Followers

Showing posts with label Alamak Lagi-Lagi Dia. Show all posts
Showing posts with label Alamak Lagi-Lagi Dia. Show all posts

Thursday, November 14, 2013

Alamak! Lagi-Lagi DIa : Bab 25


DIA keluar dari perut kereta Toyota Priusnya lalu segera membimbit karung-karung plastik berisi barang-barang dapur yang baharu dibeli di sebuah pasaraya. Ketika dia sampai ke rumah, jarum jam sudah menunjukkan pukul 8 malam. Dia cuba membuka pintu apartmennya, namun gagal. Dahinya berkerut seribu. Kenapa tak boleh?

            Dia mencuba lagi sekali namun tetap gagal membuka pintu tersebut. Kad kuncinya ditilik teliti. Apakah cip pada kad tersebut sudah rosak? Ketika dia mahu mencuba sekali lagi, telefon bimbitnya berdering. Nadim segera menyeluk saku seluar. Melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya, wajahnya berubah kelat. Lelaki itu lagi! Sepanjang hari ini dia asyik diganggu dengan panggilan-panggilan dari ayahnya.

            “Datang jumpa ayah sekarang dekat Tropicana. Kalau kamu tak nak merasa tidur di tepi jalan malam ini, datang sekarang juga.” Ujar lelaki itu.

            Nadim mendengus kasar. Rupa-rupanya ini kerja ayahnya. Damn it! Dia segera menuju ke arah keretanya yang diparkir di ruang parkir khas. Tapi belum sempat dia mahu mendekati keretanya, muncul dua orang lelaki bertubuh besar dan sasa.

            “Encik Nadim Ammar?” Tanya salah seorang dari lelaki-lelaki itu.

            Nadim mengangguk dengan wajah hairan. Dia tidak kenal kedua-dua lelaki itu. Siapa mereka?

            “Kami dihantar oleh Tuan Aaziz. Tuan Aaziz minta Encik Nadim serahkan kunci kereta ni dan ikut kami ke Tropicana. Dia menunggu di situ.” Ujar salah seorang lelaki berjambang tebal. Rupanya agak garang dan persis seperti wajah samseng-samseng dalam filem.

            Nadim ketawa kecil. Kalau inilah gaya terbaru ayahnya untuk mengugut, dia memang kagum. Selama ini ayahnya tidak pernah menggunakan cara kotor seperti ini. Menukar kad kunci rumahnya serta merampas keretanya bukan stail lelaki itu selama ini.

            “Maaf Encik Nadim, ini kehendak Tuan Aaziz.” Ujar lelaki itu.

            Nadim segera menyerahkan kunci keretanya tanpa banyak soal. Sebuah kereta Mercedez Benz berwarna hitam metalik tiba-tiba berhenti bersebelahan keretanya. Lelaki berjambang itu segera membuka pintu di bahagian belakang seraya mempersilakan dia naik.

            Nadim tahu dia sudah tidak ada pilihan lain. Suka atau tidak, dia harus menemui lelaki itu dan mendengar apa yang mahu diperkatakan ayahnya kali ini.

*  *  *  *

DI pintu masuk Tropicana, dia terlihat kelibat kakaknya Marseila sedang menunggu di hadapan Tropicana. Kakaknya berpakaian agak cantik dengan dress labuh berwarna biru terang. Wajah Nadim berkerut. Sebenarnya untuk apa ayahnya mahu bertemunya di Tropicana? Dan kenapa Marseila juga turut berada di sini?

            Melihat kemunculan Nadim, Marseila segera mendapatkan adiknya. Wajah Marseila kelihatan muram.

            “Kita naik atas, tukar pakaian. Kakak dah bawakan pakaian yang lebih sesuai. “Ujar Marseila. Dia menarik tangan Nadim, namun anak muda itu cepat-cepat menepis tangannya. Marseila terkedu dibuatnya.

            “Kenapa kakak ada kat sini?” Soal Nadim ingin tahu perkara sebenar. Entah mengapa dia merasa seperti ada yang tidak kena sedang berlaku. Tiba-tiba sahaja dia dijemput pekerja-pekerja ayahnya, dibawa ke Tropicana ini. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?

            “Ayah ada kat restoran. Dia sedang menanti kita. Tapi takkan Nadim nak masuk dengan pakaian tu. Kita tukar pakaian dulu ya.” Pujuk Marseila dengan suara lembut tersusun.

            “Kakak, tolong jangan berpura-pura lagi boleh tak? Nadim dah bosan dengan semua permainan ayah dengan kakak. Cakap dengan Nadim apa sebenarnya kita buat kat sini? Untuk apa?” Desak Nadim dengan suara meninggi.

            Marseila terdiam. Keluhan kecil menerpa dari bibirnya. Dia merenung wajah si adik yang merah padam. Dia tahu Nadim sedang berang. Namun adik lelakinya itu pasti lebih berang jika dia memberitahu perkara sebenar.

            “Nadim, kakak tak tahu nak cakap macamana tapi..” Marseila terkiai-kiai mahu menjelaskannya. Nadim mengerutkan dahi. Tertanya-tanya apa sebenarnya yang mahu disampaikan gadis itu?

            “Nadim..” Satu suara tiba-tiba melaung dari suatu arah, sekaligus menganggu kata-kata Marseila. Kedua-dua beradik itu segera menoleh.

            Melihat Emilia sedang berdiri tidak jauh dari situ, Nadim terpanar. Serentak anak matanya dilarikan ke arah Marseila.

            “Apa dia buat kat sini?” Gesa Nadim inginkan penjelasan.

            “Ayah jemput keluarga Tan Sri Jabbar makan malam bersama kita malam ini. Mereka nak bincangkan majlis perkahwinan Nadim dengan Emy malam ini.” Ujar Marseila terpaksa berterus-terang.

            Wajah Nadim berubah. Renungannya semakin tajam menikam wajah Marseila dan Emilia silih berganti. Rupa-rupanya Emilia tidak berbohong padanya tempohari.

            “Nadim, please..jangan buat hal malam ni. Jangan malukan ayah depan Tan Sri Jabbar.” Bisik Marseila, cuba meredakan ketegangan yang mulai dirasakannya saat ini.

            Nadim menarik nafas panjang. Deruan nafasnya kencang. Dia tahu lambat atau cepat, semua ini pasti berlaku. Jika dia melarikan diri kali ini, semuanya takkan selesai dengan mudah. Dia harus berdepan dengan ayahnya kali ini.

            Melihat Nadim melangkah laju ke arah restoran, Marseila terpaksa mengejar si adik dari belakang. Emilia turut mengekori mereka. Kehadiran Nadim membuatkan seisi tetamu di meja besar itu menoleh. Nadim memang kenal dengan Tan Sri Jabbar, ayah Emilia yang merupakan seorang tokoh korporat yang amat disegani. Bekas peguam yang pernah menjadi mentor ayahnya sebelum lelaki itu membuka perniagaan sendiri. Tapi matanya kali ini lebih berminat mencari wajah ayahnya. Kehadiran Tan Sri Jabbar dan isteri langsung tidak dipedulikan.

            “Dah sampai pun dia.” Teguran Tan Sri Jabbar kedengaran.

            Tuan Aaziz menarik nafas panjang. Menyedari renungan tajam anak muda itu melata ke arahnya. Dia tahu Nadim sedang berperang dengan perasaan marah.

            “Kamu patut hormat majlis ini. Pakailah pakaian yang lebih sesuai dan lebih kemas.” Tegur Tuan Aaziz sambil memerhatikan penampilan Nadim yang serba ringkas dengan T-shirt dan jeans denim sahaja.

            “Marseila, bawa adik kamu naik tukar pakaian kat atas.” Suruh Tuan Aaziz seraya mengerling ke arah Marseila yang terperuk seperti patung di suatu sudut.

            “Tak payah. Pakai begini pun tak ada masalah, lagipun ayah nak bincangkan hal yang penting bukan? Kita straight to the point sahaja.” Ujar Nadim seraya menarik kerusi lalu duduk menghadap lelaki itu. Segelas air masak di hadapannya diraih lalu diteguk sehingga habis.

            Gerak geri Nadim mengundang perhatian semua yang ada di situ. Marseila sudah semakin kecut perut. Dia kenal benar dengan perangai Nadim yang tidak gemar dipaksa-paksa melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

            Nadim, behave yourself.” Suara Tuan Aaziz meninggi. Berang melihat sikap Nadim yang selamba, langsung tidak menghormati tetamu mereka.

            Nadim ketawa sinis. Pandangan matanya dialih ke arah Tan Sri Jabbar dan Puan Sri Azizah yang terpisat-pisat memerhatikannya.

            “Tan Sri, Puan Sri..saya tak tahu apa yang sudah ayah saya janjikan dengan Tan Sri dan Puan Sri. Tapi perkahwinan ini tak mungkin akan berlaku.” Ujar Nadim selamba.

            Emilia terkaku. Tidak menyangka Nadim akan terang-terangan menolak dirinya di hadapan ibu dan ayahnya sendiri.

            “Nadim! Apa kamu merepek ni?” Marah Tuan Aaziz.

            Tan Sri Jabbar menarik nafas panjang. Dia mengerling isterinya Puan Sri Azizah yang turut terkesima. Kata-kata yang terkeluar dari mulut anak muda itu benar-benar di luar dugaan mereka.

            “Aaziz, apa semua ini?  You kata semua perkara dah selesai.  But this? What the hell is this?” Renungan Tan Sri Jabbar tajam menikam wajah Tuan Aaziz. Hatinya berang kerana merasa diperlekehkan dan maruahnya diinjak-injak malam ini. Dia sempat mengerling ke arah anak gadisnya Emilia yang sudah mengalirkan airmata sambil dipujuk isterinya.

            Tuan Aaziz tidak menjawab. Matanya hanya mampu merenung si anak yang telah merosakkan pertemuan malam ini dengan bicara pedas tak bermata itu.

            “Ayah tak peduli. Kamu harus ikut cakap ayah. Kamu mesti kahwin dengan Emilia dan selepas itu berangkat ke New York sambung pengajian kamu. Dah terlalu lama ayah biarkan kamu buat apa sahaja yang kamu suka. Sekarang kamu pula harus buat apa yang ayah inginkan.” Ujar Tuan Aaziz tegas.

            “Ayah tak boleh paksa Nadim. Nadim bukan budak kecil ayah.”

            Yes I will. Kamu belum kenal siapa ayah Nadim.” Bentak Tuan Aaziz.

            “Kalau tak ayah nak buat apa? Halau Nadim dari apartmen tu?”

            “Kalau perlu, ayah akan buat lebih dari itu.” Ugut Tuan Aaziz.

            Kedua-dua anak beranak itu saling menatap dengan wajah berang. Marseila  sudah terduduk lemah. Menyesal rasanya dia datang kalau inilah yang terpaksa dihadapinya. Dua lelaki yang paling keras kepala dalam keluarganya kini saling menentang.

            “Aaziz, kami tak perlu mendengar semua ini. You bincanglah apa sahaja dengan anak you. But we have to go. I dah tak boleh dengar lagi semua perkara mengarut ni” Ujar Tan Sri Jabbar lalu beredar dari situ bersama anak isterinya. Marah sungguh lelaki itu kali ini.

Tuan Aaziz hanya membiarkan keluarga itu berlalu pergi. Tan Sri Jabbar hanya perkara remeh baginya. Bila-bila masa dia boleh memujuk lelaki itu. Tapi Nadim berbeza. Anaknya itu keras kepala dan sukar diubah pendiriannya. Dan dia paling mengerti kenapa Nadim semakin ingkar mahu menurut cakap-cakapnya.

            “Kamu dah rosakkan semuanya Nadim. Are you happy now?” Sindir Tuan Aaziz. Dia duduk di kerusinya lalu mencapai gelas fresh orange lalu diteguk perlahan.

            “Bukan ayah yang sepatutnya kecewa. Nadim yang sepatutnya tanya ayah soalan itu. Ayah dah rosakkan hidup Nadim selama ini. Dah banyak kali Nadim bersabar, tapi sabar Nadim ada hadnya ayah. Tolong jangan cabar Nadim dengan perkahwinan merepek ni .” Getus Nadim dengan wajah merah padam.

            “Kamu dah bertunang dengan Emilia. Kamu harus ingat itu!” Tempik Tuan Aaziz. Marseila menarik nafas panjang. Masya ALLAH!

            “Pertunangan itu tidak ada maknanya bagi Nadim. Bila-bila masa sahaja ia boleh putus. Dan jangan harap Nadim akan kahwin dengan perempuan tu. Kalau ayah takut sangat dengan Tan Sri Jabbar, mungkin ayah boleh kahwin dengan Emilia.” Getus Nadim agak pedas, lalu beredar dari situ.

            Tuan Aaziz mengurut dada mendengar kata-kata Nadim yang agak biadap. Dia hanya mampu memerhatikan anak muda itu beredar dari situ. Keluhannya menerpa keluar. Tembok dalaman anak muda itu memang sukar diruntuhkan. Dia kenal dari mana datangnya sikap itu. Anak muda itu mewarisi sikapnya yang degil dan keras kepala.

Marseila yang memerhatikan gerak geri ayahnya hanya mampu membisu seribu bahasa. Hendak bersuara saat ini, dia sendiri tidak tahu pada siapa dia harus pergi untuk memujuk. Dia tahu, Nadim takkan mungkin menerima Emilia dalam hidupnya andai hati itu sudah terisi suatu nama lain. Naomi Lee Schubert.

 I love her kak.” Itu bicara Nadim beberapa tahun yang lalu. Ketika itu Nadim sedang mabuk cinta terhadap gadis itu. Tapi pegangan agama Naomi membuatkan cinta itu terhalang. Tuan Aaziz ayah mereka seorang yang sangat mementingkan semua itu. Sebaik lelaki itu tahu bahawa Naomi seorang ateis yang tidak mempercayai akan kewujudan tuhan, maka Naomi dilihat sebagai pengaruh yang tidak sihat untuk Nadim.

“Kenapa ayah musnahkan segala-galanya kak? Apa salah Naomi? Apa salah Nadim? Kami hanya mencintai antara satu sama lain. Tapi sebab ayah, Naomi dah tak ada dalam hidup Nadim lagi. Nadim tak tahu macamana nak hidup lagi.” Nadim benar-benar tertekan ketika itu.

 “Astaghfirullah Nadim, jangan cakap macam tu dik. Kakak tahu Nadim kecewa, tapi jangan sesekali bercakap begitu. Itu aturan ALLAH untuk kita hambaNYA. Naomi dijemput Ilahi kerana ALLAH sayangkan dia.”

“Nadim nak peristerikan dia kak. Nadim nak jaga Naomi, didik dia jadi isteri solehah, bentuk dia agar dia percayakan agama kita. Dia sendiri berminat dengan Islam. Tapi sikap ayah pada Naomi, seperti mengiakan Islam itu bersikap diskriminasi pada orang bukan Islam. Kalau bukan kerana ayah, Naomi takkan terima tawaran kerja tu. Dan dia takkan hilang tanpa jasad di tengah lautan.”

Tuduhan demi tuduhan yang Nadim lemparkan pada ayah mereka membuatkan dia hanya mampu berdiam diri. Tidak terkata! Ketika itu perang antara kedua-duanya semakin menular sedikit demi sedikit. Semuanya bermula selepas kematian Naomi, gadis kacukan Cina-Inggeris yang dicintai Nadim dengan sepenuh hati.

Marseila tahu, selama ini ayahnya bertungkus-lumus mahu memisahkan Nadim dan Naomi kerana mahu memaksa Nadim menyambung pelajaran di New York. Tapi tindakan ayahnya yang terlalu terburu-buru hanya memusnahkan segalanya. Hasilnya Nadim semakin jauh dari mereka semua. Di New York, adik lelakinya itu semakin menyendiri. Dan dua tahun di New York, khabar duka itu datang. Membawa berita kematian Naomi di Teluk Hope. Gadis itu dikhabarkan hilang semasa menyelam di kawasan laut dalam paling bahaya di dunia itu.

Kematian Naomi memberi tamparan besar pada Nadim. Tak disangka-sangka, Nadim menangguhkan pengajian dan pulang ke Malaysia. Berbulan-bulan lamanya Nadim tidak makan dan tidak minum seperti orang normal yang lain. Adiknya juga suka menyendiri, sehinggakan sampai satu tahap, Nadim berpindah ke apartmen milik arwah ibu mereka. Anak muda itu belajar hidup berdikari dengan membuang keluarga. Malah pengajiannya juga ditinggalkannya begitu sahaja. Keputusan Nadim hanya sekadar untuk memprovok marah ayah mereka.

Marseila kesal. Dia benar-benar kesal dengan apa yang telah terjadi pada keluarganya. Hanya kerana seorang gadis, dua beranak saling bercakaran sesama sendiri. Tetapi yang menanggung sengsaranya ialah dia! Keluh Marseila seraya menjeling si ayah yang termenung panjang di hadapannya.

Alamak! Lagi-Lagi Dia : Bab 24


DIA sendiri tidak pasti kenapa antara banyak-banyak restoran, dia memilih untuk membawa Fitzerald ke situ. Fitzerald seperti biasa langsung tidak menolak. Kata lelaki itu as long as with you. Dia tersengih sendiri. Kalau aku bawa mamat orang putih ni ke gerai tepi jalan, entah lalu atau tidak agaknya tekak mamat ni agaknya? As long as with you konon! Cika mencebik. Hendak ketawa pun ada!

Tapi memang dia ada agenda membawa Fitzerald ke Jumbo Jeep. Sebolehnya dia mahu Nadim Ammar melihat bahawa dia bukannya teruk sangat sehingga tidak ada lelaki yang berminat dengannya. Kalau tidak, masakan Datuk Fakhri tergila-gilakannya. Dan dia ada Fitzerald yang boleh cover semua anggapan Nadim Ammar itu.

“Cika..” renungan Fitzerald menular ke wajahnya. Cika menoleh. Terkedu menyedari betapa dalamnya sorotan mata lelaki itu di wajahnya. Dia pula asyik mencari-cari kelibat Nadim. Mana pulak lelaki poyo tu pergi?

 “Err..you nak makan apa? Don’t worry, hari ini I yang belanja.” Ujar Cika seraya pura-pura membelek menu di tangannya walaupun dia sebenarnya tidak lapar. Fitzerald sekadar tersenyum. Lucu melihat reaksi Cika yang acuh tak acuh melayannya.

“Apa yang sedap?” Tanya Fitzerald dengan bahasa melayu yang agak pelat.

“You cuba spageti kat sini. Sedap tau.” Uusl Cika meskipun dia sebenarnya tidak pernah mencubanya. Setiap kali dia datang, nasi juga yang dia bedal. Tapi mengenangkan lidah Fitzerald lidah Inggeris, jadi spageti sahajalah yang mampu dicadangkannya.

            “I teringin nak makan nasi goreng kampung.” Fitzerald lancar menyebutnya. Cika terkedu. Nak makan nasi goreng kampung? Aduh! Boleh tahan juga mat saleh ni. Hampir dia terlupa yang Fitzerald sudah tinggal di Malaysia sejak 5 tahun yang lalu, jadi tak mustahil lelaki itu sudah biasa dengan semua makanan-makanan di Malaysia. Jangan-jangan, sambal belacan dengan cencaluk pun lelaki itu sapu!

            Cika segera memesan makanan, begitu juga dengan Fitzerald yang sampai juga hajatnya mahu merasa nasi goreng kampung di situ.

            Sambil makan bersama, Cika berbual-bual dengan Fitzerald. Tapi perbualan itu hanya separuh sahaja dihadamnya lantaran dia asyik memerhatikan sekitar Jumbo Jeep, mencari-cari kelibat Nadim Ammar. Entah mana perginya lelaki itu. Bila diperlukan, hilang pula! Dia juga tidak nampak kelibat Jak, pemilik Jumbo Jeep yang dilihatnya sangat rapat dengan Nadim. Gila kau Cika! Kau datang ke situ membawa Fitzerald bersama-sama untuk apa? Sekadar mahu menunjukkan pada Nadim Ammar yang kerek itu bahawa masih ada lelaki seperti Fitzerald yang menggilai kau?

            Do you expecting someone else Cika?” Tegur Fitzerald. Wajah anak gadis di hadapannya ditatap tidak berkelip. Ada sekelumit perasaan hairan berlegar di kotak fikiran. Jujurnya sudah terdetik rasa aneh di sanubari tatkala Cika mengajaknya. Kalau dahulu, gadis itu memang liat mahu menerima pelawaannya. Kini, Cika pula yang mengajak. Tidakkah itu aneh?

            Cika mendongak wajah memandang Fitzerald. Dengan cepat dia menggelengkan kepala. Bohong! Kau sedang menanti Nadim Ammar muncul. Otak biul kau ini memang bermasalah. Sanggup kau heret Fitzerald dari pejabatnya ke mari semata-mata nak menunjuk-nunjuk!

            Usai dia menyebut nama itu dalam hati, tiba-tiba matanya terpandang kelibat dua lelaki sedang memasuki restoran itu. Cika menelan liur. Pelbagai rasa menyelinap ke jiwa. Lelaki itu sedang bergelak ketawa dengan Jak, bagaikan ada sesuatu yang diperkatakan yang menimbulkan kelucuan. Cika terpegun. Wajah itu ditatap separuh nanar.

            Jak tiba-tiba berpaling ke arah meja yang hanya selang 3 buah dari pintu masuk. Dahi lelaki itu berkerut sedikit menatapnya. Hendak tak hendak Cika terpaksa melemparkan senyuman. Nadim masih tidak menyedari kehadirannya. Hanya selepas Jak melambaikan tangan, barulah Nadim ikut berpaling. Cika cuba seselamba mungkin terhadap lelaki itu. Apatah lagi dia menyedari renungan Nadim Ammar sudah melata ke wajahnya, bergilir-gilir dengan wajah Fitzerald

*  *  *  *

KETIKA Fitzerald meminta diri ke restroom, Nadim mengambil kesempatan mendekati anak gadis itu. Cika melemparkan pandangan. Ternampak senyuman sinis itu meleret di wajah lelaki itu. Pandangan itu, senyuman itu, seakan-akan memberi maksud yang Nadim Ammar sudah tahu niat hatinya. Tapi dia tetap berpura-pura selamba, bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Bukankah itu kepakaran kau Cika? Now keep rolling!

            Ketawa Nadim bergema. Sekali lagi Cika merasa terganggu. Entah apa mahunya lelaki itu dengannya. Datang ke mari tapi hanya ketawa dan tersenyum. Buat menyakitkan hati sahaja! Rungut Cika geram.

            What?” Soal Cika panas hati.

            Lelaki itu sekadar menjongketkan bahu, tapi tetap melempiaskan tawa sinis.

            Nothing. Saya cuma tak sangka awak ada teman lelaki berbangsa Inggeris. Kagum gila saya.” Ujar Nadim melawak.

            Cika merenung lelaki itu dengan wajah mencuka. “Saya tahu awak cuma datang sini nak mengejek saya. Lelaki tu kawan saya saja. Tak payahlah nak buat spekulasi murahan tu.” Balas Cika.

            “Ini bukan spekulasi murahan Cik Syafika. Dia kacak, tinggi lampai, dan saya agak tentunya berjawatan bagus. Bukankah itu calon yang bagus untuk awak pertimbangkan?”

            “Untuk pengetahuan awak Encik Nadim Ammar, saya memang tengah pertimbangkan. Dia seorang jurutera dengan gaji besar. Mungkin dia tak pandai bermain piano seperti awak, tapi saya yakin dia calon yang lebih baik dari awak.” Ejek Cika membalas.

            Nadim ketawa besar mendengarnya. Dia tahu Cika sedang berang. Wajah mencuka gadis itu sudah cukup membuktikannya.

            “Tak sangka…” Nadim tersenyum seraya menggelengkan kepalanya, menggamit perhatian Cika yang sudah mula tertanya-tanya. Apa yang tak disangka lelaki itu?

            “Tak sangka ya, awak rupa-rupanya membandingkan  saya dengan lelaki itu. Mungkinkah saya juga termasuk dalam kategori calon yang sedang dipertimbangkan?” Gelak Nadim jahat.

            Cika tersentap. Ceh! Perasan gila mamat ni! Siapa entah yang nak bandingkan dia? Dalam merungut-rungut begitu, dia terpandang kelibat Fitzerald yang baharu kembali dari restroom.

            “Kawan saya dah datang tu. Boleh awak beredar?” Pinta Cika seraya memuncungkan mulutnya ke arah Fitzerald. Nadim berpaling lalu bingkas bangun.

            “Sebenarnya Cik Syafika, awak tak perlu bersusah-payah hanya sebab nak buktikan pada saya. Saya percaya. Dan kalau awak terdesak sangat, awak tak payah cari jauh-jauh. Saya mungkin akan pertimbangkan untuk keluar dengan awak kalau awak tanya.” Ujar Nadim nakal.

            Wajah Cika merah padam mendengar kata-kata Nadim itu. Telinganya sudah berbirat. Hati di dalam juga ikut mendidih dan mungkin akan meletup sekejap lagi. Lelaki itu memang ada bakat untuk menyakitkan hatinya. Tanpa berfikir panjang, minuman yang ada di hadapannya pantas diambil dan disimbah ke arah lelaki itu.

            Zap! Semua yang ada di situ terkejut besar, termasuklah Jak yang berada di kaunter serta Fitzerald yang sedang melangkah ke arahnya. Nadim Ammar apatah lagi. Dengan wajah yang dibasahi minuman serta ada kepingan lemon yang melekat pada rambutnya, lelaki itu benar-benar berjaya mencuri tumpuan ramai.

*  *  *  *

Jak ketawa kecil sebaik menyerahkan tuala muka kepada Nadim. Bunyi ketawa Jak berterusan. Wajahnya serta-merta mencuka lagi. Berang sedikit, tapi tuala di tangan Jak tetap disambut kasar untuk digunakan pada wajahnya yang sudah dibersihkan sebentar tadi.

            Tak fasal-fasal hari ini dia bermandikan jus oren. Habis lencun dia disimbah air oren angkara gadis itu yang tak disangka-sangka.

            “Abang bukan nak menangkan dia, tapi yang kau sakitkan hati dia tu kenapa? Kan tak fasal-fasal basah.” Gelak Jak. Menggeleng dia melihat kejadian yang tak disangka-sangka hari ini di Jumbo Jeep. Ketika dia melihat Nadim menghampiri Cika, dia sudah tahu harus-harus ada aje kekecohan yang bakal berlaku. Dia sudah menegah Nadim dari menganggu Cika tadi, tapi anak muda itu berdegil. Hah sekarang tanggunglah sendiri!

            “Kau ni dengan dia apahal sebenarnya? Sejak hari itu abang tengok, kalau jumpa aje mesti nak gaduh.” Tegur Jak. Hairan juga dia melihat sikap Nadim yang gemar mencari fasal dan bertelagah dengan anak gadis itu. Selalunya Nadim bersikap pendiam dan jarang mahu mencampuri urusan orang lain.

            Nadim terdiam. Dia tahu Jak langsung tidak tahu apa-apa tentang peristiwa di The Woods tempohari. Di situlah pertemuannya dengan Cika bermula. Dia sendiri tidak tahu kenapa setiap kali dia menemui anak gadis itu, pertemuan mereka disulami pergaduhan. Tapi bukanlah bergaduh sampai nak berbunuhan. Orang panggil ini sweet fight. Gaduh-gaduh manja begitu. Mungkin betul salahnya juga kerana dia yang suka memprovok anak gadis itu. Padan muka aku!

            “Jangan-jangan kau sukakan dia tak?” Usik Jak seraya ketawa.

            Nadim menelan liur. Erkk…aku sukakan gadis cengil itu? No way! Tak mungkin. Potong jari pun tak mungkin dia akan menyukai gadis itu. Dia menggeleng kepala!

            Not my type.” Cebik Nadim seraya membetulkan rambutnya.

            “Dia okey apa. Cantik dan baik orangnya. Kau pun belum ada teman wanita.” Usul Jak, sengaja mahu mengusik Nadim yang mula cemberut wajahnya.

            “Singa lapar tu abang kata baik?” Nadim mengeluh. Cantik mungkin boleh diterima, tapi baik? Hell not!

            “Tak baik kau kata Cika macam tu. Abang rasa dia gadis yang baik hati.” Pendapat peribadi Jak. Nadim menoleh ke arah lelaki itu. Dahinya berkerut. Aku salah dengarkah?

            “Apa abang panggil dia tadi?”

            “Cika.” Ujar Jak tercengang.

            “Cika? Hmm..abang panggil dia macam dah lama kenal.” Giliran Nadim pula yang tersengih-sengih. Interesting!

            Jak ketawa besar. Terkena pula dia!

            “Abang pernah bercakap-cakap dengan dia. Dia suruh abang panggil dia Cika sahaja. And for your information, once you know her, you will like her.” Ujar Jak bersungguh-sungguh.

Nadim melepaskan keluhan di bibir. enggan mengulas kata-kata Jak lagi lantaran telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Dia memandang ke arah skrin telefon dengan wajah berkerut. Ayah?

*  *  *  *

SELEPAS dia menghantar Fitzerald kembali ke pejabatnya, Cika terus memandu pulang. Hari ini tak fasal-fasal dia digelar perempuan gila. Naik mencacak anginnya apabila dikatakan begitu. Kalau tak ada Jak dan Fitzerald meleraikan sebentar tadi, mahu rasanya dia bergusti dengan Nadim di situ.

            “Dasar mulut jahat.” Gumam Cika seraya meramas stereng keretanya. Dan kerana lelaki itu juga, tak fasal-fasal dia terpaksa menjelaskan kepada Fitzerald tentang Nadim Ammar. Mujurlah Fitzerald tidak banyak bertanya. Eiii..geramnya! Cika benar-benar meradang dibuatnya. Sakit sungguh hatinya apabila mengenangkan lelaki itu. Dia yang cuba menunjuk-nunjuk di hadapan lelaki itu, tapi dirinya pula yang dikenakan lelaki itu cukup-cukup. Tak guna!

Alamak! Lagi-Lagi Dia : Bab 23


WAJAH Cika pucat lesi, namun dia tetap mempengerusikan mesyuarat itu. Gina sesekali mengerling ke arah wajah Cika yang lesu. Tertanya-tanya dalam hati, kenapa dengan gadis itu sebenarnya. Muram sahaja seperti ada yang tidak kena!

            “Kau okey tak ni?” Tanya Gina ingin tahu, sebaik mesyuarat hari itu berakhir.

            Cika menoleh. Tersenyum hambar ke arah Gina sambil mengangguk.

            “Tak ada apalah Gina. Aku cuma tak ada mood, itu je.” Jawab Cika antara dengar dengan tidak.

            Planner kau tu ada jumpa tak?”

            Cika menarik nafas panjang. Dia baru sahaja hendak melupakan riwayat planner itu, tapi tiba-tiba sahaja Gina mengungkitnya kembali. Tak fasal-fasal dia teringat semula pada lelaki poyo itu. Nadim Ammar! Si pemain piano di Jumbo Jeep yang bermulut tajam berbisa. Benci! Gumam Cika geram. 

            Ada jumpa tak?” Gina mengulang pertanyaan.

            Cika mengetap bibir.Kalaulah Gina tahu apa yang berlaku di Jumbo Jeep malam semalam, tentu gadis itu akan naik angin juga. Dia tidak sangka lelaki itu bermulut lebih celupar dari apa yang disangkakannya. Dia hanya mahukan plannernya  kembali, tapi lelaki itu enggan menyerahkannya. Dan yang paling memalukan ialah insiden gambar lelaki itu yang dilukisnya. YA ALLAH! Malunya dia! Menyesal sungguh rasanya dia melukis potret lelaki itu di dalam planner hitam itu. Kau yang cari fasal sendiri Cika!

Don’t say to me that you are in love with me Cik Syafika.”

Cika menekup wajah. Terhimbau-himbau lagi perkataan lelaki itu yang diungkapkan di hadapannya. Perkataan yang membuatkan dia merasa seperti baru sahaja dilanggar dengan kereta kebal. Dilenyek sehingga tubuhnya hancur lumat. Tapi bezanya kali ini, dia merasa hatinya sebenarnya yang sedang hancur teruk.

            Cika..kenapa ni?” Soal Gina, hairan melihat Cika yang kelihatan serba tidak kena. Kenapa agaknya?

            Cika memandang Gina, sahabatnya yang sama-sama berkongsi setiap duka yang dirasakannya. Ada kesayuan bertebar di setiap penjuru hatinya saat ini.

            “Gina, aku ni serupa macam dulu ke?” Tanya Cika tiba-tiba.

            Gina terpempan. Apa maksud gadis itu?

            “Kenapa setiap lelaki yang aku jumpa akan menghina aku? Akan memalukan aku seperti aku tidak layak untuk memiliki walau sedikit pun maruah yang tinggal? Kenapa Gina?” Soal Cika sayu.

            Gina tersentak mendengarnya. Airmata Cika menitis jua di pipi. Gina segera mendekati Cika lalu memeluk bahu anak gadis itu. Dia sendiri turut menitiskan airmata sebak.

            “Aku cuma mahu mencari lelaki yang mampu mencintai aku seadanya. Tapi yang selalu aku temui adalah lelaki-lelaki yang bersikap seperti Idham Hariz. Aku benci dia Gina. Aku benci Idham Hariz.”

            Gina mengeluh panjang. Lagi-lagi Idham. Apakah kehadiran Idham yang membuatkan sikap ceria Cika berubah? Jangan-jangan lelaki itu pernah mencari Cika malam semalam, maka itu sebabnya Cika jadi pemurung hari ini, duga Gina.

            Dia melonggarkan pelukannya. Wajah Cika yang basah disapu dengan tisu yang tersedia di atas meja bilik mesyuarat.

            “Cika, aku minta maaf..” Ujar Gina kesal.

            Cika terdiam. Wajahnya berkerut memerhatikan ke arah Gina.

            “Aku dah banyak menyusahkan kau. Aku yang buat kau diejek dan dihina. Aku juga yang menyebabkan kau nyaris-nyaris berhenti sekolah.”

            “Gina, bukan salah kau..”

            “Tak Cika, semuanya salah aku. Surat tu surat aku. Sepatutnya masa kau dituduh bermacam-macam, aku yang tampil dan bersihkan nama kau. Tapi aku tak buat begitu. Aku penakut Cika. Aku bukan sahabat yang baik.” Akui Gina muram.

            Cika terdiam. Dia tidak pernah menyalahkan Gina kerana surat itu. Memang jika diikutkan semuanya kerana Gina yang meletakkan surat cintanya kepada Idham di dalam fail kerja kursusnya. Dan sudah takdir, surat itu jatuh dan dikutip oleh salah seorang teman Idham.

            “Aku ada jumpa Idham malam semalam.” Ujar Gina berterus-terang.

            “Hah?” Cika tersentak. Jumpa Idham?

            “Idham Hariz pernah telefon pejabat kita cari kau. Aku tak tahu macamana dia boleh dapat nombor telefon pejabat kita ni. Dia nak jumpa dengan kau malam semalam.” Beritahu Gina.

            “Dia nak jumpa aku?”

            “Maafkan aku sebab tak beritahu kau fasal panggilan Idham tu. Aku cuma nak lindungi kau. Aku tak mahu kau disakiti lagi Cika. Tapi kau jangan bimbang. Aku dah jumpa Idham dan beri amaran pada dia agar jangan ganggu kau lagi.” Ujar Gina.

            Cika terdiam. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Sebenarnya dia yang merasa bersalah kerana tidak berterus-terang dengan Gina tentang Idham yang sebenarnya. Tentang ibunya yang berniat menjodohkannya dengan lelaki itu. Gina langsung tidak tahu bahawa ibunya dengan ibu Idham merupakan kawan lama sejak di universiti lagi.

            “Cik Syafika, Rossie dari Aaziz & Co nak jumpa.” Muncul salah seorang stafnya di muka pintu bilik mesyuarat. Serentak kedua-duanya berpaling.

            “Bawa dia ke bilik saya.” Arah Cika. Staf itu hanya mengangguk lalu segera beredar. Cika berpaling ke arah Gina yang turut memandangnya.

            “Pergilah jumpa dia.” Suruh Gina.

            Cika mengangguk lalu segera melangkah ke muka pintu. Namun sebelum dia menghilang, dia berpaling sejenak ke arah Gina.

            “Gina, aku emosi sangat tadi. Kau jangan susah-susah fikir. Agaknya aku dah nak datang PMS, itu sebab aku macam ni.” Ujar Cika.

Gina hanya tersenyum. PMS konon! Kalau Cika PMS, dia juga sama agaknya. Sama-sama emosi, macamlah dunia sudah mahu runtuh!

*  *  *  *

ROSSIE meletakkan sesuatu di atas meja. Tersengih-sengih wanita berusia dalam lingkungan 30an itu memandangnya. Cika mengerling ke arah kepingan kertas di atas mejanya. Terpisat-pisat dia memandang wajah Rossie yang nampak ceria serta kepingan kertas seperti tiket itu. Apa tu? Tiket wayang ke? Cerita apa? Harry Porter atau Breaking Dawn?

            “Apa ni Cik Rossie?” Tanya Cika ingin tahu.

            “Tuan Aaziz yang kasi. Hadiah dari firma kami untuk Cik Syafika sebab banyak membantu insiden Encik Mat Topup tu.” Ujar Rossie.

            “Saya tak fahamlah Cik Rossie. Saya bukan buat apa-apa pun waktu tu. Kenapa pula Tuan Aaziz nak bagi hadiah ni?”

            “Tuan Aaziz ikhlas Cik Syafika. Cik Syafika tengoklah dulu apa bendanya. Saya rasa Cik Syafika tentu suka kalau nampak hadiah ni.” Canang Rossie separuh mendesak.

            Cika terdiam. Perlahan-lahan dia mengutip kepingan tiket tersebut lalu menatapnya. Sejurus wajah Cika berkerut. Rossie masih menanti reaksi gadis itu dengan sabar.

            Sejenak kemudian, anak mata Cika beralih dari kepingan tiket di tangannya ke wajah Rossie. Wajahnya kebingungan.

            Cruise? Tuan Aaziz hadiahkan tiket cruise ni? Biar betul Cik Rossie. Mahal hadiah ni, saya tak boleh terima.” Cika menolak. Hatinya benar-benar mahukannya tapi dia tidak sanggup mahu menerima hadiah semahal ini. Lagi-lagi bukan besar mana pun jasanya menyelamatkan Encik Mat Topup tempohari. Dia hanya wirawati bidan terjun yang nyaris-nyaris hilang nyawa sendiri.

            “Jangan macam tu Cik Syafika. Kebetulan tuan punya kapal persiaran ni salah seorang klien Tuan Aaziz sendiri. Kapal ni akan mula berlayar dalam beberapa hari lagi. Kat situ ada dua keping tiket merangkumi bilik penginapan kelas pertama dan kemudahan-kemudahan lain. Cik Syafika boleh bawa teman kalau mahu. Semuanya dah berbayar, percuma. Rugi kalau tolak.” Nasihat Rossie beria-ia.

            Cika menghembus nafas panjang. Dia benar-benar tidak mampu mempercayai ada orang sanggup memberinya tiket kelas pertama pelancongan dengan kapal persiaran mewah. Dia memang sudah lama berhajat mahu melancong dengan kapal persiaran, tak sangka kesempatan ini datang bergolek dalam keadaan tidak diduga. Kalau begini harga budi dibayar, dia lebih dari sanggup memanjat beranda pejabatnya sekali lagi dan menyelamatkan berpuluh-puluh Mat Bin Topup yang lain pula.

“Kamu suka kapal? Kalau kamu ada peluang naik kapal besar dan bersiar-siar, pergi sahaja jangan berfikir panjang. Itu peluang kamu!”

Cika terpaku. Kata-kata itu! Aneh! Bukankah dia baharu sahaja membicarakan tentang kapal dengan nenek tua yang ditemuinya tempohari? Kalau dahulu kata-kata nenek itu kedengaran aneh di telinganya. Kali ini, dengan tiket kabin kelas pertama yang ada di hadapannya, dia merasa lebih aneh lagi.

“Itu peluang kamu!” Kata-kata nenek tua itu terus berladung di fikiran.

Peluang? Peluang apakah yang dimaksudkan nenek itu? Cika menarik nafas panjang.

            “Macamana Cik Syafika?” Tanya Rossie apabila dilihatnya Cika asyik termenung sahaja. Gadis itu segera memandang ke arah Rossie.

            “Kalau macam tu saya terima tiket ni Cik Rossie. Tolong sampaikan ucapan terima kasih saya pada Tuan Aaziz ya.” Ujar Cika.

Rossie kelihatan berlapang dada mendengar persetujuan Cika. Apatah lagi majikannya ada berpesan agar dia memastikan gadis itu menerima hadiah dari firma guaman mereka sebagai tanda penghargaan.

            Sebaik Rossie beredar, Cika terus memanggil Gina. Gadis itu terjerit-jerit seperti orang kurang siuman apabila mendapat tahu tentang tujuan kedatangan Rossie. Darren yang sedang lalu di situ tertinjau-tinjau, barangkali hairan dan pelik melihat kedua-dua bosnya menjerit seperti orang gila. Konspirasi apa agaknya kali ini? Keluh Darren lalu berlalu pergi dari situ.

            I don’t believe it.” Ujar Gina terlongo.

            Yeah me too.” Jawab Cika.

            “Dalam banyak-banyak benda yang dia boleh kasi, dia kasi kau ini. Kau tahu tak dah berapa lama kita berdua buat rancangan nak naik kapal persiaran mewah ni pergi bercuti?” Gina benar-benar teruja.

            “Entahlah Gina, hadiah ni best..tapi lama sangat. Kita ada banyak kerja nak kena siapkan. Lagipun lagi beberapa hari kapal ni akan bertolak melalui pelabuhan Sandakan di Karamunting, Sabah. Aku takut kita tak sempat nak siapkan saki baki kerja yang ada ni.” Keluh Cika.

            “Cika, kita berdua boleh bekerja dari kapal tu. Mesyuarat atau taklimat boleh dibuat melalui video conferencing. Aku percaya kapal sebesar itu tentu ada kemudahan-kemudahan seperti itu. Kerja-kerja selebihnya di sini, Darren dengan yang lain-lain boleh uruskan di sini.” Cadang Gina.

            Cika terdiam. Dia masih ragu-ragu lagi. Sekalipun hal dan urusan pejabat boleh diselesaikan dengan cara itu menurut cadangan Gina, tapi bagaimana dengan ibunya? Mahukah wanita itu mengizinkannya?

            Think about it Cika. Ini peluang terbaik kita untuk berseronok puas-puas kat atas kapal tu nanti.” Ujar Gina tersenyum.

            Terkelip-kelip mata Cika memerhatikan Gina. Dari riak wajah Gina, dia tahu gadis itu mahu sangat menaiki kapal persiaran mewah itu.

            “Aku rasa kita patut berterima kasih pada Pakcik Mat tu. Sebab dia, kita pulak dapat durian runtuh.” Gina tersengih-sengih.

            Cika ketawa kecil. Tiba-tiba sahaja dia teringat pada orang tua yang kini sedang syok-syok bermalam di lokap. Tempohari dia ada berjanji dengan orang tua itu mahu mengambil Pak Mat bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikatnya. Meskipun bangunan itu ada memiliki pengawal sekuriti, tapi tak salah kalau dia menambah jawatan itu untuk membantu orang tua yang mudah tension itu. Mujurlah bila dia mengungkitnya di hadapan Gina, gadis itu langsung tidak kisah. Hanya mereka perlu menanti orang tua itu keluar lokap dahulu! Itupun lagi beberapa bulan dari sekarang!

            Cika kembali membelek-belek tiket kapal persiaran mewah itu. Elemental Supreme. Namanya boleh tahan dan gambar kapal yang terpapar pada tiket kelas pertama itu cukup indah dan memukau. Nak pergi ke tidak ni? Itu yang sedang difikirkannya saat ini.

*  *  *  *

DIA baharu keluar dari Maju Construction, sebuah syarikat pembinaan yang bekerjasama dengan syarikatnya dalam penjualan 12 lot rumah banglo berkembar yang terletak di Taman Andalas Perdana. Ini bukan kali pertama dia bekerjasama dengan syarikat pemaju itu. Masuk yang ini sudah kali ketiga.

            Paling dia bersyukur, Haji Osman Salleh, Pengarah Urusan Maju Construction itu bukan seperti Datuk Fakhri yang miang-miang keladi. Bukan juga seperti lelaki-lelaki lain yang sering ditemuinya. Mereka yang lain apabila bertemunya dengan Gina macam musang berbulu ayam. Mujur Haji Osman bukan begitu. Sebaliknya lelaki itu melayannya umpama seorang ayah. Itu yang membuatkan dia senang hati bekerjasama dengan lelaki itu.

            Di dalam petak lift, dia membelek-belek telefon bimbitnya. Sekadar menghantar SMS pada Gina, memaklumkan perbincangannya dengan Haji Osman berjalan lancar. Bermakna untuk kali ini mereka akan terus menjadi agen hartanah mewakili Maju Construction.

            Sebaik lift itu berhenti di lobi, Cika segera melangkah keluar. Tas tangannya dikemaskan di bahu sambil tangannya membimbit beberapa fail dan sampul surat yang dibawanya keluar dari bilik mesyuarat di Maju Construction. Langkahnya diatur pantas, menyusuri laluan di bahagian lobi. Destinasinya ialah pintu utama di hadapannya.        

            Dari arah hadapan, dia melihat satu kelibat tubuh yang amat dikenali sedang berjalan masuk dari pintu hadapan. Fitzerald tidak keseorangan. Lelaki itu sedang berbual-bual dengan dua orang lelaki lain. Melihat lelaki itu, langkah Cika serta-merta perlahan. Alamak! Fitzerald! Cepat-cepat dia menukar haluan ke arah pintu keluar yang satu lagi. Malah dia melangkah lebih pantas dari tadi. Risau sungguh dia kalau Fitzerald sempat melihatnya di situ. Jangan dia nampak aku sudahlah! Doa Cika sedikit resah.

            “Cika!” Panggilan itu singgah di telinga. Cika menelan liur. Aduh! Sudah nampakkah? Tapi apasal suara mamat itu berbeza? Cika meluruskan pandangan. Tapi yang muncul di hadapannya bukan Fitzerald, tapi seraut wajah yang selama ini cuba dielakkannya. Cika menarik nafas panjang. Idham Hariz

            Idham Hariz melambaikan tangannya bersama segaris senyuman di bibir. Cika hanya tercegat seperti patung. Wajah lelaki itu tampak ceria, sedangkan wajahnya pula mencuka. Idham gembira tapi dia berduka. Pertemuan ini bukan seperti apa yang diinginkannya! Cika menggelengkan kepala seraya mengundur selangkah dua ke belakang.

            Melihat gadis itu mengundur seolah-olah mahu mengelakkan diri darinya. Idham menarik nafas panjang. Dahinya berkerut lebar. Dia tak sangka terserempak dengan Cika di sini, tapi dia gembira sekalipun gadis itu sebaliknya.

            Melihat lelaki itu, Cika bagaikan mendapat keberanian baru. Dia sudah tahu apa yang patut dilakukannya. Antara Idham dan Fitzerald, dia lebih rela memilih Fitzerald.

            Perlahan-lahan dia mengundur diri lalu berpaling ke arah Fitzerald. Kali ini dia nekad mahu menegur lelaki berbangsa Kaukasia itu. Seperti yang dijangka, Fitzerald tercengang melihat kehadirannya, tapi lelaki itu terlihat riang. Serta-merta teman-temannya ditinggalkan sebelum dia meluru ke arah Cika.

            Cika, glad to see you here. Do you have any idea how much I miss you?” Tiba-tiba sahaja tubuh kecilnya dirangkul, seraya pipinya dikucup ala-ala French Kiss. Cika terkejut beruk. Ciuman di pipi kirinya membuatkan darahnya berderau. Tak payah berpaling ke belakang pun dia tahu Idham pasti ikut terkejut melihat adegan percuma itu. Dan yang tak bestnya, sudah ada beberapa orang yang berpaling-paling ke arahnya dengan raut wajah tertanya-tanya. Hello, aku bukan mistress mamat orang putih ni tau! Getus Cika di hati kecilnya.

            Fitz..this is not right.” Cika mengeluh.

            Fitzerald mengerutkan dahinya. Sejurus dia menepuk dahinya.

            “Ops! Sorry Cika, saya lupa. I’m really sorry.” Ungkap Fitzerald, kesal kerana menyapa Cika seperti itu.

            “Tak apalah, tapi jangan buat selalu. Nanti semua orang ingat kita ada affair pulak.” Rungut Cika.

            Affair? Do you want to?” Wajah Fitzerald bersinar-sinar.

            “Fitz!” Cika mengetap bibir. Nak kena mamat ni nampaknya!

            Melihat wajah Cika yang muncung empat belas, Fitzerald ketawa besar. Dia hanya mengusik. Tak mungkin gadis secomel Cika mahu melakukan perkara sebegitu dengan orang asing sepertinya. Dia benar-benar sukakan gadis itu. Tapi dia juga tahu Cika bukan seperti gadis-gadis melayu lain yang pernah ditemuinya yang sanggup mengikutnya ke kelab malam, sanggup mabuk bersamanya dan mungkin juga sanggup menidurinya.

            So tell me what are you doing here?” Tanya Fitzerald. Pertanyaan lelaki itu membuatkan Cika segera teringatkan Idham Hariz. Perlahan-lahan dia berpaling ke belakang, namun kelibat lelaki itu sudah tidak ada di situ. Entah mengapa dia jadi lega. Mujurlah! Tak sia-sia bibir seksi Fitzerald salah mendarat di pipinya sebentar tadi. Idham pasti terkejut dan mungkin juga ketika ini sedang menelefon ibunya dan menolak jodoh yang diaturkan ibu-ibu mereka.

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!