Followers

Monday, December 13, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 33

PANDANGANNYA jatuh pada sekumpulan lelaki yang sedang menimbus tanah ke dalam lubang kubur. Hampir setengah jam kemudian, baru kerja-kerja itu selesai. Mendengar bacaan talkin bergema, dia duduk bersama sekumpulan wanita yang bertudung litup.

Perlahan-lahan Suria mengangkat muka. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Dari jauh dia melihat seorang wanita berambut panjang mengurai, berdiri di sebalik pohon ketapang, sedang mengintai ke arah mereka. Dia mengerutkan dahinya, cuba mengamati kelibat wanita itu. Namun wajah wanita itu terlindung di sebalik rambutnya yang panjang mengurai.

“Cik Suria tengok apa tu?” Tegur satu suara. Suria segera berpaling. Mahani memandangnya dengan wajah hairan.

“Kak Mahani nampak tak perempuan rambut panjang tu? Kawan Masyitah ke?” Bisik Suria pada wanita bertubuh agak gempal di sebelahnya.

“Perempuan mana?”Wanita itu tergaman.

“Itu, perempuan yang duduk kat bawah…” Suaranya terhenti tiba-tiba. Dia terpaku apabila menyedari kelibat wanita yang dimaksudkannya itu sudah hilang dari pandangan. Apabila dia mengalihkan pandangannya ke arah Mahani, wanita itu memandangnya dengan pandangan bingung.

“Agaknya saya yang salah pandang. Maafkan saya, Kak Mahani.” Ujarnya dengan suara mendatar. Serba-salah!

Mahani tersenyum. “Tak apa-apa. Malam ni Cik Suria jemput datang ke rumah kami. Kami nak buat tahlil arwah. Lagipun kakak nak tunjuk sesuatu pada Cik Suria,” ujar wanita itu.

Tanpa banyak soal, dia hanya mengangguk. Matanya kembali memandang ke arah pohon ketapang besar di mana wanita itu muncul. Namun dia tidak melihat sesiapa pun di situ. Ah! Mungkin aku hanya berkhayal yang bukan-bukan agaknya, detik hati kecilnya.

Dalam diam-diam, dia memerhatikan orang ramai yang berada di tanah perkuburan itu. Selain ahli keluarga Masyitah yang sudah dikenalinya, seluruh orang kampung di situ juga turut sama membantu. Dalam ramai-ramai orang yang hadir, mata Suria terpandang kelibat Izwan sedang berdiri di satu sudut, memandang ke arah penduduk kampung yang semakin ramai mengerumuni kawasan itu.

Tiba-tiba mata lelaki itu beralih ke arahnya. Suria terpegun. Dia cepat-cepat melarikan anak matanya. Segan mahu bertatap mata dengan Izwan.

* * * *

Selesai membantu serba sedikit di majlis tahlil arwah, Suria memerap di bilik lama Masyitah sambil mengamati ruangan bilik tidur yang agak kecil. Dia ralit memerhatikan beberapa koleksi novel-novel milik Masyitah yang tersimpan rapi di rak kecil di tepi meja tulis. Menurut Mahani, gadis itu memang meminati novel-novel romantis karya penulis tanahair.

Leka membelek beberapa koleksi novel, tangannya tiba-tiba tertolak sebuah buku berkulit tebal. Suria tergaman apabila buku itu menjunam jatuh dari atas meja, lalu mendarat di atas lantai tidak jauh dari kakinya. Dia merenung sebentar, sebelum tunduk mengutip buku berkulit biru itu.

Diterjah perasaan ingin tahu, keinginannya tidak mampu bertahan lagi. Dia segera menyelak halaman buku tersebut. Helaian pertama ditatap lalu dibaca. Nama Masyitah Kassim terpampang di situ. Dia membelek-belek pula isi kandungan buku tersebut. Sejurus barulah dia menyedari sesuatu. Ini diari Masyitah, bisik hati kecilnya.

Isi kandungan dalam diari itu hanya mencatatkan perkara-perkara biasa sahaja. Mata Suria masih melekat pada isi diari tersebut. Beberapa halaman sudah dibaca, dia tiba-tiba naik bosan. Baru sahaja dia hendak menutup helaian diari itu, matanya terpandang salah satu tulisan Masyitah yang berdakwat merah terang. Dia mula membaca bait demi bait ayat-ayat yang terkandung di paparan kertas.

“Aku menyenangi kehadirannya. Dia baik sekali. Selalu mengambil berat dan bersikap penyayang. Kehadirannya membuatkan aku merasakan diriku dihargai. Tapi entah mengapa sejak akhir-akhir ini, hatiku merasa curiga padanya. Tidak tahu kenapa, aku merasa perhatian yang selama ini diberikannya padaku seolah mempunyai maksud lain.”

Suria mengerutkan dahinya. Apa maksud Masyitah? Siapakah yang dimaksudkannya? Dia menyelak pula beberapa halaman lain yang bertulisan merah.

“Aku sudah tidak kenal siapa dia. Dia melihat aku, tapi matanya seolah-olah melihat orang lain. Dia bercakap denganku, tapi kenapa aku merasakan dia seolah-olah berinteraksi dengan orang lain. Dari hari ke sehari, aku semakin merasa takut terhadapnya. Oh tuhan, apa yang patut aku lakukan?”

Daun pintu dihadapannya tiba-tiba berkeriut. Suria tergaman apabila melihat Mahani tiba-tiba muncul bersama seorang wanita bertudung litup. Cepat-cepat diari di tangannya disembunyikan di bawah bantal.

“Maaf tinggalkan Cik Suria lama-lama macam ni.” Ujar Mahani tersenyum hambar.

“Tak apa-apa. Saya tahu kak Mahani sibuk dengan urusan tahlil arwah ni.” ujar Suria pula. Dia memandang wanita di samping Mahani.

“Oh ya lupa kakak nak perkenalkan. Ini Junera, teman serumah Masyitah. Kakak ada beritahu fasal Junera dengan Cik Suria dulu kan?”

Suria mengangguk. Dia masih ingat nama yang disebut Mahani suatu ketika dahulu.

“Saya pun ada niat nak jumpa dengan Junera sendiri. Nasib baik kita dipertemukan hari ini.” Suria memandang wanita bertudung yang berkulit hitam manis itu.

“Walaupun saya dengan Masyitah bukanlah lama sangat kenal, tapi kami agak rapat. Kerja pun di tempat yang sama. Saya sendiri pun tak sangka kehilangan Masyitah berakhir begini.” Keluh Junera sedih. Suria hanya mengangguk. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Mahani. Wajah Mahani kelihatan hiba ketika menatap barang-barang peninggalan arwah adiknya yang masih tersusun kemas.

“Bilik ni dah hampir dua bulan ditinggalkan Masyitah. Sejak dia bekerja, baru sekali dua dia balik ke kampung. Selebihnya dia habiskan masanya di tempat kerja, buat overtime beberapa shift seminggu.” Cerita Mahani.

“Sabarlah Kak Mahani, kita berserah pada Allah saja.” Pujuk Suria lembut. Dia berhati-hati melontarkan kata-kata, bimbang hati Mahani rapuh di saat-saat kehilangan adik tersayang.

“Kak Mahani kata tadi, nak tunjukkan saya sesuatu. Apa dia?” Tanya Suria sebaik dia teringatkan kata-kata Mahani sebelumnya. Mahani sempat mengesat airmatanya yang berlinang. Dia memandang Suria sejenak sebelum melangkah menuju ke arah meja kecil di tepi tingkap. Tangan wanita itu menarik keluar sebuah laci. Sejurus kemudian, mata Suria tertumpu pada sepucuk surat di tangan Mahani.

“Apa ni kak?” Suria mengerutkan dahinya.

Mahani tidak terus menjawab. Hanya nafasnya yang turun naik memandang Suria. “Semalam, si Junera ni bawa beberapa pucuk surat yang dialamatkan kepada arwah. Kakak dah buka surat ni, tapi ada sesuatu yang kakak langsung tak faham.” Keluh Mahani.

Mendengar kata-kata Mahani, Suria memandang ke arah Junera pula.

“Mulanya saya memang berhajat nak pulangkan surat-surat ni pada Kak Mahani. Tapi bila saya tengok ada sekeping surat yang tidak bersetem dan bercop, saya dah mula rasa pelik. Itu yang saya buka surat ni.” Terang Junera.

“Apa isi kandungan surat tu?” Soal Suria ingin tahu.

Junera tidak menjawab. Sebaliknya gadis itu melontarkan pandangan ke arah Mahani. Mahani menarik nafas tertahan.

“Kakak rasa, elok kalau Cik Suria baca sendiri surat tu.” Usul Mahani.

Suria merenung surat yang kini sudah beralih ke tangannya. Perlahan-lahan tangannya merungkai sampul surat tersebut, lalu isinya dikeluarkan. Melihat isi di dalam surat tersebut, wajah Suria segera berubah.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!