Followers

Monday, May 17, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 8

DARI satu rak ke satu rak yang lain, Aliya sibuk membelek buku-buku yang dikehendakinya. Sudah beberapa buah tajuk dipilih, tapi dirasakan seperti belum cukup isi untuk bahan tesisnya.

Sesekali dia menjenguk pelajar yang lalu lalang di situ, cuba mencari kelibat Syazana yang berjanji akan menemuinya di perpustakaan petang itu. Tapi sudah hampir dua jam dia menanti, namun bayang gadis itu langsung tidak kelihatan. Mana perginya dia?

Bersusah payah Aliya mengangkat buku-buku rujukannya, lalu membawanya ke arah meja ulangkaji di sayap kiri perpustakaan. Ketika dia melangkah di hadapan beberapa buah meja, kakinya tiba-tiba tersadung kaki sebuah meja. Dia terdorong ke hadapan, hampir terjatuh. Buku-buku yang dipegangnya sudah tercurah ke arah lantai. Nafas Aliya berhenti mendadak. Matanya terbeliak.

Tiba-tiba tubuhnya dirasakan dipaut seseorang dari arah belakang. Aliya tergaman. Darahnya berderau sebaik memerhatikan bucu meja yang hampir sahaja bercium dengan dahinya. Nasib baik tak kena bucu meja tu. Kalau tak, tentu habis mukanya berparut.

Dia berpaling. Ingin melihat wajah orang yang telah menyelamatkan. Seorang pemuda sedang berdiri memandang ke arahnya sambil tersenyum.

“Awak tak apa-apa?” Tanya lelaki itu.

Aliya tidak terus menjawab. Dadanya masih berdebar-debar tidak keruan. Melihat pemuda itu masih memandangnya, dia segera menggelengkan kepala.

“Saya tak apa-apa. Terima kasih sebab tolong saya.” Ujarnya dengan wajah lega.

Dia memandang pemuda itu. Kali ini bebola matanya mengecil. Entah kenapa dia merasakan seperti pernah melihat wajah itu sebelum ini.

“Banyak buku tu, nak buat rujukan ke?” Lelaki itu menegur apabila melihat buku-buku yang bersepah di atas lantai. Aliya mengeluh panjang melihat buku-bukunya yang menjadi pameran lantai di dalam perpustakaan itu. Tanpa bertangguh dia segera tunduk lalu mengutip buku-bukunya. Kalau tidak marah pula si librarian yang sentiasa meronda di situ.

“Hmm, buku-buku ni untuk rujukan tesis saya.” Ujar Aliya berterus-terang. Dia tidak berminat mahu menerangkan secara terperinci. Cukuplah sekadar dia menjawab pertanyaan lelaki itu.

Pemuda itu turut sama mengutip buku-buku yang ada di atas lantai. Aliya membiarkan saja tanpa banyak soal.

“Saya tolong bawakan buku-buku ni, nak duduk di meja mana?” Pemuda itu memandangnya.

“Sebelah sana.” Jawab Aliya

Pemuda itu segera mengiringinya ke meja yang dimaksudkan. Apabila dia mengambil tempat duduk, tak disangka-sangka pemuda itu turut sama duduk di kerusi di hadapannya. Aliya tercengang. Hendak dilarang, dia tidak sampai hati pula.

“By the way, saya Haikal. Haikal Farhan.” Pemuda itu memperkenalkan dirinya.

“Saya Aliya.”

“Saya tahu. Aliya Murni kan?”

Aliya kelihatan terkejut. Pemuda itu seolah-olah sudah mengenalinya. Tapi bagaimana dan di mana? Bagaikan tahu apa yang tersarang di kepala Aliya, pemuda itu ketawa kecil.

“Dulu Aliya pernah jadi Pembantu Mahasiswa di kolej kediaman ke-7. Waktu itu saya junior Aliya.” Beritahu Haikal lalu tersenyum.

“Oh ye ke? Tapi saya jarang nampak Haikal dekat kolej.”

“Sebab saya dah pindah kolej, dekat sikit dengan fakulti.”

“Fakulti Kejuruteraan ya?” Aliya meneka.

“Aik macamana boleh tahu pulak? Ada tertulis kat dahi saya ke?” Gurau Haikal lalu ketawa.

“Teka bukan sebarang teka. Tengok baju cukuplah.” Aliya tersenyum simpul.

Haikal memerhatikan bajunya. Baru dia perasan baju yang dipakainya tertulis nama fakultinya, beserta dengan lambangnya sekali. Dia menepuk dahinya lalu tergelak kecil.

“Patutlah…..”

“Rasanya saya macam pernah tengok awak ni. Kita pernah berselisih kat mana-mana ke dekat fakulti saya?” Soal Aliya ingin tahu.

“Pernah agaknya. Saya ambil satu kursus elektif di fakulti Aliya, kelas Doktor Aidit. Bussiness course.” Beritahu Haikal.

Sebaik nama Doktor Aidit disebut, Aliya segera teringatkan pemuda yang merenungnya di bilik Doktor Aidit tempohari. Orang yang samakah? Dalam diam-diam dia memerhatikan pemuda itu dengan teliti. Orangnya agak kacak, tinggi dan berkulit sawo matang. Kaca mata nipis yang dipakainya nampak benar-benar sesuai dengan bentuk mukanya.

Wajah pemuda yang ditemuinya di bilik Doktor Aidit tempohari, agak kabur di ingatannya. cuma apa yang melekat di fikirannya, pemuda itu tidak pula memakai sebarang kacamata. Ah mungkin dia silap orang agaknya!

Agak lama juga mereka berbual-bual bagaikan sudah lama kenal. Entah kenapa, Aliya seronok pula berbual-bual dengan Haikal yang peramah. Nasib baiklah tempat duduk mereka tidak dipenuhi ramai orang, cuma ada beberapa orang pelajar sahaja di meja berhampiran.

Apabila Aliya terpandang kelibat Syazana berdekatan pintu masuk, dia segera melambaikan tangannya. Berkerut muka anak gadis itu apabila melihat Aliya tidak keseorangan. Melihat Syazana menuju ke arah mereka, Haikal segera minta diri lalu beredar dari situ.

“Sejak bila pulak kau kenal mamat tu Lia?” Bisik Syazana ketika mereka beratur di kaunter pinjaman.

“Tadi.”Aliya memberikan jawapan ringkas.

“Tadi? Mesra semacam aje aku tengok. Siapa dia tu?”

“Budak junior kita. Budak Engineering.”

“Engineering?”

Aliya mengangguk. Gilirannya untuk meminjam buku hampir tiba. Matanya sempat mengerling jam di dinding di kaunter pinjaman. Hampir pukul lima petang.

Usai membereskan urusan pinjaman buku-buku rujukannya, Aliya segera menuju ke arah lokar simpanan, diekori Syazana dari arah belakang.

“Kau ke mana lambat sangat tadi?”

“Sorrylah Lia, inilah sebabnya aku nak beritahu kau ni. Tadi aku jumpa Fahmi, Presiden Jabatan kita. Dia nak buat meeting malam ni pasal projek Baktisiswa. Nak tak nak aku terpaksa hadir.” Ujar Syazana.

Aliya berpaling. Kata-kata temannya menarik perhatian.

“Habis KLIA malam ni macamana? Kalau kau tak pergi aku pun tak nak pergi.”

“Tak boleh Lia, kau kenalah pergi. Lagipun tengahari tadi aku terserempak dengan Encik Adam, dia pesan dia tunggu kau kat depan kolej pukul 7.45 malam ni. Aku pun dah cakap kau jadi pergi.” Ujar Syazana.

“Sya!” Terjerit Aliya mendengarnya.

“Ala apa salahnya, Encik Adam tu kan lecturer kita. Lagipun aku sedih ni tak dapat pergi. Kalau kau tak pergi, aku lagi sedih. Habis hadiah untuk Doktor Aidit macamana?” Kecil suara Syazana memujuk.

Merah padam wajah Aliya memandang anak gadis itu. Syazana hanya mampu tersengih. Dia tahu Aliya marah, namun dia bukan sengaja tidak jadi pergi.

“Sorrylah Lia, kalau kau pergi aku janji aku akan kemaskan bilik kita tiap-tiap hari selama seminggu. Amacam?” Syazana menggunakan pendekatan lain pula untuk memujuk. Terkelip-kelip mata Aliya memandang teman baiknya. Susah macam ni! Keluh Aliya seraya termenung panjang.

“Please..?” Rayu Syazana lagi.

“Okeylah aku pergi. Tapi fasal kemas bilik tu, please make it a month, Cik Syazana.” Balas Aliya. Tersenyum nakal.

“Amboi-amboi ambil kesempatan nampak. Tapi Doktor Aidit punya fasal, kira okeylah.” Syazana mengalah akhirnya. Mulutnya dimuncungkan sedepa, pura-pura merajuk.

Aliya tergelak besar lalu menolak tubuh gadis itu hingga terdorong ke depan. Terjerit Syazana dibuatnya. Lantas kedua-duanya ketawa tanpa menyedari gelagat mereka diintip sepasang mata. Haikal masih berdiri memerhatikan kedua-duanya dari suatu arah.

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!