Followers

Wednesday, October 6, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 27

SUDAH hampir satu jam dia menanti di situ. Dia mula disergah kebosanan. Air minuman di hadapannya sudah hampir habis diteguk. Namun orang yang berjanji untuk datang masih belum menampakkan batang hidung. Izwan semakin lama semakin hilang sabar. Jika diikutkan hatinya, ingin rasanya dia beredar sahaja. Namun hatinya masih ingin tahu apakah tujuan lelaki itu mahu menemuinya.

Jarum jam terus berputar. Setengah jam berakhir lagi. Izwan mula mengguman geram. Dirinya terasa seperti dipermain-mainkan sahaja. Dia segera mengangkat tangannya memanggil seorang pelayan yang kebetulan lalu berdekatan. Setelah membayar harga minumannya, dia segera bingkas bangun.

Ketika itu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an serta berjambang tiba-tiba muncul di hadapannya sambil membimbit sebuah beg fail. Izwan tidak jadi beredar. Matanya terpaku pada lelaki itu yang melemparkan seukir senyuman kepadanya.

“Sikap kurang sabar tidak sepatutnya ada dalam diri seorang pegawai polis, Tuan Izwan.” Lelaki itu bersuara. Izwan terdiam. Melihat lelaki itu sudah menarik kerusi di hadapannya lalu meletakkan beg yang dibawanya di atas meja, Izwan turut melabuhkan punggungnya semula. Wajah lelaki itu ditatap tidak berkelip.

“Kau kata kau ada maklumat tentang pembunuhan tu. Apa kau tahu fasal pembunuhan di Hutan Air Hitam tu?” Soal Izwan lagi. Dia masih berhati-hati. Dia tidak mahu terlalu cepat mempercayai lelaki di hadapannya itu meskipun mereka telah bekerjasama beberapa kali sebelum ini.

“Mungkin ada sedikit yang boleh aku bantu. Aku boleh beritahu kau, tapi bukan sekarang.” Ujar lelaki itu. Darah Izwan menyirap. Kata-kata lelaki itu merangsang berangnya. Dia terasa dipermain-mainkan.

“Please…tolong jangan main-main. Perkara ini sudah terlalu serius untuk membabitkan apa-apa saja lawak jenaka dan gurauan.” Izwan bingkas bangun. Dia menyesal membiarkan dirinya jatuh ke dalam perangkap lelaki berjambang itu. Sudahlah kerja-kerja di pejabatnya masih berlambak, kini dia terpaksa melayan kerenah lelaki yang berperwatakan ganjil itu pula. Hati sesiapa pun akan jadi panas jika begini!

“Bagaimana kalau aku katakan, kau dan pasukan kau mencari bukti di tempat yang salah Tuan Izwan.” Ujar lelaki itu sebelum sempat Izwan beredar. Langkah yang mahu diatur terhenti secara tiba-tiba. Dia berpaling. Lelaki itu nampak tenang berhadapan dengannya.

“Di mana yang salah?”

Lelaki itu tersenyum. “Bagaimana kalau aku katakan semuanya. Tempat, masa dan sasaran. Semuanya bercanggah.”

“Maksud kau?” Dahi Izwan berkerut.

Lelaki itu tidak terus menjawab. Dia mengambil sesuatu dari dalam beg yang dibawanya. Helaian-helaian kertas yang telah siap disusun menggunakan comb binding dikeluarkan lalu dihempas di hadapan Izwan.

“Apa bendanya ni?” Izwan menatap lelaki itu dengan wajah sangsi.

“Tengoklah.” Suruh lelaki itu.

Mahu tak mahu Izwan memaksa diri mencapai dokumen tersebut lalu diselak. Melihat isi kandungannya, mata Izwan terbuka luas. Dia membelek helaian-helaian dokumen itu dengan wajah tidak sabar. Setiap helaian membuatkan nafasnya bagaikan terhenti. Tak mungkin! Semua ini tak mungkin benar.

“This is a joke right?” Mata Izwan beralih ke arah lelaki di hadapannya.

“Lihat pada tarikh foto itu diambil, Tuan Izwan. Tahun 1975, ianya bermula. Hampir tiga puluh tiga tahun lamanya corak pembunuhan yang sama berlaku. Dan setiap pembunuhan tidak akan meninggalkan apa-apa bukti atau kesan. Yang tertinggal hanyalah mangsa yang telah robek lehernya dan ditinggalkan mati begitu sahaja dengan lubang di tengkuknya. Pada tahun itu, sembilan orang gadis dilaporkan meninggal dunia. Namun kes itu tidak pernah diselesaikan sehingga sekarang.”

“1985, sebuah kampung terletak di sebuah daerah di Johor diserbu pihak berkuasa setelah mendapat maklumat tentang berlakunya amalan pemujaan dan pembunuhan di sekitar kawasan tersebut. Malangnya bila pihak polis sampai ke situ, kesemua penduduk kampung telah pun meninggal dunia. Tapi pihak polis tutup kes ini dan ia diklasifikasikan sebagai pembunuhan beramai-ramai akibat ajaran sesat.”

“Aku tahu tentang kes itu.” Sampuk Izwan.

Lelaki itu tersenyum.

“Jika begitu, pasti kau tahu apa yang berlaku pada tahun 2003, 2005, 2006 dan 2007 kan? Pembunuhan yang serupa juga pernah berlaku. Dan jumlah mangsa terus bertambah dari masa ke semasa.”

“Apa kau merepek ni? Tak ada kes yang sama menyerupai kes-kes yang berlaku beberapa bulan yang lalu. Jika tidak, aku pasti sudah tahu. Malah kes di Johor Bharu itu juga begitu. Ia hanya kes yang melibatkan pengikut-pengikut ajaran sesat, itu sahaja.” Izwan meningkah dengan nada tajam.

“Kau yakin? Pernah kau lihat foto-foto yang diambil di kampung itu? Tuan Izwan, tidak tahu tidak bermakna ianya tidak berlaku. Orang atasan kau sudah lama mengetahui semua ini. Mereka hanya cuba merahsiakannya dari orang ramai. Sama seperti yang mereka lakukan bila mereka meminta kau menyiasat tentang kematian yang berlaku di Johor hampir dua bulan yang lalu.”

Izwan terdiam. Kata-kata lelaki itu membuatkan dia resah.

“Ada banyak benda di dunia ni yang mungkin tidak masuk akal di dalam fikiran kita, tapi hakikatnya ia wujud. Tuan Izwan, pernah kau terfikir kenapa manusia tidak percaya akan adanya kewujudan serigala jadian atau harimau jadian? Atau mempercayai kewujudan satu entiti yang menakluk manusia dan boleh mengubah zahir mereka?”

Mata Izwan terkelip-kelip memandang lelaki itu. Pertanyaan itu terlalu aneh baginya. Apakah relevannya?

“Kau percaya pada benda-benda itu?” Soal lelaki itu menagih jawapan.

Izwan tersenyum hambar, lantas menggelengkan kepala. Mengarut! Desis hati kecilnya.

Lelaki itu tersenyum tenang. “Jika begitu, setakat ini saja yang aku boleh beritahu kau.” Lelaki itu bingkas bangun lalu mencapai begnya. Izwan terpinga-pinga tidak mengerti.

“Perbualan kita masih belum habis. Kau belum beritahu aku lagi apa kaitan gambar-gambar ni semua dengan kematian gadis di hutan Air Hitam itu.” Getus Izwan dengan suara meninggi. Lelaki itu menoleh lalu menatap wajahnya.

“Ya, perbualan kita memang dah habis Izwan. Aku tak dapat beritahu kau lebih dari yang sepatutnya kau tahu, jika hati kau tidak mampu mempercayai apa yang berada di luar lingkungan fikiran bawah sedar manusia. Belajarlah mempercayai semua itu Izwan, dan aku akan hubungi kau lagi.”

“Tapi gambar-gambar ni…” Izwan seakan keliru. Lelaki itu tersenyum.

“Kalau aku jadi kau, aku akan cari kaitan antara gambar-gambar itu bermula dari tarikhnya.” Bisik lelaki itu lalu segera beredar meninggalkan restoran tersebut.

Izwan terkedu. Matanya mengintai kelibat lelaki berjambang itu. Dia benar-benar tidak mengerti maksud kata-kata lelaki itu. Bulat matanya memerhatikan ke arah kepingan foto yang ada di tangannya. Ada rasa aneh mula menjalar ke pelusuk sanubarinya. Entah kenapa, kes pembunuhan yang sedang disiasatnya kali ini menimbulkan banyak persoalan yang tidak terjawab. Ternyata kehadiran lelaki misteri itu sedikit sebanyak menggoyahkan kepercayaannya selama ini.

link

1 comment:

pipvz devil said...

alamakkk dah abez..nk lg..pnjng3 ckit bleh..bez la cite ni..lme lg ke ending nyer..aduhh xsabo nyer nk tau..sapo dalang pmbunuhan ni..mcm nengok cite csi la plak..ala lebh kurg le 2..hehehe..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!