MATANYA leka memerhatikan susun atur
rumahnya yang sedikit berlainan berbanding dua tahun yang lalu ketika dia
pulang bercuti.. Hiasan bunga di anjung tangga sudah berganti dengan ukiran
kayu. Beberapa bingkai gambar yang tak pernah dilihatnya selama ini bertambah
dan tersusun sebaris di atas pelantar almari panjang di ruang tamu.
Mata Aliff berhenti pada bingkai yang
memaparkan wajah Melia yang sedang tersenyum riang sambil memakai topi kecil. Cute! Aliff tersenyum.
“Gambar
ni abang Filman ambil masa kita orang pergi berkelah kat Port Dickson dua bulan lepas kalau tak silap.” Komen Najla ketika
menjengah sama bingkai gambar yang dipegang Aliff.
“Dah
besar ya Melly ni. Sekejap saja.” Balas Aliff. Gambar Melia diletakkan kembali
ke tempatnya. Dia memandang pula wajah-wajah ahli keluarga mereka yang diambil
pada hari raya dua tahun yang lepas. Dia dan Filman berdiri di belakang Tengku
Amar dan Tengku Saida yang duduk di atas kerusi sambil meriba Melia yang masih
kecil. Najla ketika itu duduk bertimpuh di hadapan ibunya. Antara banyak-banyak
gambar, inilah potret keluarga yang paling digemarinya.
“Kenapa
asyik tengok gambar tu? Hah Naj tahu, Aliff mesti rindukan kami semua kan ?” Teka Najla. Aliff
hanya tersenyum.
“Takkan
tak rindu. Ini kan
keluarga Aliff.” Jawab lelaki itu.
“Naj macamana? Aliff tak rindukan Naj?” Soalan itu
terpacul dari bibir Najla tanpa disedari. Wajah
Najla sedikit merah. Namun apakan daya, ia terkeluar di luar kawalannya.
Aliff tidak terus menjawab. Dia merenung wajah
itu dalam-dalam. Apa yang terkandung dalam hati gadis itu sudah lama
difahaminya. Cuma selama ini, dia sengaja tidak mahu melayan perasaan Najla
yang adakala sengaja mahu menduganya.
“Aliff
rindukan semua orang Naj.” Jawabnya tenang.
Najla
terkedu. Dia tidak mahu Aliff terus-terusan menyebut begitu setiap kali dia
bertanya. Dia hanya mahu Aliff mengaku bahawa lelaki itu rindu dan
sayangkannya. Tapi sikap Aliff sejak dulu sehingga kini sentiasa berteka-teki
dengannya. Sukar benar dia mahu menyelami hati lelaki itu.
“Aliff!”
Nama lelaki itu tiba-tiba dilaung lantang. Jeritan itu terus membantutkan
hasrat Najla untuk berkata-kata. Dia berpaling. Aliff sudah pun beredar ke arah
ibunya Tengku Saida yang kelihatan gembira menyambut kepulangannya.
Tangan
Tengku Saida dikucup lembut. Tengku Saida terus merangkul tubuh anak muda itu.
Dia gembira tak terkata apabila terpandang kelibat anak muda itu di ruang tamu.
“Kenapa balik tak
beritahu ma?” Tanya Tengku Saida.
“Saja nak surprisekan
ma. Aliff rindu sangat dengan ma.” Kepalanya
segera dilentokkan ke bahu wanita itu.
Tengku Saida terus tersenyum.
“Ma
pun rindukan Aliff. Dah lama Aliff tak balik, ma cadang nak ajak ayah ke London bulan depan.” Beritahu Tengku
Saida.
“Patutlah hati Aliff ni meronta-ronta nak balik.
Rupa-rupanya ma Aliff ni rindukan Aliff. Hmm..baru
Aliff tahu ma betul-betul sayangkan Aliff.” Usik anak muda itu.
Tengku
Saida ketawa besar mendengar kata-kata Aliff. Sikap suka bergurau anak muda itu
tidak pernah luntur. Selama ini, kehadiran Aliff benar-benar menyerikan
keluarga besar mereka. Dia benar-benar menyenangi anak itu. Sayangnya pada
Aliff tidak pernah dibeza-bezakan meskipun Aliff bukan anak kandungnya.
“Aliff
kan anak ma,
tentulah ma sayangkan Aliff macam yang lain-lain.” Balas Tengku Saida. Aliff
merenung wajah wanita itu dengan penuh kasih sayang. Sememangnya Tengku Saida
sudah lama menjadi ibu kesayangannya. Sikap wanita itu yang penyayang, membuatkan
dirinya langsung tidak merasa terasing. Tidak rasa terpinggir.
“Dahlah tu, bila Aliff balik dari London? Hari tu kata
minggu depan baru nak balik.” Soal Tengku Saida ingin tahu.
“Aliff sampai kelmarin ma. Peperiksaan Aliff dah habis,
sebab tu Aliff balik awal.” Ujar Aliff.
“Hmm..senyap-senyap aje balik tak bagitahu. Kalau tak,
boleh ma masakkan lauk special untuk
Aliff malam ni.” Getus Tengku Saida sambil menggelengkan kepalanya.
“Tak apalah ma, jangan susah-susah. Ma kan tahu Aliff
bukannya cerewet sangat fasal makan ni.” Tukas
Aliff.
Najla
hanya memerhatikan perbualan antara Aliff dan ibunya dengan senyap. Melihat kedua-duanya
begitu asyik berbual-bual tanpa mempedulikannya, Najla mula makan hati. Dirinya
seakan-akan tidak dipedulikan. Aliff memang begini! Jika sudah bertembung
dengan ibunya, perbualan sejengkal boleh jadi sedepa. Diam-diam dia membawa
diri ke dapur.
Mak
Mah, pembantu rumahnya yang sedang mengoreng ubi kentang langsung tidak
ditegur. Dia terus menuju ke arah peti ais lalu dibukanya. Sebotol jus oren
dikeluarkan dari dalam peti ais lalu dibawa ke meja bulat di suatu sudut.
Sebelum melabuhkan punggung, dia sempat mencapai gelas kosong di atas rak
pinggan berhampiran peti ais.
Najla
menuang jus oren sambil mengguman-gumam sesuatu. Ada sesuatu yang membuatkan dia tidak puas
hati sebenarnya.
“Apa
Naj?” Mak Mah berpaling lalu memandangnya. Najla tidak jadi meneguk minuman di
tangannya. Sebaliknya dia memandang ke arah Mak Mah dengan wajah bingung.
“Apa
Mak Mah?” Tanya Najla pula. Hairan kerana ditegur Mak Mah secara tiba-tiba.
“Mak
Mah tanya Naj cakap apa tadi?”
“Cakap
apa?”
“Mak
Mah dengar Naj macam ada cakap sesuatu tadi.”
Najla
terdiam. Mak Mah dengarkah apa yang dirungutkannya sebentar tadi? Alamak,
janganlah Mak Mah dengar! Najla mula keresahan.
“Kak
Mah, malam nanti masak special sikit.”
Tengku Saida tiba-tiba menjengah masuk. Najla dan Mak Mah serentak berpaling.
“Ikan
terubuk yang saya beli kelmarin ada lagi?” Tanya Tengku Saida.
“Ada
Mak Engku, saya ingat nak bakar aje.” Balas Mak Mah.
“Bagus…memang
saya cadang nak suruh Kak Mah bakar aje ikan tu. Lagipun Aliff suka makan ikan
terubuk bakar cecah dengan air asam.” Tengku Saida tersenyum. Najla segera
menarik muka masam. Asyik-asyik Aliff! Semuanya Aliff!
“Hah,
yang Naj buat muka macam tu tunjuk depan ma ni kenapa pulak?” Tak
disangka-sangka Tengku Saida menegur. Najla tergaman. Tajam juga pengamatan ibunya sehingga sempat jua memperhatikan ke
arahnya.
“Ma tu…kalau Aliff
balik aje, terus lupakan Naj yang tercegat kat sini macam tunggul.” Rungut Najla seraya mencebik. Tengku Saida
merenung wajah anak gadisnya.
“Takkan
dengan Aliff pun Naj nak cemburu? Naj kan tahu ma dah lama tak jumpa Aliff, mestilah ma
rindu. Naj tu ma jumpa hari-hari. Bagilah can sikit.” Tengku Saida beralasan.
“Lagipun Naj tu kalau tak ada Aliff, jangan harap nak
balik awal ke rumah. Asyik-asyik nak keluar jumpa kawanlah, nak pergi perpustakaan
dengan kawanlah, nak makan dengan kawanlah…orang tua macam ma ni mana laku
dah.” Sambung wanita itu dengan suara merajuk. Terasa hati!
Najla terpegun mendengar kata-kata ibunya. Dia menoleh ke arah Mak Mah yang terkelip-kelip
memerhatikan ke arahnya. “Kenapa ma cakap macam tu pulak? Naj sayangkan ma tahu!
Cuma dua tiga menjak ni Naj sibuk dengan study.
Itu aje.” Balas Najla.
Tengku Saida hendak tergelak mendengar kata-kata Najla. Sekaligus
lucu melihat wajah Najla yang gelisah. Lurus betul si Naj ni. Baru gertak
sikit, dah ketar lutut!
“Ma marahkan Naj ya? Ala sorrylah ma, lepas ni Naj janji Naj akan temankan ma lebih kerap
kat rumah ni. Naj janji!” Dia mengangkat dua jari, tanda ikrar yang sudah
terpateri di hati.
Ketawa Tengku Saida tak mampu ditahan lagi. Dia ketawa
terbahak-bahak sambil memegang perut. Najla terpegun menyaksikan telatah
ibunya. Kenapa pula dengan ma aku ni? Apabila dia mengalihkan pandangan, Mak
Mah juga ketawa besar dengan senduk masih di tangan. Dia menggaru kepala. Apa
semua orang dalam rumah ni dah buang tebiat ke? Rungut Najla dengan wajah masam
mencuka.
* *
* *
Aliff menguak daun pintu di hadapannya lalu perlahan-lahan
melangkah masuk. Bibirnya serta-merta mengorak senyuman. Masih bersih! Sama
seperti kali terakhir dia pulang ke rumah itu dua tahun yang lalu untuk
menyambut Aidilfitri.
Ada banyak kenangan indah terkumpul di rumah itu
sebenarnya. Kenangan yang mengamit seribu satu kemanisan yang sangat
dihargainya. Dia benar-benar menghargai kesudian Tengku Amar menjaganya selama
ini. Jasa lelaki itu mendidik dan menyekolahkannya takkan sesekali dilupakan.
Kerana itu apabila Tengku Amar mencadangkan agar dia menyambung pengajiannya di
London dalam bidang undang-undang, dia terus bersetuju tanpa membantah. Malah
lelaki itu juga mahukan dia menjadi sebahagian dari legasi keluarga itu yang
terdiri dari barisan peguam-peguam yang handal.
“Abang boleh bagitahu ayah kalau Aliff tak setuju.” Dia
tiba-tiba teringatkan kata-kata Filman beberapa tahun yang lalu selepas dia diterima
memasuki jurusan undang-undang di School of Law di Warwick. Sebuah university yang terkenal dalam bidang
undang-undang.
“Tak
payahlah bang. Aliff akan ikut cadangan ayah tu.” Dia menolak sambil tersenyum.
Baginya kata-kata Tengku Amar adalah satu titah yang harus dijunjung. Lagipun
ketika itu dia percaya, apa sahaja yang baik bagi ayahnya, juga baik bagi
dirinya sendiri.
Tapi
betulkah begitu? Apakah sememangnya keputusan yang dibuatnya tiga tahun yang
lalu adalah yang terbaik untuknya? Bagaimana dengan sekarang? Dia pulang bukan
semata-mata kerana peperiksaan akhirnya telah selesai seperti yang dicanang
pada Tengku Amar, Filman dan pada Tengku Saida sendiri. Sebaliknya ada sesuatu yang membuatkan dia pulang ke mari.
Sesuatu yang benar-benar ditakutinya. Sesuatu yang membuahkan derita di hatinya
sejak sekian lama.
Daun
pintu biliknya tiba-tiba dikuak dari luar. Aliff menyedarinya lalu segera berpaling.
Matanya terlihat kelibat Tengku Amar berdiri di hadapan pintu biliknya sambil
tersenyum.
“Ayah
ingat Aliff tidur.” Tegur Tengku Amar.
“Tak
ayah. Bila ayah balik?”
“Baru aje. Aliff dah solat Maghrib? Kalau dah, mari kita
turun bawah. Ma kamu ajak makan malam. Ada terubuk bakar cecah air asam, ada gulai ikan
kering pajeri nenas, ada kerabu taugeh, sambal belacan pun ada. Kesukaan Aliff
tu kan .”
Canang ayahnya satu persatu.
Aliff ketawa besar. Gelihati mendengar lelaki
itu menyebut begitu. Macam chef tengah mencanang menu restoran pada pelanggan
saja gayanya. Hanya topi lebar putih itu sahaja yang tidak tertenggek di atas
kepala lelaki itu.
“Nak makan
tak?” Tanya Tengku Amar lagi.
Aliff
mengangguk. “Mestilah nak, tapi Aliff nak mandi dan solat dulu. Ayah turun
dulu, sekejap lagi Aliff turun.” Ujarnya pada Tengku Amar.
“Okey,
tapi jangan lama sangat. Perut ayah dah berkeroncong sangat ni.” Balas Tengku
Amar sambil mengenyitkan matanya.
Aliff hanya mampu tersenyum. Sebaik kelibat
lelaki itu menghilang, dia kembali termenung. Hatinya gelisah. Fikirannya
kembali bungkam. Maafkan Aliff ayah. Aliff telah menipu ayah. Menipu semua
orang!
3 comments:
ape kes yang benar nye sampai aliff ngaku jer tipu sume orang tu..oh lah hati tak sabar nye nak tau...
cter yg pnh ngan suspen teman rasa heheh
Aliff tu Adik heroin ek?
Nur
Post a Comment