Followers

Tuesday, January 26, 2010

Tiada Sepertimu 10

“KUNCI kereta Cik Zara ada dengan Keifli.” Beritahu Herman apabila gadis itu datang bertemunya hari itu. Zara terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Darah panasnya mula menyerbu naik ke muka.
“Tapi kelmarin dia minta saya datang ambil kunci kereta saya dengan Encik Herman.”

“Memang betul, tapi kelmarin saya tak ada. Saya terpaksa ke Johor, jadi Jim suruh Keifli datang ambil kereta Cik Zara di workshop dia. Kalau tak salah, Keifli bawa kereta Cik Zara ke restoran dia.” Jelas lelaki itu.

Zara mengangguk, meskipun hatinya terasa berang kerana lelaki itu langsung tidak memberitahunya apa-apa pun. Kalau aku tahu begini, takdenya aku bersusah payah menyerbu ke mari awal-awal pagi!Keluh Zara sedikit hampa.

Zara menahan sebuah teksi lalu terus menuju ke restoran De’Raya yang terletak di Jalan Indah. Lima belas minit kemudian, dia sudah sampai di hadapan restoran itu.

“Encik Keifli ada kat bilik atas. Dia ada tetamu penting. Kalau cik nak jumpa dia, cik kena tunggu dia sekejap.” Ujar gadis bertocang dua itu apabila ditanya tentang Keifli.

Zara terdiam. Dia memandang ke tingkat teratas restoran itu. Memang dia tidak pernah sampai ke tingkat teratas restoran itu. Namun terselit juga rasa kagum dia pada Keifli yang mampu membuka restoran sebesar De’Raya.

Zara hendak terus bertanya, namun kelibat gadis pelayan itu sudah pun beredar. Dia mengeluh Entah di mana lelaki itu sebenarnya? Dia hanya mahu mengambil kunci keretanya semula. Itu saja! Susah dia hendak bergerak melakukan kerja jika tiada kereta. Seperti orang patah kaki dia ke hendak sana ke mari. Itupun nasib baik pagi tadi, ibunya sudi menghantarnya ke Fitness Club.

Kerana agak lama menunggu, Zara mula dihimpit kebosanan. Kesabarannya memang tidak pernah bertahan sehingga satu jam. Dia segera mendaki tangga ke tingkat atas yang tidak pernah dijejakinya selama ini. Lagipun ini kali ketiga dia mengunjungi restoran lelaki itu. Masih banyak ruang-ruang di restoran itu yang belum dikitarinya.

Sampainya dia di tingkat atas, Zara hampir terpegun melihat susunan dan dekorasi di tingkat atas yang nampak lebih elegan. Barangkali ruang ini digunakan untuk tetamu-tetamu yang perlukan privacy agaknya, bisik hati kecilnya.

Di beberapa penjuru terdapat beberapa buah pasu besar berukir cantik yang dijadikan hiasan. Dia memandang di sekeliling ruang itu. Tidak terdapat ramai orang yang menempah meja makan di situ ketika ini. Mungkin masih awal agaknya!

Zara mencari-cari kelibat Keifli. Seketika bebola matanya tertancap pada suatu wajah yang tidak asing, sedang berbual-bual dengan seorang wanita yang membelakanginya. Dia melihat lelaki itu tak henti-henti ketawa apabila berbual, bagaikan ada sesuatu yang melucukan sedang diperkatakannya.

Tiba-tiba sahaja Zara diterpa rasa cemburu. Siapa wanita itu? Kekasihnyakah? Jika tidak kenapa dia nampak begitu asyik mendengar wanita itu bercerita. Ah pedulikan siapa wanita itu! Yang aku sibuk-sibuk ni kenapa pulak? Bukankah lelaki itu tidak membawa sebarang erti pada aku? Yang aku perlukan sekarang hanyalah kunci kereta supaya senang aku balik ke pejabat selepas ni, bisiknya.

Dia nekad mahu mendapatkan Keifli, namun tiba-tiba sahaja langkahnya terhenti. Bebola matanya terperosok pada kelibat wanita yang bersama lelaki itu. Entah kenapa hatinya terus tertarik untuk memandang. Ternyata gerak geri wanita itu menarik perhatiannya. Tiba-tiba wanita itu berpaling. Mulut Zara serta-merta terlopong. Hampir saja dia mahu pitam melihat wanita itu bersama Keifli.

Rubiah turut tergaman apabila melihat sesusuk tubuh sedang tercegat tidak jauh dari situ. Serentak bibir Rubiah mengukir senyuman. Tangannya dilambaikan memanggil-manggil si anak yang kelihatan kaku.

Keifli turut menoleh. Wajah lelaki itu berubah sebaik melihatnya di situ.

Melihat kedua-duanya memandang ke arahnya, Zara tiada pilihan lain. Dia segera melangkah menghampiri kedua-duanya dengan wajah sebal.

“Zara buat apa kat sini?” Soal Rubiah hairan. Zara diam sahaja. Dia memandang Keifli. Lelaki itu turut menatapnya.

“Kif, inilah anak I, Zara. The one and only.” Ujar Rubiah seraya tertawa. Keifli hanya tersenyum apabila melihat raut wajah Zara mula berubah. Dia sendiri tidak menyangka Zara anak kepada wanita itu. Kecilnya dunia ini!

“Zara, ini Keifli kawan mama. Semalam mama lambat sebab keluar makan dengan dia nilah,” jelas Rubiah. Zara tersentak. Dia memandang ibunya tidak berkelip. Jadi semalam, ibunya bersama Keiflikah? Tiba-tiba sahaja dia rasa tidak senang dengan penjelasan wanita itu.

“Zara duduklah sini, nak makan apa-apa?” Tanya Rubiah seraya menarik tangan anak gadis itu ke sampingnya. Zara menarik kerusi di hadapan Keifli seraya duduk. Namun dia tidak berkata apa-apa.

“Kenapa diam ni, mama tanya Zara nak makan atau minum apa-apa tak?” Rubiah mengulang soalannya apabila dilihatnya Zara tidak banyak cakap.

“Minum saja cukuplah mama,” balasnya lemah. Keifli seraya mengangkat tangannya ke arah seorang pelayan. Dia memandang ke arah gadis itu.

“Cik Zara nak minum apa?”

“Watermelon.” Jawab gadis itu. Pelayan itu mengangguk lalu beredar.

Sejurus kemudian, dia hanya menjadi pendengar saat ibunya rancak bercerita dengan Keifli. Lelaki itu nampak ralit mendengar cerita ibunya. Sesekali Keifli ketawa besar mendengar kisah lucu ibunya semasa di Jakarta baru-baru ini. Hati Zara semakin membahang!

Dalam diam-diam Keifli melirik raut wajah Zara yang mencuka. Ada pertanyaan singgah di penjuru hati untuk gadis itu. Apa mahunya dia di sini sebenarnya? Ingin mengambil kunci keretanya barangkali!

“Zara, mama nak ke restroom sekejap. Zara berbuallah dulu dengan Keifli, nanti mama datang balik,” ujar Rubiah seraya bergegas pergi.

Sepeninggalan Rubiah, mata kedua-duanya terus bertaut.

“Aku datang nak ambil kunci kereta.” Ujar Zara perlahan.

“Aku tahu. Kunci tu ada kat pejabat aku. Kereta kau pulak aku parkingkan kat sebelah kereta aku.” Balas Keifli sambil menghirup minumannya. Gerak laku Keifli kelihatan santai.

“Macamana kau kenal mama aku?” Soal Zara. Entah mengapa, dia benar-benar ingin tahu sejauh mana lelaki itu kenal dengan ibunya.

“Kenapa? Salahkah?” Dahi Keifli berkerut seribu.

“Aku cuma nak tahu bagaimana dan di mana?”

“Pertanyaan kau tu seperti mengundang rasa curiga. Apa kau takut mama kau ditipu lelaki macam aku?”

“Bergantung pada niat kau mendekatinya,” balas Zara berani.

Keifli ketawa kecil mendengar kata-kata itu. Wajah Zara direnung agak lama. “Kalau kau nak tahu sangat apa niat aku, mengapa tidak kau tanyakan saja soalan ni pada mama kau? Aku rasa dia lebih sesuai menjawabnya dari aku.”

“Apa maksud kau?” Wajah Zara merah padam. Hatinya berdebar-debar.

“Please jangan cakap dengan aku yang kau dengan mama aku ada apa-apa hubungan.” Suaranya meninggi tanpa sedar.

“Kalau ya pun kenapa? Mama kau bukannya budak-budak lagi yang boleh dikawal dengan siapa dia mahu berkawan.” Balas Keifli selamba. Wajah yang masam mencuka itu semakin seronok dipandang. Dia semakin terhibur kerana berjaya memperolok-olokkan Zara begitu.

“Jadi betullah kau nak pikat dia?”

“Apa salahnya? Mama kau wanita yang paling cantik pernah aku jumpa. Soal usia hanya satu angka biasa.” Keifli tersenyum. Telinga Zara sudah berdesing mendengar kata-kata yang tidak masuk akal itu. Dia mencerlung tajam memandang Keifli yang acuh tak acuh.

“Look Encik Keifli, aku tak peduli apa kau dengan kawan-kawan kau buat di luar. Tapi jangan sesekali kau berani main-mainkan mama aku. Dia bukannya macam Datin Kamisah yang kawan kau Jaherry usung ke sana ke mari. Ibu aku wanita baik-baik.” Tegas Zara.

Wajah Keifli segera berubah. Dia memandang gadis itu dengan wajah serius. Tidak ada kata-kata terungkap di bibirnya ketika itu. Secepat kilat dia bingkas bangun dari duduknya. Wajahnya menantang ke arah Zara dengan pandangan keruh.

“Aku tunggu kau kat pejabat aku, kalau-kalau kau nak ambil kunci kereta kau.” Ujarnya lalu beredar.

Zara terpinga-pinga menggigit bibir. Matanya mengintai langkah Keifli menuruni tangga di suatu sudut dengan perasaan keliru. Kenapa dengan dia? Aku salah cakapkah?

“Eh mana Keifli, Zara?” Tanya Rubiah sebaik kembali dari restroom. Dia memandang gadis itu bagaikan meminta penjelasan.

“Dia ada hal kat pejabat dia. Err mama, Zara lupa yang Zara ada hal lain lepas ni. Zara pergi dulu ya,” ujar Zara lalu terburu-buru beredar dari situ. Rubiah tercengang apabila dirinya ditinggalkan bersendirian begitu.

“Mana pejabat Encik Keifli?” tanya Zara pada seorang pelayan lelaki yang kebetulan lalu di hadapannya.

“Kat sebelah sana,” tunjuk lelaki itu. Tanpa membuang masa, langkahnya segera disusun ke suatu arah. Namun belum jauh dia melangkah, pelayan itu memanggilnya semula. Dia menoleh.

“Tapi cik, Encik Keifli baru aje keluar tadi. Baru sekejap.” Ujar pelayan itu lagi.

Zara terkejut besar. Dia keluar? Kaki Zara pantas menapak ke arah pintu keluar. Dia segera menuju ke kawasan parking di tepi restoran itu. Namun apabila melihat lelaki itu sedang bersandar di badan Toyota Camry bersebelahan kereta miliknya, barulah hati Zara sedikit lega.

Keifli menoleh ke arah Zara yang tercungap-cungap cuba menghirup udara. Dia mengeluarkan segugus kunci kereta dari poket seluarnya lalu dilayang-layangkan di hadapan gadis itu. Zara hanya mampu memandang. Perlahan-lahan lelaki itu didekati.

“Berapa patut aku bayar pada kawan kau yang baiki kereta aku ni?” Dia bertanya sambil mencapai gugus kunci di tangan Keifli.

“Tak perlu. Semuanya dah beres.”

“Maaf Encik Keifli. Aku tak suka terhutang budi dengan orang yang aku tak kenal.” Tegas Zara.

Keifli terdiam. Bebola matanya menjunam tajam ke wajah Zara yang nampak dingin. Aura-aura permusuhan begitu ketara menerawang di sekeliling mereka.

“Baik. Kalau kau berhajat nak bayar, aku tunggu kau kat tempat tadi malam esok. Kita bincang bayarannya nanti.” Ujar Keifli seraya melangkah pantas ke arah restorannya. Dia menghilang ke dalam tanpa langsung menoleh.

Zara terpaku. Nak aku bayar tapi langsung tak sebut berapa harganya! Dia mengeluh panjang. Lama matanya memerhatikan ke arah keretanya yang mewujudkan semua masalah ini. Kan bagus kalau kau tak rosak, tak buat hal…wahai kereta. Zara berbisik dengan wajah resah.

pic source : link

3 comments:

Hanya Aku Dihatimu.. said...

salam nita yg dapat liza buat liza..ketwa ja...hehehehe..nita apa sebenarnya jlan certa tiada sepertimu????..

aqilah said...

best...best.... pertengkaran dingin yg akan membuahkan perasaan yg halus, suci dan murni........ nita, bila cerita ni nak publish????? tak sabar ni...

agent_sesat said...

bila kuar novel nie...eeeii... x sabar....x sabar.. :)

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!