Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 2

Keretanya menderum laju memasuki kawasan parking bangunan di Wisma Mutiara Global. Setelah meletakkan kereta, dia terus menaiki lift khas menuju ke tingkat 11. Sebaik pintu lift terbuka, bunyi riuh rendah menarik perhatiannya.
“Please encik, saya nak jumpa Mr. Danny. Sekejap saja, tolonglah.” Rayu seorang gadis berhadapan dengan pengawal berbadan besar di hadapan pintu masuk.
“Maaf, cik tak buat appointment jadi kami tak boleh benarkan cik masuk. Ini arahan dari orang atasan.”
“Saya dah telefon banyak kali, Mr. Danny asyik tak ada. Tolonglah, encik benarkanlah saya masuk jumpa dia. Sekejap saja.”
“Tak boleh, saya dah cakap tak boleh. Baik cik balik dulu buat temujanji.” Ujar pengawal itu tegas.
Gadis itu terdiam akhirnya. Dia hanya memerhatikan pengawal berbadan besar itu menutup pintu utama di hadapannya. Wajahnya muram merenung fail di tangannya. Tanpa disedari, gerak-gerinya diintip sepasang mata.
Daniel memerhatikan gadis itu dengan penuh minat. Orangnya bertubuh kecil dengan rambut panjang diikat satu. Wajahnya tidak jelas kelihatan kerana membelakanginya. Namun yang tertumpu di kepalanya ialah apa mahunya gadis itu?
Daniel melangkah perlahan-lahan menghampiri gadis yang berdiri di tepi pintu masuk ruang pentadbiran itu. Lama dia berdiri di hadapan gadis itu, namun gadis itu seakan tidak menyedarinya. Wajah itu asyik tunduk merenung kertas-kertas dari fail yang dibawanya.
“Ehem…” Dia berdehem agak kuat. Serentak fail di tangan gadis itu jatuh di kakinya. Kertas-kertas yang dipegang gadis itu, bertaburan tercampak ke lantai. Si gadis tergaman seraya segera tunduk mengutip kertas-kertasnya yang bertaburan. Daniel tersengih. Amboi, baru kena sergah sikit, dah berterabur semua kertas tu. Kalau aku jerkah, mesti dia menangis kat situ jugak, bisik hati kecil Daniel. Nakal!
Pengawal yang tiba-tiba keluar, terkejut melihat kehadiran Daniel di situ. Dia mahu menegur, namun Daniel mengisyaratkan agar lelaki itu tidak bersuara.
Melihat gadis itu agak kalut mengutip kertas-kertasnya, Daniel tunduk di hadapan gadis itu. Dia mencapai sekeping kertas yang hampir di kakinya, lalu dibaca. Melihatkan tingkah laku Daniel, gadis itu segera merampas kertas di tangan Daniel. Wajahnya di dongakkan merenung Daniel, agak tajam.
“Jangan biasakan diri membaca sesuatu yang bukan milik awak,” ucapnya dengan nada meninggi.
Daniel terpaku. Matanya begitu hampir di wajah itu. Dan entah mengapa, sepasang mata bening yang cukup indah di matanya, seolah merantainya untuk terus merenung. Dan dia bagaikan kehilangan kata-kata
“Encik....“ Gadis itu memanggilnya agak kuat. Daniel yang seakan tersedar memandangnya.
“Do you mind?“ Mata gadis itu mencerun ke arah kasutnya. Daniel yang kehairanan turut mengalihkan pandangan. Sehelai kertas putih masih terlekat di bawah tapak kasutnya.
“Oppss sorry, tak sengaja.“ Pantas dia mengalihkan kakinya. Namun tapak kasutnya jelas bertanda di kertas putih itu. Dia terdengar keluhan kecil dari mulut si gadis.
“Maaf, saya tak sengaja. Boleh saya tahu saudari ni siapa?” Soalnya lembut.
“Awak kerja di sini?” Tanya gadis itu tanpa menjawab pertanyaan Daniel.
“Ya, kenapa?”
Gadis itu tidak terus bersuara. Hanya dengusan nafasnya sahaja yang kedengaran. Daniel menunggu-nunggu jika gadis itu mahu berkata sesuatu, tapi mulut kecil nipis itu hanya diam sahaja. Selesai menyusun kertas-kertasnya, dia bingkas bangun. Pandangannya tumpah seketika pada Daniel, sebelum mula menyusun langkah menuju ke pintu lift yang baru terbuka. Sebelum sempat gadis itu melangkah masuk, Daniel mendahului menghalang.
Terpinga-pinga gadis itu memandangnya sebelum melihat pintu lift tertutup rapat. Dia acuh tak acuh, pura-pura tidak memandang sedangkan matanya galak melirik dari ekor mata. Sesekali dia tidak dapat menahan dirinya dari tersenyum melihat wajah gadis itu yang masam mencuka.
“Lepas ni nak ke mana?” Selamba dia bertanya tanpa memandang si gadis.
“Balik pejabat.” Ringkas gadis itu menjawab.
“Penting sangat ke nak jumpa bos syarikat tu?”
“Dah tak guna, semua orang kaya sama saja. Pentingkan diri sendiri,” gadis itu merungut. Daniel tergaman mendengar kata-kata itu. Siapa yang dia maksudkan? Akukah?
“Kalau awak mahu saya boleh tolong bawakan.” Dia mempelawa.
“Macamana?” Pantas gadis bertanya. “Awak tahu macamana caranya nak jumpa Mr. Danny.” Gadis itu bersuara agak lembut, tidak seperti tadi marah-marah apabila bercakap dengannya. Daniel tersenyum.
“Siapa nama awak?”
“Hijjaz. Nurul Hijjaz.”
“Hijjaz? Hmm…cantik nama tu.”
“Daniel.” Lelaki itu bersuara.
Nurul Hijjaz angkat muka.”Apa?”
Daniel tersenyum. “Nama saya Daniel. Daniel Iqbal. Awak tak bertanya, jadi biarlah saya memberitahu.”
* * * *
Dia agak ragu-ragu mengekori Daniel masuk ke pejabat Mutiara Global. Anehnya kali ini dia tidak pula dihalang oleh pengawal bertubuh besar itu. Sepanjang melalui meja-meja kakitangan pejabat, dia merasa seperti ditikam dengan puluhan mata yang memandang.
“Tunggu…” Tanpa sedar, tangannya memaut lengan Daniel. Langkah lelaki itu terhenti. Matanya tertumpu pada jejari halus runcing yang melekat di lengannya. Menyedari dia tersalah, Nurul Hijjaz melepaskan tangannya. Entah mengapa dia terasa malu tiba-tiba.
“Kenapa?” Wajah Daniel kelihatan serius menatapnya.
“Kenapa semua orang tengok kita? Saya tak selesalah.”
Daniel tertawa kecil mendengar kata-kata Nurul Hijjaz. Hai macam-macam dia ni. Tengok salah, tak tengok pun salah!
“Mungkin sebab awak cantik tak? Atau mungkin saya yang terlebih handsome hari ni.” Usik Daniel nakal. Merah padam wajah Nurul Hijjaz mendengar kata-kata lelaki itu. Namun sedikit sebanyak, hatinya terusik jua dengan sikap lelaki itu. Siapa dia agaknya? Tentu bukan pekerja biasa, kerana dia nampaknya arif dengan ruang pejabat di situ.
Sampainya di hadapan pintu bilik Pengurus Besar, langkah Nurul Hijjaz terhenti. Dia melihat Daniel selamba sahaja masuk tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Kotnya ditanggalkan sebelum menyangkutnya pada kepala sofa. Dia membuka tirai jendela di belakangnya sebelum berpaling. Nurul Hijjaz dilihatnya tercegat macam tunggul kayu.
“Masuklah, kenapa tunggu di luar?” Suruh Daniel.
Nurul Hijjaz melangkah masuk dengan perasaan ragu-ragu. Tapi dalam hati, dia berasa gementar. Dia yakin dia ada membaca nama di luar pintu bilik itu. Daniel Iqbal Dato’ Amiruddin, Pengurus Besar Mutiara Global.
Kata bosnya, dia harus menemui Pengurus Besar Mutiara Global, Mr Danny. Mungkinkah Danny yang dimaksudkan itu singkatan bagi Daniel?
“Kenapa tak cakap awal-awal yang awak ni…” Nurul Hijjaz tak mampu meneruskan kata-kata.
“Kenapa awak tak tanya?” Daniel tersenyum. Dia suka melihat Nurul Hijjaz kelihatan serba salah.
“Saya…err…saya..” Tergagap-gagap Nurul Hijjaz hendak bersuara. Daniel hanya tersengih. Dia mengerti gadis itu cemas berhadapan dengannya.
“Duduklah. Nak minum apa-apa?”
Nurul Hijjaz menggeleng.
“Boleh saya tahu apa tujuan Cik Hijjaz ke mari?”
Nurul Hijjaz mengerutkan dahi. Perlahan-lahan dia membuka begnya lalu mengeluarkan sebuah fail. Fail itu dihulurkan ke arah Daniel.
“Saya wakil dari Krafria Galeria, sebuah syarikat hiasan dalaman. Kami dapat tahu syarikat Encik Daniel sedang mengusahakan sebuah hotel baru berkonsepkan Bali dan Medan di Cameron Highlands. Jadi kami nak menawarkan pada encik, perkhidmatan kami dalam membekalkan perabot-perabot dan barang-barang hiasan antik dari Bali. Kami dapat maklumat, Mutiara Global ada sedikit kesukaran dalam mendapatkan barang-barang ini, khususnya dari Bali sendiri kerana beberapa masalah teknikal. Jadi kami nak menawarkan diri sebagai pembekal utama Mutiara Global dalam hiasan dalaman hotel itu.” Jelas Nurul Hijjaz panjang lebar.
Nurul Hijjaz memandang lelaki di hadapannya. Mata Daniel menikam tepat ke wajahnya. Nurul Hijjaz sedikit ragu-ragu. Fahamkah lelaki itu dengan penjelasannya? Kalau faham, kenapa dia direnung sampai berkerut wajah lelaki itu?
“Encik Daniel ada apa-apa kemusykilan?” Nurul Hijjaz teragak-agak bertanya. Resah dadanya masih berombak besar.
“Memang kami ada beberapa masalah, termasuklah dengan pihak imigresen sendiri. Tapi mana cik Nurul Hijjaz tahu semua maklumat tu?” Daniel tersengih. Sengaja dia memanggil Nurul Hijjaz dengan nama penuh kerana gadis itu memanggilnya ‘Encik Daniel’. Hilang segala panggilan awak-saya dengan sekelip mata.
“Bukan susah nak tahu, lagipun Syarikat Mutiara Global cukup dikenali dalam bidang perhotelan. Oh ya dalam fail tu ada contoh rekaan barang-barang hiasan dari Bali.”
“Selalu ke Bali ke?”
Nurul Hijjaz terdiam sebelum mengangguk. “Apa pendapat Encik Daniel tentang tawaran pihak kami?” Tanyanya. Soalan Daniel terbiar sepi tidak dijawab.
“Ok macam nilah, tinggalkan fail ni dulu dengan saya. Saya akan pertimbangkan kertas cadangan ni terlebih dahulu. Setuju?”
Wajah Nurul Hijjaz ceria sebaik mendengar kata-kata Daniel. Hilang rasa penatnya selepas sehari suntuk menunggu di pejabat itu. Dia mencapai begnya lalu terus bangun dari tempat duduk.
“Thanks a lot, Encik Daniel.” Tangannya dihulurkan. Lelaki itu turut bingkas bangun. Tangan Nurul Hijjaz disambut.
“Lain kali jangan lupa buat appointment dulu kalau nak jumpa saya. Jumpa lagi Nurul Hijjaz,” ucapnya.
Nurul Hijjaz tersenyum. Dia beredar ke muka pintu. Tapi sebelum keluar, Nurul Hjjaz tiba-tiba berpaling.“Oh ya Encik Daniel, I think Daniel Iqbal is much more better than Danny.”
Daniel tergelak kecil. Lama dia memerhatikan kelibat Nurul Hijjaz yang semakin menghilang. Matanya kembali memandang kandungan fail di tangannya. Nama Nurul Hijjaz Abdullah yang tertera di kad kecil berwarna putih biru itu, membuatkan dia tersenyum sendiri.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!