Followers

Tuesday, November 2, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 30

PERISTIWA yang dialaminya malam semalam benar-benar membuatkan Suria gelisah. Dia sendiri tidak dapat memastikan, apakah peristiwa yang membuatkan dia kecut perut itu benar-benar berlaku atau sekadar mimpi sahaja. Tapi kalau benar itu mimpi, maka itulah mimpi yang paling nyata yang pernah dirasakannya.

Pagi tadi sewaktu dia hendak mengeluarkan keretanya dari petak garaj, dia sempat menilik tanah di hadapan pintu pagar rumahnya, namun langsung tidak ada tanda-tanda tanah itu pernah digali.

Sikap aneh Suria sempat diperhatikan Baharom. Dia asyik melihat anak gadis itu sibuk meninjau-ninjau kawasan di hadapan rumah mereka. Mata Baharom ralit memerhatikan telatah Suria sepanjang pagi itu.

“Suria dah nak pergi kerja?” Tegur Baharom.

Gadis itu tergaman melihatnya, namun bibir itu cepat tersenyum meskipun nampak kekok.

“Suria nak ke Kampung Pendang pagi ni.” Beritahu anak gadis itu.

“Kampung Pendang? Kat mana tu?”

“Di Temerloh, Pahang. Suria nak interview keluarga Masyitah di kampung. Hari ni mungkin Suria balik lambat lagi ayah.” Ujar Suria memberitahu.

Baharom terdiam. Dia memandang Suria yang mencari-cari kunci kereta dari tas tangannya. Wajah itu tampak pucat sedikit.

“Kalau Suria tak sihat, berehatlah di rumah. Postpone dulu interview tu. Ayah tengok Suria macam tak cukup tidur aje.” Tegur Baharom tiba-tiba.

Suria memandang ke arah ayahnya sejenak. Dia memegang pipinya.

“Suria tak apa-apa ayah. Lagipun interview ni penting. Suria kena siapkan bahan untuk berita jam dua nanti.” Balas Suria.

Baharom melepaskan keluhan. Dia mengerti kedegilan gadis itu. Sejak kecil sikap Suria pantang menyerah sebelum kalah. Malah semangat Suria bagai tak putus menyala jika melakukan sesuatu yang diminatinya. Tapi mengenangkan gerak geri Suria malam semalam, entah kenapa ada sesuatu bermain di lubuk hatinya. Dia benar-benar risaukan anak gadis itu.

* * * *

Kedatangan Suria disambut penuh kesedihan oleh Pak Kassim sekeluarga. Lantai kayu yang dipijaknya di rumah lelaki tua berkopiah itu terasa dingin, sedingin suasana pagi itu yang hambar dan masih dalam keadaan berkabung.

“Masyitah anak yang baik, tiap-tiap bulan tak pernah lupa menjenguk kami. Tak pernah lupa memberi wang belanja pada adik-adiknya.” Cerita Pak Kassim sayu. Mak Minah yang duduk di anjung rumah sambil memangku anak-anaknya Zali dan Mardina yang masih kecil, kelihatan pilu mendengar cerita suaminya.

“Sampai hati Masyitah tinggalkan kami dalam keadaan macam ni. Remuk rendam hati pakcik ni setiap kali teringatkan dia.” Keluh Pak Kassim kesedihan.

“Sabarlah Pak Kassim, ini semua ujian Allah,” pujuk Suria. Hanya itu yang mampu diucapkan untuk menenangkan perasaan lelaki itu. Suria memandang ke arah Nizam yang sedang memfokuskan wajah suami isteri itu melalui lensa video kameranya. Jika diikutkan hatinya, mahu rasanya dia hentikan rakaman itu. Tapi apa boleh buat, berdepan dengan tugas mengajarnya agar tahu mengawal emosi sendiri.

“Dah kami larang, tapi dia berdegil nak bekerja di kilang tu. Katanya nak membantu pendapatan keluarga. Memang sejak dia berkerja di situ, hidup kami senang sikit. Kami ingat dengan adanya Mahani kat Kuala Lumpur tu, bolehlah jenguk-jenguk adiknya tu. Tapi tak sangka macam ni pula jadinya.” Keluh Pak Kassim sebak.

“Selama dia bekerja, ada tak Masyitah mengadu apa-apa pada pakcik tentang perkara-perkara yang tak menyenangkan hatinya?”

“Maksud anak ni?”

“Yalah, saya nak tahu kalau-kalau Masyitah ada musuh di tempat kerjanya.” Ujar Suria berhati-hati. Bimbang pasangan suami isteri itu tersinggung dengan kata-katanya.

Mata Pak Kassim membulat mendengar kata-kata Suria. Entah kenapa, soalan Suria menimbulkan kegelisahannya.

“Masyitah anak yang baik. Pakcik percaya ke mana pun dia pergi, semua orang akan suka padanya. Kenapa anak tanya soalan macam tu pada pakcik?” Soal Pak Kassim, hairan.

Suria serba-salah. Dia mengerling ke arah Mak Minah yang tunduk membisu sedari tadi. “Masyitah ada kawan yang istimewa pakcik? Maksud saya kawan lelaki?” Suria berhati-hati mengalihkan pertanyaan.

“Entahlah, setahu pakcik tak ada. Tapi kami perasan sejak dia bekerja di Kuala Lumpur, dia dah jarang-jarang balik ke kampung. Kali terakhir kami jumpa dia dua bulan yang lalu. Itupun dia balik sekejap aje. Dia belikan banyak barang untuk adik-adiknya.” Ujar Pak Kassim.

Suria mengangguk. Matanya menerawang memerhatikan rumah kayu milik Pak Kassim suami isteri yang hampir usang. Padanlah Masyitah datang bekerja di Kuala Lumpur, semuanya dilakukan untuk mengurangkan beban keluarga. Tapi siapa sangka, hasrat ikhlas seorang gadis akan berakhir begini, keluh Suria.

Tiba-tiba mata Suria tertancap pada sebingkai potret lama yang terhias di dinding rumah itu. Matanya mengecil menatap potret lima lelaki yang sedang bergambar sambil tersenyum. Menyedari bebola mata Suria menuju ke arah potret yang terhias di dada dinding, Pak Kassim turut mengekori anak mata gadis itu.

“Itu gambar moyang Masyitah, gambar ketiga dari kiri.” Beritahu Pak Kassim.

“Yang lain-lain tu?” Suria bertanya sekadar ingin mengalihkan suasana sedih yang menyelubungi rumah itu.

“Kalau tak salah, yang lain-lain tu kawan-kawan datuk pakcik. Mereka semua bersahabat baik sejak menetap di Tanjung Paring lagi.”

“Tanjung Paring?” Suria tercengang. Nama itu asing baginya.

Pak Kassim mengangguk. “Kampung tu terletak di selatan Johor, di Pulau Tengah. Tapi orang dah tak menetap di situ lagi sejak kawasan tu diwartakan oleh kerajaan.” Jelas Pak Kassim.

“Jadi pakcik ni bukan orang Pahang?”

“Kami semua berasal dari Johor, tapi keturunan pakcik datang dari Lingga sebenarnya. Tapi ayah pakcik yang mula-mula datang berhijrah ke Pahang dan menetap di sini.” Jelas Pak Kassim menyambung kisah keluarganya.

* * * *

Suria menatap skrin laptopnya dengan rasa tegang. Dia menarik nafas berat. Aduh! Bagaimana dia mahu menulis laporan dengan kepalanya yang pusing? Sesekali matanya berlari ke arah jam dinding yang hampir menginjak ke pukul satu petang. Aduh! Mampus aku kena bambu dengan Encik Akhbar kalau tak siap laporan ni. Dia mendongak memandang teman-temannya yang nampak sibuk ke sana ke mari.

“Suria, kau dah siap ke?” Zaharah bertanya.

“Sikit lagi Kak Zah,” balas Suria sambil tersenyum hambar. Sedangkan dia satu apa pun belum menulis. Dalam hati, sudah berbakul sumpah seranahnya ditujukan pada Izwan kerana sering menganggu kelancaran tugasnya.

Selain dari sumber interviewnya dengan keluarga Masyitah, yang lain-lain dia buntu. Itupun temuramah dengan Pak Kassim dan Mak Minah, kebanyakannya menceritakan kisah Masyitah sewaktu kecil dulu. Sedangkan dia memerlukan satu fakta yang lebih jelas, lebih menarik untuk diperkatakan. Dan yang paling penting, fakta yang membawa kepada kes pembunuhan Masyitah itu sendiri.

Aduh! Bagaimana ni? Masa terus berjalan sedangkan dia tidak tahu apa yang harus ditulisnya. Fikirannya semakin buntu dan serabut. Fasya yang tiba-tiba melintas di hadapannya segera dipanggil. Gadis itu menoleh lalu mendekatinya.

“Kenapa?” Soal Fasya ingin tahu.

“Sya, tolong aku siapkan laporan tentang kes mayat kat Puchong tu.”

“Opss sorry Suria, aku kena siapkan laporan khas tentang kejadian gerhana bulan tu. Pagi tadi Encik Akhbar hantar satu team ke ANGKASA untuk interview Profesor Dato’ Dr. Mazlan Othman, tapi sampai sekarang tak balik-balik lagi.” Rungut Fasya seraya berlalu pergi.

Suria hanya mampu mengeluh. Pudar harapannya mahu meminta bantuan Fasya. Hmm nampaknya mahu tak mahu, dia harus selesaikan juga laporan itu dengan apa cara sekalipun. Melihat Nizam muncul tidak jauh dari situ, Suria lekas-lekas memanggil lelaki itu.

* * * *

“Keluarga mangsa minta izin kita untuk bawa balik mayat tu ke kampung untuk dikebumikan.” Ujar Kordi pada ketuanya. Izwan hanya mengangguk.

“Memang inilah yang sebaiknya. Mayat gadis itu tak sepatutnya dibiarkan lama-lama. Kalau segala urusan koroner dah selesai, awak uruskan Kurt. Kalau perlukan pengawasan pihak polis, lakukan saja. Lagipun saya tak mahu ada gangguan lagi di sana lebih-lebih lagi setelah apa yang berlaku pada Doktor Ibrahim tempohari.” Ujar Izwan.

“Tuan rasa siapa agaknya lelaki tu? Pembunuh yang kita carikah?”

“Entahlah, mungkin juga. Tapi walau siapa pun dia, saya rasa dia ada niat tertentu. Jika tidak masakan dia bersusah payah mencari mayat Masyitah dan memukul Doktor Ibrahim. Awak dah edarkan lakaran sketches wajah lelaki tu?”

“Sudah tuan, saya dah edarkan pada semua anggota kita dan saya akan edarkannya di kawasan hospital hari ni.” Ujar Kordi tersenyum.

Tiba-tiba seorang lelaki menjengah masuk tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Nafasnya termengah-mengah. Izwan mengerutkan dahinya. Kordi juga ikut tergaman.

“Kenapa ni Rahimi? Macam dikejar hantu aje.” Tegur Izwan hairan.

“Tuan, buka KZM News sekarang. Ada berita fasal kes yang sedang kita siasat ni.” Ujar Rahimi semput. Tanpa sempat Izwan membuka mulut, Kordi terus mencapai remote control yang terletak di atas meja ketuanya. Televisyen 29 inci yang terdapat di bilik Izwan segera dipasang.

“Mayat yang ditemui sejak dua minggu yang lalu di kawasan hutan simpan di Puchong, Selangor dilaporkan adalah mayat seorang pekerja kilang yang dilaporkan hilang dari rumah sejak hampir tiga minggu yang lalu. Laporan bedah siasat yang dibuat oleh unit patologi telah mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia dalam keadaan misteri dan mengejutkan dengan kesan kecederaan pada sebahagian besar badan, tengkuk dan muka. Pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa ini adalah kes pembunuhan terancang yang melibatkan ritual keagamaan serta….…saya Suria Baharom, melaporkan untuk KZM News.” Senyuman itu terpamer seketika sebelum berganti dengan wajah penyampai berita.

Berdentum meja kecil itu dihentak oleh sepasang tangannya. Kordi dan Rahimi yang turut sama menonton berasa kecut perut melihat kemarahan Izwan. Selalunya lelaki itu jarang sekali marah-marah seperti itu. Tapi kali ini, berita yang tersiar di kaca televisyen itu benar-benar membuatkan Izwan naik angin.

Suria Baharom! Dia mengeluh panjang. Terbayang-bayang di matanya wajah Suria yang manis tersenyum. Tak disangka-sangka, tubuh sahaja kecil tapi lidahnya tajam seperti belati. Ritual agama? Sejak bila dia menyebut begitu terhadap kematian Masyitah? Malah dia tidak pernah mengiyakan apa yang disebut oleh gadis itu sendiri malam sebelumnya.

Mahu dikata apa lagi. Pasti selepas ini dia akan dipanggil ke pejabat orang atasannya. Arahan pihak atasan agar kes ini dirahsiakan dari pihak umum, kini tersebar luas. Izwan benar-benar berang.

“Macamana ni tuan?’ Kordi jadi resah melihat lelaki itu diam sahaja. Sesekali dia memandang Rahimi yang turut sama termenung. Namun Izwan tetap tidak bersuara.

* * * *

Nazrul segera menutup televisyen yang terpasang di billiknya dengan remote control sebelum mencampakkannya ke atas mejanya. Helaan nafasnya terasa berat. Kerusi yang didudukinya dipusing lalu mengadap ke arah cermin kaca yang menghidangkan pemandangan indah bandaraya Kuala Lumpur. Selalunya itulah kegemarannya setiap kali dia berada di bilik itu.

Namun entah kenapa, kali ini fikirannya terasa membeku dengan pemandangan itu. Malah hatinya langsung tidak tertarik untuk menikmati panorama indah yang terbentang luas di hadapan mata. Saat itu fikirannya lebih kusut ke arah berita yang baru didengarnya melalui televisyen.

Laporan yang dibuat oleh Suria tentang pembunuhan gadis kilang itu benar-benar membimbangkan. Dia benar-benar takut Suria ditimpa bahaya. Apa yang berlaku sekarang sebenarnya lebih besar impaknya dari apa yang disangka oleh gadis itu.

Isyarat beep yang terlontar dari skrin laptopnya menukar arah pandangan Nazrul. Dia berpaling ke arah skrin. Melihat mesej dan isyarat yang terpapar, bibirnya melepaskan keluhan berat. Namun dia memaksa diri menekan butang video conferencing. Beberapa ketika, satu wajah muncul di hadapan skrin.

“Dah tengok berita tu?” Suara itu sinis bertanya. Dia hanya mengangguk.

“Habis Naz nak biarkan aje? Ini tugas Naz untuk perhatikan dia. Kalau dia menganggu tugas kita, ibu akan pastikan yang dia…”

“Dia apa? Ibu nak bunuh dia?” Giliran dia mengajukan pertanyaan berbaur sindiran.

“Kalau terpaksa, ibu akan buat..” Suara Yong Habibah bernada ancaman. Nazrul tersentak. Kata-kata wanita itu benar-benar membimbangkannya. Dia tidak mahu Suria diapa-apakan.

“I know how to handle this situation. Don’t worry.”

“Naz, ibu tak suka kes ini diperbesar-besarkan oleh wartawan tu. Naz ketua dia, sepatutnya Naz bertegas agar dia tak menganggu urusan kita.” Suara Yong Habibah bertukar nada. Lebih lembut dari tadi. Dia pula lebih senang membisu. Mulutnya tidak berniat mahu memberi ulasan di atas kata-kata ibunya.

Nazrul bingkas bangun dari kerusi lalu menarik tirai jendela di hadapannya. Wajah Suria terpampang di hadapan mata, kelihatan tekun mengadap laptopnya dari kejauhan. Nazrul menarik nafas. Antara Suria dan ibunya, dia terbelenggu di tengah-tengah. Entah apa ikhtiarnya mahu melindungi gadis itu?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!