Followers

Wednesday, July 7, 2010

Dedalu DI Hati : Bab 20

LAMA dia termenung di buaian di laman rumah. Sesekali dia mendongak ke langit malam melihat bintang-bintang bertaburan seribu. Cukup indah. Sendirian mengambil angin malam di situ membuatkan dia sering terkenangkan saat-saat indah bersama arwah isterinya.

Mariah isteri yang setia. Sukar dia mencari galang gantinya meskipun ramai yang mendesak dia kahwin lagi. Lebih-lebih lagi mengenangkan Irina dan Boy yang masih kecil. Entahlah, dia seolah-olah tidak berminat mahu mencari pengganti arwah isterinya.

Sekejap saja masa berlalu, tapi kenangan lama bagai baru semalam bertamu. Rasanya baru semalam dia, Mariah serta teman akrabnya Syed Radzi dan isteri berkumpul di laman rumahnya sambil membakar barbeque. Kadang-kadang sampai ke malam hari mereka masih rancak berborak sambil sibuk membakar barbeque dan yang perempuan pula sibuk menyiapkan sos dan minuman.

Sambil berbual, mereka seronok melihat Hazril yang suka mengusik ‘adik-adik’ kecilnya. Kadang-kala sampai menangis Irina disakat Hazril yang nakal. Radhiah pula sibuk meleteri Hazril yang langsung tidak boleh duduk diam. Apabila Hazril merajuk, Mariah pula yang akan sibuk memujuk anak itu. Segala-galanya tergambar indah saat itu. Tapi tragedi lima belas tahun lalu membuatkan memoir keindahan itu pecah berderai. Yang tinggal hanya gurisan luka yang terus membalut perasaan.

Mungkin semua ini sudah takdir. Kerana tragedi itu jualah, Aliya muncul dalam kehidupan mereka. Gadis itu seolah-olah sebuah objek yang mampu menghidupkan jiwa Hazril yang luka. Masih tergiang-giang gelak ketawa lelaki itu itu bersama Aliya siang tadi. Kemesraan mereka entah mengapa mengharukannya. Dia sendiri sudah tidak ingat berapa lama dia tidak melihat Hazril segirang itu.

“Dia tahu?”

Lelaki itu memandangnya sebentar lalu menggelengkan kepala.

“Dia tak tahu apa-apa. Biarlah, belum masanya lagi. Cukuplah dia kenal saya sepertimana sepatutnya.”

“Maafkan pakcik Ril.” Ujarnya muram.

“Kenapa perlu minta maaf?”

“Pakcik gagal tunaikan amanat menjaganya. Pakcik rasa bersalah sangat terhadap Aliya. Sejak makcik Mariah kamu meninggal, pakcik terlalu ikutkan emosi. Waktu itu pakcik fikir, jika pakcik ambil Aliya, Irina dan Boy takkan dapat menerimanya. Menyakinkan mereka untuk menerima kenyataan tentang kehilangan ibu mereka pun cukup susah, inikan pula untuk meminta mereka menerima Aliya. Pakcik tak sanggup melihat Aliya terabai. Sekurang-kurangnya di rumah anak-anak yatim itu, dia akan riang bersama kawan-kawannya. Sedangkan di rumah pakcik sendiri sunyi sepi.” Dia sebak ketika menuturkan kata-kata itu.

“Sepatutnya saya yang harus minta maaf dengan pakcik. Kalau bukan kerana saya, pakcik tak perlu bersusah payah menjaga Perkasa Budi. Pakcik juga tak perlu bertanggungjawab terhadap Aliya. Tentu banyak masa pakcik boleh diluangkan untuk Makcik Mar. Saya yang bersalah kerana mencuri terlalu banyak masa pakcik. Maafkan saya.” Ujar lelaki itu dengan wajah bersalah.

Doktor Badrul memejamkan matanya. Tidak Ril, pakcik yang bersalah. Pakcik banyak bersalah terhadap kamu dan Aliya! Bisik Doktor Badrul dalam kekesalan.

Sebuah motorsikal berkuasa tinggi menderum laju memasuki perkarangan rumah dua tingkat itu. Doktor Badrul menoleh. Dilihatnya anak muda itu sedang membuka helmet lalu berpaling ke arahnya dengan wajah cemas.

“Papa, saya ke hospital petang tadi. Mereka kata Aliya dah keluar hospital. Betul ke?” Haikal kelihatan resah. Dia mundar-mandir serba tak kena di hadapan Doktor Badrul. Rimas Doktor Badrul dibuatnya.

“Betullah tu.” Jawab Doktor Badrul selamba.

“Tapi papa kata nak call saya kalau Aliya keluar hospital. Dia balik kampus atau balik kampung? Siapa ambil dia?” Bertalu-talu Doktor Badrul dihujani ‘mortar’ dari Haikal. Dia hanya mampu tersenyum. Beginilah anak muda, bercakap langsung tak tahu sabar.

“Dia berkeras nak balik sendiri. Papa pula ada operation siang tadi, tak sempat nak call Boy. But she’s fine.” Doktor Badrul berdalih. Dia langsung tidak menyebut tentang Aliya yang dibawa pulang oleh Hazril petang tadi.

Haikal mengeluh kecil. Dia pantas menuju ke arah motorsikalnya.

“Hah nak ke mana pula tu?” Doktor Badrul terpinga-pinga.

“Balik kampus.” Jawab Haikal selamba.

“Hai baru sampai dah nak pergi? Tidurlah semalam kat sini temankan papa. Kak Rina kamu pun tak balik lagi ni. Lagipun dah lama papa tak berbual dengan Boy,” Pinta Doktor Badrul. Nada suaranya benar-benar berharap.

Langkah Haikal segera terhenti. Dia serba salah. Hatinya memang ingin segera sampai ke kampus. Dia ingin memastikan Aliya selamat namun permintaan papanya menyebabkan dia tak sampai hati. Dia sedar sejak akhir-akhir ini dia jarang menemani lelaki itu. Mahu tak mahu dia segera mengangguk membuatkan senyuman ayahnya mula melebar.

* * * *

Aliya masih belum lancar menggerakkan tangannya. Bersusah payah dia mengemas mejanya yang berselerak dengan sebelah tangan berbalut. Sedari tadi Syazana hanya menjadi pemerhati. Hendak dibantu namun Aliya menolak. Katanya hendak buat sendiri. Sekejap-sekejap gadis itu mengemas meja, selepas itu mengemas pula loker baju. Apabila gadis itu hendak mencapai penyapu, Syazana segera memegang hujung penyapu terlebih dahulu.

“Dah..dah..kau jangan nak mengada-ngada. Masa sihat taklah serajin ini. Semuanya nak dikemas macam aku pula yang pemalas.” Rungut Syazana.

Aliya tersenyum. Perlahan-lahan dia menarik kerusi lalu duduk di hadapan meja study, menghadap ke arah temannya. Syazana terkelip-kelip memandang temannya.

“Kau ni betul ke dah sihat Lia? Tangan tu sakit lagi?” Soal Syazana sambil mengerutkan dahinya.

“Dah kurang sikit. Kenapa? Kau nak ganti sakit aku ni ke?” Canda Aliya.

“Hish simpang malaikat empat puluh empat. Jauhkanlah aku dari malapetaka macam tu. Lia, kau marah tak dengan aku?” Tanya Syazana. Wajahnya tiba-tiba bertukar muram.

“Marah? Sebab apa?”

“Yalah, aku tak sempat nak jenguk kau kat hospital. Bila Haikal call aku beritahu kau accident, kelam kabut aku dibuatnya. Tak tahu nak buat apa. Masa tu macam nak melalak pun ada. Si Haikal tu pun satu, dia cakap kau kemalangan tapi tak beritahu macamana keadaan kau. Itu yang tangan aku gatal mendail nombor Encik Adam.” Ujar Syazana.

“Aku tak apa-apa Sya. Sikit aje ni. Tidur hospital pun semalaman saja. Buang masa kau datang aje.” Ujar Aliya.

“Lain kali kau kena janji dengan aku.” Tutur Syazana serius.

“Janji apa?”

“Kau kena janji dengan aku, jaga diri kau baik-baik lain kali. Aku tak sanggup nak dengar berita mengejut lagi untuk kali kedua. Aku sayangkan kau Lia. Promise me okay?” Suara Syazana terdengar sebak.

Aliya terdiam. Dipandangnya wajah teman itu dengan perasaan sayu. Tiga tahun bersama membuatkan mereka sudah seperti adik beradik. Dia kenal hati budi Syazana. Malah keluarga Syazana pun dikenalinya. Semuanya baik-baik. Tidak sombong walaupun berasal dari keluarga yang agak senang juga.

“Promise?”

Aliya mengangguk. Tak disangka-sangka, Syazana tiba-tiba meluru ke arahnya. Bahunya dipeluk, sehingga dia hampir terjerit.

“Aku sayang kau Lia.” Ujar gadis itu.

Aliya tersenyum senang mendengar kata-kata itu. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia teringatkan Adam. Buat apa lelaki itu sekarang? Kelmarin, dia dihantar lelaki itu sehingga ke pagar kolej. Tak cukup itu, dia diiring sehingga ke pintu dorm perempuan.

Kalau bukan kerana dia menghalang, lelaki itu tetap berkeras ingin menghantarnya sehingga ke pintu bilik. Gila! Tak fasal-fasal nanti aku digossip oleh rakan-rakan satu floor ada affair dengan pensyarah sendiri. Satu tahun pun takkan hilang tebal di mukanya. Mujurlah Syazana tidak mengesyaki apa-apa. Kalau tak pening juga dia hendak melayan soalan-soalan Syazana yang lebih banyak merapu dari logik.

Bunyi getaran mengejutkan mengejutkan Aliya dari lamunan panjang. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya. Nama yang tertera di skrin membuatkan dia tergaman. Lambat-lambat dia menekan butang hijau.

“Hello.” Sapanya pada orang di talian.

“Tangan macamana? Masih sakit?” Pertanyaan itu terpacul tanpa membalas sapaannya.

“Bolehlah dah tak sakit lagi.”

“Perlu ambil MC lagi?”

“Tak apa. Lagipun esok ada ujian. Saya nak buat revision sikit.”

“Okeylah kalau macam tu, saya tak mahu kacau Aliya lagi. Selamat malam.”

“Selamat malam.”

Aliya merenung telefonnya sebentar. Macam tak percaya rasanya lelaki itu menelefonnya sekadar mahu bertanya khabar. Tanpa sedar dia tersenyum sendiri. Tak perasan Syazana masih memandangnya dengan renungan yang agak pelik. Dia pura-pura mencapai tuala lalu bergegas ke bilik mandi. Nanti kalau lama-lama dia di situ, lain pula soalnya nanti.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!