Followers

Tuesday, April 2, 2013

Alamak! Lagi-Lagi Dia : Bab 7


SEJAK dua jam yang lalu, seorang lelaki gigih menanti seseorang di sebuah meja yang agak tersorok. Sesekali lelaki itu menyapu keringat di dahinya yang terus mengalir walaupun restoran itu dipasang dengan aircond. Bukan kerana aircond di situ sudah rosak, tapi kerana lelaki itu sendiri berada dalam kegelisahan.

            Dia duduk serba tidak kena. Malah gelas air kosong di hadapannya sudah lapan kali diteguk dan sembilan kali dituang tambah oleh pelayan restoran yang tetap setia menjalankan tugas.

            “Encik nak pesan apa-apa ke?” Seorang pelayan berhenti di mejanya. Bersedia dengan kepingan kertas menu di tangan.

            Hmm...saya tengah tunggu orang.” Tergagap-gagap dia cuba menjelaskan.

            Pelayan itu mengangguk lalu beredar. Tapi kerutan di wajah pelayan itu sempat disapa sepasang matanya. Dia tahu, pasti pelayan itu hairan kerana dia sudah berada cukup lama di restoran itu. Betullah kata orang. Penantian itu suatu penyeksaan. Lagi-lagi dia menanti seseorang yang dia langsung tidak kenal. Hanya wajah dan lirikan mata itu sahaja yang dikenalinya. Itupun sekadar di dalam sekeping gambar yang ditunjukkan oleh ibu saudaranya.

            “Dia bukan calang-calang perempuan. Orangnya berpelajaran, cantik, baik budi bahasa, ramah tamah dan pendek kata bersopan santun. Bukan calon isteri macam ni ke yang mak kamu mahu Zain?” Tanya Mak Long Piah.

            Dia merenung gambar gadis itu berulangkali. Memang cantik pun calon yang diperkenalkan ibu saudaranya itu! Hatinya sedikit sebanyak sudah berkenan.

            “Kalau kamu setuju, nanti Mak Long aturkan pertemuan kamu dengan dia. Bertuah kamu Zain kalau dapat kahwin dengan dia ni. Mak Long dengar mak ayah dia pun dah bising-bising nak cari calon menantu.” Cerita Mak Long Piah bersungguh-sungguh.

            “Berapa umur dia ni Mak Long?” Dia bertanya, ingin tahu.

            “Umur dia dah nak masuk 28 tahun.”

            “Hmm..taklah muda sangat.” Entah kenapa dia berkata begitu. Rasa macam hilang teruja bila dengar umur yang dah nak masuk 30an itu.

            Mak Long Piah terkebil-kebil memandangnya. “Hai kamu pun dah masuk 30 tahun lebih, sesuailah tu. Lagipun kamu sendiri yang kata hari tu nakkan perempuan yang cantik, ada kerjaya tetap, pandai memasak.”

            Dia hanya tersengih. Memang itulah kriteria gadis idamannya. Bukan dia sengaja meletakkan kriteria seperti itu, tapi dia pun seperti lelaki lain juga. Perlukan isteri yang cantik untuk ditayang di hadapan teman-temannya.

            “Dia kerja apa Mak Long?” Soalnya lagi, belum habis mewawancara ibu saudaranya yang menjadi telangkai tak berbayar.

            Orang tua itu sudah tersengih-sengih.

            “Kalau kamu nak tahu, si Syafika ni ada syarikat sendiri. Tak ingat pulak mak long syarikat apa. Kamu dah jumpa lubuk emas Zain oi..bertuah kalau kamu kahwin dengan dia.” Mak Long Piah pula yang terover gembira.

            “Assalamulaikum.” Suara lembut mendayu-dayu itu muncul di belakangnya, sekaligus memadamkan lamunannya yang terawang-awang. Suara Mak Long Piah hilang begitu sahaja.

            Dia lekas-lekas berpaling. Melihat seorang gadis berbaju kurung dan berambut ikal mayang sedang berdiri di hadapannya, mulutnya ternganga tanpa disedari. Mak oii cantiknya awek ni! Kalau cantik macam ni, jangan katakan umur 28 tahun, kalau umur 38 tahun pun dia sanggup masuk meminang. Cun!

            “Zain?” Tanya gadis itu dengan suara dan wajah yang mempesona.

            Dia mengangguk tanpa suara. Speechless beb! Kalau berhadapan dengan bidadari secantik ini, suara sudah tidak penting. Yang penting hatinya sudah dipanah si Cupid.

            “Boleh saya duduk?” Suara itu singgah lagi.

            “Maaf, sila duduk.” Dia berlagak sopan. Cepat-cepat bangun lalu menarik kerusi untuk gadis itu melepaskan penat. Wajah ayu yang bersolek tipis itu ditatap separuh terpegun. Terpesona dengan kecantikan yang lebih terserlah di luar berbanding sekeping potret yang dibawa Mak Long Piahnya.

            “Dah lama tunggu?”

            “Eh tak..kejap aje.” Mangkuk kau Zain! Dua jam lebih dah kau tunggu dia!

            “Senang ke nak cari Jumbo Jeep ni tadi?” Soal gadis itu lagi.

            “Err...melilau jugalah saya cari tadi. Tapi mujur tanya orang sana sini, jumpa juga akhirnya. Itupun saya dah ada kat sini sejak pukul 6 tadi lagi.” Zain tersengih.

            “Ini memang restoran kegemaran saya. Selalu kalau saya nak jumpa orang, kat sinilah tempatnya. Tempat duduk ni pun favourite saya.” Ujar gadis itu sambil tersenyum lagi. Hati Zain terus cair bak aiskrim cornetto yang duduk dalam peti ais yang tak ada eletrik.

            “Err..kita pesan makanan dulu ya Cik..” Alamak, lupa pulak nama awek ni!

            “Syafika. Tapi panggil saya Cika aje cukuplah.” Ujar si gadis.

            Cika? Hui..nama pun ala-ala manja-manja kucing gitu. Zain sudah tersengih lebar sehingga ke telinga. Dia segera mengangkat tangan ke arah pelayan restoran yang asyik memandang ke arahnya.

            “Ya encik, nak pesan apa?” Tanya pelayan restoran itu seraya menyerahkan dua keping menu yang sejak tadi setia dikepitnya. Sesekali mata si pelayan menjeling ke arah gadis itu. Zain perasan akan tingkah laku pelayan itu. Ni mesti si pelayan itu pun kagum dengan kecantikan gadis di hadapannya. Zain tidak pula merasa marah atau cemburu, sebaliknya dia rasa bangga pula dapat makan tengahari bertemankan gadis lawa itu.

            “Cik Cika nak makan apa?” Zain memandang gadis itu.

            “Hmm..apa yang sedap kat sini?” Soal Cika pada pelayan restoran itu.

            “Err..semuanya sedap cik.”

            “Mana awak tahu semuanya sedap? Awak dah pernah rasa semua ke?”

            Pelayan itu mati kutu mahu menjawab. Zain juga terdiam. Tapi dia cepat-cepat ketawa untuk menyorokkan rasa kekok yang melandanya saat ini. Objektif betul perempuan ni! Bagus! Aku memang suka perempuan yang berterus-terang begini, bisik Zain.

            “Apa yang paling mahal?” Soalan Cika belum habis.

            “Err..western dish yang paling mahal setakat ini.” Jawab pelayan itu antara yakin dengan tidak.

            Beef steak ni? Mahal apa bendanya pun, harga baru RM15.90 je?” Selar Cika selamba. Matanya masih tertumpu pada kad menu di tangannya.

            Zain terkedu. Tak cukup mahal ke tu? Agaknya sebab dia anak orang kaya, jadi makanan pun mesti memilih. Bagus! Tak apa, dia pun memilih makanan juga. Sistem penghadamannnya yang kurang baik, membuatkan dia terpaksa berhati-hati memilih makanan yang sesuai dengan perutnya.

            “Okeylah, bawakan saya beef steek satu, chicken chop, nasi goreng USA, salad buah semangkuk, mushroom soup dengan chicken stew. Air pula saya nak jus tembikai campur dengan laici. Bawakan juga satu mangkuk ais kacang dengan campuran kismis.” Pesan Cika sambil tersenyum memandang ke arah Zain yang sudah ternganga mulutnya. Terkejut mendengar gadis itu memesan makanan. Siapa yang hendak melantak sebanyak itu?

            “Awak tak kisah kan Zain, saya oder banyak macam ni? Saya belum makan tengahari lagi hari ni, sebab tu lapar sangat.” Ujar gadis itu berterus-terang.

            “Eh takpe..takpe..pesan aje apa yang Cik Cika suka. Saya tak kisah.” Zain cepat-cepat menyampuk. Gila kau tak kisah Zain? Itu bukan lagi tahap nak makan tengahari, tapi dah masuk tahap kedarah tu.

            Sebaik makanan yang dipesan sampai, Cika terus menyuap makanan ke mulutnya. Lepas satu-satu disantapnya. Zain yang memerhatikan gadis itu hanya mampu menarik nafas panjang. Dia merenung pinggan nasi goreng ayam di hadapannya yang tak setara dibandingkan dengan makanan-makanan yang dipesan gadis itu sehingga memenuhi meja.

            Melihat dari gaya gadis itu makan, dia sudah jadi keliru. Aik tadi bukan main lemah lembut dan bersopan santun. Takkan sekejap aje dah bertukar jadi macam ni? Muka cantik, tapi makan bersepah. Yang paling dia tak tahan, gelagat Cika yang makan bising. Habis semua sudu dan garpu yang dipegangnya berlaga, menyebabkan meja mereka menjadi tumpuan mata-mata pengunjung lain. Naik sebal mukanya menahan malu. Rasa macam nak lari aje!

            “Lapar betul ya Cik Cika hari ni.” Zain bersuara antara dengar dengan tidak.

            “Saya memang kuat makan. Kalau saya penat, lagi banyak yang saya makan.” Ujar Cika tersengih.

            “Penat? Cik Cika penat kenapa? Sibuk kat pejabat ke?”

            Cika ketawa kecil. “Biasalah orang macam saya ni mana boleh duduk diam. Saya banyak kenalan, mesti la kena keluar entertain orang. Semalam saya balik dari Palais Crystal aje dah pukul tiga pagi. Mana tak penat.” Keluh Cika sambil mulutnya tak berhenti-henti mengunyah.

            Zain menggaru kepala. Palais Crystal? Apa benda tu?

            “Palais Crystal tu apa Cik Cika?” Tanya Zain bingung.

            “Oh itu kelab malam ekslusif. Tempat lepak saya tiap-tiap malam. Lain kali kita boleh lepak sana kalau awak nak.” Ujar Cika selamba.

            Zain sudah tersedak mendengarnya. Kelab malam?

            “Err..Cik Cika pun pergi kelab malam?”

            Cika berhenti makan lalu meletakkan garpu dan sudu di tangannya. Matanya memandang tajam ke arah Zain yang sudah seperti ikan buntal.

            “Mereka tak beritahu awak yang saya suka clubbing?”

            Zain menggeleng lagi. Liur ditelan terasa pahit. Aduh! Apa spesies perempuan yang dicari Mak Long Piahnya kali ini? Keluh Zain pusing kepala.

            Cika tiba-tiba menghempas sudu dan garpunya ke tepi. Zain tergaman. Wajah yang cantik itu mula bertukar berang.

            “Lain kali kalau awak nak date dengan saya, jangan pilih restoran murah macam ni lagi. Paling-paling kurang pun bawalah saya pergi candle light dinner dekat restoran yang high class sikit. Buat malu saya aje nak masuk restoran ni. Nanti apa kata kawan-kawan saya kalau mereka nampak saya masuk Jumbo Jeep ni?” Leter Cika. Dia langsung tidak memberi peluang Zain bersuara.

            Sekali lagi Zain telan liur. Gugup bercampur bingung. Hari yang sepatutnya menjadi penentu kepada kebahagiaan hidupnya kini menjadi sebuah kisah nightmare. That girl is a nightmare! Gambar yang Mak Long Piah tunjukkan padanya memang langsung tak boleh dipercayai. Cantik memanglah cantik, tapi perangai tak boleh pakai.

            “Err Cik Cika makanlah dulu. Saya..saya nak ke tandas sekejap.” Zain tergagap-gagap memberitahu.

            Cika memandang lelaki itu dari atas ke bawah. Zain mulai gugup, bimbang cakap-cakapnya tidak dipercayai gadis yang nampak brutal itu.

            “Jangan lupa bayar dulu makanan yang saya oder ni.” Ujar Cika selamba.

            Zain menelan liur. Cis! Mati-mati aku ingatkan dia nak tanya macam-macam. Rupa-rupanya nak pastikan makanan berbayar sahaja. Dengan masam manis, Zain mengangguk sambil sudah bersiap sedia dengan dompetnya. Get ready nak membayar harga makanan yang dipesan gadis itu kerana bukan tandas destinasi sebenarnya. Zain sudah berhajat mahu meninggalkan gadis kerek blind datenya yang tidak menjadi kali ini. What a day!

            Sepeninggalan lelaki itu, Cika menarik nafas panjang. Lega sungguh rasanya! Tak sangka taktiknya menjadi. Lucu pula rasanya dia apabila mengenangkan wajah lelaki itu yang masam-masam payau memandangnya. Selepas ini dia amat pasti, lelaki itu tidak akan kembali lagi ke meja mereka. Silap-silap haribulan lelaki itu takkan berani blind date dengan sebarangan gadis lain. Dahlah nama ala-ala Jeffri Zain, Anuar Zain, Maher Zain, Nora Zain..erks..banyaknya Zain! Cika tersengih-sengih.

Dia segera menguis seorang pelayan lelaki di situ.

“Err tolong tapau semua makanan-makanan ni ya.” Pinta Cika. Si pelayan tercengang-cengang sebentar sebelum mengangkut semua pinggan-pinggan mangkuk yang penuh berisi dengan makanan.

“Macam biasa ya cik?” Tanya pelayan lelaki itu.

Cika hanya mengangguk. Tersengih. Ya macam biasa. Inilah untungnya pergi blind date di restoran yang sama sahaja. Pelayan lelaki itu pun seakan sudah faham rutin hariannya setiap kali malam Isnin dan Sabtu, dua minggu sekali.

“Kejap lagi saya ambil.” Ujar Cika. Rugi kalau tak tapau makanan yang dah berbayar ini. Dia segera mencapai beg tangannya, ingin beredar ke bilik air sebentar.

Dari jauh, gerak-geri Cika diperhatikan beberapa orang pelayan dari arah kaunter. Pelayan yang mengambil makanan yang ingin ditapau juga sudah sampai ke arah kaunter.

“Tapau macam biasa?” Tanya salah seorang dari lelaki-lelaki pelayan itu.

Si pelayan yang satu lagi hanya mengangguk lalu tersengih.

 “Masuk kali ni dah berapa kali ya?”

“Rasanya itu yang ke sepuluh.”

“Taklah, ini yang ke tiga belas.”

“Macamana kau tahu?”

“Aku ada kira.” Ujar salah seorang pelayan yang tinggi lampai sambil tergelak besar, disahut gelak ketawa rakan-rakannya yang lain. Yang pasti, setiap kali Cika datang, mereka sentiasa alert. Ini kerana gadis itu sering sahaja duduk di tempat duduk yang sama. Malah selalu pula menempah makanan-makanan yang banyak untuk ditapau balik.

“Apa  bising-bising sangat ni?” Muncul satu suara dari suatu arah.

Serentak tiga pelayan yang berada di kaunter itu menoleh. Seorang lelaki dalam usia awal 30an sedang melangkah ke arah mereka dengan wajah berkerut.

“Tak adalah abang Jak, kami tengah cerita fasal girl yang selalu datang blind date kat tempat kita ni?” Ujar salah seorang dari pelayan tersebut.

“Kenapa dengan dia? Dia datang ke malam ni?” Soal Jak seraya mengerling di sekitar restoran itu. Sudah lama dia teringin mahu kenal dengan gadis yang menyebabkan keuntungan restorannya bertambah. Manakan tidak, hampir setiap minggu gadis itu akan memesan banyak makanan untuk dibawa balik. Menurut salah seorang dari pelayan di situ, gadis itu juga kadangkala akan menempah makanan tengahari di situ dalam kuantiti yang banyak untuk sebuah syarikat.

“Tadi dia ada datang abang Jak. Kami tengah tapau makanan dia.”

“Tak apalah, nanti kalau dia ada, panggilkan abang. Abang nak kenal.” Ujar Jak lalu melangkah ke arah pejabatnya yang terletak di belakang dapur.

“Oh ya, Nadim ada datang hari ni?” Langkah Jak terhenti seketika.

Ada bang, dia kat dalam. Tadi ada seorang perempuan datang cari dia. Mereka tengah bercakap-cakap kat dalam agaknya.” Ujar lelaki itu.

Jak terdiam. Perempuan? Siapa pula yang mencari Nadim pada waktu-waktu begini? Marseila kah?

3 comments:

NurAtiZa said...

Best.... #^_^
Dah mula jatuh suka dengan watak dalam novel ni.... #^_^

ciku said...

betul2 dah risik kat kedai buku tapi lum ada lagi :( , diaorg ckp tak smp gie.....

Anonymous said...

Dekat popular dengan mph ada jual ke? akak cerita ni memang bestt gila . Mohon akak cepatlah post bab 23 secepat yang mungkin . Dah lama saya tunggu :(

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!