Followers

Wednesday, April 28, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 7

Sebelum singgah di Warung Pak Soto, Suria sempat menggunakan ‘darkroom’ milik ayahnya untuk memproses gambar-gambar yang dipindahkan dari laptopnya. Hampir dua puluh minit menunggu, barulah gambar-gambar itu selesai diproses.

Sesudah itu dia segera bergegas ke warung yang dimaksudkan oleh Haqimi. Dahulunya warung itu sering menjadi tempat mereka berkumpul bersama teman-teman lama mereka. Dia dan Haqimi berkawan sejak kecil lagi apabila keluarga lelaki itu pernah berjiran dengannya. Walaupun selepas keluarga lelaki itu berpindah ke Selayang, hubungan mereka tetap rapat sehingga sekarang.

Dari jauh Haqimi sudah menunggunya. Wajah lelaki itu kelihatan tidak sabar. “Mana gambar-gambar tu?” Soal Haqimi. Tanpa berkata apa-apa, Suria segera menyerahkan gambar-gambar yang dicucinya sebentar tadi ke tangan Haqimi.

Sebaik lelaki itu melihat gambar-gambar di hadapannya, mimik wajah Haqimi segera berubah. Dia mendongak memandang ke arah Suria.

“Suria, aku tak pernah hantar gambar-gambar ni semua pada kau. Semalam aku call sebab nak beritahu kau yang semua gambar-gambar kat tempat kejadian berada di dalam tangan unit cawangan khas. Aku dan team aku tak terlibat dengan kes tu lagi.” Beritahu Haqimi lambat-lambat.

Suria tercengang. Betulkah bukan Haqimi? “Habis siapa yang hantar?”

“Kalau ikut pada masa dan keadaan gambar-gambar ni diambil, aku tak fikir gambar-gambar ni diambil oleh pihak polis. Sebab aku antara yang terawal berada di tempat kejadian. Setiap butir dan situasi di tempat kejadian itu, terperinci dalam kepala aku. Tak mungkin gambar ni datangnya dari sumber polis.” Ujar Haqimi.

“Maksud kau, ada orang lain yang hantar gambar ni pada aku?” Suria tercengang. Darahnya serta-merta berderau.

Haqimi mengelengkan kepala. “Aku pun tak tahu, Suria. Tapi kalau aku jadi kau, aku akan serahkan gambar ni pada pihak polis. Orang yang ambil gambar-gambar ni semua adalah orang yang paling awal sampai di tempat kejadian sebelum pihak polis dan sebelum renjer-renjer tu. Dan aku mulai ragu-ragu, apakah orang ini orang yang sama yang pihak polis boleh jadikan suspek?”

Suria tersentak. Dia menatap Haqimi dengan raut wajah resah. Haqimi menarik nafas panjang. “Kau tentu tahu apa maksud aku kan?” Ujar lelaki itu. Suria mengangguk lemah.

“Mana dia dapat address email aku Qimi?”

“Aku pun tak tahu.”

Suria tersandar lemah. Dia memandang gambar-gambar di hadapannya sekali lagi. Gambar-gambar yang diambil kelihatan jelas dan terang. Biar siapa pun yang memetik lensa kamera, bagaikan arif dengan setiap sudut di tempat kejadian.

Tiba-tiba pandangan mata Suria terhenti pada salah satu gambar yang berada di tanganya. Dia membesarkan matanya. Gambar itu dipandang teliti. Haqimi yang sejak tadi memerhatikan gerak-geri gadis itu turut disapa rasa hairan.

“Kenapa Suria?”

Suria menoleh. Wajah anak gadis itu berkerut. “Qimi, waktu pihak polis jumpa mayat tu, mereka ada jumpa apa-apa tak seperti jam atau gelang tangan?” Soal Suria ingin tahu. Haqimi terdiam seolah memikirkan sesuatu. Sejurus dia menggelengkan kepalanya.

“Aku rasa tak ada. Kenapa?”

“Betul tak ada?”

Haqimi mengangguk.

Suria kembali memandang gambar di tangannya. “Kenapa dalam gambar ni, aku nampak macam ada sesuatu je kat pergelangan tangan mayat ni. Tapi tak berapa jelas.” Dahi Suria berkerut. Haqimi segera mencapai gambar di tangan Suria. Dia terpaku! Betul! Ada sesuatu tersarung di pergelangan tangan mayat dalam gambar. Seperti jam atau gelang tangan.

“Jam?” Tanya Suria.

“Mungkin juga.” Jawab Haqimi mengiyakan.

“Aku rasa jam tangan tu mesti tercicir di mana-mana tu. Pelik juga, kenapa pihak polis tak jumpa.” Keluh Suria.

“Mungkin suspek tu dah buang jam tangan tu.” Jawab Haqimi mudah.

“Pelik. Kenapa orang tu nak buang jam tangan tu, sedangkan mayat pun dia tak buang?” Suria menyampuk. Haqimi tersengih seraya menggaru kepala tidak gatal. Betul juga!

“Kadangkala, kau ni lebih cekap dari polis lah Suria. Benda macam ni pun kau boleh perasan.” Pintas Haqimi. Namun Suria tidak memberi sebarang reaksi terhadap kata-kata Haqimi yang bersifat pujian. Dia termenung panjang.

“Aku rasa jam tangan ni masih ada kat tempat kejadian. Mungkin pihak polis terlepas pandang.” Suria bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya. Haqimi terpinga-pinga.

“Kau nak ke mana tu?”

“Aku nak ke hutan tu, cari jam tangan ni sampai jumpa.”

Haqimi tergaman. Tubuh Suria yang mahu melangkah pergi segera dihalang. “Suria, ini kes polis bukannya tugas wartawan. Lagipun bahaya berada di tempat tu pada waktu-waktu begini. Aku rasa baik kita biarkan saja pihak polis yang teruskan dengan siasatan ni.” Usul Haqimi.

“Qimi, ini berita aku. Kalau aku tahu sebab kenapa mayat tu boleh berada di kawasan hutan tu, tentu kita akan tahu kenapa dia dibunuh dan siapa yang bertanggungjawab.” Suria tetap berdegil.

“Kita tak tahu cerita sebenar. Mungkin juga dia hanya menjadi mangsa binatang buas. Aku rasa gambar-gambar ni semua sepatutnya berada dalam tangan pihak polis.” Bidas Haqimi.

“Siapa kata? Gambar-gambar ni semua milik aku. Dan aku percaya, sesiapapun yang hantar gambar ni pada aku, tentu ada sebab kenapa dia mahu aku tahu. Mungkin dia mahu aku membongkar kes ni, atau sengaja mahu bermain teka-teki dengan kita.” Balas Suria tetap berdegil.

Haqimi terdiam. Melihat wajah Suria yang serius, dia tidak tahu bagaimana harus meningkah kata-kata gadis itu. Kedegilan Suria memang sering memeningkan kepalanya.

* * * *

Suria menghentikan keretanya di bahu jalan. Dia turun dari perut kereta. Hutan yang ada di hadapannya diperhatikan. Dia memandang di sekelilingnya. Tidak ada apa-apa yang mencurigakan di situ. Selepas mengambil beg sandangnya di tempat duduk belakang, Suria terus melangkah masuk ke dalam kawasan pinggir hutan itu.

Dia membuka buku catatannya. Haqimi telah melakar peta kecil tempat kejadian di dalam buku tersebut. Mulanya lelaki itu enggan, tapi dia tak putus-putus memujuk.

“Bahaya pergi sorang-sorang. Kalau kau nak pergi sangat, biar aku ke pejabat dulu, maklumkan pada ketua aku. Lepas tu aku bawa kau ke sana.” Cadang Haqimi. Dia hanya mengangguk. Namun sebaik Haqimi beredar, dia juga mula bergerak. Bukan ke pejabatnya, tapi keretanya menghala ke arah Puchong.

Suria tersenyum sendiri. Tentu Haqimi marah kalau tahu dia berdegil begini. Tapi apa mahu dikatakan lagi. Dia memang tidak dapat mengawal perasaan ingin tahunya. Sejak kecil, dia sudah dididik oleh ayahnya untuk bersikap berani. Malah sejak ibunya Fatihah meninggal dunia, dia dididik bagaikan anak lelaki.

Kawasan hutan itu sunyi sepi. Anehnya dia langsung tidak mendengar apa-apa bunyi mahupun bunyi unggas atau kicauan burung di situ. Suasana di situ agak menyeramkan. Suria cuba menghalau gementar di hatinya dengan bacaan ayat-ayat suci yang dipelajarinya semasa di sekolah dulu. Dia cuba bertenang. Tempat seperti ini sering meremangkan bulu roma, bisik hati kecil Suria. Lebih-lebih lagi berlaku satu kematian yang mengerikan di situ. Sudah pasti aura sisa-sisa kejadian masih tertinggal di situ.

Dia membelek lagi catatan bukunya supaya tidak tersesat jauh dari tempat kejadian. Lagipun baru sekali dia menjejakkan kakinya di situ. Dia cuma ingat ada sebuah tunggul kayu besar terbalik berdekatan tempat kejadian itu. Setelah beberapa kali menyusuri kawasan itu, langkah Suria terhenti.

Di hadapannya pokok yang sama terbentang megah. Suria cepat-cepat mengeluarkan gambar dari poket begnya. Dia cuba membandingkan pokok di dalam gambar itu dengan yang ada di hadapannya. Agak sama!

Dia mendekati pokok itu lebih dekat. Batang pokok itu tebal dan berakar banir, mencengkam permukaan tanah. Ada urat-urat tebal di sepanjang permukaan batang kayu. Dia mengeluh. Aneh, kalau hendak dikatakan jam tangan itu terjatuh, mustahil pihak polis tak jumpa apa-apa. Dan ini langsung tak menjelaskan perbezaan antara gambar yang diambil pihak polis dan gambar yang diterimanya melalui email.

Suria mencari-cari di sekitar kawasan itu. Dia masih menyimpan hasrat agar apa yang dicarinya terdapat di sekitar tempat itu. Namun semakin lama dia mencari, dia gagal menemui apa-apa. Dia mendongak ke atas. Pokok besar itu nampak menyeramkan dalam redup pohon-pohon lain di sekelilingnya.

Dia meneruskan langkah di sekitar kawasan itu. Matanya tajam meneliti di setiap kawasan, meskipun dia sendiri tidak tahu apa yang harus ditemuinya. Cuma apa yang pasti, dia harus mencari sesuatu yang mungkin membawa kepada klu tentang apa yang sebenarnya sudah berlaku di situ. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia begitu mengambil berat tentang kes itu. Mungkin kerana kiriman gambar-gambar itu melalui email yang dihantar padanya dirasakannya seperti mempunyai motif tersembunyi. Meskipun separuh hatinya bagaikan meragui niat pengirimnya, tapi dia sudah tidak peduli. Mungkin ini salah satu jalan untuk dia merungkai peristiwa di sebalik kejadian itu.

Bunyi derap sepatu tiba-tiba muncul dari arah belakang. Suria tersentak. Siapa? Haqimikah? Mungkin lelaki itu mengkorinya. Dia berpaling. Namun tidak ada sesiapapun di belakangnya. Jantung Suria mula berdegup kencang. Dia bagaikan terdengar-dengar bunyi langkah itu. Tak mungkin bunyi yang didengarinya hanya ada dalam kepalanya.

Suria mengambil keputusan untuk beredar saja. Hatinya tidak senang berada lama-lama di situ, lebih-lebih lagi bersendirian. Apa-apa pun boleh berlaku, lagipun tempat ini masih ‘panas’.

Suria membelokkan tubuh ke suatu arah. Dia melangkah pantas. Namun belum jauh kakinya menyusun langkah, hujung kasutnya tiba-tiba terlanggar sesuatu. Dia segera tunduk.

Dari celah-celah rumput yang memanjang, dia nampak sesuatu. Matanya bersinar-sinar. Jam tangan! Cepat-cepat dia mengutip jam tangan tersebut, lalu meneliti jam tangan bertali kulit di tangannya. GP? Jenama apa ni? Kedua-dua jarum jam berhenti di angka 3. Pukul 3.15? Suria teringat Haqimi pernah memberitahunya, renjer menemui mayat itu lebih kurang jam 4 pagi setelah mendengar bunyi jeritan. Bermakna jarak kejadian dengan penemuan mayat hanya satu jam sahaja. Ah apa-apa pun boleh berlaku dalam masa satu jam, desis hati kecil Suria.

Suria membalikkan belakang jam. Ukiran MK terukir di belakang badan jam. MK….mungkin nama si pemilik. Dia tersenyum tiba-tiba. Tak sangka nasibnya agak baik hari itu. Mungkin dia boleh mengesan pemilik jam itu jika dia melihat senarai orang hilang dalam pengkalan data pihak polis. Pasti Haqimi boleh membantu.

“Kau buat apa ni?” Suatu suara keras tiba-tiba menerjah gegendang telinga Suria. Dia terkejut. Pantas jam yang berada di tangannya dimasukkan ke dalam poket. Tubuhnya dibalikkan. Seorang lelaki berdiri di hadapannya sambil memandang tajam ke arahnya. Suria terkedu memandang lelaki itu. The brilliant man! Jaket hitam yang dipakai lelaki itu serta wajah berkumis membuatkan dia teringatkan lelaki yang dicanang Haqimi kelmarin. Entah apa nama lelaki itu! Dia menarik nafas panjang. Tangannya segera dihulurkan.

“Hai, saya Suria. Suria Baharom, wartawan dari KZM News.” Dia menyusun bicara. Sedang hatinya berbelah bagi mahu memperkenalkan dirinya. Huluran tangannya tidak bersambut. Sebaliknya wajahnya terus menjadi sasaran renungan lelaki itu. Suria mula tidak senang dengan cara lelaki itu memandangnya

“Aku tanya kau buat apa kat sini? Ini lokasi kejadian bunuh. Orang awam tak dibenarkan berada di sini.” Ujar lelaki itu dengan nada lebih keras. Suria meneliti lelaki di hadapannya agak lama..

“Maasf, saya cuma nak tengok-tengok kawasan ni.” Balas Suria selamba. Lebih baik dia berterus terang dari sibuk merangka pelbagai alasan untuk melindungi dirinya.

“Siapa yang bagi kebenaran? Dan apa yang istimewa sangat pada diri kau sampai kau dapat special authority untuk ke sini dan ganggu kawasan jenayah?” Sindir lelaki itu.

Suria terpinga-pinga. Kata-kata lelaki itu membuatkan darahnya meluap-luap. Sudahlah huluran tangannya langsung tidak disambut, selepas itu dia disindir pula. Ini dah melampau. Dia bercekak pinggang memandang lelaki itu.

“Aku datang sini sebab tugas. Dan sebagai wartawan jenayah, ini hak aku untuk mencari kebenaran. Lagipun aku tak nampak apa-apa tanda pun yang menghalang aku masuk ke kawasan ni. Tag polis tu pun dah ditanggalkan bukan?” Sahutnya. Hilang sudah tanda hormatnya sebentar tadi. Kini dia bercakap menggunakan gantinama ‘aku’ pula. Padanlah dengan tuan punya badan yang berada di hadapannya.

“Walaupun tag tu dah dibuang, tapi itu tak bermakna pihak polis dah selesai dengan siasatan ke atas kawasan ni. Kehadiran kau hanya akan menganggu tugas polis.” Lelaki itu membeliakkan matanya. Suria tercengang. Peliknya perangai mamat ni! Huh! Buang masa aku je! Keluh Suria.

Suria mahu berpaling ingin beredar meninggalkan tempat itu. Namun serentak tubuh lelaki itu menghalang di hadapannya. Dia tergaman. Hampir tidak percaya dengan tindakan lelaki itu.

“Kau ada jumpa apa-apa kat sini tadi?” Suara lelaki itu mula mendatar. Namun matanya masih melekat tajam di wajah Suria.

“Jumpa apa?” Suria berlagak bodoh. Lelaki itu menarik nafas.

“Kalau kau sengaja cuba menyorok apa-apa sahaja bahan bukti yang datangnya dari tempat ni, aku boleh dakwa kau bersuhabat. Dan orang yang menyorok bahan bukti boleh dipenjarakan sehingga tiga hingga lima tahun penjara. Kau nak dipenjarakan?” Lelaki itu tersenyum. Sengaja dia mahu menakut-nakutkan gadis itu.

Suria terdiam. Dia mengetapkan bibirnya. Entah kenapa kata-kata lelaki itu membuatkan dia berang. Macamlah aku tak tahu undang-undang!

“Mana dia?” Soal lelaki itu lagi. Suria tergaman.

“Apa?”

“Aku nampak kau kutip sesuatu tadi. Mana dia? Serahkan pada aku.” Sahut lelaki itu. Suria tersentak. Aduh! Dia nampakkah? Dia teringatkan jam yang masih berada dalam poket bajunya.

“Aku langsung tak faham apa yang kau cakap ni. Mana ada aku sorok apa-apa. Tadi aku kutip duit syiling aku yang jatuh, itu aje.” Dia mengelak. Meskipun tidak berapa logik, ah..belasah ajelah.

“Kau tahukan, kalau kau cakap bohong aku boleh geledah kau?” Lelaki itu mengugut. Suria tersengih tiba-tiba.

“Nak geledah? Hah geledahlah, tapi lepas tu aku akan dakwa kau kerana mencabul. Aku tahu kalau kau nak geledah aku sekurang-kurangnya ada seorang pegawai polis wanita dekat sini. Jika tak, kau tak ada hak. Lagipun aku ni wartawan, aku boleh tulis apa sahaja yang mungkin boleh membuatkan orang awam tidak lagi percaya pada pihak polis.” Balas Suria tidak mahu kalah.

Lelaki itu terdiam. Suria tergelak kecil. Padan muka! Dia ingat dia seorang saja ke yang tahu undang-undang. Aku pun tahu! Suria memandang lelaki itu lagi. Seketika mata lelaki itu juga memandang wajahnya. Pandangan mereka bertaut. Suria tersenyum sinis.

“Baiklah Encik Polis, aku dah nak balik ni. So tempat ni, kawasan ni…aku serahkan bulat-bulat dekat kau. Jaga baik-baik, okey.” Pesannya nakal seraya melenggang di hadapan lelaki itu. Deraian tawa kecilnya meletus dari bibir, namun masih ditangkap oleh deria pendengaran lelaki itu. Lelaki itu mengetapkan bibirnya. Hatinya tiba-tiba terbakar dengan gelagat gadis itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!