Followers

Saturday, October 27, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 14


PAGI-PAGI lagi Filman sudah tercacak di hadapan taska itu. Dia menghela tangan Melia keluar dari perut kereta, lalu membawanya ke arah Umaira yang sedang menanti di muka pintu.

“Selamat pagi Encik Filman.” Umaira menegur ramah.

“Pagi Mira.” Filman tersenyum. Dia berhenti di hadapan muka pintu. Beg kecil Melia diserahkan pada Umaira sebelum dia tunduk ke arah anak kecilnya.

“Okey sayang, papa pergi kerja dulu. Nanti papa jemput.”

“Papa jangan datang lewat lagi tau.” Pesan Melia.

Ala lewat kejap aje. Lagipun Melly kan dah ada kawan baru.” Tiba-tiba dia teringatkan gadis bertudung yang ditemuinya tempohari. Mata Filman segera menjenguk ke dalam rumah itu, namun bayang gadis itu langsung tidak kelihatan. Ke mana dia pergi? Tak kerja ke hari ini?

 “Mira, saya pergi dulu. Tolong jaga Melia ya,” pesan Filman sebelum bingkas bangun. Umaira mengangguk. Ayat-ayat lelaki itu sudah rutin di kepalanya hampir setiap hari. Begitulah selalunya pesan Filman selepas menghantar Melia ke situ.

“Papa, jangan lupa datang cepat hari ni.” Jerit Melia di samping Umaira. Filman menggangguk lalu masuk ke dalam perut kereta. Dia segera menukar gear reverse.

Sebaik pedal keretanya ditekan, dia terburu-buru mengundur. Serentak bunyi kuat muncul disertai laungan membuatkan Filman tersentak. Dia segera menekan brek. Matanya berpaling ke arah cermin di hadapan kereta. Sesusuk tubuh berdiri betul-betul di penjuru belakang keretanya. Filman terkejut besar. Alamak!

            Filman segera keluar dari perut kereta. Dia benar-benar serba salah. “Maaf cik, saya tak sengaja tadi. Saya…” Kata-kata Filman terhenti begitu sahaja. Matanya terpaku memandang Danira yang tiba-tiba muncul entah dari mana.

            “Tak apa encik, sikit aje.” Jawab Danira. Dia sendiri tidak sangka akan nyaris-nyaris dilanggar kereta lelaki itu lagi. Hatinya cuak juga. Setiap kali dia bertemu dengan Filman, pasti pertemuan mereka disulami dengan insiden berkaitan kereta.

            “Betul tak kena? Kalau Cik Danira cedera, saya boleh tolong bawakan ke klinik,” pelawa Filman bersungguh-sungguh. Matanya meneliti tubuh gadis itu dari atas ke bawah. Bimbang sungguh dia jika gadis itu benar-benar tercedera kerananya.

            “Tak payahlah encik, saya tak apa-apa.” Danira menolak.

            “Cik Danira dari mana ni?” Soal Filman ingin tahu.

            “Saya dari rumah Kak Mila. Dia pesan minta saya ambilkan beberapa barang dari rumahnya.” Jawab Danira sejujurnya. Bungkusan di tangannya ditunjukkan ke arah lelaki itu. Filman tersenyum.

            “Rapat ya Cik Danira dengan Kak Mila tu.” Komen Filman.

            Danira diam sahaja. Dia tidak memberi sebarang ulasan. Melihat reaksi Danira, Filman kian buntu mahu meneruskan perbualan. Dia pura-pura meneliti jam di pergelangan tangannya.

            “Hmm tak apalah kalau macam tu. Saya pergi dulu, lagipun dah lewat ni.” Ujar Filman meminta diri. Danira sekadar mengangguk. Dia memerhatikan dari tepi sehingga Filman masuk ke dalam keretanya semula. Sebentar kemudian, kereta lelaki itu mula bergerak menuju ke jalan utama.

Danira menarik nafas panjang. Aduh! Mujur tak kena langgar tadi! Dia segera mengatur langkah ke arah pintu masuk taska, tapi langkahnya tiba-tiba terhenti. Lynn berdiri di muka pintu sambil menjeling tajam ke arahnya seakan-akan marah. Danira pura-pura tidak mengerti lalu menuju ke arah gadis itu.

         "Dah datang Lynn?” Tegur Danira ramah. Namun bukan balasan yang diterimanya, tapi dengusan kasar Lynn pula yang kedengaran. Gadis itu segera menghilang ke dalam rumah. Danira terkedu dengan sikap Lynn. Dia semakin bingung. Kenapa dengan Lynn sebenarnya? Marahkan akukah?

*  *  *  *

            Filman sibuk membelek dokumen-dokumen yang baru dihantar pembantunya sebentar tadi. Kes saman yang melibatkan seorang kenamaan itu akan mula dibentangkan fakta-faktanya di mahkamah mulai minggu depan. Oleh sebab itu dia harus bersedia. Lagi pula dia mewakili seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk yang ingin mengemukakan saman terhadap sekumpulan penduduk yang didakwa menetap di atas tapak tanah miliknya.

            Sebenarnya Filman tidak berapa suka menguruskan kes-kes melibatkan orang-orang berpengaruh seperti itu. Bukannya apa, dia rasa terhimpit dengan sikap sesetengah kliennya yang kadang-kala dirasakan tidak masuk akal dan tidak bersikap murah hati. Tapi kerana ayahnya, dia terpaksa juga menerima kes-kes melibatkan kenalan baik ayahnya.

            “Encik Filman, Tengku nak jumpa you kat office dia.” Cindy pembantunya menjenguk masuk dari celah-celah pintu yang sedikit rengang. Filman angkat muka memandang ke arah Cindy. Dia tidak berkata apa-apa, hanya mengangguk.

            Beberapa minit kemudian, dia sudah berada di hadapan bilik ayahnya. Daun pintu diketuk perlahan. Sebaik mendengar suara Tengku Amar, dia terus menolak daun pintu. Namun wajah pertama yang terpampang di hadapan matanya membuatkan dia terkedu.

            “Aliff?” Dia meluru ke arah anak muda itu lalu memeluknya. Rangkulannya kemas, membuatkan Aliff ketawa besar.

            “Lama tak jumpa, abang Filman apa khabar?” Aliff bertanya. Wajah Filman yang riang menyenangkannya.

            “Alhamdulilah sihat.” Jawab Filman santai. “Bila Aliff sampai dari London?” Tanya Filman pada anak muda itu. Angin tiada ribut pun tiada, tiba-tiba Aliff muncul di pejabat ayah mereka hari ini.

            “Kelmarin.”

            “Kelmarin? Habis semalam kenapa tak balik rumah?” Filman mengerutkan dahinya.

            “Itulah yang ayah marah tu Fil. Si Aliff ni dahlah balik tak beritahu kita, lepas tu dia bermalam pulak kat rumah kawan dia. Kalau bukan sebab dia datang hari ni, sampai bila-bila pun ayah tak tahu dia dah balik.” Leter Tengku Amar. Aliff ketawa kecil.

            “Saja Aliff nak surprisekan semua orang. Masa kat airport tadi, Aliff jumpa salah seorang kawan Aliff dulu. Itulah sebabnya Aliff ikut dia balik rumah dia kat Syah Alam. Maaf ayah.” Aliff tersengih. Dia tahu keputusannya kali ini melulu. Mujurlah ayahnya tidak marah-marah!

            Surprise kamu tu merisaukan ayah. Lain kali cakap dulu kalau nak balik ke mari.” Pesan Tengku Amar. Aliff cepat-cepat mengangguk. Dia mengerti kebimbangan si ayah. Ekor matanya sempat dihala ke arah Filman yang turut tergelak kecil.

*  *  *  *

            “Berapa lama Aliff cuti kali ni?” Tanya Filman ketika mengajak anak muda itu minum di kafeteria di hadapan bangunan pejabat Amar & Sons Co.

            “Hmm..dua bulan. Aliff ingat nak bantu ayah dengan abang kat sini. Sekurang-kurangnya Aliff boleh mahirkan diri dalam bidang ni setelah tamat belajar nanti.” Ujar Aliff melahirkan hasrat hatinya.

            “Bagus juga tu, ayah tentu gembira.” Sahut Filman. Dia tahu Tengku Amar memang memanjakan Aliff berbanding adik beradik mereka yang lain. Malah dia sendiri pun tidak dilayan sebaik lelaki itu melayan Aliff. Namun Filman tidak kisah atau berjauh hati. Lagipun Aliff memang anak kesayangan ayah mereka sejak dulu.

            “Kejap je kan bang. Rasanya macam baru semalam Aliff ke London sambung belajar.” Anak muda itu tersenyum.

            “Yalah, abang pun rasa macam tu. Rasanya macam baru aje lagi abang dan ayah ke London jenguk Aliff tempohari.” Filman mengiyakan.

            “Ma dengan Naj apa khabar?”

            “Diaorang sihat. Naj selalu marah-marah kalau Aliff telefon ke rumah tapi bercakap dengan ma saja.” Tutur Filman.

            Aliff ketawa besar. Najla memang sentiasa menjadi anak manja keluarga itu.

            “Aliff sihat?” Soal Filman tiba-tiba.

            Mata Aliff menatap abangnya tidak berkelip. Wajah Filman terlihat serius kali ini. Dia mengerti Filman risau dengan keadaannya.

            “Aliff tak apa-apa. Abang jangan risau.”

            “Aliff ada makan ubat ikut waktu?” Soal Filman lagi.

            Anak muda itu segera mengangguk. Namun wajah itu kelihatan muram secara tiba-tiba. Hati Filman terdetik perasaan kurang enak. Ada sesuatukah yang berlaku pada Aliff? Kenapa bila dia menyebut tentang kesihatan Aliff, adiknya berubah laku secara tiba-tiba?

*  *  *  *

            Najla tergesa-gesa mengemaskan barang-barangnya ke dalam beg sandang yang disimpannya di dalam locker. Setelah itu dia sempat memandang wajahnya sendiri di hadapan cermin kecil yang terdapat di situ. Wajahnya sedikit pucat. Dia langsung mencapai lipstick yang tersimpan di dalam poket beg lalu mengoleskannya pada bibirnya yang kelihatan pudar. Setelah itu bedak padat pula dikeluarkan lalu ditekap pada wajahnya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia segera mengorak senyuman.

            “Hai Naj, nak ke mana ni? Laju je.” Sapa Adam, salah seorang teman kampusnya yang datang dari arah bertentangan. Najla hanya tersenyum. Sapaan lelaki itu langsung tidak diendahkan. Kakinya menapak laju menuju ke kawasan letak kereta di hadapan bangunan fakultinya.

            Dari jauh, dia terpandang sebuah Naza Rio berwarna silver yang amat dikenalinya sedang menanti tidak jauh dari situ. Najla tersenyum senang. Gembira hatinya bukan kepalang. Kakinya segera berlari-lari anak menuju ke arah kenderaan tersebut yang setia menanti di bawah sebatang pohon rimbun.

“Siapa tadi tu?” Aliff bertanya apabila Najla sudah berada di dalam perut keretanya. Najla menoleh ke arah Adam yang masih memandangnya dari jauh. Dia tersenyum seraya melambaikan tangan ke arah anak muda yang terus tercegat di situ.

            “Kawan.” Jawab Najla sepatah.

            “Kawan biasa ke kawan istimewa?” usik Aliff. Sengaja dia mahu menguji gadis itu. Najla ketawa besar mendengar kata-kata Aliff. Dia melirik ke arah lelaki di sampingnya.

“Kalau kawan istimewa sekalipun, kenapa? Aliff cemburu ya?” Giliran Najla cuba menduga. Aliff ketawa kecil. Ke situ pulak anak gadis ini!

            “Baguslah kalau kawan istimewa. Cepatlah ayah dengan ma boleh dapat menantu.” Balas Aliff selamba.

Najla terpelangah. Kata-kata Aliff membuatkan hatinya tiba-tiba sebal. Lain yang diharapkan, lain pula yang terlontar keluar dari mulut lelaki itu. Tidakkah Aliff merasa cemburu dengan kata-katanya sebentar tadi?

            “Bila Aliff balik?” Dia menukar tajuk perbualan. Malas mahu terus berbicara soal remeh-temeh dengan anak muda itu. Sudahlah dia hendak berjumpa lelaki itu jarang-jarang sekali. Sejak Aliff melanjutkan pelajaran hampir tiga tahun yang lalu, dia sering merindui anak muda itu dalam diam-diam.

            “Kelmarin.”

            “Kelmarin? Kenapa tak beritahu kami Aliff nak balik?” Dia tercengang.

            Aliff tersenyum. Dia menumpukan perhatiannya ke arah jalan yang dilewatinya. Soalan Najla sengaja dibiarkan tidak berjawab. Dia lebih senang begitu.

            “Aliff dengar tak Naj cakap apa ni?” Najla tetap berdegil ingin tahu. Aliff menoleh sekilas tanpa berkata apa-apa. Irama lagu yang berkumandang dari siaran Hitz FM di corong radio menyusup perlahan ke lubang telinganya. Sesekali dia menyanyi kecil mengikut rentak lagu.

Melihat reaksi Aliff yang seolah-olah tidak mengendahkannya, Najla tidak dapat menahan geram. Serentak jari-jarinya singgah mencari isi lengan Aliff lalu dikutil buat melepaskan rasa tidak puas hatinya.

            Aliff tersentak. Sepantas kilat dia membrek kereta sehingga berdecit tayar keretanya. Mujurlah dia sempat membrek. Jika tidak, pasti keretanya akan mencium bumper kereta di hadapan mereka yang sedang berhenti di lampu merah.

Dia berpaling ke arah Najla yang kelihatan selamba memandang ke luar. Wajah gadis itu dikerling tajam. Geram betul dia pada Najla yang suka bertindak melulu. Lengannya yang terasa perit digosok perlahan-lahan sambil matanya melurus ke hadapan.

Sekumpulan orang ramai yang sedang melintas di hadapan lampu isyarat dipandang acuh tak acuh. Mulutnya terus mengguman geram pada Najla. Meleter panjang dengan tindakan Najla yang tidak berfikir sebelum bertindak. Mujur dia agak cekap mengendalikan keretanya. Jika tidak, dua-dua boleh masuk hospital.

Tiba-tiba tanpa amaran, leteran Aliff terhenti. Najla berpaling.

 “Aliff, kenapa ni?” Tanya Najla. Hairan melihat mata lelaki itu membuntang ke suatu arah. Bunyi hon dibunyikan bertalu-talu oleh kenderaan dibelakang mereka. Aliff tersentak. Dia segera mengerling ke arah lampu isyarat yang entah sejak bila sudah bertukar hijau.

Dia cepat-cepat memasukkan gear lalu menggerakkan keretanya ke hadapan. Sampai di bahu jalan, lelaki itu menghentikan keretanya. Najla terpinga-pinga.

“Kenapa Aliff?” Tanya Najla bingung.

Namun Aliff tidak menjawab. Dia keluar dari perut kereta lalu menoleh ke arah kawasan lampu isyarat yang baru sahaja dilewatinya. Matanya mencari-cari sesuatu. Namun melihat betapa sesaknya kawasan pejalan kaki itu dipenuhi dengan manusia bertali arus, dia menarik nafas panjang.

*  *  *  *

            Najla asyik merenung Aliff yang kelihatan tidak berselera menjamah makanan yang terhidang di hadapannya. Sebenarnya dari tadi dia sudah tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang dicari lelaki itu di kawasan trafik berhampiran Central Market tadi. Tapi hendak bertanyakan lelaki itu, dia jadi ragu-ragu.

             “Aliff…” panggil Najla perlahan.

            Aliff mengangkat mukanya. Raut wajah Najla ditatap sebentar. Namun Najla terus jadi gugup. Apa yang bermain di fikirannya sebentar tadi terus hilang begitu sahaja diamuk renungan Aliff. Lelaki itu tiba-tiba tersenyum.

            “Naj nak cakap apa?” Aliff menyoal lembut.

Najla terpegun. Suara Aliff menyakinkannya yang lelaki itu kini berada dalam keadaan tenang. Dia benar-benar risau jika Aliff berkelakuan aneh.

            “Err..Naj..Naj cuma nak tahu Aliff cari apa tadi?” Soal Najla tergagap-gagap.

            Aliff terdiam. Matanya menatap Najla tidak berkelip. Kata-kata gadis itu mengingatkannya kembali kepada seraut wajah yang melintas di hadapan keretanya di kawasan Central Market sebentar tadi. Wajah yang dicari tanpa dia tahu apa sebabnya. Yang nyata dia tidak kenal siapa gadis itu serta apa kaitan gadis itu dengannya. Tapi hati kecilnya seolah-olah mengkehendaki dia mencari wajah itu. Wajah yang persis dengan gadis di dalam mimpinya!

            “Kalau Aliff tak nak cerita, tak apalah. Naj tak paksa.” Ujar Najla apabila dilihatnya Aliff seolah-olah tidak berminat mahu menjawab pertanyaannya.

            “Naj bimbangkan Aliff, itu saja.” Sambung Najla pantas. Dia tidak mahu Aliff tersinggung dengan perhatian berlebihan yang diberikannya terhadap lelaki itu. Lagipun dia tahu, Aliff semakin sembuh dengan adanya terapi yang sering diikutinya bersama Doktor Hisyam.

            “Aliff sihat Naj, kalau itu yang Naj bimbangkan.” Tukas Aliff sambil tersenyum tenang.

            Najla terdiam. Dia tidak berani membuka pertanyaan lagi. Lagipun lelaki itu baru balik dari London. Dia tidak ingin, pelbagai pertanyaan yang terhambur dari bibirnya akan menyebabkan Aliff bersedih Dia tidak suka lelaki itu bersedih. Dia hanya mahu melihat lelaki itu ketawa sama seperti dulu.

Aliff tersenyum memandang Najla yang kelihatan gelisah. Dia memahami, hati Najla sedang berkecamuk. Risau tentang dirinya!

1 comment:

Unknown said...

makin menarik,teramat best,menguja kan, penuh konflik n suspen gak....tak sabar nk tunggu n3 seterus nye.sape lah gadis yang muncul dalam mimpi alif,n ape motif sume tu!tak sabar akak nak tau dek....mungkin kah gsdis tu danira???

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!