Followers

Wednesday, September 29, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 33

JAUH di sudut hatinya, dia tidak berniat menipu Aliya. Bukan ini sepatutnya cara Aliya mengetahui kebenaran tentang dirinya. Namun penghinaan yang dilempar oleh Julia terhadap gadis itu benar-benar menaikkan darahnya. Dia tidak mampu bersabar lagi. Dan darahnya tambah mendidih menyaksikan Aliya hanya berdiam diri dan Julia semakin galak memarahi gadis itu sepuas hati.

“Ril, mesyuarat hari ni jangan lupa.” Jengah Ikram di muka pintu. Dia hanya mengangguk. Melihat temannya itu tidak banyak bercakap, Ikram tidak jadi beredar.

“Kenapa ni?”

“Tak ada apa-apa. Semalam Irina ada datang?’ Hazril mengubah tajuk perbualan.

“Ha ah, dia nak minta orang kita tolong di sana. Dia tak jumpa kau ke?”

“Tak ada. Dia cuma call kata nakkan seorang pembantu. Jadi aku suruh dia jumpa kau saja. Kau bagi siapa?”

“Aliya.”

Hazril terdiam. Melihatkan reaksi Hazril, Ikram berdehem beberapa kali.

“Is it okay with you?’

“Dia pembantu kau Ram. Buatlah apa sahaja yang kau fikirkan perlu.”

Giliran Ikram pula terkedu. Gerak geri Hazril dirasakan berbeza hari ini. Ada masalah dengan Irinakah? Sejak semalam dia dapat menghidu masalah antara Hazril dan Irina. Selalunya jika Irina berada di Perkasa Budi, hampir berjam-jam lamanya gadis itu bersembang di bilik Hazril. Tapi kelmarin, setelah berbincang dengannya, Irina terus minta diri mahu pulang. Topik tentang Hazril langsung tidak disentuh.

Sayang kalau perhubungan yang terjalin sejak sekian lama dilanda gelora dan badai. Baginya Irina dan teman baiknya itu secocok sekali.

* * * *

Aliya sibuk menyusun fail-fail yang telah disiapkannya di bilik mesyuarat. Awal-awal pagi lagi Ikram sudah mengarahkan dia berbuat itu dan ini. Selesai menghabiskan kerjanya, dia berpapasan dengan Ikram di muka pintu.

“Encik Ikram, semua dah selesai, saya nak minta diri dulu.”

“Tunggu kejap. Aliya kena ikut meeting board hari ni. Catat apa-apa yang patut.” Arah Ikram.

“Perlu ikut ke Encik Ikram?” Aliya teragak-agak.

“Yalah, Aliya kan dah jadi pembantu saya, mestilah kena ikut saya meeting. Dulu Kelly selalu ikut saya meeting.” Tukas Ikram selamba.

Aliya jadi serba salah. Tak fasal-fasal, dia diharuskan masuk ke bilik mesyuarat. Sedangkan sejak pagi tadi dia cuba mengelakkan diri dari bertembung dengan Hazril. Setelah apa yang berlaku semalam, dia tidak tahu bagaimana harus berdepan dengan lelaki itu. Malu pun ada sebab merajuk tak tentu fasal. Macam orang bodoh aje sibuk nak merajuk dengan Encik Adam tu! Padahal siapa aku padanya? Hanya sekadar pelajarnya sahaja, bisik hati kecil Aliya dengan penuh rasa kesal.

“Ha Aliya, itulah Encik Hazril. Bos kita!” Ikram sempat berbisik di telinganya memberitahu.

Aliya menoleh. Matanya segera terpandang kelibat Hazril sedang menuju ke arahnya, sambil bercakap-cakap dengan beberapa orang lelaki di sampingnya. Lelaki itu nampak segak berkemeja tanpa kot dengan tali leher yang senada warnanya. Apabila Hazril berpaling, Aliya cepat-cepat melarikan matanya sambil berundur sedikit ke tepi.

Tak disangka-sangka, lelaki itu tiba-tiba berhenti di hadapannya. Aliya terkesima. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah. Matanya bertembung pandang dengan seraut senyuman yang menghiasi wajah lelaki itu.

“Hmm..wajah pucat, mata sembab..tentu tak cukup tidur semalam.” Komen lelaki itu sambil menelitinya dari atas ke bawah.

Aliya tercengang. Merah padam mukanya apabila beberapa pekerja lelaki yang ada bersama ketika itu mengetawakannya. Dia mengetap bibir. Bukan marah, cuma berasa tidak kena kerana lelaki itu mengenakannya dalam diam-diam.

Ketika mesyuarat berlangsung, dia cuba menumpukan perhatian pada presentation yang disampaikan oleh Ikram. Projector di hadapannya direnung dengan penuh perhatian. Bangga juga dia kerana kandungan powerpoint itu dibuat olehnya. Tambah menarik dengan imej-imej yang disediakan oleh Ikram mengenai Projek Taman Alam. Lelaki itu memang tekun bekerja. Aliya benar-benar beruntung dapat menimba pengalaman di bawah bimbingan Ikram.

Dalam pada itu, dia sempat menjeling ke arah Hazril yang sesekali bersoal jawab dengan Ikram. Wajah lelaki itu serius. Sesekali lirikan mata lelaki itu tertumpu ke arahnya. Membuatkan dia jadi resah secara tiba-tiba. Apa yang tak kena dengan aku ni?

“Aliya, catatkan cadangan tu.” Bisik Ikram padanya.

Dia cepat gugup. Pen yang dipegangnya hampir terlepas dari tangan. Macamana dia hendak fokus dengan kerjanya, jika lelaki itu jelas-jelas sedang merenungnya.

* * * *

Sudah agak lama dia berdiri di situ. Jenuh menunggu giliran untuk menaiki teksi dari barisan pekerja-pekerja Pelangi Raya yang sedang beratur panjang. Kebiasaannya petang-petang begini, memang agak sukar untuk mendapatkan teksi di kawasan itu. Kadang-kala dia terpaksa berebut dengan orang ramai. Menyesal pula rasanya dia tidak menerima pelawaan Irina yang mahu menghantarnya pulang. Itulah degil sangat, padan muka sendiri! Keluh Aliya.

Seorang lelaki tiba-tiba muncul lalu berdiri di sebelahnya. Aliya beralih sedikit ke tepi apabila merasakan jaraknya dengan lelaki itu agak hampir. Beberapa ketika kemudian, lelaki itu seperti sengaja beranjak lebih dekat ke arahnya. Dia memandang lelaki itu. Wajah di hadapannya menyeringai. Aliya sudah kecut perut!

Aliya beralih lagi. lelaki itu turut beranjak sama. Dia mulai geram. Ini dah melampau! Tapi hendak dimarah lelaki itu, dia tidak berani. Bimbang lelaki itu berniat jahat dan semakin galak mengusiknya.

Apabila sebuah teksi kelihatan dari jauh, dia cepat-cepat menahan teksi tersebut. Tapi malangnya teksi itu berhenti betul-betul di hadapan seorang perempuan Cina. Perempuan Cina itu terus naik tanpa mempedulikannya. Dia terkedu. Apabila dia mengerling lelaki itu, dilihatnya lelaki itu seronok mengetawakannya.

Timbul pula rasa kebimbangan di hatinya. Bagaimana jika semua orang sudah pergi dan dia terpaksa menunggu teksi bertemankan lelaki itu bersendirian? Sudahlah waktu semakin menghampiri senja. Lelaki itu pula ternyata bukan orang baik. Dalam hati dia berdoa, Ya Allah, hindarikah diriku dari lelaki itu walau apa jua niatnya!

Usai dia berdoa, tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapan perhentian teksi. Aliya mengecilkan matanya. Melihat kereta Toyota Harrier yang amat dikenalinya, membuatkan dia bersyukur. Dia segera bergerak pantas ke arah kereta itu sebelum masuk ke dalam perut kereta tanpa dipelawa. Wajah lelaki yang berada di perhentian teksi itu dipandang sekilas lalu. Lelaki itu memandangnya seperti tidak puas hati. Namun Aliya sudah menarik nafas lega.

Apabila dia berpaling, dilihatnya Hazril menatapnya dengan dahi berkerut. “Kenapa?” Tanya Hazril ingin tahu.

Aliya serba salah mahu memberitahu. Malu pun ada. Baru sebentar tadi dia berlagak sombong tidak mahu melayan Hazril di pejabat, tapi kini tiba-tiba pula dia menerpa masuk ke dalam kereta lelaki itu. Mana lelaki itu tidak pelik melihatnya!

“Encik Adam, tolong hantar saya balik.” Pintanya. Matanya diluruskan tidak berani memandang lelaki itu. Malunya entah kenapa begitu menebal dirasakan.

“Macam kena kejar hantu aje. Hantu mana yang nak kejar Cik Aliya Murni ni?” Soal lelaki itu sambil tersengih.

Aliya tidak menjawab. Perasaan gementarnya kerana takutkan lelaki di perhentian teksi tadi sama banyak dengan perasaan malunya berhadapan dengan lelaki di sampingnya. Come on Aliya, dia pensyarah kau. Layan dia macam biasa cukuplah! Pujuk hati kecilnya.

Lelaki itu memandu sambil bernyanyi-nyanyi kecil mengikut alunan muzik dalam frekuensi radio. Aliya mengerling lelaki itu secara diam-diam. Melihat betapa selambanya lelaki itu kini, berbanding sewaktu di pejabat, dia merasa tidak enak membiarkan keadaan sunyi di dalam kereta terus berlanjutan. Tapi hendak dikeluarkan apa yang ada di kepalanya itu yang jadi masalah. Lelaki itu bukan setakat pensyarahnya di kampus, tapi juga seorang ketua di pejabatnya yang berjawatan tinggi.

Hazril tiba-tiba menoleh. Aliya terkedu. Dia tidak sempat melarikan matanya. Wajahnya mula merona merah. Hazril cuma tersenyum.

“Aliya macam ada sesuatu nak cakap dengan saya. Apa dia?” Soal Hazril ingin tahu. Aliya mengeraskan diri.

“Tak ada. Saya tak ada apa-apa nak cakap dengan Encik Adam.” Jawabnya sedikit tergagap-gagap.

“Aliya masih marahkan saya?”

“Saya tak ada hak nak marah-marah orang.” Jawabnya selamba. Sejurus dia rasa kesal pula melontarkan perkataan sebegitu. Apa kau buat ni Lia? Kau sekarang tengah buat praktikal kat syarikat dia, bodoh! Rungutnya di dalam hati.

Hazril dilihatnya terdiam. Perasaan kesalnya sudah tidak mampu ditarik balik. Kata-katanya pasti menyinggung perasaan lelaki itu. Jika tidak masakan Hazril tiba-tiba senyap.

Apabila kereta itu membelok ke sebuah kawasan perumahan, dan berhenti di hadapan sebuah rumah teres setingkat, Aliya terpinga-pinga. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Bagaimana lelaki itu tahu yang dia tinggal di situ?

Hazril tiba-tiba berpaling. Wajah itu masih tersenyum seperti biasa.

“Dah sampai.” Ujar lelaki itu.

Aliya pantas membuka ikatan seat belt sebelum keluar dari perut kereta. Dia sempat berpaling ke arah lelaki itu. Senyuman lelaki itu tidak berubah, masih kekal di situ. Sebaik sahaja pintu kereta ditutup, Toyota Harrier milik lelaki itu terus beredar laju meninggalkannya.

Aliya memandang kereta itu sehingga hilang dari pandangannya. Entah mengapa, hatinya sayu. Dia rasa benar-benar bersalah pada lelaki itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!