Followers

Wednesday, May 19, 2010

Arina : Bab 5

“INI rumah abang saya. Kami semua menetap sama-sama di sini. Ada sembilan orang semuanya di sini termasuk abang saya, Arina dan Chayi, saya dan anak saya Umar serta Mak Tam dan suaminya Pak Junid. Mak Tam tukang masak kat sini manakala suaminya pula driver abang saya. Mereka ada anak perempuan namanya Adila baru berusia lima belas tahun. Tapi Adila sekarang ni belajar di sekolah asrama penuh. Selain itu ada Pak Abu tukang kebun di sini.” Jelas Suhana ketika membawa Alwiz meninjau-ninjau rumah besar ala ‘country’ di sebuah tanah persendirian di Hartamas.

“Nice home.” Komen Alwiz sambil tersenyum. Dia melirik ke arah Arina yang sejak tadi berwajah masam. Gadis itu hanya membiarkan sahaja ibu saudaranya menjadi tour guide. Menunjuk arah kawasan sekeliling rumah itu.

Suhana menolak daun pintu sebuah bilik di hadapan mereka, lalu berpaling ke arah Alwiz. “Ini bilik tetamu di rumah ni. Encik Alwiz boleh tinggal kat sini buat sementara sehingga abang saya pulang. Sebelah bilik ni bilik anak saya Umar. Yang dekat hujung tu bilik Pak Junid dan Mak Tam suami isteri. Kalau ada apa-apa hal, Encik Alwiz boleh panggil mereka.” Ujar Suhana lalu mempersilakan lelaki itu masuk.

Alwiz melangkah masuk ke dalam sebuah bilik sederhana besar. Susun atur di bilik tersebut nampak kemas dan menarik dengan lukisan-lukisan dinding terhias pada dinding setiap sudut.

“Pasti Encik Fahrin salah seorang peminat seni lukisan.” Matanya masih ralit memerhatikan bingkai-bingkai lukisan di hadapannya.

Suhana berpaling. Melihat mata lelaki itu begitu asyik menatap lukisan-lukisan itu, dia tersenyum.

“Sebenarnya kakak ipar saya yang sukakan seni lukisan, bukan abang saya.” Jelas Suhana.

Alwiz tiba-tiba berpaling. “Jadi lukisan-lukisan ni Puan Magdalena yang lukis?” Dia menyoal.

Suhana tergaman. Bagaimana lelaki itu boleh tahu nama Magdalena? Selalunya orang lebih mengenali Magdalena dengan nama Madina. Aneh !

“Macamana Encik Alwiz boleh tahu nama kakak ipar saya sebelum dia kahwin dengan abang saya? Arin yang beritahu?” Tanya Suhana hairan.

Alwiz tersenyum lebar. “Dia pernah sebut dulu, tapi dia tak beritahu saya yang ibunya pandai melukis. Katanya dia nak saya sendiri yang mengenali setiap ahli keluarganya.” Ujar lelaki itu sambil menjeling Arina yang terus membatu.

Mata anak gadis itu menjunam tajam ke arahnya, namun dia berpura-pura tidak mengerti. Dibiarkan sahaja wajah Arina berkerut mengumpul sebakul sumpah seranah terhadapnya.

Alwiz tiba-tiba terpandang sebuah potret berbingkai emas terhias di atas meja di tepi katil. Dia mengambil potret tersebut lalu merenung pada suatu wajah yang tersenyum manis di paparan foto. Suhana berpaling.

“Itulah ibu Arina.” Jelas Suhana sambil tersenyum.

Arina tergaman melihat potret ibunya di tangan Alwiz. Tanpa disedari, dia segera bertindak merampas potret di tangan lelaki itu. Alwiz tergaman dengan tindakan drastik gadis itu. Suhana lebih lagi.

“Arin sayang, kenapa buat macam tu? Biarlah Alwiz tengok gambar mama.” Pujuk Suhana. Disangkanya Arina tidak suka sesiapa menyentuh potret ibunya.

Menyedari keterlanjurannya, Arina terpaku. Dia memandang ke arah Alwiz yang merenung wajahnya dengan pandangan berbaur ancaman. Hatinya mula menyesali tindakannya yang tidak berfikir panjang. Bagaimana kalau lelaki itu naik marah lalu menyuruh orangnya membunuh adiknya? Tidak! Aku tak boleh biarkan Chayi diapa-apakan. Tak boleh!

“Ma..maaf Alwiz, tak sengaja.” Dia memandang lelaki itu dengan wajah memohon simpati. Memohon pengertian! Janganlah lelaki itu naik marah.

“Aku cuma…cuma tak biasa orang lain sentuh gambar ibu aku.” Dia berkata perlahan seraya menjeling Suhana yang melepaskan keluhan kecil.

Alwiz tiba-tiba menghampirinya lalu memegang bahunya. Pandangan mata lelaki itu tembus ke wajahnya. Dia tiba-tiba kaku menatap wajah lelaki itu begitu rapat!

“I’m your fiance, am I? Aku akan berkongsi hidup dengan kau suatu hari nanti. Aku tahu kau sedih kerana kehilangan ibu kau, but life must goes on dear. She was gone but I’m still here. I will love you forever!” Bisik lelaki itu di tepi telinganya.

Arina tergaman. Pandangan romantis Alwiz membuai perasaan. Hampir dia terlupa pada adiknya serta ancaman Alwiz yang tidak berpenghujung. Sehinggalah dia mendengar kata-kata Alwiz seterusnya.

“Jika kau lakukan ini lagi, aku janji yang adik kau akan mati.” Ancam Alwiz dalam bahasa tagalog. Namun nada suara lelaki itu lembut dan perlahan.

Wajah Arina pucat lesi. Bibirnya terketar-ketar sebaik mendengar kata-kata lelaki itu. Wajah Alwiz tersenyum memandangnya. Tapi hanya dia seorang yang memahami bahawa senyuman lelaki itu hanya pura-pura.

“Hmmm…tak sangka Encik Alwiz pun fasih berbahasa tagalog.” Tiba-tiba Suhana menyampuk. Alwiz melarikan matanya seraya tersenyum.

“Saya dah lama berada di Filiphina.”

“Hmm seronok dengar anak-anak muda bercakap tagalog di rumah ni. Sejak Madina meninggal, dah lama tak dengar bahasa itu lagi.”

“Madina?” Alwiz bertanya dengan wajah berkerut.

“Opss maaf. Madina tu Magdalena. Dia orang Filiphina tapi dah lama meninggal dunia. Sejak Arina dan Chayi masih kecil lagi. Itu sebabnya Arina selalu ke Manila melawat pusara ibunya di Mandaluyong.” Cerita Suhana panjang lebar.

Alwiz terdiam mendengar bicara Suhana. Matanya dipalingkan ke arah potret wajah Magdalena yang sedang tersenyum. “Dia cantik orangnya.” Komen Alwiz. Matanya dialihkan semula ke arah Arina.

“Mata kau mirip dengan mata ibu kau sayang. Cantik dan bersinar-sinar seperti bintang Sirius di dada langit.” Bisik Alwiz seraya merenungnya.

Arina menarik nafas panjang. Dia menentang pandangan mata lelaki itu dengan wajah berkerut. Bintang Sirius? Aneh! Kenapa dia seperti pernah mendengar ungkapan seperti itu pernah diucapkan di hadapannya. Tapi di mana ya?

* * * *

ALWIZ menutup pintu biliknya serapat-rapatnya. Sesudah itu dia melangkah ke arah tingkap. Jendela tingkap yang terdedah segera ditarik tirainya.

Dia segera menyelongkar isi bagasinya. Pakaiannya dilambakkan di atas katil. Tangannya diseluk di bawah alas beg. Ada dua lapisan di bawah beg pakaiannya. Lapisan teratas dikoyakkan lalu dicampak keluar dari dalam beg. Dia menarik lapisan kedua.

Segulung kertas lama yang kelihatan sudah usang dibawa keluar dari dalam beg. Dia membuka gulungan kertas yang kelihatan buruk itu lalu meneliti isinya. Isinya tidak ubah seperti peta di Zaman Roman yang dicatat dengan angka-angka dan bahasa yang gagal difahami.

Skrol ke-25. Inilah benda yang dicurinya dari Trade Centre Metro Manila beberapa hari yang lalu dengan bantuan Nakhael dan Jerry. Skrol ini menjadi salah satu benda yang akan dipertontonkan untuk tatapan orang ramai di Pameran Seni Antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di TCMM bermula esok.

Mata Alwiz berlari ke atas hamparan skrol itu. Ada sesuatu yang terjadi. Terdapat lima angka di atas permukaan kertas itu. Dan salah satu angka-angka itu mengeluarkan sejenis cahaya berwarna kebiru-biruan di dalam bilik yang agak suram itu. Alwiz mengerutkan dahinya. Bermakna kunci itu ada dalam rumah ini! Satu dari lima kunci. Mungkin Fahrin Toh boleh menjawabnya. Bukankah Magdalena Anna menyerahkan salah satu kunci pada lelaki itu? Tiba-tiba dia teringat perbualannya dengan Tuan Fahlun beberapa bulan yang lalu.

“Kamu harus mencarinya sampai bertemu Alwiz. Kunci-kunci itu harus ditemukan sebelum terlambat. Atau dunia kita takkan wujud lagi. Aku hanya boleh menghantar kamu ke Mandaluyong, tapi untuk kembali, kamu harus mencari dan menggunakan kunci itu.” Ujar lelaki itu.

“Tapi bagaimana kami mahu mencarinya tuan?”

Lelaki itu mengeluh. “Itulah masalahnya. Dalam catatan jurnal Bloomer, ada disebut tentang sebuah makalah dinamakan Skrol ke-25. Skrol ini bertindak sebagai peta yang boleh mengesan kedudukan kunci-kunci itu.”

“Di mana kami boleh dapatkan skrol itu?”

“Skrol itu ada di tangan Bloomer. Kalau perkiraan kami tepat, Bloomer pasti menyembunyikan diri di seberang sana. Cari Bloomer dan kamu akan temui Skrol ke-25. Hanya skrol ini sahaja yang boleh mengesan kedudukan kunci-kunci itu.” Jelas Tuan Fahlun.

Tiba-tiba telinga Alwiz menangkap satu bunyi di luar biliknya. Dia cepat-cepat menyimpan skrol itu di dalam beg pakaiannya. Sebaik daun pintu biliknya dikuak, Alwiz menarik nafas. Sedikit mengah.

Dia memandang ke arah muka pintu. Seorang anak muda berusia dalam lingkungan 18 tahun berdiri di hadapannya.

“Abang ni kawan Kak Arina ya?” tanya anak muda itu.

Dia mengangguk.

Tanpa disuruh, anak muda itu menghampirinya lalu menghulurkan tangan. “Maaf kerana tak ketuk pintu tadi. Saya Umar, sepupu Kak Arina.” Anak muda itu memperkenalkan dirinya.

“Alwiz Syah.” Dia memperkenalkan dirinya pula. Sebentar kemudian, Alwiz terdiam. Umar? Beberapa ketika kemudian dia tersenyum.

“Umar anak Puan Suhana kan?” Balas Alwiz. Dia masih ingat nama-nama yang disebut oleh wanita itu sebentar tadi.

Umar mengangguk seraya tersengih. Biji mata anak muda itu menukas ke arah Alwiz dari atas ke bawah. Alwiz mengerutkan dahinya. Apa yang dipandangnya?

“Betul ke abang ni tunang Kak Arin?” Soal Umar tak disangka-sangka.

“Ya, kenapa?”

“Aneh!” Bisik Umar.

Kerutan di wajah Alwiz semakin bertambah. Apa yang aneh?

“Sejak bila Kak Arin ada boyfriend? Tak pernah dengar pun. Selama ni mana dia pernah ada boyfriend. Lelaki nak dekat pun takut. Garang sangat!” Cerita Umar.

Alwiz terdiam. Tak ada boyfriend? Dia teringatkan kata-kata gadis itu di airport tempohari. Bukankah Arina mengaku bahawa dia sudah memiliki teman lelaki? Apakah dia sengaja berbohong?

“Umar!” Suara herdikan yang agak lantang kedengaran dari suatu arah. Serentak kedua-dua lelaki itu berpaling. Wajah Umar kecut melihat Arina di muka pintu.

“Oppss…” Umar mengigit bibir. Alamak! Ini mesti Arina dah dengar ni! Dia memandang ke arah Alwiz seraya tersengih.

“Nampaknya singa betina dah muncul. Okeylah bang, nice to meet you. Lain kali kita borak lagi ya.” Bisik Umar seraya cepat-cepat beredar dari situ. Langkahnya melurus sahaja keluar dari bilik itu tanpa memandang ke arah Arina. Tidak berani sebenarnya!

Alwiz merenung wajah Arina yang sedang menjeling tajam ke arah Umar yang bergegas pergi. Apabila mata anak gadis itu beralih ke arahnya, dia hanya tersenyum kecil. Arina tidak membalas senyumannya, sebaliknya gadis itu memandangnya dengan wajah menyinga.

“Mak Lang aku ajak kau minum petang di luar.” Beritahu Arina. Wajahnya serius.

Alwiz tidak memberi sebarang reaksi. Dia terus merenung wajah gadis di hadapannya dengan senyuman yang tidak lekang-lekang dari bibir.

Melihat gelagat Alwiz, Arina mendengus kasar. Dia mahu beredar dari situ, namun panggilan Alwiz mematikan langkahnya. Dia membalikkan tubuh. Dan entah sejak bila, Alwiz tiba-tiba terpacul di hadapannya. Cukup dekat untuk membuatkan jantungnya berdebar kencang.

Arina terpegun. Gerak pantas Alwiz membuatkan dia terkesima. Mana dia belajar buat macam tu?

“Macamana kau boleh….?”

“Boleh apa?” Pintas Alwiz.

“Boleh…er..boleh..” Arina menelan liur. Kalau dia cakap, nampak macam dia yang gila. Ah! Sudahlah, mungkin dia berhalusina kut!

“Kononnya ada boyfriend yang menanti kat sini. Lain kali perkenalkan dia pada aku.” Bisik Alwiz di telinganya secara tiba-tiba. Lelaki itu ketawa kecil lalu melangkah keluar.

Arina terpegun. Suara tawa Alwiz tergiang-giang di telinganya. Dia mengigit bawah bibir. Geram bercampur sebal. Mulut tempayan betul si Umar ni! Keluh Arina.

Mahu tak mahu dia terpaksa mengekori Alwiz ke laman belakang rumah. Suhana dan Umar sudah menanti dengan wajah girang. Ibu saudaranya malah sempat memperkenalkan Alwiz pada seluruh isi rumah itu, yang sengaja dipanggil untuk diperkenalkan dengan lelaki itu.

Sewaktu lelaki itu bercakap-cakap dengan Pak Abu dan Pak Junid, Arina diam-diam merenung ke arah Alwiz. Melihat lelaki itu berbual sopan dengan kedua-dua lelaki itu, Arina terasa dangkal. Dia benar-benar tidak tahan melihat Alwiz berpura-pura baik di hadapan semua orang. Tidakkah mereka semua tahu, lelaki itu orang yang paling hipokrit di antara mereka. Sikap manipulasi Alwiz adalah kepakarannya. Lelaki itu lelaki jahat. Lelaki yang menculik Chayi dan mengugutnya pula. Dia benar-benar membenci Alwiz. Hate him!

“Arin, kenapa diam saja ni?” Tanya Suhana seraya memeluk bahu anak gadis itu. Arina tergaman. Dia menoleh ke arah Suhana dengan wajah bingung.

“Arin bimbangkan Chayi, Mak Lang.” Bisiknya. Matanya sedikit berkaca. Hatinya ketika ini benar-benar bimbang dan takut sesuatu yang buruk terjadi pada Chayi. Minta-minta Chayi tidak diapa-apakan.

“Jangan bimbang sayang. Mak Lang yakin, pihak konsul kat sana akan bantu ayah Arin tu cari Chayi sampai dapat. Kita kat sini hanya mampu berdoa dan berserah pada Allah.” Pujuk Suhana.

Arina melentokkan kepalanya di bahu Suhana. Kelopak matanya bertaut rapat. Hatinya benar-benar gelisah dan sedih. Belum cukup satu dia menghadapi masalah, timbul pula masalah yang lain. Tuhan! Apa patut aku buat? Keluh Arina.

“Sekarang ni Mak Lang tengah pening fikir fasal Alwiz tu.” Bisik Suhana ke telinganya. Mata Arina terbuka luas. Dia menoleh ke arah Suhana dengan wajah bingung.

“Kenapa Mak Lang?”

“Yalah, kita semua dah lah pening nak fikir fasal kehilangan Chayi. Nanti kalau ayah Arin balik dan tanya fasal Alwiz, kita nak jawab apa? Nak beritahu dia yang kamu berdua dah bertunang? Iskk Mak Lang tak berani. Dah terbayang-bayang kat mata Mak Lang ni reaksi ayah kamu kalau tahu fasal hal ni. Tak mengamuk, berapi dia tu nanti.” Keluh Suhana, masih dengan nada berbisik. Dia tidak mahu kata-katanya singgah ke telinga Alwiz yang masih ralit berbual-bual dengan kaum lelaki di rumah itu.

Arina tidak menjawab. Malas dia nak fikirkan semua itu. Apa reaksi ayahnya pun dia malas mahu mengambil tahu. Biarlah lelaki itu naik angin atau marah sehingga keluar lahar berapi sekalipun, dia tidak peduli. Fikirannya saat itu dibebani dengan masalah mengenai Chayi, sekaligus merangkumi masalah lelaki misteri di rumahnya.

“Tapi Mak Lang suka dia. Pandai Arin pilih. Dia dan Arin secocok macam pinang dibelah dua.” Sambung Suhana lagi. Tersenyum penuh makna.

Arina terpempan. Kata-kata yang baru meluncur keluar dari bibir Suhana membuatkan dia hampir tersedak.

1 comment:

arina said...

salam...k.anita...smbungannya ade x??mksudnya kira bab 6....bez la...sy x sbar2 nk bca lg...

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!