Daud. Tapi Daud sanggup ikut kakak balik ke Malaysia jumpa keluarga kakak. Sebelum tu dia belajar cakap bahasa melayu selama beberapa bulan, supaya senang dia nak berkomunikasi dengan keluarga kakak. Dekat berbulan-bulan jugaklah dia tinggal di kampung kakak. Lama-kelamaan keluarga kakak mampu terima Daud sebagai sebahagian dari keluarga kami. Kami kahwin dan bahagia sehingga sekarang. Iman satu-satunya pengikat cinta kami.”

            Melihat kebahagiaan yang terpancar pada raut wajah Sarah ketika bercerita, Orked tiba-tiba dilanda perasaan sedih. Pilu hatinya melihat cinta murni antara Sarah dan suaminya mampu berakhir ke jinjang pelamin. Sedangkan cintanya musnah di tengah jalan. Sebelum sempat ia mekar dan berkembang.

            “Orked..” panggil Sarah.

            Orked berpaling Terpinga-pinga dia melihat Sarah begitu asyik memerhatikannya.

            “Kalau kakak tanya sesuatu, Orked jangan marah ya.” Ujar Sarah.

            Orked terdiam.

            “Kakak bukan nak menyibuk. Tapi kejadian semalam buat kakak tertanya-tanya. Kenapa dengan Orked sebenarnya? Siapa lelaki yang Orked panggil waktu kita kat stesyen keretapi tu?” Soal Sarah ingin tahu.

            Orked terpempan. Tiba-tiba sahaja ingatannya tumpah pada wajah lelaki seiras Idlan yang ditemuinya kelmarin. Semalaman dia menangis kerana teringatkan lelaki itu. Entah sejak bila dia terlena dengan sisa-sisa airmata masih di pipinya.

            “Kalau Orked tak nak jawab pun tak mengapa. Kakak tak paksa.” Ujar Sarah apabila melihat  gadis di hadapannya diam sahaja. Timbul perasaan serba-salah di hatinya kerana sibuk mahu mengambil tahu hal yang bukan menjadi urusannya.

            “Kakak keluar dulu ya. Orked mandi dan bersiap, lepas tu keluar tau. Kakak dah sediakan breakfast untuk Orked. Nanti kita breakfast sama-sama.” Ujar Sarah lalu tersenyum. Dia segera menuju ke arah pintu. Namun belum sempat dia menghilang, suara Orked kedengaran memanggilnya. Sarah berpaling. Mata anak gadis itu kelihatan basah membuatkan dia serta-merta bungkam.

            “Orked? Kenapa ni?”

            “Maafkan Orked sebab tak mampu nak berterus-terang dengan kakak. Mungkin Orked sudah gila, masih terkenang-kenangkan orang yang sudah tak ada. Orked ke mari sebab nak cuba lupakan dia. Tapi tak sangka, sehingga ke mari pun, bayang-bayangnya masih wujud di hadapan mata Orked.” Ujar gadis itu.

            Sarah terkedu. Kata-kata gadis itu membuatkan dia menarik nafas panjang. Jadi itu tujuannya kenapa gadis semuda Orked berani memijakkan kakinya ke sebuah negara asing? Hanya kerana mahu melupakan seseorang? Kasihan Orked! Tentu cintanya terhadap lelaki itu begitu mendalam. Jika tidak masakan gadis itu menjerit-jerit seperti orang gila semalam. Mujur dia berjaya menenangkan gadis itu sebelum pihak berkuasa tempatan campur tangan.

*  *  *  *

SELEPAS bersarapan, Orked mengikut Sarah keluar. Dia sendiri tidak tahu ke mana hala tuju wanita itu sebenarnya. Dia hanya akur apabila Sarah mengajaknya keluar bersiar-siar. Iman Rayyan yang sedang tidur ditinggalkan di rumah pengasuh kanak-kanak itu yang kebetulan tinggal berjiran dengan Sarah tidak jauh dari Corvetto Residence.

            Madam Allegra yang berbadan gempal dan bermulut becok itu tak sudah-sudah menegur Orked di samping Sarah, meskipun Orked tidak mampu memahami bahasa Itali yang digunakan wanita itu.

            Selepas mereka meninggalkan kawasan rumah Madam Allegra, dia mengambil kesempatan bertanya pada Sarah apa yang diperkatakan wanita itu sebentar tadi. Sarah hanya ketawa kecil mendengar pertanyaan Orked.

            “Madam Allegra tu memang peramah orangnya. Dia tak fasih berbahasa Inggeris tak seperti suaminya Christiano. Tadi tu dia sebut ‘bello’. Maksudnya cantik. Kata Madam Allegra, Orked ni cantik orangnya.” Jelas Sarah lalu tersenyum.

Orked ketawa kecil mendengarnya. Cantik? Orang Itali puji aku cantik? Rabun agaknya Madam Allegra tu.

“Kenapa Orked ketawa? Tak percaya?” Sarah turut sama tergelak.

“Mana ada Orked ni cantik kak. Madam Allegra tu salah tengok kut.”

Sarah ketawa lebih kuat. “Ada pulak macam tu. Madam Allegra tu memang rabun pun. Tapi rabun dia kali ni kakak pun setuju. Siapa kata Orked tak cantik? Kakak suka tengok muka Orked. Comel! Kalau kakak ada anak perempuan, kakak nak muka anak kakak tu macam muka Orked. Sejuk mata memandang.” Sahut Sarah.

“Kalau macam tu, kakak kena pandang muka Orked ni tiap-tiap hari. Baru melekat ‘comel’ Orked ni pada baby kakak nanti. Ada-ada ajelah Kak Sarah ni.” Orked menggeleng-gelengkan kepalanya seraya tersengih. Lucu mendengar kata-kata Sarah yang dua kali lima dengan Madam Allegra.

            “Kalau nak pandang Orked tiap-tiap hari, nampak gaya Orked kena tinggal kat sinilah. Manalah tahu suatu hari nanti jodoh Orked dengan mamat Italian macam kakak.” Usik Sarah penuh bermakna.

            Orked hanya tersenyum mendengar kata-kata Sarah. Dia tidak berhasrat sehingga begitu. Meskipun jodoh dan maut di tangan Tuhan, namun dia masih belum sanggup untuk bersuamikan lelaki Itali dan tinggal jauh dari tanahairnya sendiri.

            “Kita sebenarnya nak ke mana ni kak?” Orked tiba-tiba melencongkan pertanyaan. Dia sudah tidak berminat mahu meneruskan perbualan terakhirnya dengan Sarah, bimbang perbualan itu terus melarat.

             “Hmm..hari ni kakak nak bawa Orked jalan-jalan kat tempat ni. Hari ni kakak jadi orang bujang sekejap semata-mata untuk Orked.” Ujar wanita itu.

            “Jalan-jalan? Kat mana?”

            “Apa kata Orked yang beritahu kakak? Di sini, tempat apa yang Orked rasa teringin nak melawat?” Soal Sarah lagi.

            Orked terdiam sebentar. Seketika dia menarik nafas panjang seraya melontarkan pandangan ke arah Sarah yang masih menanti jawapannya.

            “Boleh kita ke Duomo Square?”

            Sarah tersenyum. “Pandai Orked teka. Memang kat situlah kakak cadang nak bawa Orked pergi. Sesiapa yang datang ke Milan kalau tak pergi melawat Piazza del Duomo, memang tak sah!” Canang Sarah dengan wajah gembira. Hanya Orked yang tidak terkesan dengan kata-kata itu. Kerana ada suara lain yang sedang meniti di kepalanya saat ini.

            “Abang teringin nak tengok semula Gothic Cathedral di Milan. Masa kecil dulu abang dah pernah datang dengan arwah ayah. Tapi sekarang rasa rindu nak tengok semula. Entah sempat atau tidak.” Cerita Idlan masih disimpannya satu persatu di dalam kepalanya. Ketika itu dia ralit sendiri medengar cerita-cerita Idlan tentang patung St. Bartholomew Santa Maria delle Grazie, Castello Sforzesco dan macam-macam lagi. Semuanya gara-gara dia terjumpa gambar-gambar lama percutian antara Idlan, ibunya Maria dan arwah ayahnya Ikhmal di Itali di chalet Idlan di Bukit Tinggi.

            “Manalah tahu suatu hari nanti kita ada peluang datang sama-sama ke sana. Orked mesti suka kalau dapat tengok Duomo tu.”

Matanya dipejam rapat. Ada air hangat bertakung di kelopak matanya.  Peluang yang Idlan katakan itu, tak mungkin akan tertunai. Kerana saat ini dia hanya sendirian di sini tanpa Idlan.

Dia memalingkan wajah ke luar tingkap kereta yang sedang dipandu oleh Sarah. Dia tidak ingin wanita itu menjadi saksi pada sebuah kelukaan yang dirasakannya saat ini. Kehilangan! Dia sudah kehilangan Idlan. Apa lagi yang tinggal untuk dirinya?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!