Followers

Sunday, May 30, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 10

DOKTOR BADRUL kelihatan begitu asyik merawat pesakitnya, seorang wanita tua yang hampir mencecah usia 60 tahun yang telah didiagnosiskan mengidap tumor hati. Wajah letih lesu wanita itu membuahkan simpatinya. Namun sebagai doktor dia harus bijak mengawal emosi sendiri.

Sepuluh tahun yang lalu isterinya sendiri pernah didapati mengidap kanser. Pada tahun-tahun pertama, Mariah didapati tidak mampu berjalan seperti biasa. Isterinya itu lumpuh separas pinggang. Diagnosis awal yang dilakukan tidak menunjukkan tanda-tanda kanser. Hanya tulang belakang Mariah kelihatan tidak normal.

Dia tahu beberapa tahun sebelum kemalangan yang menimpa arwah Syed Radzi suami isteri, Mariah pernah mengalami kemalangan. Isterinya itu tidak mengalami kecederaan yang serius hanya luka-luka kecil sahaja. Selepas dua tahun baru kesannya ketara pada wanita itu. Apalagi sel-sel kanser semakin membiak di dalam tubuh isterinya.

Berbagai usaha dilakukannya untuk mengubati isterinya Mariah. Ketika itu dia masih menerajui Perkasa Budi amanah arwah Syed Radzi. Waktu itu adalah waktu yang benar-benar menguji dirinya. Dia terpaksa mengimbangi antara urusan syarikat dan isteri yang memerlukan perhatiannya.

Beberapa bulan kemudian, dia nekad ke England memujuk Hazril pulang. Rupa-rupanya sepanjang Hazril berada di Kota London, dia bekerja dengan sebuah firma hartanah Inggeris yang agak besar untuk menimba pengalaman. Kerana itulah dalam tempoh lima tahun menerajui Perkasa Budi, syarikat itu semakin berkembang pesat. Malah ramai yang mengakui, Hazril sebenarnya jauh lebih cekap dari ayahnya sendiri Syed Radzi.

Kepulangan Hazril melegakannya. Isterinya dibawa ke merata tempat untuk berubat namun ketentuan Allah tetap mendahului. Tak lama kemudian, Siti Mariah menghembuskan nafas yang terakhir, meninggalkan seorang suami dan dua anak yang semakin meningkat remaja.

Kerana itulah dia menolak tawaran Hazril untuk terus bersama Perkasa Budi. Dia bertekad untuk terus menjadi doktor sehingga ke akhir hayatnya. Perasaan kesal tumbuh sedikit sebanyak kerana tidak mampu merawat isterinya dengan sempurna. Namun dia tidak pernah menyalahkan amanah yang terpaksa dipikul, sebaliknya dia rasa berbangga menjadi kepercayaan teman baiknya sendiri. Apatah lagi Hazril sudah dianggap anak kandungnya sendiri.

Doktor Badrul bersandar keletihan di biliknya. Siapa sangka sudah lima belas tahun pemergian arwah Syed Radzi dan Radhiah Murni. Sewaktu itu dia yang bertanggungjawab memeriksa mayat-mayat itu. Remuk-rendam hatinya melihat keadaan mayat kawan baiknya yang berlumuran darah.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kemalangan biasa. Namun ada satu rahsia yang telah lama disimpannya. Dia tidak pernah memberitahu siapa pun hal itu termasuklah ahli keluarga arwah Syed Radzi.

Ketika dia membaca laporan autopsi mayat Syed Radzi, dia mendapati darah teman rapatnya itu mempunyai paras kandungan ubat tidur dan alkohol yang agak tinggi. Ini menimbulkan kecurigaannya, apatah lagi dia tahu Syed Radzi seorang yang agak warak. Mustahil temannya itu mengambil pil tidur dan alkohol. Kalaupun paras alkohol itu berasal dari ubat-ubatan yang diambil, ini agak mustahil. Setahunya Syed Radzi tidak mengidap apa-apa penyakit lain kecuali darah tinggi. Ubat darah tinggi yang diambilnya semuanya melalui pemantauannya sendiri dan bebas dari sebarang kandungan alkohol. Lagipun mustahil Syed Radzi tidak tahu campuran alkohol pada paras tertentu bersama pil tidur akan menjadi racun yang boleh memudaratkan tubuh.

Selama dua tahun kes ini disiasat, polis akhirnya akhirnya terpaksa mengalah begitu sahaja apabila mereka gagal menemukan si pelakunya serta motif sebenar kejadian ini. Dan selama itulah, dia sengaja menyembunyikan keputusan siasatan itu dari pengetahuan Hazril yang masih remaja.

Biarlah tuhan sahaja yang membalas siapa pun jua yang menganiayai arwah Syed Radzi dan isteri, serta turut mengorbankan dua nyawa lain yang tidak berdosa. Biarlah semuanya selesai setakat itu sahaja. Dia tidak mahu merosakkan masa depan Hazril dengan perasaan dendam kesumat yang mungkin akan merosakkan fikiran anak itu. Sengaja dia membiarkan Hazril menganggap kejadian yang berlaku itu hanya kemalangan biasa yang mungkin boleh berlaku pada sesiapa sahaja.

Meskipun begitu, jauh di sudut hati, dia tetap merasa bersalah setiap kali dia memandang wajah Hazril. Begitu juga apabila dia teringatkan wajah comel gadis kecil yang dibawanya ke rumah anak-anak yatim lima belas tahun yang lalu. Dia sedar dia telah menzalimi kedua-dua anak itu, sedangkan mereka sepatutnya tahu apa sebenarnya yang telah terjadi lima belas tahun dahulu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!