Followers

Wednesday, November 3, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 38

SYARIFAH ASMAH mendengus. Dia memang benci menunggu, lebih-lebih lagi jika orang yang ditunggu tak jua muncul-muncul. Jam menunjukkan sudah hampir pukul tiga petang. Janji lelaki itu hendak bertemu di lereng bukit di Bangsar, namun usah katakan kelibat, bayang lelaki itu pun tidak nampak-nampak.

Dia mula berkira-kira hendak pulang sahaja. Tapi sebaik dia mula menghidupkan enjin keretanya, tiba-tiba muncul sebuah kereta berwarna hitam gelap yang diparkir berhampiran keretanya.

Dia tersenyum. Seorang lelaki berkumis nipis keluar dari kereta itu, lalu menghampirinya. Satu sampul surat besar dihulurkan ke arahnya.

Syarifah Asmah segera menyambut sampul surat tersebut lalu dibuka. Melihat isinya, dia tersenyum girang. Wajah lelaki itu dipandang ceria. “Good work, Jack.”

Lelaki itu ketawa mendengar pujiannya. “Upah aku mana?” Tanya lelaki itu bagaikan sudah tidak sabar.

Syarifah Asmah segera menghulurkan satu sampul surat sederhana besar. Lelaki itu segera memeriksa isinya.

“Lima ribu je? Tapi hari tu kau janjikan aku sepuluh ribu. Apa ni As?”

Syarifah Asmah ketawa. Wajah lelaki itu dilihatnya berubah.

“Jack, kau tahu tak berapa nilai kertas-kertas ni semua? Lebih kurang sepuluh juta dollar US. Cuba kau fikir berapa banyak syarikat mahukan maklumat ni? Dan cuba kau fikir juga berapa aku boleh untung dari urusniaga kali ini?” Ujar wanita itu.

“Itu aku tak tahu. Aku cuma mahu upah aku dibayar setimpal dengan kerja yang aku buat. Lagipun kau juga beri banyak masalah kepada aku. Aku nyaris tertangkap, kau tahu tak. Dulu kau kata, takkan ada orang di pejabat tu.” Gumam lelaki itu.

“Aku tak peduli semua tu Jack. Aku hanya mahu kerja kau beres, itu saja. Jika ada orang, pandai-pandailah kau uruskan. Tapi jika tertangkap, kau mesti ingat kau tak boleh dedahkan nama aku. Faham?” Syarifah Asmah menjeling marah.

“Aku akan bayar upah kau dua kali ganda jika aku berjaya jual maklumat ni. Tapi kau mesti tolong aku satu perkara.” Matanya melirik tajam ke arah lelaki itu.

“Apa dia?”

Syarifah Asmah mengeluarkan sekeping gambar dari tas tangannya, lalu dihulurkan ke arah lelaki itu.

“Siapa ni?” Jack mengerutkan dahinya.

“Aku nak kau intip lelaki ni. Perhatikan segala gerak gerinya. Namanya Azam Armin. Aku nak tahu di mana dia tinggal, dan apa yang dia buat. Aku nak tahu segala-galanya tentang dia walau maklumat tu remeh-temeh sekalipun.” Arah Syarifah Asmah.

“Itu tak ada masalah. Tapi bagilah advance sikit untuk kerja ni?”

“Kau ni sikit-sikit duit. Tak ada lain yang kau ingat kecuali duit.” Rungut Syarifah Asmah. Geram dengan sikap Jack yang suka memerasnya.

Lelaki itu menyeringai. “Kau yang suruh aku ikut dia. Perut aku ni nak kena isi, kereta aku tu pun nak kena bagi makan jugak. Kurang-kurangnya bagilah sen supaya senang sikit kerja intip-mengintip aku tu nanti.” Balas Jack seraya ketawa besar.

Syarifah Asmah merengus kasar. Mahu tak mahu dia membuka tas tangannya lalu mengeluarkan beberapa not lima puluh ringgit, lalu dihulurkan ke arah Jack yang sudah kecur liur melihat duit di tangannya.

“Ambil dulu duit ni, nanti aku bagi lagi. Tapi pastikan kerja kau beres.”

Jack mengangguk. “Baik bos.” Ujar lelaki itu sambil ketawa senang hati. Duit di tangannya yang tak seberapa sibuk dikira-kira.

* * * *

Ketika kereta yang dipandunya masuk ke laman rumah, dia berpapasan dengan sebuah kereta Honda Vtec bercermin gelap yang baru sahaja meninggalkan perkarangan rumahnya. Syarifah Asmah tertanya-tanya sendiri, siapa tuan empunya kenderaan itu kerana inilah kali pertama dia melihatnya. Dia segera meletakkan keretanya di kawasan petak garaj, lalu keluar dari perut kereta. Bibik menyambut kehadirannya di muka pintu.

“Siapa datang tadi bibik?” Dia bertanya pembantu rumahnya.

“Itu Tuan Razlan non.” Bibik menjawab.

Syarifah Asmah mendengus apabila mendengar nama itu. Razlan! Apa dia mahu datang malam-malam begini? Ini tentu fasal duit lagi. Kalau bukan soal duit, lelaki itu tidak akan menjejakkan kaki ke rumahnya, getusnya sambil mencemik sinis.

“Apa adik awak tu nak?” Soal Syarifah Asmah sebaik sahaja Syed Rahim melangkah masuk ke bilik. Orang tua itu tidak menjawab, tapi terus duduk di birai katil. Dia asyik memandang Syarifah Asmah yang sedang menyapu losyen ke serata leher. Diam-diam dia akui, isterinya itu memang cantik. Dalam usia lewat 40an pun, wanita itu masih kelihatan jelita. Ini kerana wanita itu pandai menjaga penampilan diri.

“Saya tanya ni, kenapa adik awak ke mari? Apa yang dia mahu?” Syarifah Asmah mengulang soalan yang sama. Dari balik cermin, dia melemparkan pandangan ke arah Syed Rahim yang kelihatan khayal. Lelaki itu tersentak sedikit.

“Melawat sayalah, lagipun dah lama kami tak jumpa.” Ujar Syed Rahim. Syarifah Asmah ketawa sinis.

“Awak jangan nak bohong dengan saya. Bukan saya tak kenal adik awak tu. Berapa yang dia mahukan kali ni?” Soal Syarifah Asmah.

Syed Rahim tahu dia tidak boleh berdolak-dalih lagi dengan isterinya. Wanita itu terlalu pintar untuk dibohongi.

“Seratus ribu.” Dia teragak-agak memberitahu.

“Banyak duit awak? Tapi kalau saya minta, ada saja alasan awak.” Sindir Syarifah Asmah. Tapi wajahnya tidak menampakkan yang dia sedang marah. Syed Rahim berasa sedikit lega. Selama ini dia tahu Syarifah Asmah tidak suka dia menghulurkan duit kepada adiknya Syed Razlan yang sentiasa tidak cukup duit walaupun memiliki sebuah production house sendiri.

“Baik mood awak hari ni As? Ada apa-apa yang berlaku di luar pengetahuan saya ke?” Soalnya ingin tahu.

Syarifah Asmah memusingkan tubuh menghadap suaminya. Dia tersenyum ke arah lelaki itu, sebelum berjalan menuju ke katilnya. Laci kayu di sisi katilnya ditarik. Dia mengeluarkan sekeping sampul surat, lalu diserahkan kepada Syed Rahim. Lelaki itu terpinga-pinga tidak mengerti.

“Bukalah tengok.”

Syed Rahim segera membuka sampul surat tersebut, lalu mengeluarkan sekeping kertas. Dia membaca sepintas lalu sebelum memandang tepat ke arah Syarifah Asmah. Rona di wajahnya mula berubah.

“Mana awak dapat sebut harga untuk Megah Corps ni As? Setahu saya, dokumen ni sulit. Apa yang dah awak buat kali ni?” Suara Syed Rahim meninggi. Dia benar-benar tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tender sebut harga pembelian Megah Corps kini berada di tangannya.

“Tentulah saya curi, kalau tidak macamana saya boleh dapat.” Syarifah Asmah ketawa besar. Sedikitpun dia tidak kisah samaada tindakannya itu betul atau tidak.

“Bayangkan berapa syarikat-syarikat lain sanggup bayar pada kita untuk mendapatkan harga tawaran Perkasa Budi?”

“Awak ni memang dah gila As. Gila!” Syed Rahim menengking.

“Ya saya memang gila. Cakaplah apa sahaja yang awak suka. Lagipun siapa yang awak nak lindungi di Perkasa Budi? Hazril? Anak saudara awak tu tak pedulikan awak. Dia takkan kisah apa jadi pada awak. Lagipun awak tu bukannya baik sangat. Dah berapa banyak duit syarikat awak kebas?” Balas Syarifah Asmah.

“Saya buat semua itu kerana awak, As. Kerana nak memenuhi keinginan awak yang tak pernah surut. Kalau bukan disebabkan awak, saya takkan sesekali mengkhianati Perkasa Budi. Itu titik peluh abang saya.”

“Oh please Syed Rahim, jangan nak bersandiwara di hadapan saya. Awak silap orang. Dan jangan guna nama abang awak untuk menutup sikap tamak awak sendiri. Saya tak peduli awak suka atau tidak dengan apa yang saya buat ni. Saya cuma nak awak aturkan pertemuan saya dengan wakil-wakil syarikat yang berminat dengan Megah Corps. Itu sahaja! Yang lain-lain, saya akan uruskan sendiri.” Putus Syarifah Asmah. Sedikit pun dia tidak memberi peluang suaminya bersuara.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!