Followers

Wednesday, November 24, 2010

Blue Sunset : Bab 13

LUKHMAN tersenyum simpul melihat isterinya dikerumuni wartawan dan disinggahi dengan pelbagai pancaran flash dari lampu kamera. Melihat wanita itu menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan tenang, dia diam-diam meminggir diri dari kerumunan ramai itu. Enggan mencampuri perkara yang bukan menjadi urusannya.

Segelas jus oren dicapai dari dulang seorang pelayan lalu diteguk. Matanya leka memerhatikan orang-orang dari bidang hiburan yang memenuhi perkarangan Golden Screen Cinema. Malam itu satu tayangan filem perdana akan berlangsung di GSC Midvalley. Dan dia sekadar menemani isterinya yang turut diundang.

“Lepas ni apakah you akan terus berlakon filem?” Soalan salah seorang wartawan singgah di penjuru telinganya. Lukhman berpaling. Entah mengapa dia teringin mahu tahu jawapan isterinya kali ini.

“Insya Allah kalau ada tawaran yang menarik. Saya akan pertimbangkan.” Wanita itu menjawab lancar. Bibir Lukhman melemparkan senyuman kecil. Isterinya memang tahu bagaimana mahu melayan wartawan yang menemuramahnya.

“Dahulu you buat keputusan mahu berundur dari dunia seni dan berhijrah ke Sydney. Kini selepas lapan tahun, you balik semula ke tanahair. Apakah keputusan you ni disebabkan oleh tiadanya peluang untuk you kembangkan sayap lakonan you di negara asing?”

Jalena melemparkan senyuman. Dia faham dengan sikap provokasi sesetengah wartawan yang sengaja mahu mengumpan cerita yang menarik untuk tatapan orang ramai.

“Bukan begitu sebenarnya. Saya bukan berundur terus dari dunia lakonan. Saya hanya berundur sementara kerana menemani suami saya mengembangkan sayap syarikatnya di Sydney. Sekarang kerja suami saya dah selesai. Maka kami ambil keputusan untuk balik semula ke Malaysia. Lagipun hujan emas di negara asing, lebih baik hujan batu di negara sendiri. Bukan begitu?” Ujar Jalena dengan lenggok bahasa yang sangat teratur. Dia sempat menjeling suaminya yang kebetulan sedang memandang ke arahnya. Dan ternyata penjelasannya memuaskan hati semua pihak.

Setelah acara tayangan filem perdana itu selesai, mereka beriringan keluar dari pawagam. Beberapa orang wartawan masih mencuri kesempatan merakam gambar-gambarnya bersama suami. Dia hanya tersenyum simpul. Lukhman yang bagaikan mengerti tugas wartawan-wartawan itu, hendak tidak hendak turut menyulam senyuman. Terpaksa berlagak selamba meskipun dia tidak berapa suka gambarnya terpampang di dada akhbar.

“You look beautiful tonight dear.” Bisik Lukhman di cuping telinga isterinya, ketika wartawan meminta dia memeluk pinggang Jalena untuk diabadikan di dalam foto.

“Thanks honey sebab you sporting betul malam ni. I tahu you lakukan semua ini untuk I. Thank you.” Bisik Jalena pula.

Lukhman hanya mampu tersenyum. “Sebab I sayangkan you. That’s why.”

“Me too.” Balas Jalena lalu merangkul kedua-dua belah tangan suaminya dengan erat. Mereka tidak ubah seperti pasangan bahagia yang lain.

* * * *

“Man, kita bahagia kan?” Suara Jalena menyapa tatkala dia sedang memandu pulang dari Midvalley. Dia menoleh sebentar ke arah Jalena. Wanita itu sedang memandangnya dengan pandangan redup.

Dia mengangguk perlahan. Sekadar mengiyakan pertanyaan wanita itu. Ya, kita bahagia! Kata-kata itu tersimpul di dalam hati. Untuk meluahkannya entah kenapa lidahnya jadi kelu untuk mengesahkan definisi kebahagiaan hidupnya.

“Apa you tak bahagia?” Gilirannya pula bertanya Jalena.

Wanita itu mengeluh panjang. “Bahagia. Tapi hati I tetap merasa kekurangan. I tahu I tak patut merasa begini. Tapi I tak mampu mengelak diri Man.” Keluh Jalena seraya melirik ke luar jendela. Matanya terpaku pada deretan bangunan-bangunan pencakar langit yang menjadi kebanggaan bandaraya Kuala Lumpur.

Dia terdiam mendengar pengakuan isterinya. Apa yang dirasai isterinya sebenarnya tidak jauh berbeza dari dirinya sendiri. Sejak dahulu dia tidak pernah mampu ketawa polos. Semuanya kerana kisah lalu. Kisah yang membuat mereka hidup dalam dunia yang sepi.

Cinta? Ya dia mengaku dia begitu mencintai isterinya. Malah dia juga yakin cinta Jalena padanya tidak pernah pudar. Tapi jauh di sudut hati, mereka sama-sama merasakan sengsara. Aneh! Manusia patut gembira kerana mencintai dan dicintai. Tapi cinta mereka membuatkan mereka hidup dalam kekesalan. Apakah ini yang sepatutnya mereka hadapi hanya kerana mencari sesuatu yang didambakan oleh hati? Adilkah ini semua?

“Kita tak boleh lari dari masa silam Lin.”

“Ya I tahu. Tapi setiap kali I fikirkan apa yang dah I lakukan, I rasa benar-benar bersalah. I nak tebus salah I, tapi I tak berani. I ni pengecut.” Keluhnya dengan wajah sebak.

Lukhman menggeleng. “Tidak sayang, you bukan pengecut. I yang pengecut sebab paksa you buat macam tu dulu. Kalau I tak wujud dalam hidup you, tentu you takkan jadi macam ni sayang.” Lukhman berkata kesal.

Jalena menggelengkan kepala. “Please don’t say like that Man. I tak menyesal kahwin dengan you. Sebab you satu-satunya lelaki yang I cintai. Cuma I kesal dengan apa yang dah kita lakukan untuk mempertahankan cinta kita. I rasa macam I ni perempuan jahat. Seorang ibu yang tak bertanggungjawab.” Luah Jalena seraya menekup mukanya dengan kedua-dua belah telapak tangannya.

Lukhman serba-salah. Tangisan Jalena yang mulai pecah membuatkan dia dihimpit gelora perasaan. Hatinya ingin memujuk Jalena, tapi entah kenapa dia hanya membiarkan sahaja isterinya melayan emosi. Mungkin ini lebih baik untuk wanita itu.

* * * *

Selepas mandi dan bertukar pakaian, dia menoleh ke arah isterinya. Tapi Jalena kelihatan sudah lena dibuai mimpi. Dia mengadap wajah polos isterinya yang kelihatan sayu. Lama matanya terpaku pada seraut wajah yang masih jelita biarpun usia isterinya semakin meningkat. Wajah itu benar-benar digilainya suatu ketika dahulu. Tapi kerana perbezaan antara mereka, hubungan mereka dihalang. Apatah lagi ketika itu dia dan Jalena masih muda.

Jalena anak orang berada. Ayahnya mempunyai sebuah kilang pengeluar kain batik di Pasir Puteh, Kelantan. Ketika usia Jalena lima belas tahun, ayah Jalena menghantar anak gadisnya tinggal bersama pakciknya di Kuala Lumpur untuk disekolahkan.

Ketika itulah dia bertemu Jalena. Cinta ikhlas mereka dianggap cinta monyet, lantaran dia hanyalah anak pekerja kilang. Yang tidak punya apa-apa kecuali hati seorang romeo yang menggilai julietnya. Namun mereka bercinta secara diam-diam selama dua tahun sehinggalah hubungan mereka dapat dihidu oleh keluarga Jalena di Kelantan.

Setelah selesai menduduki MCE, Jalena balik ke Kelantan. Meninggalkan dirinya yang terawang-awang bagai layang-layang putus tali. Dihambat kerinduan yang berpanjangan, dia nekad mahu mencari Jalena di kampungnya di Pasir Puteh. Namun hatinya kecewa apabila dapat tahu Jalena sudah berangkat ke luar negara, melanjutkan pelajaran.

Hampa dengan apa yang telah tersurat, diam-diam dia membawa diri ke Balik Pulau. Manyambung pelajaran di salah sebuah universiti di situ, lalu mempertemukannya dengan seorang gadis yang kemudiannya diperisterikan. Mereka berpindah dari Balik Pulau ke Kuala Lumpur, lalu menginap di sebuah kawasan rumah murah di Kerinchi.

Sepuluh tahun kemudian dia dipertemukan semula dengan Jalena. Ketika itu Jalena sudah bersuami, dan dia pula mempunyai isteri. Pada awalnya pertemuan mereka hanya sebagai kawan lama yang sudah lama tidak bertemu. Tapi lama kelamaan, pertemuan demi pertemuan berlarutan sehingga apa yang telah mati sejak lama dahulu mulai mekar kembali. Cinta mereka makin bertaut dari hari ke sehari.

Lukhman terus merenung ke arah isterinya. Dia tahu Jalena sedang berpura-pura gembira di hadapannya. Hakikatnya mereka berdua tahu apa yang telah mereka lakukan untuk bersama. Kerana cinta, banyak hati telah terluka dan kecewa. Jadi adilkah mereka hidup bahagia sedangkan ramai yang sengsara?

Dia menarik selimut tebal lalu membungkus tubuh Jalena yang kedinginan di dalam suhu aircond. Matanya redup memerhatikan wanita itu. Sesaat kemudian Lukhman mengalihkan tubuhnya. Dia melangkah ke arah beranda biliknya. Matanya mencerun ke arah kepekatan malam di hadapannya.

Seraut wajah singgah di birai matanya. Sejak dahulu dia tidak pernah melupakan wajah itu, meski dia pernah bertindak kejam dan mempersia-siakan wanita itu. Entah sejak bila dia sering merasakan ada gelora rindu menyerang dirinya. Rindu pada bekas isterinya yang diceraikan tanpa belas kasihan. Ya Allah, besarnya dosaku padanya.

Sepuluh tahun yang lalu, dia pernah kembali ke rumah lamanya di Kerinci. Dia ingin mencari wanita itu semula. Tapi khabar yang mengecewakan diterima. Menurut jiran-jiran lamanya di situ, bekas isterinya sudah lama berpindah entah ke mana. Malah tidak ada seorang pun yang tahu ke mana wanita itu pergi.

Tergerak hatinya untuk membuat lembaran iklan untuk mengesan kedudukan wanita itu, tapi akhirnya dia membatalkan hasrat hatinya. Lagipun dia tidak mahu Jalena tahu bahawa dalam diam-diam dia sedang mencari bekas isterinya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!