SEJAK dua jam yang lalu, seorang lelaki
gigih menanti seseorang di sebuah meja yang agak tersorok. Sesekali lelaki itu
menyapu keringat di dahinya yang terus mengalir walaupun restoran itu dipasang
dengan aircond. Bukan kerana aircond di situ sudah rosak, tapi kerana
lelaki itu sendiri berada dalam kegelisahan.
Dia duduk serba tidak kena. Malah gelas air kosong di
hadapannya sudah lapan kali diteguk dan sembilan kali dituang tambah oleh
pelayan restoran yang tetap setia menjalankan tugas.
“Encik nak pesan apa-apa ke?” Seorang pelayan berhenti di
mejanya. Bersedia dengan kepingan kertas menu di tangan.
“Hmm...saya
tengah tunggu orang.” Tergagap-gagap dia cuba menjelaskan.
Pelayan itu mengangguk lalu beredar. Tapi kerutan di
wajah pelayan itu sempat disapa sepasang matanya. Dia tahu, pasti pelayan itu
hairan kerana dia sudah berada cukup lama di restoran itu. Betullah kata orang.
Penantian itu suatu penyeksaan. Lagi-lagi dia menanti seseorang yang dia
langsung tidak kenal. Hanya wajah dan lirikan mata itu sahaja yang dikenalinya.
Itupun sekadar di dalam sekeping gambar yang ditunjukkan oleh ibu saudaranya.
“Dia bukan calang-calang perempuan. Orangnya
berpelajaran, cantik, baik budi bahasa, ramah tamah dan pendek kata bersopan
santun. Bukan calon isteri macam ni ke yang mak kamu mahu Zain?” Tanya Mak Long
Piah.
Dia merenung gambar gadis itu berulangkali. Memang cantik
pun calon yang diperkenalkan ibu saudaranya itu! Hatinya sedikit sebanyak sudah
berkenan.
“Kalau kamu setuju, nanti Mak Long aturkan pertemuan kamu
dengan dia. Bertuah kamu Zain kalau dapat kahwin dengan dia ni. Mak Long dengar
mak ayah dia pun dah bising-bising nak cari calon menantu.” Cerita Mak Long
Piah bersungguh-sungguh.
“Berapa umur dia ni Mak Long?” Dia bertanya, ingin tahu.
“Umur dia dah nak masuk 28 tahun.”
“Hmm..taklah muda sangat.” Entah kenapa dia berkata
begitu. Rasa macam hilang teruja bila dengar umur yang dah nak masuk 30an itu.
Mak Long Piah terkebil-kebil memandangnya. “Hai kamu pun
dah masuk 30 tahun lebih, sesuailah tu. Lagipun kamu sendiri yang kata hari tu
nakkan perempuan yang cantik, ada kerjaya tetap, pandai memasak.”
Dia hanya tersengih. Memang itulah kriteria gadis
idamannya. Bukan dia sengaja meletakkan kriteria seperti itu, tapi dia pun
seperti lelaki lain juga. Perlukan isteri yang cantik untuk ditayang di hadapan
teman-temannya.
“Dia kerja apa Mak Long?” Soalnya lagi, belum habis
mewawancara ibu saudaranya yang menjadi telangkai tak berbayar.
Orang tua itu sudah tersengih-sengih.
“Kalau kamu nak tahu, si Syafika ni ada syarikat sendiri.
Tak ingat pulak mak long syarikat apa. Kamu dah jumpa lubuk emas Zain
oi..bertuah kalau kamu kahwin dengan dia.” Mak Long Piah pula yang terover gembira.
“Assalamulaikum.” Suara lembut mendayu-dayu itu muncul di
belakangnya, sekaligus memadamkan lamunannya yang terawang-awang. Suara Mak
Long Piah hilang begitu sahaja.
Dia lekas-lekas berpaling. Melihat seorang gadis berbaju
kurung dan berambut ikal mayang sedang berdiri di hadapannya, mulutnya
ternganga tanpa disedari. Mak oii cantiknya awek ni! Kalau cantik macam ni,
jangan katakan umur 28 tahun, kalau umur 38 tahun pun dia sanggup masuk
meminang. Cun!
“Zain?” Tanya gadis itu dengan suara dan wajah yang
mempesona.
Dia mengangguk tanpa suara. Speechless beb! Kalau berhadapan dengan bidadari secantik ini,
suara sudah tidak penting. Yang penting hatinya sudah dipanah si Cupid.
“Boleh saya duduk?” Suara itu singgah lagi.
“Maaf, sila duduk.” Dia berlagak sopan. Cepat-cepat
bangun lalu menarik kerusi untuk gadis itu melepaskan penat. Wajah ayu yang
bersolek tipis itu ditatap separuh terpegun. Terpesona dengan kecantikan yang
lebih terserlah di luar berbanding sekeping potret yang dibawa Mak Long
Piahnya.
“Dah lama tunggu?”
“Eh tak..kejap aje.” Mangkuk kau Zain! Dua jam lebih dah
kau tunggu dia!
“Senang ke nak cari Jumbo Jeep ni tadi?” Soal gadis itu
lagi.
“Err...melilau jugalah saya cari tadi. Tapi mujur tanya
orang sana
sini, jumpa juga akhirnya. Itupun saya dah ada kat sini sejak pukul 6 tadi
lagi.” Zain tersengih.
“Ini memang restoran kegemaran saya. Selalu kalau saya nak
jumpa orang, kat sinilah tempatnya. Tempat duduk ni pun favourite saya.” Ujar gadis itu sambil tersenyum lagi. Hati Zain
terus cair bak aiskrim cornetto yang
duduk dalam peti ais yang tak ada eletrik.
“Err..kita pesan makanan dulu ya Cik..” Alamak, lupa
pulak nama awek ni!
“Syafika. Tapi panggil saya Cika aje cukuplah.” Ujar si
gadis.
Cika? Hui..nama pun ala-ala manja-manja kucing gitu. Zain
sudah tersengih lebar sehingga ke telinga. Dia segera mengangkat tangan ke arah
pelayan restoran yang asyik memandang ke arahnya.
“Ya encik, nak pesan apa?” Tanya pelayan restoran itu
seraya menyerahkan dua keping menu yang sejak tadi setia dikepitnya. Sesekali
mata si pelayan menjeling ke arah gadis itu. Zain perasan akan tingkah laku
pelayan itu. Ni mesti si pelayan itu pun kagum dengan kecantikan gadis di
hadapannya. Zain tidak pula merasa marah atau cemburu, sebaliknya dia rasa
bangga pula dapat makan tengahari bertemankan gadis lawa itu.
“Cik Cika nak makan apa?” Zain memandang gadis itu.
“Hmm..apa yang sedap kat sini?” Soal Cika pada pelayan
restoran itu.
“Err..semuanya sedap cik.”
“Mana awak tahu semuanya sedap? Awak dah pernah rasa
semua ke?”
Pelayan itu mati kutu mahu menjawab. Zain juga terdiam. Tapi
dia cepat-cepat ketawa untuk menyorokkan rasa kekok yang melandanya saat ini.
Objektif betul perempuan ni! Bagus! Aku memang suka perempuan yang
berterus-terang begini, bisik Zain.
“Apa yang paling mahal?” Soalan Cika belum habis.
“Err..western dish
yang paling mahal setakat ini.” Jawab pelayan itu antara yakin dengan tidak.
“Beef steak ni?
Mahal apa bendanya pun, harga baru RM15.90 je?” Selar Cika selamba. Matanya
masih tertumpu pada kad menu di tangannya.
Zain terkedu. Tak cukup mahal ke tu? Agaknya sebab dia
anak orang kaya, jadi makanan pun mesti memilih. Bagus! Tak apa, dia pun
memilih makanan juga. Sistem penghadamannnya yang kurang baik, membuatkan dia
terpaksa berhati-hati memilih makanan yang sesuai dengan perutnya.
“Okeylah, bawakan saya beef steek satu, chicken chop,
nasi goreng USA, salad buah semangkuk, mushroom
soup dengan chicken stew. Air
pula saya nak jus tembikai campur dengan laici. Bawakan juga satu mangkuk ais
kacang dengan campuran kismis.” Pesan Cika sambil tersenyum memandang ke arah
Zain yang sudah ternganga mulutnya. Terkejut mendengar gadis itu memesan
makanan. Siapa yang hendak melantak sebanyak itu?
“Awak tak kisah kan
Zain, saya oder banyak macam ni? Saya belum makan tengahari lagi hari ni, sebab
tu lapar sangat.” Ujar gadis itu berterus-terang.
“Eh takpe..takpe..pesan aje apa yang Cik Cika suka. Saya
tak kisah.” Zain cepat-cepat menyampuk. Gila kau tak kisah Zain? Itu bukan lagi
tahap nak makan tengahari, tapi dah masuk tahap kedarah tu.
Sebaik makanan yang dipesan sampai, Cika terus menyuap
makanan ke mulutnya. Lepas satu-satu disantapnya. Zain yang memerhatikan gadis
itu hanya mampu menarik nafas panjang. Dia merenung pinggan nasi goreng ayam di
hadapannya yang tak setara dibandingkan dengan makanan-makanan yang dipesan gadis
itu sehingga memenuhi meja.
Melihat dari gaya
gadis itu makan, dia sudah jadi keliru. Aik tadi bukan main lemah lembut dan bersopan
santun. Takkan sekejap aje dah bertukar jadi macam ni? Muka cantik, tapi makan
bersepah. Yang paling dia tak tahan, gelagat Cika yang makan bising. Habis
semua sudu dan garpu yang dipegangnya berlaga, menyebabkan meja mereka menjadi
tumpuan mata-mata pengunjung lain. Naik sebal mukanya menahan malu. Rasa macam
nak lari aje!
“Lapar betul ya Cik Cika hari ni.” Zain bersuara antara
dengar dengan tidak.
“Saya memang kuat makan. Kalau saya penat, lagi banyak
yang saya makan.” Ujar Cika tersengih.
“Penat? Cik Cika penat kenapa? Sibuk kat pejabat ke?”
Cika ketawa kecil. “Biasalah orang macam saya ni mana
boleh duduk diam. Saya banyak kenalan, mesti la kena keluar entertain orang. Semalam saya balik dari
Palais Crystal aje dah pukul tiga pagi. Mana tak penat.” Keluh Cika sambil
mulutnya tak berhenti-henti mengunyah.
Zain menggaru kepala. Palais Crystal ? Apa benda tu?
“Palais Crystal
tu apa Cik Cika?” Tanya Zain bingung.
“Oh itu kelab malam ekslusif. Tempat lepak saya tiap-tiap
malam. Lain kali kita boleh lepak sana
kalau awak nak.” Ujar Cika selamba.
Zain sudah tersedak mendengarnya. Kelab malam?
“Err..Cik Cika pun pergi kelab malam?”
Cika berhenti makan lalu meletakkan garpu dan sudu di
tangannya. Matanya memandang tajam ke arah Zain yang sudah seperti ikan buntal.
“Mereka tak beritahu awak yang saya suka clubbing?”
Zain menggeleng lagi. Liur ditelan terasa pahit. Aduh! Apa
spesies perempuan yang dicari Mak Long Piahnya kali ini? Keluh Zain pusing
kepala.
Cika tiba-tiba menghempas sudu dan garpunya ke tepi. Zain
tergaman. Wajah yang cantik itu mula bertukar berang.
“Lain kali kalau awak nak date dengan saya, jangan pilih restoran murah macam ni lagi.
Paling-paling kurang pun bawalah saya pergi candle
light dinner dekat restoran yang high
class sikit. Buat malu saya aje nak masuk restoran ni. Nanti apa kata
kawan-kawan saya kalau mereka nampak saya masuk Jumbo Jeep ni?” Leter Cika. Dia
langsung tidak memberi peluang Zain bersuara.
Sekali lagi Zain telan liur. Gugup bercampur bingung.
Hari yang sepatutnya menjadi penentu kepada kebahagiaan hidupnya kini menjadi
sebuah kisah nightmare. That girl is a nightmare! Gambar yang
Mak Long Piah tunjukkan padanya memang langsung tak boleh dipercayai. Cantik
memanglah cantik, tapi perangai tak boleh pakai.
“Err Cik Cika makanlah dulu. Saya..saya nak ke tandas
sekejap.” Zain tergagap-gagap memberitahu.
Cika memandang lelaki itu dari atas ke bawah. Zain mulai
gugup, bimbang cakap-cakapnya tidak dipercayai gadis yang nampak brutal itu.
“Jangan lupa bayar dulu makanan yang saya oder ni.” Ujar
Cika selamba.
Zain menelan liur. Cis! Mati-mati aku ingatkan dia nak
tanya macam-macam. Rupa-rupanya nak pastikan makanan berbayar sahaja. Dengan
masam manis, Zain mengangguk sambil sudah bersiap sedia dengan dompetnya. Get ready nak membayar harga makanan
yang dipesan gadis itu kerana bukan tandas destinasi sebenarnya. Zain sudah
berhajat mahu meninggalkan gadis kerek blind
datenya yang tidak menjadi kali ini. What
a day!
Sepeninggalan lelaki itu, Cika menarik nafas panjang.
Lega sungguh rasanya! Tak sangka taktiknya menjadi. Lucu pula rasanya dia
apabila mengenangkan wajah lelaki itu yang masam-masam payau memandangnya. Selepas
ini dia amat pasti, lelaki itu tidak akan kembali lagi ke meja mereka. Silap-silap
haribulan lelaki itu takkan berani blind
date dengan sebarangan gadis lain. Dahlah nama ala-ala Jeffri Zain, Anuar
Zain, Maher Zain, Nora Zain..erks..banyaknya Zain! Cika tersengih-sengih.
Dia segera menguis seorang
pelayan lelaki di situ.
“Err tolong tapau semua
makanan-makanan ni ya.” Pinta Cika. Si pelayan tercengang-cengang sebentar
sebelum mengangkut semua pinggan-pinggan mangkuk yang penuh berisi dengan
makanan.
“Macam biasa ya cik?” Tanya
pelayan lelaki itu.
Cika hanya mengangguk.
Tersengih. Ya macam biasa. Inilah untungnya pergi blind date di restoran yang sama sahaja. Pelayan lelaki itu pun
seakan sudah faham rutin hariannya setiap kali malam Isnin dan Sabtu, dua
minggu sekali.
“Kejap lagi saya ambil.”
Ujar Cika. Rugi kalau tak tapau makanan yang dah berbayar ini. Dia segera mencapai
beg tangannya, ingin beredar ke bilik air sebentar.
Dari jauh, gerak-geri Cika
diperhatikan beberapa orang pelayan dari arah kaunter. Pelayan yang mengambil
makanan yang ingin ditapau juga sudah sampai ke arah kaunter.
“Tapau macam biasa?” Tanya
salah seorang dari lelaki-lelaki pelayan itu.
Si pelayan yang satu lagi
hanya mengangguk lalu tersengih.
“Masuk kali ni dah berapa kali ya?”
“Rasanya itu yang ke
sepuluh.”
“Taklah, ini yang ke tiga
belas.”
“Macamana kau tahu?”
“Aku ada kira.” Ujar salah
seorang pelayan yang tinggi lampai sambil tergelak besar, disahut gelak ketawa
rakan-rakannya yang lain. Yang pasti, setiap kali Cika datang, mereka sentiasa alert. Ini kerana gadis itu sering
sahaja duduk di tempat duduk yang sama. Malah selalu pula menempah
makanan-makanan yang banyak untuk ditapau balik.
“Apa bising-bising sangat ni?” Muncul satu suara
dari suatu arah.
Serentak tiga pelayan yang
berada di kaunter itu menoleh. Seorang lelaki dalam usia awal 30an sedang
melangkah ke arah mereka dengan wajah berkerut.
“Tak adalah abang Jak, kami
tengah cerita fasal girl yang selalu
datang blind date kat tempat kita ni?”
Ujar salah seorang dari pelayan tersebut.
“Kenapa dengan dia? Dia
datang ke malam ni?” Soal Jak seraya mengerling di sekitar restoran itu. Sudah
lama dia teringin mahu kenal dengan gadis yang menyebabkan keuntungan
restorannya bertambah. Manakan tidak, hampir setiap minggu gadis itu akan
memesan banyak makanan untuk dibawa balik. Menurut salah seorang dari pelayan di
situ, gadis itu juga kadangkala akan menempah makanan tengahari di situ dalam
kuantiti yang banyak untuk sebuah syarikat.
“Tadi dia ada datang abang
Jak. Kami tengah tapau makanan dia.”
“Tak apalah, nanti kalau dia
ada, panggilkan abang. Abang nak kenal.” Ujar Jak lalu melangkah ke arah
pejabatnya yang terletak di belakang dapur.
“Oh ya, Nadim ada datang
hari ni?” Langkah Jak terhenti seketika.
“Ada bang, dia kat dalam. Tadi ada seorang
perempuan datang cari dia. Mereka tengah bercakap-cakap kat dalam agaknya.”
Ujar lelaki itu.
Jak terdiam. Perempuan?
Siapa pula yang mencari Nadim pada waktu-waktu begini? Marseila kah?
3 comments:
Best.... #^_^
Dah mula jatuh suka dengan watak dalam novel ni.... #^_^
betul2 dah risik kat kedai buku tapi lum ada lagi :( , diaorg ckp tak smp gie.....
Dekat popular dengan mph ada jual ke? akak cerita ni memang bestt gila . Mohon akak cepatlah post bab 23 secepat yang mungkin . Dah lama saya tunggu :(
Post a Comment