Followers

Thursday, December 16, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 34

Dia berusaha menggerakkan kakinya yang kebas. Sebahagian tubuhnya terasa benar-benar lemah dan tak berdaya untuk bergerak. Sebelah tangannya diikat pada pelantar besi di atas kepala. Hanya tangan kirinya sahaja yang bebas dan sering digunakan untuk menyuap nasi bungkus yang dibekalkan untuknya setiap dua hari sekali.

Dia merenung jauh mengenangkan nasib diri. Sejak dia diculik dari kawasan letak parkir di tempat dia bekerja, dia benar-benar ketakutan. Lelaki yang menculiknya hanya datang sekali-sekala. Setiap selang dua hari lelaki itu akan datang menghantar bekalan makanan. Selepas itu dia akan ditinggalkan kelaparan sehingga dua hari berikutnya. Dan termasuk hari ini, sudah hampir seminggu dia dikurung di sebuah gudang yang menyimpan peralatan-peralatan kereta. Dia sendiri tidak tahu di mana letaknya tempat ini.

Biarpun dia takut pada lelaki yang menculiknya, namun sebenarnya dia lebih takut kerana ditinggalkan bersendirian. Bagaikan ada mata yang sering mengintipnya di situ. Kadangkala dia sering mendengar satu bisikan halus menerpa di cuping telinganya. Suara itu gemersik dan sayu nadanya. Dan setiap kali bisikan itu hadir, nafasnya akan berderu kencang.

Malam itu lelaki itu datang lagi. Bunyi pintu dibuka dari luar membuatkan dia terjaga dari lenanya. Hatinya serta-merta cemas. Dia tidak suka lelaki itu. Wajah lelaki itu selekeh dengan rambut kusut masai tidak terurus. Perangai lelaki itu pula kasar dan panas baran. Sudah dua kali kepalanya dihentak ke dinding apabila dia cuba melawan sewaktu dia mula-mula dibawa ke situ.

Melihat dia diam tidak berkutik, lelaki itu tersengih. Nasi bungkus yang dibawa lelaki itu diletakkan di hadapannya. Dia hanya mampu memandang lelaki itu tanpa mampu bersuara. Ketawa lelaki itu bergema. Keras dan melengking.

“Kasihan kau. Tentu kau lapar kan? Makanlah nasi bungkus tu, sedap.” Suruh lelaki itu bersama sisa-sisa tawanya. Dia memberanikan diri memandang lelaki itu.

“Sampai bila kau nak kurung aku macam ni? Apa tujuan kau? Kalau kau nak minta duit, aku boleh beri. Keluarga aku lebih dari mampu, tapi tolonglah lepaskan aku.” Dia merayu dengan airmata berlinangan.

Mata lelaki itu terperosok ke arahnya. Renungan lelaki itu menikam tajam ke wajahnya. Dia menelan liur. Terasa gugup dan ragu-ragu mahu meneruskan kata-kata.

“Aku tahu keluarga kau kaya. Ayah kau pula berpangkat Dato’. Tapi aku bawa kau ke sini bukan sebab duit. Kalau aku nak duit, dia boleh beri aku banyak duit. Aku hanya ikut arahan dia.” Ujar lelaki itu dengan nada angkuh.

Dia terpempan. Kata-kata lelaki itu membuatkan dia bingung. Dia? Sejak seminggu yang lalu, lelaki selekeh itu tidak pernah berhenti menyebut perkataan ‘dia’. Tapi siapakah ‘dia’ yang dimaksudkan?

“Apa kau nak dengan aku sebenarnya? Kau nak bunuh aku?”

Lelaki itu tergelak besar.

“Kau akan mati hanya jika dia mengizinkan. Tapi sebelum itu, aku teringin nak berseronok dengan kau sebelum kau mati. Peluang yang ada jangan dibazirkan. Tak begitu sayang?” Ketawa lelaki itu bergema memenuhi ruang gudang tersebut. Mendengar kata-kata lelaki itu, dia berasa gementar. Ketakutan mula menguasai diri.

Lelaki itu mendekatinya sedikit demi sedikit. Wajah itu galak tersenyum. Tangan lelaki itu menjalar ke pehanya. Dia cuba menepis. Namun tindakan lelaki itu semakin ganas. Nafsu yang dipenuhi ketawa syaitan hanya mengundang padah. Dia memejamkan matanya. Saat itu dia hanya mampu berserah.

Selajur dengan itu, satu bunyi kuat berdesing singgah di telinganya, diikuti oleh angin kencang yang tiba-tiba muncul. Tindakan lelaki itu terhenti mendadak. Mata lelaki itu meliar memandang di sekelilingnya. Nafas lelaki itu tercungap-cungap bagaikan bergelut dengan sesuatu yang dibimbangi.

“Kau datang ya?” Jerit lelaki itu. Jeritannya bergema di seluruh kawasan gudang. Dia hanya terpinga-pinga.

Lelaki itu ketawa besar. “Kalau kau datang, tolong jangan ganggu kerja aku. Sesekali bagilah can aku berseronok.” Lelaki itu menyambung ketawa. Sepasang mata yang galak itu kembali ke arahnya yang terperosok ketakutan. Belum sempat lelaki itu bertindak lebih jauh, tiba-tiba tubuh lelaki itu terpelanting kira-kira tujuh kaki jaraknya darinya.

“Sial kau! Aku dah banyak tolong kau. Apa ini balasan kau pada aku?” Herdik lelaki itu. Wajah itu merah padam menahan marah.

“Bahasa kau terlalu kesat Daud.” Bisik suatu suara. Lelaki itu terpegun. Dia juga ikut tergaman mendengar suara yang tiba-tiba muncul.

“Kesat? Bahasa aku kesat? Kau yang mula-mula menganggu aku. Sial!” Lelaki itu masih dikuasai perasaan marah kerana hajatnya tidak kesampaian. Sebaik lelaki itu menghabiskan makiannya, tubuhnya sekali lagi melayang-layang lalu terhempas ke arah perkakas besi yang berlonggok di suatu sudut. Lelaki itu mengaduh kesakitan yang tak terperi.

“Manusia bodoh. Aku yang selamatkan kau bila kau nyaris-nyaris dipukul sampai mati. Aku juga yang memberi kau kekuasaan. Sesuatu yang lebih bernilai dari sekadar kekayaan dunia. Jangan kau lupa dengan siapa kau berkhidmat!” Tempik suara itu dengan nada bagaikan halilintar.

Lelaki itu menarik nafas panjang. Gugup. Suara itu bagaikan memperkotak-katikkan keberaniannya yang tiba-tiba muncul sebentar tadi. Dia segera berteleku. Akal warasnya mula bertindak. Dia mula sedar siapa sebenarnya yang berkuasa di antara mereka. Kesilapannya sebentar tadi hanya boleh mengundang padah.

“Maaf, aku salah. Aku terlalu ikutkan perasaan.” Dia mengaku kesilapan diri.

“Bagus kalau kau dah sedar diri. Aku ada tugas penting untuk kau. Ganjarannya akan kau perolehi setelah kau berjaya menyelesaikan tugas tersebut.”

“Tugas apa?” Dia bertanya sudah tidak sabar.

“Aku nak kau dapatkan sesuatu untuk aku. Sesuatu yang boleh membuatkan aku terus kekal hidup. Dan kau juga akan terus hidup kaya raya di samping aku. Malah aku akan izinkan kau nikmati dia sebelum dia mati!” Sejurus berkata, suara itu ketawa nyaring.

Lelaki itu turut sama ketawa. Gembira dengan ganjaran yang dijanjikan. Dia mengerling gadis yang ketakutan di suatu sudut. Pandangannya memusat pada setiap inci tubuh yang mula mengigil, dengan penuh bernafsu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!