Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 11


            Mata Duha Maisara bulat memandang ke arah pintu rumahnya yang terbuka lebar. Pasu bunga yang berderet tiga serangkai di tepi pagar, habis pecah berderai bagaikan dilanda garuda. Dia terlopong. Kakinya diatur perlahan-lahan ke arah rumahnya. Hendak masuk dia bimbang. Risau ada orang lain menantinya di situ. Hendak memanggil jiran sebelah rumah pula, dia berat hati mahu mengganggu, apatah lagi jam sudah menunjukkan pukul 12.15 tengah malam. Sudah terlalu lewat.

            Hendak tak hendak, Duha Maisara memberanikan diri melangkah masuk. Terkejut besar dia melihat barang-barang rumah itu habis dipecahkan. Dia cuba memanggil nama ayahnya, namun tidak bersahut.

            Oh tuhan, apakah lelaki botak yang mengejarnya di Blue Ocean tadi yang punya angkara? Ayah, apa lagi yang ayah dah buat kali ini? Kenapa mereka mengejar Duha sampai ke mari? Duha Maisara diamuk resah. Bimbang juga ada jikalalau lelaki-lelaki itu kembali semula ke situ. Apa patut aku buat? Ke mana harus aku pergi?

            Sudahlah fikirannya bercelaru kerana peristiwa tadi. Kini ditambah lagi satu masalah. Entah mengapa, dada Duha Maisara seakan berdebar-debar sebaik teringatkan bagaimana sikap lelaki itu terhadapnya tadi. Apatah lagi renungan lelaki itu menikam tepat ke wajahnya. Dia takut, namun sekaligus terbuai dengan tingkah laku lelaki yang pendiam itu. Sentuhan lelaki itu dibahunya membuatkan emosinya bergolak. Menyedari wajah lelaki itu semakin dekat ke wajahnya, dia semakin lemas. Semakin takut. Namun mujurlah tindakan lelaki itu hanya setakat itu.

            Duha Maisara terduduk lemah di muka pintu. Entah mengapa tubuhnya seakan tidak berdaya. Banyak benar masalah yang berlaku terhadapnya malam ini. Sampai bila hidup aku akan begini? Dia meraup wajahnya dengan kedua tapak tangannya. Apa yang dia boleh buat hanyalah berserah pada takdir tuhan. Entah di mana ayahnya sekarang ini.        Tiba-tiba dia teringatkan Zafran. Patutkah aku hubungi Zafran? Mungkin juga ayah ada di apartment Zafran sekarang ini. Laju tangan Duha Maisara mendail nombor telefon lelaki itu.

*  *  *  *

            Zafran berlari-lari anak ke tingkat bawah rumah sewanya. Dari jauh dia melihat Duha Maisara sedang duduk menunggu di sebuah bangku kosong sambil berpeluk tubuh. Sebuah beg pakaian dibawa bersamanya. Langkah Zafran terhenti. Lama matanya terpaku ke arah Duha Maisara yang memeluk tubuh menahan kedinginan malam. Melihat gadis itu, hati Zafran terasa sakit tiba-tiba. Dia menarik nafas panjang sebelum perlahan-lahan mengorak langkah.

“Abang.” Duha Maisara terasa lega melihat kemunculan Zafran. Dia bingkas bangun dari kerusi batu yang didudukinya. Namun tubuhnya hampir jatuh. Zafran terkejut, namun dengan cepat memaut tubuh Duha Maisara kembali ke arah kerusi.

“Duha ni kenapa?” Tanya Zafran terkejut.

Duha Maisara tertawa lepas. “Duha tak apa-apa, agaknya badan Duha ni penat. Ayah ada kat rumah abang?” Soal Duha Maisara pula. Zafran mengerutkan dahinya. Kenapa tiba-tiba bertanya tentang lelaki itu?

“Ayah belum balik?” Soal Zafran pula tanpa menjawab pertanyaan gadis itu.

Duha Maisara terkedu. Jadi ayahnya tiada di rumah Zafran? Hati Duha Maisara berdetik kencang. Entah ke mana lelaki itu pergi agaknya. Duha Maisara bimbang jika berlaku sesuatu yang tak baik pada lelaki itu. Biar bagaimana sekalipun lelaki itu melayaninya, namun dia tetap risau keselamatan lelaki itu. Namun untuk diluahkan pada Zafran, dia tidak berani. Lagipun dia faham benar dengan perangai Zafran yang panas baran.

“Duha, ayah ke mana? Kenapa Duha cari abang tengah-tengah malam macam ni?” Soal Zafran seraya mengerutkan dahinya. Wajah gadis kecil molek di hadapannya direnung tidak berkelip. Entah kenapa firasatnya kuat mengatakan, ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Duha Maisara.

“Err Duha sebenarnya nak tumpang rumah abang malam ni. Duha ingatkan ayah ada dekat sini. Kalau tak ada tak apalah, Duha balik dulu.” Anak gadis itu mahu beredar, namun Zafran terlebih dahulu memaut lengannya.

Duha Maisara terpaku melihat jari-jemari lelaki itu melekat kuat di lengannya. Perlahan-lahan dia memberanikan diri menatap renungan Zafran yang singgah di wajahnya. Hatinya rasa terhimpit. Hendak berterus terang dengan Zafran, dia bimbang ayahnya akan mengamuk jika tahu. Apa yang boleh dia lakukan hanyalah berdiam diri Jikalau Zafran terus-menerus mahu menggorek cerita, rasanya lebih baik dia beredar segera.

Mata Zafran memandang beg pakaian yang dibawa oleh Duha Maisara. Dia diterpa rasa hairan. Kenapa Duha Maisara tinggalkan rumah? Mahu ke mana dia sebenarnya? Namun melihat kerut resah di wajah itu, dia tidak jadi bertanya. Sudahnya beg pakaian yang berada di tangan Duha Maisara segera diambil.

Sebelah tangannya pula memegang erat tangan gadis itu. Terpegun Duha Maisara melihat Zafran menghela langkahnya ke arah apartmentnya.

*  *  *  *

            Dia menatang segelas minuman menuju ke ruang tamu. Namun langkahnya terhenti sebaik terpandang sesusuk tubuh sedang tertidur kepenatan di atas sofa. Zafran mengeluh. Perlahan-lahan dia merapati Duha Maisara.

            Wajah Duha Maisara kelihatan begitu lena. Pasti gadis itu penat benar, jika tidak masakan sampai tertidur pulas. Zafran segera berlalu ke biliknya. Tak lama kemudian dia mengambil selimut dari dalam biliknya. Tubuh Duha Maisara yang kedinginan menahan sejuk segera dibalut kemas.

            Lama mata Zafran menatap ke wajah itu. Wajah anak kecil yang dahulu selalu muram, kini kian dewasa. Wajah comel itu kian ayu. Siapa saja yang menatap wajah Duha Maisara pasti akan tertarik melihatnya berulangkali. Termasuk dia yang selalu merindui gadis itu siang dan malam. Apa dayanya kerana dia harus menggapai cita-citanya terlebih dahulu, sebelum membawa Duha Maisara ke sangkar bahagia.

            Maafkan abang Duha, abang tahu Duha tak bahagia hidup dengan abang dan ayah. Sejak dulu abang tahu, tapi entah mengapa hati abang seakan tak mengizinkan Duha pergi dari hidup abang. Abang memang mementingkan diri. Abang tahu hidup Duha menderita bersama ayah, tapi abang pura-pura tidak tahu. Jahatkah abang ini Duha?

            Zafran menarik nafas panjang. Namun setiap nafas yang dihela membuaikan emosinya pada kisah lama. Kehadiran Duha Maisara dalam hidupnya seakan memberi sinar baru.

            “Comelnya budak ni, siapa ni Zafran? Adik kamu?” Tanya seorang perempuan, kenalan ayahnya.

            Dia hanya mengangguk. Gembira kerana ramai orang menyangka Duha Maisara adalah adiknya.

            “Tapi selama ni aku tak tahu pun Bustaman ada anak perempuan. Lepas Delilah melahirkan Zafran, dia kan meninggal dunia. Mana datangnya budak ni?” Tanya salah seorang perempuan lain.

            Dia hanya terkedu mendengar perbualan keduanya. Tangan Duha Maisara segera diraih pergi. Walau apapun cakap orang, dia sudah berikrar, Duha Maisara adalah adiknya. Malah dia akan melindungi gadis itu sehingga ke akhir hayatnya. Itu janjinya sejak dulu.

            Tapi hidup Duha Maisara tak seindah yang diinginkannya terhadap gadis itu. Malah Zafran kerap rasa bersalah. Kalau saja dia setuju ayahnya meninggalkan Duha Maisara ketika hendak lari dari ceti haram dulu, mana mungkin Duha Maisara akan mengalami kepahitan hidup sedari kecil sehinggalah dewasa. Sejak kecil, keringat Duha Maisara sudah diperah. Berbagai jenis kerja, dibuat oleh gadis itu tak kira siang atau malam. Ke hulu ke hilir Duha Maisara mengikut ayahnya melakukan sebarang pekerjaan untuk menampung hidup. Sehingga ke satu tahap, Duha Maisara juga pernah mengemis di jalanan.

            “Yan tak suka ayah suruh Duha mengemis. Kita bukan pengemis ayah.” Dia meninggikan suaranya.

            “Habis kalau tak mengemis, mana kita nak isi perut kita? Kamu ingat ayah senang nak dapat kerja?” Balas Bustaman.

            “Ada banyak kerja yang halal di dunia ni. Ayah saja yang malas nak bekerja. Tapi ayah suruh Duha bekerja, ayah perah keringat Duha. Ayah tak kasihankan dia ke?”

            “Kasihan? Memang patut pun dia buat kerja untuk kita. Kalau bukan sebab ayah yang kutip dia di jalanan, mana mungkin dia boleh hidup sampai sekarang. Yan kena ingat, dulu kita hanya berdua, sekarang dah bertiga. Banyak perut nak diisi.” Begitulah jawapan ayahnya setiap kali dia mengutarakan rasa tidak puas hatinya.

            Siapa yang tak sedih setiapkali melihat tapak kaki Duha Maisara yang pecah-pecah tatkala pulang. Malah gadis itu pulang sahaja ke rumah, terus tertidur kepenatan. Lagipun Duha Maisara baru berusia 14 tahun ketika itu. Setakat mana tubuh kecil itu mampu bertahan dengan kerja buruh setiap hari.

            Kerana itu dia mengambil keputusan untuk mengikut Duha Maisara keluar mencari rezeki. Tapi kedegilannya membuatkan Duha Maisara yang menjadi mangsa. Teruk gadis itu dipukul ayahnya kerana menyangkakan Duha Maisara yang memintanya menemaninya.

            “Dahlah bang, biar Duha sorang saja yang kerja. Abang jangan ikut Duha lagi, nanti ayah marah. Baik abang belajar di rumah. Peperiksaan abang dah tak lama kan?” Mendayu suara gadis itu berbisik. Takut didengari ayahnya.

            “Duha suka tinggal dengan kami?” Dia cuba menduga. Gadis itu tersenyum. Pantas kepalanya diangguk.

            “Di mana tempat ada abang dan ayah, Duha akan sentiasa gembira.” Ucap gadis itu. Dia terkedu. Pilu dengan ketulusan hati Duha Maisara.

            Zafran tersedar dari lamunan apabila melihat bibir Duha Maisara bergerak-gerak seperti mengucapkan sesuatu. Namun apabila telinganya didekatkan ke arah gadis itu, dia terpaku.

            “Mak…..” suara gadis itu tidak putus-putus menyebut perkataan itu. Zafran mengeluh. Apakah selama ini Duha Maisara rindu pada keluarganya?

*  *  *  *

            Mata Duha Maisara perlahan-lahan terbuka. Sinar cahaya yang masuk dari celah-celah jendela menyilaukan matanya. Dia bangun dari tempat tidurnya. Matanya memandang di sekelilingnya. Dia termenung panjang bagaikan cuba mengingati sesuatu. Sejurus kemudian, dia terpegun. Baru dia ingat kejadian semalam yang memaksa di bermalam di rumah Zafran.

            Belum sempat Duha Maisara bangun, pintu di belakangnya terbuka. Dia lekas-lekas berpaling. Wajah Zafran muncul sambil tersenyum memandangnya.

            “Duha dah bangun?” Tegur Zafran seraya duduk di kerusi mengadap ke arahnya.

            Duha Maisara membetulkan duduknya. Entah kenapa dia jadi segan berhadapan dengan Zafran dalam keadaannya yang kusut masai.

            “Abang nak ke hospital, tapi petang nanti abang balik. Kita makan sama-sama nanti ya.” Ujar Zafran.

            “Emm tak payahlah bang, Duha nak balik ke rumah. Duha nak tunggu ayah.” Dia mereka alasan. Sebenarnya dia rungsing mahu terus tinggal di rumah itu. Lagipun tak manis jika dia dan Zafran tinggal serumah hanya berdua sahaja. Lebih-lebih lagi setelah dia tahu perasaan sebenar Zafran terhadapnya.

            Zafran terdiam mendengar kata-kata Duha Maisara. Perasaan hati gadis itu bagaikan dapat dibaca. Dia bingkas bangun sambil tersenyum. “Duha nak ke mana? Baik Duha tinggal di sini saja. Soal abang, Duha jangan bimbang. Buat sementara abang akan pindah ke bilik di hospital.”

            “Tapi abang…”

            “Tak ada tapi-tapi lagi, Duha tinggal sahaja di sini. Tinggal di sini sampai kita kahwin.” Ujar Zafran membuatkan Duha Maisara terkedu. Kahwin? Kenapa sampai begitu sekali perancangan Zafran untuk terus hidup dengannya? Apakah dia layak untuk menggapai bahagia dalam beban derita yang ditanggungnya jauh di sudut hati?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!