Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 11

Apabila dia sampai pagi itu di studionya, Nurul Hijjaz sudah berada di situ mengarahkan beberapa pekerja-pekerja di Krafria Galeria melakukan kerja. Riffki tersenyum senang. Dia menghampiri Nurul Hijjaz, cuba melihat apa sebenarnya yang dilakukan oleh gadis itu. Namun melihat ke arah pekerja-pekerja itu, Riffki tergaman. Bulat matanya melihat pekerja-pekerja Krafria Galeria sedang mengecat dinding di suatu sudut dengan warna pink muda.
“Nurul Hijjaz, what exactly are you doing?” Riffki tidak dapat menahan dirinya dari meninggikan suara. Nurul Hijjaz tercengang. Beberapa pekerja yang sedang mengecat dinding juga terhenti. Kesemuanya memandang ke arah Riffki yang menyinga tiba-tiba.
“Err…Encik Riffki, saya cuma nak..,” Terketar-ketar Nurul Hijjaz cuba menjelaskan. Namun tiba-tiba sahaja lelaki itu mencengkam lengannya lalu menariknya ke tingkat atas. Dia cuba melepaskan pautan tangan Riffki, tapi tenaga lelaki itu lebih kuat. Riffki menolak Nurul Hijjaz dengan kasar ke arah sofa di tingkat atas. Nurul Hijjaz mengaduh kesakitan. Pergelangan tangannya sudah merah dicengkam lelaki itu.
“Awak ni kenapa? Dah gila ke?” Jeritan Nurul Hijjaz singgah ke pendengaran Riffki. Mendengar kata-kata itu, darah Riffki semakin mendidih. Dia mencerlung gadis itu dengan pandangan tajam.
“Oh dah pandai melawan ya?” Tengkingnya.
Untuk seketika, mata mereka saling bertatapan, penuh dengan perasaan marah. Nurul Hijjaz marah kerana sifat gila Riffki, manakala lelaki itu pula marah kerana dindingnya menjadi mangsa. “Siapa benarkan kau cat dinding tu dengan warna pink? Mana perginya dinding asal aku?” Soal Riffki geram.
“Saya dah hantar pesanan ke mesin pesanan suara dan hantar SMS. Kalau awak tak reply mesej saya, saya anggap awak bersetuju. Siapa suruh awak tak lekat di rumah? Siapa suruh awak tak jawab panggilan saya?” Nurul Hijjaz melawan. Dia geram kerana tak fasal-fasal dia ditengking di depan pekerja-pekerja Krafria. Malu dia kalau hal ini dihebohkan di pejabat nanti.
“Kau suruh pekerja-pekerja kat bawah tu cat semula dinding tu dengan warna putih. Sekejap lagi kalau aku turun, dinding tu belum bertukar warna, aku akan pecat kau dan Krafria Galeria sekali and our deal is off!” ugut Riffki.
Nurul Hijjaz merenung Riffki. Wajah lelaki itu kelihatan serius. Nurul Hijjaz mengeluh dalam hati. Kalau macam ni, bila nak siap kerja? Seorang ke utara, seorang ke selatan. Dua-dua menuju hala yang berlainan. Dia bingkas bangun. Pening kepalanya masih terasa kerana ditolak ke arah bucu sofa.
“Baiklah Encik Riffki, you’re the boss.” Nurul Hijjaz akhirnya mengalah. Dia beredar ke arah anak tangga. Belum sempat kakinya memijak anak tangga, pintu di belakangnya dihempas kuat.
Nurul Hijjaz berpaling. Pintu bilik Riffki sudah tertutup rapat. Gila! Apa salahnya dengan warna pink? Takkan goyah sifat kelakiannya pun kalau bertembung pandang dengan dinding pink, rungut Nurul Hijjaz.
“Macamana Cik Hijjaz? Marah benar nampaknya Encik Riffki,” tegur Saleh salah seorang pekerja yang diupah pihak Krafria Galeria.
“Entahlah Salleh, awak dah dengar kan? Terpaksalah kita tukar semula dengan warna putih.” Balas Nurul Hijjaz lemah. Hampir sejam juga dia menunggu Salleh dan kawan-kawannya mengecat semula dinding itu sehingga selesai.
* * * *
Agak lama Riffki berkurung dalam biliknya. Asalnya dia terlalu geram, sehingga memaksa diri menghabiskan masanya membaca di biliknya. Akhirnya dia terlena kerana kepenatan. Apabila sedar-sedar saja, jarum jam sudah masuk pukul 12 tengahari. Riffki bingkas bangun.
Dia duduk di birai katil, merenung potret wajah Nurlaila yang tersenyum. Riffki turut tersenyum, seolah membalas senyuman dari sekeping potret yang bisu itu. Seketika kemudian, ingatannya beralih kepada Nurul Hijjaz. Tiba-tiba dia merasa menyesal kerana tanpa berfikir panjang bertindak melulu memarahi gadis itu. Entah di mana dia sekarang? Tentu dah pulang ke pejabatnya sambil marah-marah. Riffki tertawa sendirian. Dia dapat membayangkan, tentu sudah berbakul-bakul gadis itu menyumpah seranahnya.
Dia segera menuruni tangga ke tingkat bawah yang kedengaran sunyi. Tentu pekerja-pekerja dari Krafria Galeria itu sudah lama pulang. Dia menuju ke arah dinding yang tadinya berwarna pink, kini sudah bertukar warna asal. Warna putih kegemarannya. Apabila dia mengalihkan pandangan, matanya terpaku menatap sejambangan besar bunga ros putih menjadi hiasan sudut.
“Kalau kita kahwin nanti, Laila nakkan pelamin Laila penuh dengan bunga ros putih. Lepas tu meja tetamu pun mesti berhias dengan ros putih juga. Tentu cantikkan Riff?” Nurlaila tak sudah-sudah berangan.
“Bilik pengantin?” Dia melirik nakal.
Nurlaila tertawa. Mata gadis itu malu-malu menatapnya. Sesaat kemudian kepalanya dianggukkan. Mereka sama-sama tertawa.
Bunyi suatu benda keras, berlaga dengan lantai mengejutkan Riffki. Serentak dia berpaling. Dia tergaman melihat sesusuk tubuh sedang nyenyak tertidur bersandarkan dinding. Riffki menghadap Nurul Hijjaz yang terkulai layu. Fail yang jatuh dikutip lalu diletakkan di tepi sudut.
Lama dia memerhatikan wajah gadis itu semasa sedang tidur. Cantik! Tanpa sedar Riffki begitu asyik menatap wajah lembut itu. Hati lelakinya bergetar. Sifat Nurul Hijjaz banyak persamaan dengan Nurlaila. Kedua-duanya periang, lincah tapi kadangkala kuat melawan. Walaupun Nurlaila lebih cantik, tapi wajah Nurul Hijjaz lebih ayu. Wajah yang penuh kelembutan. Kenapa dia masih dapat merasakan dia pernah bertemu Nurul Hijjaz sebelum ini? Di mana agaknya?
Jika tidak, kenapa dia seolah terpegun sewaktu melihat Nurul Hijjaz di hadapan bilik hotel tempohari? Gadis itu juga dilihatnya seolah terkejut melihatnya. Reaksi mereka hampir sama. Sama-sama terpaku. Tapi kenapa? Bukan dia tidak ingin bertanya gadis itu, samaada pernahkah mereka bertemu sebelum ini. Hanya dia yang tidak tahu berbual mesra dengan Nurul Hijjaz. Anehnya, dia boleh berbual apa saja dengan gadis lain. Tapi dengan Nurul Hijjaz, dia rasa mati akal.
Nurul Hijjaz tiba-tiba membalikkan tubuhnya. Riffki terpandang kesan merah pada pergelangan tangan gadis itu. Serta-merta dia rasa bersalah. Kuatkah aku memegangnya tadi? Sakitkah dia? Tiba-tiba sahaja dia rasa kasihan dengan gadis itu.
Perlahan-lahan dia mengendong tubuh Nurul Hijjaz mendaki tangga ke tingkat dua. Pintu bilik ditolak dengan kakinya. Dia membaringkan Nurul Hijjaz di katilnya, sebelum menarik selimut membaluti tubuh itu. Dia mencapai remote control lalu memasang aircond di bilik itu.
Sebelum menutup pintu, matanya masih memandang gadis itu. Riffki tersenyum. Biarlah Nurul Hijjaz tertidur lena. Pintu bilik ditutup perlahan-lahan.
* * * *
Nurul Hijjaz terjaga tiba-tiba. Terasa udara sejuk mencengkam tubuhnya. Dia memandang sekelilingnya. Matanya tersilau oleh cahaya matahari yang menerpa dari celah-celah tirai jendela. Dia meraba-raba tempat dia berbaring. Terasa empuk dan sejuk. Sejurus mata Nurul Hijjaz membulat. Dia pantas bangun.
Di mana aku ni? Kenapa tempat ni macam pernah aku tengok? Dia memandang dinding di hadapannya. Wajah seorang gadis tersenyum ke arahnya. Oh tuhan, aku masih di studio Riffki rupanya. Dia teringat kembali dia tertidur semasa menunggu Riffki terjaga. Hampir 3 jam dia menunggu lelaki itu. Akhirnya sedar tak sedar dia sudah terlena. Tapi siapa pula yang mengangkat aku ke sini? Takkan Riffki kot!
Nurul Hijjaz terpana. Dadanya berdebar-debar. Perlahan-lahan dia mengintai curi selimut yang membaluti tubuhnya. Dia menarik nafas lega. Syukur kerana pakaiannya masih lengkap. Pasti dia tak apa-apa, dia cuba menyakinkan dirinya sendiri.
“Dah bangun?” Sapa Riffki, tiba-tiba sahaja menolak daun pintu. Nurul Hijjaz terkejut. Tanpa disedarinya, tangannya pantas menarik selimut ke badannya. Riffki tercengang memerhatikan Nurul Hijjaz yang berkelakuan ganjil. Sejurus kemudian dia tertawa. Dia mula faham apa yang bermain di fikiran Nurul Hijjaz.
“Kalau dah siap keluar makan tengahari,” ujarnya lalu menutup pintu bilik semula. Tetapi Nurul Hijjaz masih terdengar-dengar sisa tawa lelaki itu.
Aduh! Nurul Hijjaz menutup mukanya. Dia rasa malu. Bodoh, kenapa reaksi kau sampai begitu sekali bila dia masuk tadi? Merah padam mukanya sewaktu duduk di hadapan Riffki. Pelahan-lahan dia melirik lelaki itu dengan ekor matanya. Riffki nampak tenang menyudu nasi goreng ke mulutnya. Apabila dilihatnya Nurul Hijjaz tidak berganjak, dia memandang gadis itu.
“Kenapa tak makan?” Soalnya lembut.
Nurul Hijjaz merenung nasi goreng di pinggangnya. Terliur memanglah terliur, lebih-lebih lagi perutnya sudah berkeroncong sedari tadi. Kalau bukan disebabkan mahu menunggu lelaki itu, sudah lama dia mengikut Salleh makan tengahari sebelum balik ke pejabatnya.
Perlahan-lahan Nurul Hijjaz mencapai sudu. Tangan kirinya memegang pergelangan tangan kanannya yang terasa ngilu akibat cengkaman Riffki. Walau terasa sakit, namun digagahinya juga menyudu nasi goreng ke mulut.
Riffki hanya memerhatikan tingkah laku Nurul Hijjaz. Dia tahu tangan Nurul Hijjaz masih sakit. Dia rasa menyesal dengan apa yang dilakukannya tadi.
“Maaf.” Sepatah kata keluar dari mulut Riffki.
Nurul Hijjaz mengangkat mukanya. Dia kurang pasti apakah benar dia mendengar lelaki itu sedang meminta maaf.
“Untuk apa?”
“Kerana berkelakuan kasar dengan kau tadi. Aku tak bermaksud begitu. Maafkan aku.” Ungkap lelaki itu.
Nurul Hijjaz terdiam sejenak. Tiada sepatah kata pun terluah dari bibirnya. Dia hanya merenung wajah Riffki dalam-dalam. Agak lama. Seketika kemudian dia tunduk merenung nasi goreng yang masih banyak berbaki.
“Tak mengapalah, saya dah biasa.” Balasnya mendatar. Riffki terkedu mendengar jawapan Nurul Hijjaz.
“Ros putih kat bawah tu, kau yang letakkan?”
Nurul Hijjaz mengangguk. “Kalau awak tak suka, saya akan buangkan nanti.” Balas Nurul Hijjaz seakan-akan menyindir lelaki itu. Dia terlihat lelaki itu tersenyum mendengar kata-katanya.
“Kau suka bunga ros putih?” Entah mengapa, dia tiba-tiba rasa ingin tahu.
Nurul Hijjaz memandangnya lama. Hairan mendengar pertanyaan itu meluncur dari bibir lelaki itu
* * * *
Nurul Hijjaz sudah sampai di hadapan rumah sewanya. Dari studio Riffki, dia ambil keputusan untuk terus pulang berehat. Sehari suntuk menyelesaikan tugas-tugas pengubahsuaian studio milik lelaki itu, membuatkan dia keletihan.
Dia menghempaskan tubuh kecilnya ke dada sofa. Matanya dipejamkan. Tengkuk yang terasa lenguh dipicit-picit dengan hujung jari. Kalau seminggu begini, dia terpaksa berulangalik dari Krafria ke studio, mesti badannya yang kecil akan bertambah susut. Kalau Riffki tidak bersikap cerewat, tentu dia tidak akan begini lelah, tingkah Nurul Hijjaz dalam hati.
Dia memandang pergelangan tangannya. Keperitan masih terasa akibat cengkaman tangan lelaki itu. Malah lebam kehitaman muncul di sekitar pergelangan tangannya. Tapi kesakitan itu kian beransur surut apabila lelaki itu meminta maaf dengannya.
Sewaktu dia hendak pulang tadi, sekali lagi lelaki itu memohon maaf. Malah Riffki mempelawa untuk menghantarnya pulang. Tapi dia cepat-cepat menolak dengan alasan mahu balik ke pejabat.
Bukan dia sengaja mahu menolak, tapi dia bimbang untuk berdua-duaan bersama lelaki itu. Riffki baru sahaja dikenalinya. Dia tidak seharusnya percayakan lelaki itu terlalu awal. Apatah lagi, dengan sikap lelaki itu yang kaki perempuan.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!