Followers

Monday, October 19, 2009

Sayangku Casper : Bab 7

“APA yang kau pandang-pandang tu?” Tanya Davian yang duduk di hadapan sebuah meja sambil mengetik sebuah laptop. Melihat gerak-geri temannya yang baru melangkah masuk, dia tercengang. Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya ketawa kecil. Mata lelaki itu begitu asyik mengintai ke luar bilik kecil yang mereka tempati.

Hendak tak hendak Davian turut bangun lalu mengintai keluar. Melihat seorang gadis kelam kabut mengutip buku-bukunya di atas lantai dengan punggung membelakangi mereka, dia tergaman. Bulat biji matanya mencari wajah Rafique yang terus-terusan ketawa.

“Sejak bila kau suka pandang punggung perempuan ni Rafique?” Tanya Davian separuh menjerkah. Tak berkenan langsung dia dengan feel Rafique yang tidak tentu hala begitu. Walaupun namanya macam mat saleh, tapi dia anak melayu yang beragama Islam. Sudah terdidik dengan adab sopan dan budi pekerti yang baik. Tak mungkin dia akan terpengaruh dengan tubuh badan perempuan yang menggoda begitu. Tak mungkin!

Mendengar kata-kata Davian, Rafique ketawa lagi kuat. Kelakar mendengar andaian yang melekat di kepala Davian.

“Davy, aku bukan tengok punggung dia. Aku kelakar tengok budak perempuan tu. Perempuan kat Kuala Lumpur ni memang macam dia ke atau dia seorang aje yang macam tu?” Tanya Rafique.

Davian tercengang. “Maksud kau?”

“She’s funny.” Ujar Rafique tanpa menjelaskan maksudnya dengan lebih jelas. Kata-kata Rafique meninggalkan teka-teki yang bersarang dalam kepala Davian. Namun belum sempat dia mahu terus bertanya, suara Rafique lebih pantas mendahului.

“Kau dah dapat dia?” Tanya Rafique ingin tahu.

Davian mengeluh panjang. “Belum lagi. Baru seribu tujuh ratus orang aku tilik dalam database ni, kepala aku pun dah pusing. Tak ada pun nama dia. Semuanya dah nampak macam muka mak aku aje.” Keluh Davian.

“Aku nak kau terus cari sampai dapat. Aku tak punya banyak masa Davian.” Desak Rafique.

“I’m trying Raf. Kau seret aku ke mari then kau suruh aku bertapa dalam library ni dari pagi tadi Mujur ada awek cun kat perpustakaan ni sudi beri aku password dia, senang aku geledah database perpustakaan ni. Beri aku masa Raff, kerja ni bukan senang.”

“Kau kan ada gambar dia?”

Bulat mata Davian menjeling temannya itu. Kalau sekadar gambar si kenit tu, tak payah bawa pun tak apa. Buang masa aje! Keluh Davian.

“Kenapa kita tak pergi ke rumah dia aje? Granny kau mesti tahu di mana dia tinggal selama ini kan? Kalau tidak, mustahil dia tahu tentang kolej ni.” Usul Davian.

Rafique terdiam. Dia juga pernah bertanyakan hal yang sama pada wanita itu, tapi semuanya menemui jalan buntu.

“Granny tak mahu bekas suami anaknya tahu fasal hal ni. Seboleh-bolehnya dia nak mencari Adelie tanpa diketahui orang lain terutama keluarga Adelie. Itu pesan granny, Davy.” Ujar Rafique.

Davian mengeluh. Kalau begitu keadaannya, mereka seolah-olah mencari dalam gelap. Blackout! Aduh Raff, kau memang sering membuat aku pusing setiap kali kau ke mari! Keluh Davian sambil menggaru kepalanya.

* * * *

Rafique duduk diam di kafeteria itu sambil menghirup secawan kopi. Sementara menunggu Davian menyudahkan tugasnya, dia mengambil keputusan menghilangkan dahaganya di situ. Sesekali dia tertoleh ke arah beberapa orang pelajar-pelajar perempuan di meja berhampiran yang tersenyum-senyum memandangnya. Namun dia tidak ambil pusing. Langsung tidak berminat mahu memulakan sesi perkenalan atau bertukar-tukar nombor telefon.

Fikirannya sebenarnya tenggelam pada sesuatu. Dia tahu kata-kata Davian berasas. Mencari gadis itu ibarat menarik sehelai rambut dari tepung. Tidak mustahil tapi sukar dicari. Apatah lagi dia hanya memberi satu nama. Mencari seseorang hanya bersandarkan sekeping gambar adalah kerja bodoh. Lagi-lagi dia hanya berpegang kepada pesan neneknya beberapa hari yang lalu.

Namun kalau bukan kerana kata-kata wanita itu tempohari, tak mungkin dia akan membuat kerja gila ini. Membatalkan urusannya di Versailles dan terbang ke Kuala Lumpur adalah kerja paling gila yang pernah dilakukannya. Tapi semuanya kerana angkara ayahnya. Kalau bukan disebabkan ulah ayahnya untuk merebut Fleur de’ Casper dari tangan Madame Marianne, mana mungkin dia akan mendengar cerita tentang kewujudan gadis itu.

“Daddy dah melampau. Tergamak dia usulkan pada ahli lembaga pengarah untuk lucutkan hak granny sebagai pentadbir Fluer.” Bentaknya benar-benar berang. Pandangannya dilontar ke arah Madame Marianne yang kelihatan tenang.

“Kata-kata daddy kamu sebenarnya agak munasabah Rafique. Granny dah tua, dah tak larat nak mentadbir syarikat. Ayah kamu pemegang saham kedua paling besar di Fleur, dia hanya berfikir untuk kebaikan semua pihak.” Ujar wanita itu.

“Apapun Rafique takkan benarkan daddy rampas apa yang menjadi hak granny. Hak pentadbiran Fleur akan kekal menjadi milik granny.” Tegasnya dengan wajah merah padam menahan marah yang meluap-luap.

Wanita itu sekadar tersenyum memandangnya. “Kadangkala kamu buat granny keliru Rafique. Apakah kamu sebenarnya anak daddy kamu atau orang kanan granny?” Gurau Madame Marianne. Dia terdiam. Kata-kata wanita itu ditelan dengan wajah gusar.

“Rafique cucu granny. Itu yang sebenarnya granny.” Ujarnya perlahan.

Wajah Madame Marianne berubah. Bibir wanita itu bergerak-gerak mahu mengatakan sesuatu.“Betul, kamu cucu granny Rafique. Kamu sentiasa ada di sisi granny bila granny memerlukan kamu. Alangkah baiknya jika dia juga ada di samping granny seperti kamu.” Keluh wanita itu. Airmuka Madame Marianne berubah muram.

“Dia itu siapa granny? Kenapa granny nampak gelisah macam ni?” Soalnya dengan wajah berkerut. Hairan dengan kata-kata terakhir wanita itu yang gagal difahami maksudnya.

Madame Marianne menoleh ke arahnya. Tatapan mata wanita itu bening dan kelihatan sayu. “Granny dah buat silap Rafique. Sepanjang hidup granny, inilah kesilapan yang paling granny kesalkan. Granny tak sepatutnya lepaskan dia pergi dulu.” Tutur wanita itu.

“Rafique tak faham granny. Kesilapan apakah yang granny maksudkan?”

“Boleh kamu mencari dan membawa Adelie pulang ke sisi granny, Rafique? Granny terlalu merinduinya. Sekurang-kurangnya granny mahu bertemu dengannya sebelum granny menutup mata untuk selama-lamanya.”

Dia semakin bingung. Kata-kata Madame Marianne menimbulkan banyak persoalan yang tidak berjawab. Namun melihat wanita itu seakan tenggelam dalam khayalan panjang, dia hanya mampu menarik nafas.

“Dia cucu Madame. Kamu pernah bermain dengannya waktu kecil dulu Rafique. Kamu tidak ingat?” Louis memandangnya. Wajah lelaki itu berubah sugul apabila ditanya berkenaan Adelie. Louis adalah pembantu peribadi Madame Marianne merangkap pengurus rumah yang sudah berpuluh tahun bekerja di Vila Casper.

Dia sekadar menggelengkan kepala. Sungguh dia gagal mengingati wajah itu. Lagipun menurut Louis, Adelie dibawa pergi dari rumah itu ketika umurnya lima tahun. Dan dia pula ketika itu baru sahaja berpindah ke rumah besar itu. Mungkin mereka sempat kenal sebentar, tapi itu tidak mencukupi untuknya mengingati gadis yang dimaksudkan Louis.

“Kenapa granny nak mencarinya sekarang uncle? Kenapa Adelie tidak tinggal bersama granny di sini? Di rumah ini?” Soalnya ingin tahu. Hairan! Tiba-tiba sahaja nama Adelie dibangkitkan sedangkan sejak dia menghuni rumah itu hampir lima belas tahun yang lalu, tidak pernah sekalipun nama itu disebut. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?

“Ceritanya panjang Rafique. Madame telah melakukan satu kesilapan dulu. Kerana marah, semua orang akan hilang pertimbangan diri. Madame hanya manusia biasa, dia juga tidak terkecuali melakukan sesuatu yang akan dikesalinya seumur hidup ini. Dan kesilapannya telah meragut nyawa anak perempuannya sendiri.” Keluh Louis.

Dia terpempan. Kata-kata Louis semakin membuatkan dia dicambahi perasaan ingin tahu. Sesuatu yang menjadi rahsia dalam rumah itu selama ini kini diungkai Louis satu persatu di hadapannya.

Usai Louis bercerita, dia terduduk lemah. Begitu rupanya! Patutlah granny selalu kelihatan termenung di beranda rumah menghadap ke arah sepohon pine yang dipagarkan Louis. Selama ini dia tidak menyangka granny akan menyimpan kelukaan seperti ini.

“Di mana Adelie sekarang ini uncle?” Dia mengalihkan pandangan ke arah Louis.

“Mungkin di Kuala Lumpur bersama ayahnya. Madame ada mengupah seorang private investigator untuk menyiasat tentang Ahmad Faruk. Dia dapat tahu Adelie sedang belajar di sebuah kolej di sana.” Jelas Louis.

“Kenapa granny tak pergi saja ke Kuala Lumpur dan berjumpa Adelie? Bukankah itu lebih mudah?” Soal Rafique.

Louis menggelengkan kepala. “Tidak Rafique, ia bukan semudah itu. Peristiwa lima belas tahun dulu telah meninggalkan kesan mendalam kepada semua orang. Sepertimana Ahmad Faruk bersumpah untuk tidak akan menjejakkan kakinya ke Vila Casper lagi, Madame juga telah bersumpah untuk tidak akan mencari Adelie dan membawanya pulang ke mari. Itu perjanjian antara mereka dulu. Tapi perjanjian itu dibuat dalam keadaan kedua-duanya diselubungi kemarahan. Ketika itu Madame Marianne terlalu degil orangnya.” Keluh Louis.

Dia mengeluh panjang. Tidak menyangka ada rahsia hitam yang menyelubungi keluarga itu. Adelie! Jika Adelie benar-benar cucu Madame Marianne, bermakna gadis itu lebih berhak mewarisi Fleur de Casper berbanding dia dan ayahnya.

Bunyi suara riuh-rendah sedang ketawa membuatkan lamunannya terhenti. Dia menoleh ke suatu arah. Kelibat seorang gadis yang tertiarap dengan dulang makanan yang mengotori lantai di hadapannya direnung dengan wajah berkerut. Sejurus mengecam wajah itu, dia mengeluh panjang. Cemerkap betul budak perempuan tu! Rafique bingkas bangun dari mejanya lalu melangkah ke arah gadis itu yang terkiai-kiai sedang mengutip mee mamaknya yang sedang dikongsi oleh seekor kucing berwarna hitam. Namun dia tidak berhenti untuk menolong sebaliknya dia menonong pergi begitu sahaja. Wajah si gadis yang kelihatan comot sempat ditilik. Kepalanya digeleng-gelengkan seraya tersenyum Macam-macam hal!

1 comment:

aqilah said...

kesian rafi. hehehe.... tia pulak mlm ni bahagia sedangkan rafi terseksa........................

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!