Followers

Tuesday, August 3, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 26

MALAM semakin larut. Namun itu tidak menjadi soal buatnya. Dia masih meninjau-ninjau rumah yang telah lama ditinggalkannya. Bunga-bunga kertas yang ditanam di sekeliling rumah menaikkan lagi seri persekitaran bangunan dua tingkat itu.

Penat berjalan Aliya melepaskan lelah di buaian di halaman rumah. Keadaan sunyi sepi, kerana pada waktu-waktu begini, adik-adiknya sudah lama dibuai mimpi. Begitulah selalunya keadaan di rumah anak-anak yatim ini. Waktu siang suasana jadi riuh rendah dengan bunyi kanak-kanak bermain, bertengkar kadangkala. Malam pula keadaan jadi sepi dengan kesunyian, tanpa gelak ketawa dan suara tangis adik-adiknya.

Leka dia termenung di situ. Sehingga dia tidak sedar bunyi derap sepatu menghampirinya dari belakang.

“Hai jauh menungnya anak ibu?” Sapa Ibu Fatimah sambil menepuk bahu gadis itu. Aliya terkejut lalu menoleh.

Tanpa disuruh ibu Fatimah duduk di samping gadis itu. Bahu anak gadis itu dipeluk erat. Aliya segera melentukkan kepalanya di bahu Ibu Fatimah. Matanya dipejam rapat, cuba mengingati bagaimana rasanya bermanja dengan seseorang yang dipanggil ibu.

“Kenapa balik tak cakap awal-awal dengan ibu? Kalau tak, boleh ibu masakkan lauk sedap-sedap sikit untuk Lia.” Ibu Fatimah bersuara.

“Lia tak kisah bu. Bagi Lia semua masakan ibu sedap-sedap belaka. Ibu lupa? Dah lima belas tahun Lia makan masakan ibu.” Ujar anak gadis itu.

Ibu Fatimah ketawa kecil dengan jawapan Aliya. Kepala gadis itu diusap-usap dengan penuh kasih sayang. Dia akui, walaupun dia menyayangi semua kanak-kanak yang dijaganya di rumah itu, namun dengan Aliya perasaannya agak berlainan. Entah kenapa, dia lebih rapat dengan Aliya. Malah gadis itu sudah dianggapnya anak sendiri.

Dia teringat kembali hari-hari pertama Aliya sampai ke rumah itu. Gadis kecil itu lebih senang menyendiri di suatu sudut, memerhatikan teman-temannya bermain. Sikap Aliya yang pendiam dan tidak mahu bercampur membuatkan dia selalu dibuli teman-temannya. Tapi gadis itu tidak pernah membalas perbuatan teman-temannya walau habis satu badannya bengkak-bengkil dipukul. Meskipun bibirnya pecah dan lebam-lebam, namun Aliya juga tidak menangis. Sifat gadis itu sentiasa beralah sejak kecil lagi!

Aliya membuka matanya. Dilihatnya Ibu Fatimah tersenyum sendiri seolah-olah mengingatkan sesuatu.

“Ibu berangan ya?” Tegur Aliya.

“Bukan berangan, cuma teringatkan Aliya masa kecil-kecil dulu. Tapi sekarang anak ibu ni dah besar, makin cantik.”

Aliya ketawa kecil. Pujian Ibu Fatimah membuatkan dia berasa lucu.

“Awal adik-adik tidur?” Tegurnya apabila melihat kebanyakan bilik-bilik di situ telah lama bergelap.

“Hmmm seronok sangat dapat hadiah dari Lia petang tadi. Lia tu yang suka sangat manjakan mereka dengan hadiah. Lain kali simpanlah duit tu, tak elok membazir.” Leter Ibu Fatimah.

“Sekali sekala ibu. Tak luak pun duit Lia ni kalau dibelanjakan untuk adik-adik. Lia nak apa yang Lia ada mereka pun ada sama.” Balas Aliya.

Ibu Fatimah tersenyum. Dia tahu hati Aliya luhur. Sejak kecil gadis itu tidak penah mementingkan diri sendiri. Tidak pernah kisah untuk berkongsi dengan kawan-kawannya. Sehinggalah Aliya meningkat dewasa, begitulah sifatnya. Sedikit pun tidak pernah berubah.

Kadang-kala dia rasa kasihan dengan Aliya. Terpaksa menghabiskan zaman kanak-kanaknya bersama teman-teman senasib, meskipun mengikut undang-undang, Aliya berhak mendapat sebuah keluarga. Sepatutnya begitulah. Namun dia benar-benar tidak faham apabila Puan Hamimah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat memintanya menjaga Aliya. Dan sebagai balasan, Rumah Seri Kenangan mendapat pembiayaan sepenuhnya dari seorang ahli perniagaan. Pilu hatinya apabila mengenangkan nasib Aliya yang terpaksa membesar di rumah anak-anak yatim.

“Lia gembira ibu. Lia gembira walau di mana sahaja Lia berada, asalkan kalau dapat bersama ibu dan adik-adik.” Itulah kata-kata yang diulang gadis itu selalu. Ibu Fatimah melepaskan keluhan. Kasihan kamu nak!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!