Followers

Wednesday, January 26, 2011

Blue Sunset : Bab 22

            HANYA sebentar sahaja Zahar menemani Aqi menjenguk Kamelia. Setengah jam kemudian dia meminta diri untuk menemui ayahnya. Aqi memandang sehingga kelibat Zahar menghilang. Sejurus lelaki itu berlalu perlu, Kamelia mengalihkan pandangan ke arah anak gadisnya. Gerak-geri Aqi yang asyik memerhatikan Zahar membuatkan dia tersenyum sendiri.
            “Dia budak baik sebenarnya.” Komen Kamelia perlahan. Aqi menoleh. Kata-kata ibunya ditelan dengan wajah bingung.
            “Mak sukakan dia.” Kamelia tersenyum.
            Aqi terkedu. Suka? Apa maksud ibunya?
            “Mak sukakan Zahar?” Dahinya berlapis. Cuba menyelami maksud wanita itu. Aneh!
            Kamelia ketawa kecil. Wajah Aqi yang bingung ditatap nakal. Dia tahu, tidak mungkin Aqi tidak mengerti maksud kata-katanya sebentar tadi. Bukankah kata-katanya sudah cukup jelas? Malah sejelas matanya yang melihat sendiri bagaimana cara Aqi memerhatikan Zahar.
            “Mak tahu, Aqi sukakan Zahar kan?”
            “Mak!” Aqi terjerit kecil. Terkejut mendengar kata-kata ibunya.
            Kamelia ketawa kecil. Wajah Aqi yang merona merah menjadi sasaran matanya. Dia mengerti perasaan yang bermain di lubuk hati anaknya. Tak mungkin sebagai seorang ibu, dia tidak mengerti apakah yang dirasai oleh Aqi. Anak itu sudah cukup dewasa untuk merasakan apa yang dikatakan cinta.
            “Tak salah untuk menyukainya sayang. Aqi kan sudah dewasa.” Pujuk Kamelia. Aqi memandang ibunya tidak terkata. Usikan Kamelia semakin menjadi-jadi. Wajahnya sudah tebal menahan malu.
            “Nanti Zahar dengar mak.” Ujar Aqi separuh berbisik.
            “Jadi betullah Aqi sukakan Zahar?” Kamelia membuka matanya luas-luas. Tak sangka jebakannya mengena sasaran. Dia sekadar bermain-main dengan isi hati anaknya. Tak sangka Aqi mengakuinya pula.
            Aqi semakin malu. Dengan pantas dia mencapai termos di atas meja di pinggir katil. “Err..Aqi nak ambilkan air untuk mak.” Ujarnya lalu bergegas pergi. Di luar pintu, dia tergaman melihat kelibat Zahar berdiri di luar. Darah Aqi serta-merta berderau. Ya Allah! Zahar dah dengar ke apa yang mereka bualkan sebentar tadi?
            Perlahan-lahan dia memberanikan diri memandang lelaki itu. Zahar sedang merenungnya dengan wajah serius. Aqi semakin gelisah. Raut wajah lelaki itu seakan membenarkan andaian yang berputik di fikirannya sebentar tadi. Dia mahu menjelaskannya, tapi entah kenapa, lidahnya seakan kelu untuk berkata-kata. Perasaan malunya begitu menebal. Dia langsung tidak berani memandang ke arah Zahar.
            Tiba-tiba Zahar mengambil termos air yang dipegangnya. Aqi terpinga-pinga.
            “Nanti aku isikan air ni. Kau temankan makcik.” Suruh Zahar sebelum berlalu pergi meninggalkan Aqi yang separuh bingung. Melihat Zahar semakin jauh beredar, Aqi menarik nafas panjang. Aduh malunya! Lepas ni tentu sukar dia mahu berhadapan dengan Zahar. Sudahlah mereka tinggal satu bumbung, bekerja pun satu bumbung, malah naik kereta pun bersama-sama. Macamana aku nak elakkan diri dari dia kalau begini? Aqi benar-benar buntu dibuatnya.
*  *  *  *
            Zahar tersenyum sendiri sewaktu mengisi air panas ke dalam termos plastik berwarna merah berhampiran dengan kaunter jururawat. Dia sendiri tidak tahu apa yang dirasakannya. Aneh! Nak kata gembira tidak. Nak kata marah pun tidak. Yang pasti perasaannya membuak-buak bagaikan baru menjulang piala. Kembang setaman kata orang-orang tua zaman dahulu!
            Betul ke Aqi suka kat aku? Entah kenapa dia diterpa perasaan ingin tahu. Bagaimana dia mahu mengesahkan apa yang didengarnya? Kalau Aqi memang benar-benar menyukainya, apa yang patut dia lakukan? Dia tidak boleh mengendahkan apa yang sudah diketahuinya. Atau berpura-pura tidak kisah dengan hakikat ini.
            “I nak balik. Walau macamana sekalipun, you kena datang sini dan uruskan prosedur tu untuk I. Kalau tidak I balik sendiri!” Satu suara bernada keras menjamah gegendang telinganya sekaligus mengganggu lamunannya. Dia lantas berpaling ke arah tuan empunya suara.
            Seorang wanita sedang bercakap-cakap di dalam telefon sambil membelakanginya. Suara wanita itu agak kuat sehinggakan beberapa orang yang lalu lalang di situ akan memberi perhatian padanya.
            Zahar tersenyum sendiri. Macam-macam hal! Rungutnya seraya membalikkan tubuh. Malas mahu mengambil tahu perihal orang yang tidak ada kena mengena dengannya.
            “I tahu you sibuk. But I can’t stay here honey. Please!” Suara wanita itu singgah lagi.
            Kali ini langkah Zahar terhenti. Dia meramas termos di tangannya sekuat hati. Suara itu meskipun serak sedikit, tapi nada suara itu tidak pernah berubah. Suara yang sama yang pernah menengkingnya sewaktu dia kecil dahulu.
            “Okey, I tunggu you kat sini. Tolong cepat sikit. I tak nak wartawan nampak I.” Rayu wanita itu lagi dengan orang yang berlawan bercakap dengannya di dalam telefon. Zahar perlahan-lahan membalikkan tubuhnya. Merenung kelibat tubuh yang sedang berdiri berhampiran sebuah tingkap lebar di kawasan beranda.
            Wanita itu berpaling sebaik selesai berbual. Namun sebaik dia mahu kembali ke biliknya semula, matanya berpapasan dengan Zahar yang sedang memerhatikannya. Wajah itu terkesima.
            “Zahar?”
Dia mengigit bawah bibir. Masihkah wanita itu mengecamnya?
“Zahar kan? Nadzihar?” Soal wanita itu lagi seolah menagih sebuah kepastian. Dia tidak menjawab. Wajahnya dingin merenung wanita di hadapannya. Tanpa sebarang respon. Tanpa sebarang emosi. Hanya sekadar pandangan kosong yang melata di wajah yang sudah lama tidak ditemuinya.
*  *  *  *
Jalena tidak habis-habis merenung anak muda di hadapannya. Wajah Zahar mirip Hakim bekas suaminya. Hampir dua puluh tahun dia tidak melihat anak itu, tak sangka Zahar kini membesar menjadi lelaki yang tampan. Yang memiliki separuh dari ciri-cirinya sendiri.
Sejak hampir setengah jam yang lalu, anak muda itu lebih banyak berdiam diri. Sepatah yang ditanya, sepatah jua yang dijawab oleh Zahar. Riak wajah Zahar benar-benar membuatkan dia buntu. Sudahnya Jalena hanya mampu merenung cawan kopi di hadapannya yang masih berasap. Badan cawan itu diramas dengan kedua-dua belah tangannya untuk mencari kehangatan, seterusnya menenangkan perasaannya.
“Mama tak sangka dapat jumpa Zahar kat sini.” Jalena bersuara perlahan.
Tiada reaksi.
 “Kenapa Zahar tak nak tengok mama?”
Zahar tetap berdiam diri.
“Mama tahu Zahar masih marahkan mama. Zahar bencikan mama. Tapi selama dua puluh tahun ini mama sebenarnya tak pernah lupakan Zahar. Mama tetap sayangkan Zahar. Percayalah!” Ujar Jalena.
Zahar tersenyum sinis. Sayang? Sayang yang boleh ditinggal-tinggalkan? Sayang yang boleh dibuang dan dicampak sesuka hati? Anehnya definisi sayang bagi wanita itu.
“Mama ada cari Zahar dulu. Tapi ayah Zahar tak bagi mama tengok Zahar.”
Zahar mengangkat wajah. Bibirnya diketap rapat. Geram dengan alasan wanita itu yang sengaja mahu memburuk-burukkan nama ayahnya.
“Puan tak payahlah berbohong. Tak perlu jaga hati saya kalau memang selepas ni kita takkan jumpa lagi.” Tuturnya selamba.
Jalena tersentak. Kata-kata anak muda itu membuatkan dia terkesima. Panggilan Zahar padanya membuatkan hatinya sebak.
“Zahar, mama..”
“Puan ingat saya tak tahu yang selama ini puan memang tak pernah berniat pun nak jenguk saya. Tanya keadaan saya bagaimana atau pastikan apakah saya sihat atau sebaliknya. Tak payahlah nak berpura-pura puan. Saya tahu puan siapa!” Suara Zahar sinis. Jalena merasa terpukul. Wajahnya merah padam memandang lelaki itu.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya nak pergi dulu.” Zahar bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya. Jalena terpinga-pinga.
“Zahar dah tak sayangkan mama lagi?”
Zahar menoleh. Wajah Jalena yang berharap langsung tidak melembutkan perasaannya. Malah semakin menyakitkan hatinya.
“Saya pernah sayangkan puan dulu. Tapi saya ditinggalkan orang yang pernah saya sayangi dulu. Sekarang, perasaan itu sudah tidak wujud lagi.” Sehabis menyusun bicara, Zahar segera meninggalkan ruangan kafeteria hospital itu.
Jalena terpegun. Kata-kata Zahar bagaikan selumbar yang menusuk ke hatinya. Dia enggan percaya bahawa anak itu telah pun melupakannya. Tak mungkin Zahar dah lupakan aku. Aku ibunya! Dan aku masih ibunya walau apapun yang berlaku

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!