Followers

Monday, June 21, 2010

Arina : Bab 10

THE EYE merenung imej cetakan gambar-gambar yang diambil dari CCTV berkali-kali. Matanya terpaku pada wajah-wajah yang tertera pada photo paper. Namun dia tidak bersuara sedikit pun. Abdul Kamal yang menunggu dari tepi menjadi kurang sabar. Dia berdehem beberapa kali, membangkitkan respon dari The Eye. Lelaki itu menoleh.

“Tuan Eye kenal dengan lelaki-lelaki ni?” Tanya Abdul Kamal.

The Eye menggelengkan kepala. “Siapa mereka ni?”

Abdul Kamal terdiam. Dia sudah buntu bila lelaki itu kelihatan tidak mengenali wajah-wajah pada gambar-gambar tersebut.

“Bagaimana dengan lakaran lelaki yang bertutup sebahagian wajahnya? Tuan kenal dia? Menurut seorang pengawal, lelaki itu menggunakan sebilah pedang panjang yang aneh bentuknya dan mengeluarkan cahaya berwarna merah.” Ulas Abdul Kamal.

Dahi The Eye berkerut. Abdul Kamal seolah mendapat harapan baru dengan perubahan reaksi lelaki itu. Tetapi kerut di dahi The Eye hanya sebentar sahaja. Lelaki itu kembali menggelengkan kepala.

“Saya tak kenal mereka, Tuan Kamal. Boleh saya tahu apa kaitan lelaki-lelaki ini dengan kes penculikan anak Tuan Fahrin?” Lelaki itu menatapnya dengan wajah serius. Abdul Kamal menarik nafas panjang. Kerusi di hadapan The Eye ditarik lalu ditempati.

“Kami syaki lelaki-lelaki yang melarikan skrol milik Tuan Eye turut menculik anak lelaki Tuan Fahrin. Tapi motifnya kami sendiri tidak pasti. Siasatan masih dijalankan dan kami masih berusaha mencari jejak-jejak mereka. Anehnya, wajah dan cap jari mereka tidak wujud langsung di dalam database pihak polis. Seolah-seolah mereka semuanya bukan berasal dari sini. Inilah yang menghairankan saya Tuan Eye.” Keluh Abdul Kamal.

“Mungkin mereka alien.” The Eye tersenyum.

Abdul Kamal tergaman. Kata-kata lelaki itu meskipun kedengaran selamba tapi bagaikan satu sindiran untuknya. Namun jika difikirkan ada juga logiknya. Manusia mana di dunia ini yang tidak mempunyai rekod cap jari? Bukankah cap jari sudah diterimapakai oleh semua negara-negara di dunia ini samaada kecil atau besar? Tapi mengikut cap-cap jari yang dikumpul oleh polis forensik yang mengumpul bukti fizikal di TCMM, terdapat beberapa cap jari yang tidak sepadan dengan rekod penduduk-penduduk Filiphina dan negara-negara Asia yang lain berpandukan wajah lelaki-lelaki itu yang kelihatan seperti orang Asia. Malah pegawai forensik sendiri telah mengesahkan ada sesuatu yang aneh pada cap-cap jari yang mereka temui, di mana terdapat beberapa lingkaran garis-garis cap jari yang melintangi lingkaran-lingkaran membulat. Inilah yang menimbulkan keanehan mereka sebenarnya!

Melihat Abdul Kamal diam sahaja seolah memikirkan sesuatu, The Eye mengutip semula gambar-gambar di hadapannya lalu dibelek sekali lagi. Lepas satu..satu gambar itu diteliti dan diperhalusi dengan anak matanya.

Tiba-tiba mata The Eye terhenti pada satu wajah. Dadanya berdegup kencang. Bebola matanya tertarik memerhatikan seraut wajah manis yang sedang ketawa di samping seorang lelaki muda.

“Tuan Kamal…siapa budak perempuan ni?” Tanya The Eye ingin tahu.

Abdul Kamal menjengah ke arah sekeping gambar di tangan lelaki itu. “Oh itu anak perempuan Tuan Fahrin. Sewaktu kejadian penculikan adiknya, dia ada di sana ketika itu. Dia yang laporkan pada kami tentang…”

“Siapa namanya?” Pintas The Eye sebelum sempat lelaki itu mahu bercerita dengan lebih terperinci. Abdul Kamal terkesima. Nada suara The Eye yang agak keras mengejutkannya.

“Kalau tak salah saya, namanya Arina.” Beritahu Abdul Kamal.

“Arina…..” Lelaki itu menyebut nama gadis itu seraya mengerutkan dahinya. Abdul Kamal memerhatikan reaksi The Eye dengan wajah hairan. Kenapa dengan lelaki ni? Apa yang tak kena sebenarnya?

“Magdalena…” Tiba-tiba terpacul nama lain dari bibir The Eye. Abdul Kamal terpegun. Dia terus memerhatikan wajah The Eye yang mula berubah. Lelaki itu bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya. Abdul Kamal terpisat-pisat memerhatikan lelaki itu.

“Tuan Kamal, saya nak pinjam beberapa keping gambar ni boleh tak? Nanti saya pulangkan semula.” Tanpa menunggu balasan, The Eye tergesa-gesa keluar dari ruangan itu. Sekejap sahaja tubuh lelaki itu menghilang ke luar, meninggalkan Abdul Kamal yang terpinga-pinga tidak mengerti.

“Tuan Eye..” tegur seorang lelaki di luar bilik soal siasat. The Eye menoleh. Wajahnya kelihatan muram.

“Kita beredar sekarang Kiran. Saya nak jumpa Dean.” Ujar The Eye lalu tergesa-gesa keluar dari bangunan pejabat itu. Di belakang pintu, Abdul Kamal asyik memerhatikan gerak geri The Eye yang kelihatan aneh!

* * * *

DIA masuk ke dalam sebuah limousine berwarna putih yang sudah menanti di luar kawasan kedutaan Malaysia. Seorang lelaki berpakaian kemas dan berwajah serius berada di dalamnya. Lelaki itu merenungnya ketika dia menjengah masuk lalu menempati tempat duduk berhadapan dengan lelaki itu.

“Kenapa?” Tanya lelaki itu. Merenung pada wajah The Eye yang kelihatan gelisah, bagaikan ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku.

The Eye merenung lelaki itu dalam-dalam. Ada sesuatu yang mahu diperkatakannya, sesuatu yang harus ditanya pada lelaki itu. Entah kenapa dia pasti, lelaki itu tentu tahu sesuatu mengenai perkara yang bermain di kepalanya.

Dia menghulurkan gambar yang diambilnya dari Abdul Kamal sebentar tadi lalu dihulurkan pada lelaki itu.

“Tengok gambar tu. Beritahu aku, apakah kau kenal dengan dia?” Dia bertanya, sudah tidak sabar lagi.

Temannya itu mencerunkan anak matanya ke dada potret yang sudah bertukar tangan. Melihat wajah yang terpapar di dalam gambar, dia terpaku seketika.

“Kau memang kenal dia bukan?” Teka The Eye. Dari perubahan pada wajah Dean, dia sudah boleh mengagak. Sekurang-kurangnya dia tahu, dia tidak gila kerana mengenali wajah gadis cantik itu.

“Apakah dia Magdalena?” Tanya The Eye lagi ingin tahu.

Lelaki itu mengangkat wajah memandangnya.

“Tidakkah kau ingat apa-apa Eye?" Tanya lelaki itu ingin tahu.

The Eye mengerutkan dahinya. Dia tidak mengerti apa maksud lelaki itu.

“Parut kau itu…it will move your heart like a wind.” ucap lelaki itu lagi. Penuh bermakna dan penuh dengan tanda tanya.

The Eye meraba-raba parut panjang di wajahnya. Dia memang tidak ingat dari mana dia mendapat parut sepanjang itu. Namun dia tahu parut itu berpunca dari seorang wanita di dalam mimpinya. Magdalena Anna…wanita itu sering menganggu tidurnya setiap malam. Datang dalam bentuk kabus dan menghilang dalam kegelapan malam seperti hantu.

“Eye…” Panggilan lelaki yang duduk di hadapannya mengejutkan lamunan The Eye. Dia mengalihkan matanya. Wajah temannya itu dipandang lama.

“ Kau masih belum menjawab pertanyaan aku Dean.” Ujar The Eye.

“Yang mana satu?” Balas Dean.

“Apakah dia Magdalena? Wanita yang sering muncul dalam mimpi aku?”

“Tidak.” Jawab Dean dengan penuh yakin.

“Jadi siapa aku yang sebenarnya, Dean?”

Dean terdiam. Dia serba salah mahu menjelaskannya.

“Aku tahu kau tentu tahu siapa aku yang sebenarnya. Bila aku buka mata, orang pertama yang aku lihat ialah kau Dean. Tapi aku langsung tak ingat siapa aku sebenarnya, atau apa nama aku.”

“Kau adalah Noel Barnardo, lelaki yang cukup berjaya di dalam perniagaan dan antara orang yang terkaya di Filiphina ini. Apakah asal usul lebih penting dari kejayaan yang kau kecapi sekarang ini?” Balas Dean dengan suara mendatar.

Melihat wajah The Eye yang keluh-kesah, Dean melontarkan pandangan ke luar jendela limousine yang sudah mula bergerak meninggalkan perkarangan pejabat konsul Malaysia. Sememangnya dia tidak pernah tahu bagaimanakah cara terbaik untuk berterus terang dengan The Eye tentang kedudukan sebenarnya. Matanya merenung ke arah cermin hadapan kereta. Dia perasan Kiran yang sedang memandu limousin itu turut mengerlingnya dari arah hadapan. Mata Dean membelek beberapa kepingan gambar lain di dalam genggaman tangannya.

Sekeping gambar menarik perhatiannya. Sebuah lakaran sejenis senjata berbentuk pedang yang mempunyai permata merah di hulu pedang dibelek dan diperhatikan. Matanya terpaku tanpa sedar menatap kepingan gambar itu. Pencoit Saber! Kenapa ia ada di sini? Hati kecil Dean berbisik resah.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!