Followers

Wednesday, March 12, 2014

Lelaki Itu...Syurgaku : Bab 10


SELEPAS sehari suntuk berada di homestay arwah ayahnya, barulah Idlan menelefon ibunya petang itu dan memberitahu di mana mereka berada. Seperti dijangkakan, ibunya Maria terkejut besar mendengar kata-katanya.

            “Kenapa tak terus balik ke rumah?’ Soal Maria seakan tidak bersetuju dengan tindakan Idlan kali ini.

            “Tak apalah mama, Id bawa Orked ke chalet kita di Bukit Tinggi. Biarlah dia tenangkan fikirannya kat sini. Lagipun Mak Tun dan Pak Man kan ada kat sini. Mereka boleh tolong tengok-tengokkan Orked.” Ujar Idlan.

            “Id buat mama risau.” Keluh Maria.

             Id dah besar panjang mama. Id boleh jaga diri sendiri, mama janganlah risau. Cuma satu aje Id minta, mama tolonglah jelaskan pada Uncle Hamdan tentang tindakan Id ni.” Pinta Idlan.

            “Insya ALLAH sayang, nanti mama bagitahu dia. Tapi bila Id nak balik ke mari?” Soal Maria.

            “Tengoklah dalam dua tiga hari lagi.” Ujar Idlan.

            “Balik cepat sikit Id, mama belum habis rindu nak tengok Id.” Sayu suara Maria berbisik.

Idlan hanya mampu tersenyum. Kasihan mama!

“Lepas semuanya selesai, Id baliklah nanti. Mama jangan risau okey.” Ujarnya sengaja mahu menyedapkan hati wanita itu.

            Usai dia menamatkan perbualan, matanya tiba-tiba terpandang kelibat Orked sedang berdiri di penjuru sudut. Gadis itu pasti sedang memasang telinga mendengar perbualannya dengan ibunya sebentar tadi.

            Dia tersenyum memandang ke arah Orked yang sedang memerhatikannya.

            “Orked lapar? Nak makan?” Soalnya lembut.

            Orked menggeleng. Mata anak gadis itu terus meratah wajahnya tidak berkelip.

            “Kenapa Orked pandang abang macam tu? Abang handsome ke?” Seloroh Idlan seraya tersengih.

            “Kau telefon rumah ke tadi?” Soal Orked tanpa mempedulikan kata-kata Idlan yang berbaur lelucon

            Idlan hanya mengangguk. “Kita kena beritahu mereka. Walau macamana sekalipun, mereka tetap ibu bapa kita.” Sahut Idlan tenang.

            “Kau ingat mereka ambil peduli?” Herdik Orked dengan wajah merah padam. Hatinya geram mendengar kata-kata Idlan yang membocorkan rahsia di mana mereka berada pada ayahnya.

            “Abang tak tahu fasal ayah Orked, tapi mama abang peduli. Dan abang juga peduli fasal Orked.” Wajah Idlan serius ketika menuturkan kata-katanya.

            Orked mengetap bibir. Wajah pemuda di hadapannya ditenung tajam. “Kau kena ingat sikit. Kau tu bukan abang aku! Jangan nak berlagak macam kau ni abang aku!” Teriak Orked, tiba-tiba naik berang.

            “Memang abang bukan abang kandung Orked. Tapi bila mak ayah kita kahwin, secara lahiriah Orked sudah jadi adik abang, tanggungjawab abang.” Balas Idlan.

            “Aku tak ingin jadi adik kau. Jadi jangan campur urusan aku lagi. Kalau tak, aku akan keluar dari rumah ni.” Ugut Orked.

            Idlan terdiam. Kata-kata gadis itu membuatkan dia mengeluh panjang.

            “Kenapa Orked tak mahu percaya pada abang? Abang benar-benar ambil berat fasal Orked.” Keluh Idlan.

            Orked mendengus kasar. Kata-kata Idlan malas mahu diambil peduli. Selama hidupnya dia tidak pernah dipedulikan ayahnya sendiri. Hari ini tiba-tiba sahaja seorang lelaki asing yang tidak pernah dikenali cuba mengambil hatinya. Untuk apa? Kenapa? Dia sudah muak mendengar kata-kata sebegitu. Hakikatnya selama hidupnya tidak pernah ada seorang pun yang mahu mengambil berat tentangnya.

            “Orked nak ke mana tu?” Idlan bertanya sebaik melihat gadis itu angkat kaki dari situ.

            Orked berpaling dengan wajah sinis. “Aku nak keluar jalan-jalan kat sini. Takkan itu pun tak boleh.”

            “Orked tak kenal jalan-jalan kat sini. Nanti sesat! Abang temankan ya?”

            “Tak payah susah-susah. Aku takkan ganggu kau dan tolong jangan ganggu aku, boleh tak?” Herdik Orked lalu melangkah keluar dari situ. Meninggalkan Idlan yang terpinga-pinga dengan wajah bingung.

*  *  *  *

DIA hanya mengikut arus kaki tanpa tahu ke mana hala tujuannya. Dia sebenarnya masih bingung dengan tempat ini. Tempat yang sedang dikunjunginya sekarang tidak ubah seperti sebuah desa yang sepi dari hiruk-pikuk kota. Tapi dia benci dengan kesunyian yang dirasakannya. Dia benci dengan suasana di tempat ini yang seperti berkabung. Sepi ini membuatkan hatinya lebih pedih. Jiwanya lebih kusut.

            Meskipun ini yang dimahukannya, lari jauh dari rumah, anehnya kenapa dia gembira? Mungkin tempat yang terlalu sunyi tidak sesuai untuknya. Tempat yang sunyi hanya membuatkan fikirannya menjadi kosong. Dan fikiran yang kosong hanya akan membuatkan ianya terisi dengan pelbagai kenangan yang menyakitkan. Dia lebih menyenangi suasana riuh rendah dan rancak. Kerana itu dia sering mengunjungi kelab malam bersama teman-temannya. Entah kenapa bunyi muzik yang rancak dan kuat lebih menyenangkan dari suasana yang sunyi sepi seperti ini!

            Lama berjalan, kakinya sampai di sebuah tasik yang cukup indah. Di tebing tasik, terdapat banyak pohon-pohon Zubaidah yang menjadi penyeri tebing. Dia duduk berlunjur kaki di situ. Sesekali dia menggerakkan kakinya dan memercikkan air tasik sehingga membentuk beberapa pusaran kecil. Sejuk! Hati kecilnya bertingkah. Mula menyenangi apa yang sedang dilakukannya.

            Entah kenapa, tiba-tiba hatinya tergerak untuk mandi-manda di situ. Pandangannya dilontar di sekelilingnya. Setelah pasti tidak ada yang melihatnya di situ, Orked perlahan-lahan turun ke tepi tebing. Dia meranduk air ke tengah-tengah tasik, lalu menyelam buat beberapa saat. Ketika dia timbul semula, wajahnya terasa benar-benar segar. Kedinginan air tasik itu mampu menghalau hangat tubuhnya yang dirasakan berbahang.

            Dia berenang dengan senang hati. Aneh juga! Baru sebentar tadi dia menggumam suasana desa itu yang dirasakan membosankan. Kini dalam sekelip mata air tasik itu mampu membuahkan kegembiraannya.

            Ketika sekali lagi dia timbul di permukaan air, tiba-tiba telinga Orked mendengar bunyi teriakan, sayup-sayup kedengaran. Dia segera berpaling. Sejauh hampir 50 meter, dia terpandang sesusuk tubuh sedang tenggelam timbul tidak jauh dari tempat dia berada. Ada orang lemas! Hati kecil Orked berbisik.

            Tanpa memikirkan keselamatan dirinya, dia segera berenang ke arah lembaga yang terkapai-kapai itu. Tapi baru beberapa meter berenang, kakinya tiba-tiba kejang. Dia terkejut. Pergerakannya di dalam air sudah terumbang-ambing. Kegagalan menguak dengan kakinya menyebabkan tubuhnya sedikit demi sedikit gagal diapungkan. Dia cuba menggunakan kedua-dua tangannya. Tapi kedua-dua tangannya juga seperti lemah dan tidak mampu menolak arus air tasik itu. Akibatnya sedikit demi sedikit, dia mula tenggelam.

            Orked mahu menjerit. Tapi suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Dia tidak mampu bersuara. Dadanya berdebar-debar. Matanya dipejamkan. Apakah aku akan mati? Dia semakin ketakutan. Melihat daratan yang hanya separas hidungnya, dia kian pasrah.

            Kematian itu pasti akan berlaku Orked. Mati itu pasti!” Bisikan suatu suara menerpa ke telinganya. Dia terus memejamkan matanya. Tubuhnya terasa kaku tidak berupaya. Wajah uminya tiba-tiba muncul di fikiran. Wanita itu datang dengan senyuman seindah bidadari. Ketika wanita itu menghulurkan kedua-dua tangannya, dia seperti terpukau.

            “Datang pada umi Orked. Umi akan selamatkan Orked.” Ujar wanita itu.

            Dia tersenyum. Tiba-tiba sahaja ketakutannya menghilang. Huluran tangan wanita itu disambut. Hatinya pasrah dan rela mahu mengikut wanita itu.

*  *  *  *

IDLAN segera mencempung gadis itu naik ke tebing. Sesudah itu dia membaringkan Orked beralaskan rumput-rumput hijau. Melihat gadis itu tidak sedarkan diri, Idlan semakin cemas. Dia memeriksa nadi di pergelangan tangan gadis itu. Masih ada tapi lemah!

            Dia dah banyak telan air. Buat CPR bang.” Suruh suatu suara.

            Idlan berpaling ke arah dua remaja lelaki yang turut berada di situ. Kalau bukan kerana kedua-duanya, mana mungkin dia sedar Orked lemas di tasik itu.  Tapi untuk melakukan bantuan pernafasan, entah kenapa dia jadi serba-salah.

            “Tunggu apa lagi bang, buatlah. Nanti mati pulak dia.” Gesa salah seorang anak muda itu.

Idlan memandang wajah Orked yang pucat membiru. Rambut gadis itu yang menutup mata diselak dengan jarinya. Sekali lagi dia memeriksa nadi Orked. Tidak kedengaran apa-apa. Idlan gugup. Tidak! Aku tak boleh biarkan dia mati.

            Idlan segera bertindak. Tubuh Orked yang kaku dibetulkan posisinya. Tengkuk anak gadis itu didongakkan sedikit dengan menolak dagu Orked ke atas. Sesudah itu dia membuka mulut Orked untuk membuka saluran pernafasan.

            Hidung gadis itu dipicit sebelum dia mula melekapkan mulutnya ke mulut gadis itu lalu menghembus udara sebanyak dua kali. Dia melakukannya beberapa kali. Melihat keadaan Orked masih sama, Idlan meneruskan tindakannya. Tapi ketika dia mahu menghampiri wajah gadis itu, mata Orked tiba-tiba terbuka.

            Idlan terkejut. Dia tidak sempat melarikan wajahnya. Matanya berbalas pandang dengan Orked yang terkebil-kebil sedang menatapnya.

            Kau buat apa ni?” Bisikan gadis itu menyentuh telinganya.

            “Err..abang…abang cuma..” Tiba-tiba sahaja Idlan tergagap-gagap. Seolah-olah dia baharu sahaja melakukan kesalahan besar. Aduh! Yang aku gagap ni kenapa pulak? Itu kan perkara emergency. Yang terpaksa dilakukan atas dasar untuk menyelamatkan gadis itu. Hati kecilnya cuba memujuk diri sendiri.

            “Orked lemas tadi. Abang tak ada jalan lain. Abang terpaksa buat CPR.” Idlan berterus terang seraya tersengih.

            Pang! Habis bercakap, satu tamparan singgah di pipi kirinya. Idlan terkejut lalu meraba pipinya yang berbekas. Dia melontarkan pandangan ke arah Orked yang bingkas bangun dengan wajah merah padam.

            Sex Maniac! Lain kali jangan harap aku nak percaya pada kau lagi.” Usai mengherdik Idlan, Orked segera berlari ke arah rumah tumpangan itu. Meninggalkan Idlan yang terpinga-pinga dengan wajah bingung.

            Suara ketawa mengalihkan perhatian Idlan dari kelibat tubuh Orked yang semakin jauh. Dia menoleh. Dua remaja lelaki itu tersengih-sengih memandang ke arahnya.

            Kasihan abang. Nak buat baik, tak fasal-fasal kena pelempang pulak. Siapa awek yang garang sangat tu?” Tanya salah seorang darinya.

            Brutal betul. Macam singa!” Ulas yang seorang lagi.

            Idlan tersenyum gelihati. Komen anak-anak muda itu ditelan dengan wajah lucu. Sesekali singgah perit di pipi kirinya angkara tamparan Orked yang menyengat. Mesti lepas ni lebam, bisik hati kecilnya seraya meraba pipinya.

            “Hebat abang ni. Tiga kali ciuman aje, dia dah sedar.” Usik anak muda itu lagi.

            Idlan menjeling. “CPR…” Idlan membetulkan panggilan anak muda itu.

            Kedua remaja itu ketawa besar. “Ya betul, CPR.” Gelak kedua-duanya seraya mengenyitkan mata. Mahu tak mahu Idlan turut sama ketawa. Sekadar melayan kedua-duanya yang begitu ramah tamah dengannya.

            “Ingat, lain kali jangan nak main-main macam tu lagi. Tak fasal-fasal ada orang salah sangka.” Pesan Idlan sebelum beredar.

            Sorrylah bang, kami memang tak sengaja. Nak main-main aje, tak sangka pula dia nak cuba tolong sampai diri sendiri lemas. Ucapkan maaf dari pihak kami ya.” Ungkap salah seorang dari anak muda itu yang bertubuh kurus runcing.

            “Insya ALLAH.” Idlan mengangguk lalu bersalaman dengan kedua-duanya sebelum mereka berpisah haluan.

            Sebaik kelibat kedua-duanya menghilang, Idlan menoleh ke arah bumbung rumahnya yang kelihatan dari kawasan tebing tasik itu. Nafasnya ditarik perlahan. Setelah insiden sebentar tadi, pasti akan lebih sukar untuknya memujuk anak gadis itu. Takkan baru satu hari, kau dah mengaku kalah Id! Hati kecilnya memprovok diri sendiri.

1 comment:

eija said...

alamak idlan tak psl jer dpt penapar fre.. aduii msti sakit kn.. orked nie garang mcm singa plk..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!