Followers

Thursday, December 16, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 35

GAGANG telefon segera diletakkan di tempatnya. Suria termenung panjang. Dia masih membelek helai surat di tangannya. Ada rasa hairan bercambah di hatinya. Simbol itu muncul lagi. Anehnya kali ini di dalam surat yang dialamatkan kepada Masyitah. Malah surat itu tidak dihantar melalui pos, hanya nama Masyitah yang ditulis dengan pena berdakwat hitam terang.

Dia merenung simbol aneh itu berulangkali. Malah dia gagal memahami bentuk simbol yang berupa dua belah telapak tangan yang sedang memeluk bulan. Dan siapa sebenarnya yang menghantar surat yang memiliki simbol itu dengan amaran ringkas agar Masyitah segera balik ke kampung jika tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku?

Entah mengapa bibir Suria tiba-tiba melepaskan keluhan. Terasa sarat fikirannya memikirkan soal kematian Masyitah yang agak misteri. Dia melaga-lagakan pensil yang dipegangnya dengan cawan mug yang berisi kopi panas. Fikirannya sedang fokus pada kes yang menarik minatnya kali ini. Apabila pandangannya beralih arah, dia terpandang sesusuk tubuh begitu asyik memerhatikannya dari suatu sudut. Suria terpempan sejenak.

Renungan Nazrul singgah lama di wajahnya. Dia melarikan anak matanya. Sejak peristiwa dia melihat kemesraan antara Nazrul dan Fasya, entah kenapa hatinya menjadi tidak senang. Ada rasa cemburu yang terpalit di sanubari. Suatu perasaan yang entah kenapa tidak disenanginya.

Seketika kemudian, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Suria memandang sekilas ke arah monitor telefon bimbitnya yang terdampar di atas meja. Nama Nazrul terpapar di situ. Dia mengerling ke arah lelaki itu. Nazrul bagaikan memberi isyarat agar dia menjawab panggilan, tapi dia hanya acuh tak acuh. Nada deringan telefonnya terus-terusan menganggu suasana di Unit Berita. Zaharah, wanita beranak dua yang duduk selang dua meja darinya menoleh.

“Suria, kenapa tak diangkat telefon tu?” Tegur Zaharah hairan.

Suria memandangnya sambil tersenyum. “Bukan panggilan penting pun kak, malaslah nak angkat.” Jawabnya acuh tak acuh. Sangkanya Nazrul akan berputus asa, namun dia tersilap perkiraan. Menyedari mata teman-teman pejabatnya sudah mula menjeling ke arahnya, mahu tak mahu dia terpaksa mengalah.

“Encik Nazrul, boleh tak jangan ganggu saya? Saya tengah sibuk sekarang ni. Can you call me later?” Pintasnya sebelum sempat si pemanggil bersuara.

Suria mendengar sesaat dua. Si pemanggil hanya berdiam diri. Dia mengerutkan dahinya. Serentak kepalanya ditoleh ke arah bilik Nazrul. Kelibat lelaki itu sudah tidak kelihatan di situ. Suria tercengang.

“Hello?” Dia memanggil dengan perasaan ragu-ragu.

Bunyi nafas dihembus kasar jelas kedengaran di telinganya.

“Siapa tu?”

“Cik Suria, ini Chief Inspector Izwan yang bercakap.”

Suria tersentak. Alamak! Sangkanya Nazrul yang menelefon, tapi rupa-rupanya lelaki polis itu.“Apa halnya?” Soal Suria resah.

“Boleh kita jumpa? Aku ada hal nak bincang dengan kau.”

* * * *

Seperti yang dijanjikan, sebaik dia sampai ke restoran itu matanya mencari-cari kelibat Izwan. Mulanya dia tidak perasan lelaki itu. Tetapi apabila Izwan menoleh ke arahnya, dia terpempan seketika. Wajah Izwan nampak lebih bersih berbanding kali terakhir mereka bertemu beberapa hari yang lalu. Kumis liar lelaki itu sudah dibuang menyerlahkah ketampanan.

“Suria,” tegur Izwan seraya bingkas bangun.

Suria segera menapak ke arah lelaki itu. Tempat duduk di hadapan lelaki itu ditempati.

“Kau nak minum apa-apa?”

“Bagi fresh orange,” pinta Suria pada pelayan yang sudah pun menanti untuk mengambil pesanannya. Meskipun perutnya sudah bergelodak minta diisi, namun dia tidak berniat ingin menjamu selera meskipun nasi goreng di pinggan lelaki itu nampak menyelerakan. Apa yang ingin diketahuinya ialah perkara pokok yang ingin dibincangkan oleh lelaki itu. Hanya soal yang satu itu menarik minatnya saat ini.

“Ada apa kau nak jumpa dengan aku ni?” Soal Suria terus kepada tajuk utama. Dia tidak gemar bermain teka-teki, sementalah lagi bila berhadapan dengan lelaki itu.

“Kau tak boleh mengagak?” Izwan tersenyum. Tenang.

Suria mengerutkan dahinya seraya merenung ke arah Izwan. Bebola mata lelaki itu ditatap lama. Entah kenapa memandang wajah itu lama-lama, dadanya tiba-tiba berlari kencang. Dia pantas melarikan anak matanya.

“Aku nak minta kerjasama kau hentikan laporan tentang kes Masyitah.”

Suria terdiam. Kenapa dia tidak berasa aneh mendengar permintaan lelaki itu? Sepatutnya dia sudah boleh mengagak. Tujuan lelaki itu mahu bertemunya, tidak pernah dengan niat mahu bekerjasama dengannya.

“Kenapa aku kena buat macam tu? Kau sepatutnya tahu yang kau berhadapan dengan seorang wartawan. Kerja mencari berita adalah kerja aku.” Sanggah Suria tidak setuju.

“Aku tak mahu tugas kami terganggu dengan laporan-laporan kau yang tak berasas Cik Suria.” Pintas Izwan selamba.

Suria membeliakkan matanya besar-besar. Laporan tak berasas? “Maksud kau, aku sengaja mereka-reka cerita, begitu?” Nada suaranya mula meninggi. Dia benar-benar berang dengan kata-kata Izwan kali ini.

Izwan terdiam. Anak matanya tertumpu ke wajah Suria yang mulai merah padam. Dia tahu gadis itu tidak senang mendengar kata-katanya.

“Maaf kalau aku katakan laporan-laporan kau banyak memberi impak negatif kepada siasatan pihak polis. Kelmarin aku bermesyuarat dengan orang atasan. Dan mereka semua berpendapat, laporan kau terlalu provokasi.”

“Laporan aku provokasi? Apakah laporan aku yang mengatakan Masyitah mati dibunuh itu laporan yang provokasi bagi kau?” Soal Suria serius.

“Ada banyak benda yang kau tak faham Suria. Lagipun kalau kau terus dengan sikap kau ni, aku bimbang sesuatu yang buruk boleh berlaku.” Jawab Izwan tenang.

“Bukankah dah jadi tugas polis untuk bekerjasama dengan wartawan? Kita boleh selesaikan kes ini lebih cepat jika kita bekerjasama. Share all the informations.” Cadang Suria.

“Ia tak semudah itu Suria.”

“Kalau begitu, kau tak perlu mengganggu aku kerana aku takkan menganggu kau lagi. Kita mempunyai cara kita masing-masing untuk mendapatkan maklumat. Aku akan buat kerja aku dan kau jalankan tugas kau. Lebih baik begitu bukan?” Suria mencapai beg tangannya lalu bingkas bangun. Dia ingin beredar dari situ, namun Izwan lebih pantas memaut lengannya. Dia tergaman. Bulat matanya memandang wajah Izwan yang nampak serius.

“Ada sesuatu yang aku nak tunjukkan pada kau. Kalau kau tak keberatan, ikut aku ke suatu tempat?” Pinta Izwan. Suria terdiam. Kata-kata lelaki itu memancing perhatiannya kini.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!