Followers

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)
Ekslusif dan tidak dijual di kedai buku, hanya di blog dan fb penulis sahaja :untuk memesan : email arr_nita@yahoo.com/ FB : Anita Aruszi

BLURB CINTA BUKAN LARANGAN (New)

Tajuk : Cinta Bukan Larangan
Penulis : Anita Aruszi
Harga : RM32.90
Penerbit : GN Publishing
ISBN : 978-967-10425-3-3
M/s : 803ms
Genre : Cinta dan Kekeluargaan

Tagline
Cinta Ini Terlarang..
Ibarat Buah Khuldi Yang Haram Disentuh Adam…

Diaz dan Dina Azura, dua adik beradik yang membesar bersama tetapi tidak pernah sebulu. Ada sahaja yang tidak kena di hati Diaz yang terang-terangan membenci Dina Azura di dalam hidupnya. Sehingga ke satu tahap, dia cuba merogol gadis itu angkara kemarahan yang terpendam di lubuk hatinya. Namun tindakan itu telah merubah segala-galanya dalam hidup mereka. Kerana kesal dengan tindakannya, dia mengambil keputusan melarikan diri ke luar negara. Namun tindakan itu tidak mampu meluputkan setiap dosa yang dirasakannya terhadap Dina Azura.

Sepuluh tahun kemudian, Diaz pulang ke tanahair dan bekerja dengan Alma Katherine, seorang ahli perniagaan berjaya. Namun dia tidak berani berhadapan dengan Dina Azura angkara malam jahanam itu. Tapi takdir menemukan mereka semula untuk menyusun kepingan-kepingan puzzle dalam hidup mereka. Tapi masihkah ada benci di hatinya atau segala-galanya telah berubah?

Bagi Dina Azura, dia tidak pernah membenci Diaz. Malah takkan mungkin membenci lelaki itu. Sejak kecil dia mengagumi Diaz, sehinga adakala dia terseksa kerana dibenci tanpa sebab. Malah seluruh jiwanya terseksa kerana selama ini dia menyimpan rahsia yang tidak mampu diceritakan kepada sesiapa. Isi hatinya takkan mampu diluahkan lantaran dia sedar betapa besar dosanya mencintai abang sendiri.

Perkenalan Dina Azura dengan Johan telah menyemat cemburu di hati Diaz tanpa disedari. Hubungannya dengan Dina Azura adalah sebuah hubungan yang takkan mungkin. Mereka tidak mungkin bercinta. Tidak mungkin bersama sama. Tidak mungkin untuk segala-galanya. Tidak mungkin untuk selama-lamanya. Kerana itu Diaz menahan diri. Dan bila Johan hadir di antara mereka, segala-galanya yang tidak mungkin itu bukan lagi satu halangan. Diaz nekad mahu membetulkan segala-galanya. Tapi rahsia yang disimpannya selama 15 tahun itu hanya akan melukakan hati ramai orang. Bolehlah dia menjaga hati ramai orang dan membiarkan hatinya sendiri dilukai? Mampukah lagi dia menyimpan rahsia ini dari pengetahuan Dina Azura sedangkan gadis itulah yang paling mahu dilindunginya?


Abang jangan judge orang dengan hanya memandang luaran sahaja. Sekurang-kurangnya
Johan sanggup pertahankan maruah adiknya dari lelaki-lelaki tak guna tu. Dia seorang abang yang baik – DINA AZURA

Johan baik? Jadi abang lelaki jahat? – DIAZ HAFIZI

Saya cuma nak awak pilih antara saya dan Diaz. Dan berhenti menyakiti hati saya seperti ini Dina – JOHAN


Saturday, December 22, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 24

            MEREKA sedang sibuk bermesyuarat apabila seorang wanita mengetuk pintu lalu masuk ke dalam bilik mesyuarat. Filman yang sedang ralit membaca dokumen dalam fail di hadapannya sedikit terganggu. Dia menoleh ke arah ayahnya. Setiausaha ayahnya membisikkan sesuatu, dan jelas wajah lelaki itu berubah secara drastik. Sebaik melihat wajah ayahnya bertukar kelat, dahi Filman segera berkerut.
            Lelaki itu bingkas bangun lalu keluar dari bilik mesyuarat itu tanpa berkata apa-apa. Filman hanya mampu mengekori pemergian lelaki itu dengan ekor matanya. Peguam-peguam lain yang berada di situ turut tertanya-tanya sendiri.
            “Macamana ni Fil, nak meeting ke tak ni?” Daud Hasran salah seorang peguam senior di firma itu memandang ke arah Filman. Filman tidak menjawab. Dia menolak kerusi ke belakang, lalu bingkas bangun.
            Sorry semua, saya keluar sekejap.” Filman minta diri. Dia melangkah deras menuju ke bilik ayahnya. Sebaik dia sampai di hadapan bilik lelaki itu, suara tengkingan ayahnya membuatkan langkahnya berhenti mendadak. Wajah Filman kaget. Dia sempat mengerling ke arah Aina, setiausaha ayahnya yang turut memandangnya.
            “Kenapa Aina? Ayah saya tengah cakap dengan siapa tu?” Bisik Filman ingin tahu. Aina kelihatan serba salah mahu memberitahu.
            “Tengku tengah cakap dengan pejabat pendakwaraya. Kalau tak salah dengan Tuan Ismail Habib.” Beritahu Aina.
Filman tercengang. Ismail Habib? Dia seperti pernah mendengar nama itu! Tapi kenapa sampai ayahnya meninggikan suara? Perkara apakah yang membuatkan lelaki itu panas baran sehingga begitu?
            Didorong rasa ingin tahu, dia segera menghampiri pintu bilik lelaki itu seraya mendekatkan telinganya ke muka pintu. Suara ayahnya yang membentak keras sayup-sayup di telinganya. Lebih dari itu, dia gagal mendengar apa-apa.
*  *  *  *
            Damn it!” Tengku Amar menghempas gagang telefon agak kasar. Dia merebahkan dirinya ke arah sofa empuk di biliknya. Fikirannya benar-benar bungkam. Berita yang baru dibawa lelaki itu benar-benar mengejutkan. Dia tidak sangka selepas beberapa tahun, ketenangan hidupnya dirobek semula.
            “Bila dia bebas?”
            “Minggu lepas.”
            “Dan baru sekarang kau nak beritahu aku semua ini?”
            “Maafkan aku Amar, tapi hal ni di luar jangkauan aku. Lagipun kau tak ada kat sini ketika itu. Dan kau pun tahu yang aku tak boleh bincangkan hal ni dengan anak-anak kau. Lagipun aku dah beritahu kau dulu supaya bersedia dengan apa sahaja kemungkinan. Aku rasa kau patut lupakan sahaja hal ni.” Suara lelaki itu mendatar.
            Lupakan? Haruskah dia lupa setiap inci kelar yang ada di hatinya? Haruskah dia lupa setiap parut yang bernanah di hatinya sejak enam tahun yang lalu? Tidak! Selagi dia masih hidup, selagi itulah dendamnya takkan surut. Peristiwa enam tahun yang lalu tidak pernah luput walau sesaat di fikirannya. Sekuat mana pun dia sebagai manusia, tapi sebagai seorang ayah, hatinya tetap rapuh.
            Siapa tidak akan gila bila mendengar berita tentang kematian anak tersayang. Anak yang dididiknya untuk menjadi pengganti kepada legasi keluarganya suatu hari nanti. Segala harapan dan impiannya diletakkan pada anak itu, namun segalanya musnah begitu sahaja.
            Tengku Amar melontar pandangan sayu ke arah potret Firdaus yang tersenyum riang di sisinya. Gambar itu diambil ketika mereka sama-sama menyertai Boling Tournament anjuran Majlis Peguam Negara sempena Hari Wilayah lapan tahun dahulu. Gandingannya dengan Firdaus benar-benar gandingan yang teruk kerana kedua-duanya tidak pandai bermain boling. Tapi yang lebih mahal ialah hubungan antara mereka.
            Dia dan Firdaus bagaikan kawan rapat. Saling berkongsi cerita dalam apa jua  perkara. Kasihnya dia pada anak itu tidak pernah ada batas dan ruang. Segalanya terisi dengan sempurna dan mereka belajar untuk melengkapi antara satu sama lain. Semuanya indah melewati hari-hari yang mendatang. Sehinggalah pada suatu hari, kebahagiaannya dirampas. Kedatangan sepasukan pihak polis ke rumahnya pada pagi hari, membawa khabar duka yang merobek hati mereka sekeluarga.
Kenyataan yang baru singgah di telinganya diharapkan satu pembohongan. Berulangkali dia mentafsir kata-kata pegawai polis itu sebagai satu cerita dongeng. Kisah yang tidak benar. Mana mungkin Firdausnya sudah mati! Tak mungkin Firdausnya yang pintar mati dibunuh! Tak mungkin anak kesayangannya tidak ada lagi di dunia ini.
            Please..beritahu saya siapa yang bunuh anak saya? Saya mahu tahu siapa pelakunya.” Dia mendesak pegawai polis itu. Suaranya meninggi tanpa disedari. Kedua-dua pegawai polis itu saling bertatapan antara satu sama lain. Salah seorangnya memegang bahunya.
            “Tengku, kami dah tangkap suspek utama. Dia ada di balai sekarang ni. Pegawai-pegawai kami masih di lokasi kejadian untuk mencari bukti sabitan. Saya harap Tengku boleh bersabar. Buat masa ini kami perlukan kerjasama Tengku untuk mengecam mayat Tengku Firdaus.”
            Tengku Amar memejamkan matanya. Kelopak matanya bertaut rapat. Kenangan lama yang cuba diluputkan dari fikiran, kembali satu persatu. Bagaikan baru semalam keluarganya dikunjungi anggota-anggota polis dari Bukit Aman itu. Dan bagaikan baru semalam juga dia membuat pengecaman mayat Firdaus yang robek di bahagian dada  dengan kesan kelar sepanjang sepuluh sentimeter.
*  *  *  *
            Dia meneguk minuman sejuk yang baru dikeluarkan oleh pembantu rumahnya tadi. Malam-malam begini, dia memang suka bersantai di kerusi rehat di laman rumah. Kadang-kala dia membaca di pondok kecil di tepi kolam yang diterangi lampu kalimantan yang dipasang di situ. Pondok itu sengaja dibina oleh ayahnya khas untuk mereka adik beradik mengulangkaji pelajaran di situ.
Dahulu pondok itu pernah menjadi tempat permainan dia dan adik beradiknya sewaktu mereka semua masih kecil. Setelah masing-masing menginjak usia dewasa, masa yang ada pula agak terbatas, pondok yang dibina dari kayu cengal itu sudah semakin dilupakan. Dan pada awal-awal tahun kematian abangnya, tidak pernah ada sesiapa lagi suka menghabiskan masa di situ termasuklah ayahnya sendiri. Seolah-olah ada semacam kenangan lama tertinggal di situ. Dan tidak ada sesiapa lagi yang mahu mengungkit kenangan lama itu!
            Satu sentuhan lembut tiba-tiba singgah di bahunya. Filman berpaling. Melihat wajah ibunya, dia segera melemparkan senyuman buat wanita itu.
            “Jauh menungnya anak ma ni. Ingatkan siapa?” Tegur Tengku Saida. Suaranya lembut dan menyenangkan.
            “Saja ambil angin kat luar ni ma.” Jawab Filman.
            “Kenapa? Kat dalam rumah dah tak cukup angin ke sampai nak ambil angin kat luar ni pulak?” Suara Tengku Saida cukup bersahaja, namun berupaya mencetuskan hilai tawa Filman.
            “Ma ni kalau nak bergurau pun tengok-tengoklah sikit. Fil kan baru lepas makan malam ni.” Dia tergelak kecil sambil memegang perutnya. Tengku Saida turut tertawa.
            “Ayah mana ma?” Tiba-tiba Filman teringatkan lelaki itu. Sejak ayahnya  tergesa-gesa meninggalkan bilik mesyuarat, dia tidak nampak lagi kelibat lelaki itu di pejabat. Sewaktu makan malam tadi, lelaki itu juga tidak keluar-keluar dari bilik kerjanya biarpun berulangkali ibunya memanggil.
             Ada kat bilik agaknya.” Jawab Tengku Saida acuh tak acuh.
            “Ayah belum makan malam?”
            “Ma dah hantar makanan kat bilik tadi. Kalau dia lapar, pandai-pandailah dia makan sendiri.” Tingkah wanita itu.
Filman terdiam. Dia melirik wanita di hadapannya. Entah patutkah dia bertanya ibunya perihal ayahnya yang menunjukkan reaksi aneh siang tadi?
            “Ma, Fil nak tanya sesuatu ni. Ma jangan marah ya. Ayah tu ada masalah apa  sebenarnya?” Tanya Filman ingin tahu. Mata Tengku Saida membulat ke wajah anaknya. Kata-kata Filman menimbulkan kehairanan.
            “Maksud Fil?”
            Filman menghela nafas panjang sebelum menyambung. “Kat pejabat tadi, ayah nampak lain sangat. Fil perasan semua tu bila peguam Ismail Habib telefon ayah di pejabat. Ma tahu apa-apa fasal ini?” Filman bertanya ibunya.
Tengku Saida termenung panjang. Nama Ismail Habib yang baharu sahaja disebut Filman, membuatkan fikirannya melayang.
 “Siapa sebenarnya Ismail Habib tu ma?” Soal Filman ingin tahu.
“Err dia kawan ayah kalau ma tak salah.” Jawab Tengku Saida dengan nada hambar. Dia tahu Filman tidak pernah mengenali lelaki itu selama ini. Malah dia dan suaminya sentiasa mengelak dari memperkenalkan anak-anak mereka dengan lelaki itu.
“Pelik juga. Ayah nampak marah-marah waktu berbual dengan Ismail Habib melalui telefon siang tadi.” Keluh Filman hairan.
Tengku Saida hampir tidak tahu memberi reaksi pada kata-kata anaknya itu. Dahinya berkerut mendengar kata-kata Filman kali ini.
            “Betul ma tak tahu apa-apa?” Filman sekali lagi bertanya.
            Tengku Saida pantas menggelengkan kepala. Dia tidak mahu berfikir panjang sekaligus membangkitkan rasa ingin tahu Filman.   
“Fil ingatkan ma tahu.” Suara Filman berbaur kecewa.
Tengku Saida memerhatikan wajah anaknya dengan perasaan bersalah. Kasihan Filman! Langsung tak tahu apa-apa. Semua ini keinginan suaminya agar setiap hal yang membabitkan Firdaus dirahsiakan dari anak-anak mereka yang lain.
            “Dahlah tu, ma rasa ayah tu tengah susah hati fikir fasal kerja. Fil jangan fikir banyak sangat.” Pujuk Tengku Saida. Filman tidak meningkah kata-kata ibunya. Gelas minuman yang masih berbaki diteguknya sehingga habis.
            “Macamana dengan persiapan hari jadi Melly? Jadi Fil nak buat sambutannya di taska Puan Kamila tu?” Tengku Saida sengaja mengalihkan topik. Dia tidak mahu mereka berdua terus-menerus membicarakan perihal suaminya.
            “Ma bercadang nak sambung hari ulangtahun Melly kat rumah ni. Kita buat kenduri doa selamat cukuplah. Panggil saudara mara kita makan.” Sambung Tengku Saida lagi. Filman sekadar tersenyum.
            “Melly yang nak sambut harijadinya dengan kawan-kawan dia di taska tu. Lagipun tahun depan dia dah nak masuk sekolah. Biarlah dia bergembira dengan kawan-kawan dia kat sana ma. Tapi kalau ma nak buat, kita buat aje sambutan di rumah sebelah malam. Dia mesti suka.” Usul Filman.
            “Fil tak nak panggil Wirda datang sekali?” Tengku Saida mengerling wajah anaknya. Filman tidak memberikan sebarang reaksi.
            “Nantilah ma, Fil fikirkan.” Sahut Filman lemah. Dia bukan sengaja mahu menghalang Wirda bertemu Melia. Wanita itu lebih dari berhak bertemu anaknya sendiri. Hanya dia yang sengaja mengelakkan diri. Bimbang hatinya terpukul semula sebaik teringatkan bagaimana Wirda meninggalkan mereka suatu ketika dahulu.
            “Fil masih sayangkan Wirda?” Tengku Saida sengaja mahu menguji.
            Filman diam. Sayangkah lagi aku padanya?
            “Kalau tak sayang, masakan sampai sekarang Fil masih tidak mahu mencari pengganti Wirda. Dah lima tahun Fil hidup membujang. Ma rasa dah tiba masa Fil cari pengganti Wirda. Kalau susah sangat, biar ma yang tolong carikan gadis yang cantik-cantik untuk Fil.” Ujar Tengku Saida.
            Filman tetap membisu. Kata-kata ibunya ditelan dengan perasaan gusar. Dia benar-benar tidak tahu apakah bentuk perasaannya terhadap Wirda kini. Masihkah aku sayang dan cinta padanya seperti sewaktu kami sama-sama masih remaja dulu? Kalau dulu, jawapan itu akan lebih mudah dijawab biarpun ketika itu Wirda lebih rapat dengan Firdaus berbanding dirinya. Sekarang semuanya sudah berbeza.
            Suatu ketika dahulu, hubungan mereka cukup akrab. Wirda yang sebaya dengannya sering menghabiskan masa di rumahnya setiap kali cuti sekolah. Ketika itu Wirda berusia belasan tahun dan dihantar belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Setiap kali cuti hujung minggu, gadis itu akan pulang ke rumahnya menghabiskan masa. Lagipun itu adalah permintaan Tengku Hussain yang kebetulan merupakan sepupu ayahnya sendiri. Tengku Hussain merupakan seorang arkitek terkenal yang kini menetap di Australia sebaik berkahwin dengan wanita dari Australia bernama Gweneth, ibu tiri Wirda.
            Kedegilan Wirda untuk tidak mahu mengikuti ayah dan ibu tirinya membuatkan Tengku Hussain terpaksa bermanis muka meminta keluarga Tengku Amar mengawasi anaknya di sini. Dan bermulalah kehidupan gadis itu di rumahnya, di sisinya.
            Kali pertama dia menatap wajah Wirda, hatinya sudah terpaut. Tapi ketika itu dia adalah anak muda yang lebih suka memendam perasaan. Lantaran itu, Wirda lebih rapat dengan Firdaus yang peramah berbanding dirinya.
            Sejak kecil, Firdaus melebihinya dari segenap segi. Abangnya itu merupakan anak emas ayahnya dan sering cemerlang di dalam pelajaran. Dan kerana karisma yang ada pada abangnya itulah yang membuatkan Wirda lebih berminat dengan Firdaus berbanding dirinya. Kecewa dengan perhubungan antara kedua-duanya, maka dia bersetuju menyambung pelajaran ke luar negara dan mendalami ilmu guaman yang ditetapkan oleh ayahnya sejak azali.
            Berita akhir yang sampai ke telinganya, Firdaus dan Wirda sudah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan hujung tahun itu. Dia pula belajar merawat sekeping hati yang terluka.
            Sehinggalah pada suatu hari, berita yang amat mengejutkan itu sampai. Hancur luluh hatinya membaca telegram yang ibunya kirimkan. Berita kematian Firdaus adalah berita duka yang menyiat-yiat tangkai hatinya. Malah ketika itu dia menyimpan perasaan marah pada ayah dan ibunya sendiri kerana dia diberitahu hanya selepas dua minggu kematian Firdaus. Dia ingin pulang ke tanahair namun dihalang keras oleh ayahnya sendiri. Maka diamlah dia di bumi UK dengan perasaan marah yang membuak-buak.
Selepas menghabiskan peperiksaan semester akhirnya, dia masih belum mengemaskan barang-barangnya untuk pulang. Hatinya ketika itu benar-benar merajuk panjang dengan ayahnya. Kalau bukan kerana panggilan telefon dari ibunya menyusul, tak mungkin dia akan pulang ke Kuala Lumpur ketika itu. Dan satu-satunya sebab kenapa dia pulang adalah kerana Wirda.
            Selepas kematian Firdaus, Wirda menjadi pemurung. Dia tahu cinta Wirda pada Firdaus tidak pernah surut. Dia juga tahu kekecewaan yang bersarang di hati Wirda, adalah sebesar kekecewaannya kerana gagal meniup perasaan cinta Wirda di hatinya suatu ketika dahulu.
            Mungkin aku yang salah! Bisik hati kecil Filman secara tiba-tiba. Kekesalannya bercambah dan berakar umbi. Dia tahu hati dan cinta Wirda hanya untuk Firdaus. Namun kerana cintanya yang mendalam, dia seakan tidak ambil peduli lalu melamar Wirda menjadi surinya sebagai ganti Firdaus. Ketika itu dia yakin, dia akan mampu membahagiakan Wirda seperti mana Firdaus. Baginya, kasih dan cintanya juga tidak kurang hebat berbanding abangnya sendiri.
            Tapi ternyata dia gagal membahagiakan Wirda meskipun selepas kelahiran Melia Alina. Walaupun Wirda tidak pernah mahu berterus-terang dengannya, namun dia tahu, pemergian Wirda dari hidupnya adalah kerana Firdaus. Dan cintanya sekali lagi kalah pada Firdaus, meskipun dia bersaing dengan seseorang yang sudah lama mati!

2 comments:

Anonymous said...

nakkkkkkkk laaaagiiiiiiiiiiiii

HaTikU MiLik DiA said...
This comment has been removed by the author.

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!