Followers

Sunday, November 29, 2009

Sayangku Casper : Bab 10

BARU separuh jalan kereta itu bergerak, tiba-tiba enjin kereta itu terbatuk-batuk. Tia sudah kecut perut. Janganlah kereta ni meragam pulak tengah-tengah jalan macam ni. Kut ya pun nak rosak, biarlah depan bus stop atau lagi baik depan rumah aku sendiri! Gumamnya resah. Tapi doanya tidak termakbul. Dengan hanya amaran selama 30 saat, kereta kancil itu berhenti di tepi jalan.

“Aiseh minyak takde pulak. Apa punya kereta ni? Dahlah kereta buruk, kecil. Tangki minyak pun kecil jugak ke?”

Tia menoleh. Memandang ke arah lelaki yang sedang menyumpah-yumpah kereta kancil itu sesedap mulut. Dia mencebik. Hilang rasa kagumnya terhadap lelaki itu, bertukar jadi menyampah pulak. Dahlah ambil kereta orang tanpa kebenaran, sekarang sedap-sedap aje dia mengutuk kereta yang dicurinya.

Si lelaki tiba-tiba menoleh ke arahnya. “Ni yang awak pandang saya ni kenapa?” Herdik lelaki itu separuh berang. Matanya sengaja dijegilkan besar-besar ke arah Tia. Tanpa menanti balasan kata-katanya, lelaki itu segera keluar dari perut kereta lalu menuju ke arah bahagian hadapan kereta.

Mata lelaki itu tertoleh-toleh ke arah jalan raya. Cari teksi agaknya, fikir Tia. Matanya tak sudah-sudah merenung lelaki itu dengan penuh minat. Terfikir juga dia, apakah lelaki itu tidak cam siapa dia? Tidakkah lelaki itu mengingati peristiwa di perpustakaan beberapa jam yang lalu?

Melihat tidak ada teksi yang lalu lalang di kawasan itu, lelaki itu tiba-tiba menoleh ke arah Tia. Tia yang kebetulan sedang memerhatikan lelaki itu, gugup seketika apabila menyedari tatapan matanya dikesan seraut wajah yang serius. Tambah dia gugup apabila menyedari lelaki itu sedang menuju ke arahnya. Jangan marah-marah aku sudahlah. Bukan salah aku pun kereta ni rosak. Agaknya tuhan nak menghukum mereka kerana mengambil kereta orang tanpa kebenaran. Padah yang dicari sendiri! Sekarang tanggung ajalah musibahnya, keluh Tia.

Lelaki itu tiba-tiba menjenguk ke arahnya. Wajah itu tetap serius tanpa senyuman.

“Kat tempat ni susah nak dapat teksi ke?” Tak disangka-sangka lelaki itu bertanya. Meski wajahnya seperti singa lapar, namun pertanyaan itu bernada lembut. Perasaan gugup Tia mula menghilang. Dia mengangguk tanpa ada niat mahu menyumbang suara merdunya.

Lelaki itu tiba-tiba merengus. Sebelah tangannya menampar bumbung kereta Kancil itu sekuat hati. Bedebuk!

Tia tersentak. Jantungnya seperti mahu gugur. Dia mengurut-urut dada menahan sabar. Apahal la mamat ni asyik nak marah-marah aje. Cuba-cubalah berdiplomasi sikit, rungut Tia. Wajahnya berkerut menatap lelaki yang nampak gelisah dan serba tidak kena itu.

“Pinjam telefon awak sekejap.” Lelaki itu menadah tangannya.

Tia terdiam. Permintaan lelaki itu membuatkan dia serba-salah. Kredit aku tinggal sikit aje lagi. Dia nak buat panggilan ke mana?

Namun melihat jelingan lelaki itu, dia cepat-cepat mengambil telefon bimbitnya dari dalam beg sandangnya lalu diserahkan pada lelaki itu. Sebelum dia ‘hangus’ angkara jelingan maut lelaki itu, baik hari ni dia jadi mak turut aje.

“Zaman moden macam ni pakai prepaid lagi ke? Miskin betul!” Terdengar suara lelaki itu menyindir. Tia menoleh. Wajahnya berkerut. Giginya diketapkan menahan kemilau dalam dada.

“Tinggal seringgit pulak tu. Nak buat calling macamana ni?” Lelaki itu terus merungut. Tia sudah panas hati. Tiba-tiba dia merebut telefon bimbitnya dari pegangan tangan lelaki itu. Si lelaki terkapai-kapai.

“Kalau tak nak sudah, tapi janganlah nak kutuk-kutuk pulak. Saya ni student, memanglah kena guna prepaid. Yang awak tu kalau kaya sangat kenapa tak bawa telefon sendiri?” Marah Tia. Bengang sungguh dia kerana diperlekeh-lekehkan begitu. Entah anak raja negara mana agaknya yang tersesat sehingga ke mari!

Lelaki itu terkelip-kelip memerhatikannya. Tia terus menyimpan telefonnya ke dalam beg sandang. Malas mahu melayan kerenah mamat kerek itu. Banyak songeh!

Tiba-tiba mata Tia terpandang sesuatu. Alamak bas! Dari jauh sebuah bas berwarna biru meluncur dengan kelajuan sederhana dari suatu arah. Tanpa mengendahkan lelaki itu, Tia terus menuju ke tengah jalan raya lalu melambai-lambaikan tangannya sambil melompat-lompat sedikit.

Si lelaki menoleh. Dia juga perasan dengan kemunculan bas itu. Namun entah kenapa matanya tidak putus-putus memandang gadis itu. Gelagat gadis itu yang melompat-lompat macam kanak-kanak riang mengundang senyumannya.

Bas yang semakin menghampiri berhenti di hadapan mereka. Tia sudah tersenyum-senyum sumbing. Bas kilang pun bas kilanglah, asal mereka tidak terus tersangkut di jalan yang agak sunyi itu. Beberapa kepala menjengah keluar dari perut bas.

“Uncle, nak tumpang boleh? Kereta kami rosak.” Jerit Tia pada seorang lelaki India yang sedang berada di tempat duduk pemandu. Tanpa banyak soal lelaki India itu terus mengangguk. Tia segera mengemaskan beg sandangnya lalu melompat mendaki tangga bas. Tapi sebelum dia menghilang ke dalam, dia berpaling ke arah si lelaki yang hanya tercegat di situ.

“Tunggu apa lagi? Naiklah.” Suruh Tia dengan wajah masam mencuka.

Si lelaki menggaru kepala tidak gatal. Dia sebenarnya bukan kisahkan bas yang mereka naiki, tapi yang dikisahkan adalah perempuan-perempuan di dalam bas tersebut yang asyik tersengih-sengih memerhatikan ke arahnya. Dia melontarkan keluhan kesah. Nak naik ke atau lebih rela kena tinggal kat tepi jalan ni? Mana satu pilihan hati?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!