ROSSIE dari firma guaman Aaziz
& Co bergegas datang dan memberikannya segelas mug berisi coklat panas. Cika
mengambilnya tanpa banyak soal lalu menghirup coklat tersebut perlahan-lahan.
Gerak-gerinya menjadi santapan mata semua pekerja-pekerja di firma tersebut.
Dia menyedarinya namun dia pura-pura
tidak perasan.
Dari hujung mata, dia melihat Gina dan Datuk Fakhri
sedang berbual-bual dengan pemilik firma tersebut Tuan Aaziz Ibrahim. Sesekali
mata ketiga-tiganya berpaling ke arahnya. Dia makin gugup diperhatikan begitu.
Macam dia pula yang buat salah!
Entah apa nasibnya dia
terpaksa berkurung di pejabat guaman itu sejak satu jam yang lalu, kerana di
luar pejabat itu kononnya sekumpulan wartawan sedang menantinya untuk diwawancara.
Maklumlah dalam sekelip mata dia sudah jadi wirawati yang berjasa kepada nusa
dan bangsa.
Tiba-tiba ingatannya singgah pada lelaki yang menarik
tangannya sebentar tadi. Sudah kerap kali lelaki itu muncul di hadapannya.
Seolah-olah kemunculan lelaki itu suatu petanda. Mana lelaki itu agaknya? Dia
masih belum sempat mahu mengucapkan terima kasih, tiba-tiba sahaja lelaki itu
menghilangkan diri. Dia memandang ke arah Rossie yang berada tidak jauh dari
situ. Niat hatinya mahu bertanya tentang lelaki itu. Tentu si Rossie ni tahu
siapa lelaki itu. Apakah dia bekerja di firma guaman ini?
Namun belum sempat dia mahu membuka mulut, matanya
terpandang kelibat Gina, Datuk Fakhri dan Tuan Aaziz sedang melangkah ke
arahnya.
“Cik Syafika, saya nak ucapkan terima kasih atas
keberanian Cik Syafika selamatkan Encik Mat hari ni. Saya tak sangka, zaman
sekarang ni masih ada perempuan yang berani seperti Cik Syafika.” Puji Tuan
Aaziz.
“I pun tak sangka Cika, yang you sanggup panjat tingkap
dan susur beranda tu dari pejabat you tu ke mari semata-mata sebab nak
selamatkan lelaki tu. I’m so proud of you
Cika.” Pintas Datuk Fakhri pula tanpa mengetahui hal sebenarnya. Sangkanya Cika
sengaja memanjat tingkap itu untuk menyelamatkan lelaki tua itu.
Senyuman Gina semakin melebar, lucu mendengar tafsiran
Datuk Fakhri yang tidak mengena. Kata-kata Datuk Fakhri membuatkan Cika hampir
tersedak, padahal tak makan apa-apa pun, minum air coklat aje.
“Itulah Datuk, Cika ni memang tak boleh nampak orang yang
dalam kesusahan dia mesti nak tolong sama. Dah jadi penyakit dia sejak azali.”
Sampuk Gina sambil mengerling wajah sahabatnya yang sudah merah padam.
Cika mengerling ke arah Gina. Oh diam-diam kau kenakan
aku ya! Nantilah kau Gina! Hendak tak hendak Cika pura-pura tersenyum. Apa
boleh dibuat kalau tindakannya hari ini disalahertikan. Terima ajelah!
“Err Tuan Aaziz, siapa lelaki yang selamatkan saya tadi?”
Cika menyoal didorong perasaan ingin tahu.
“Lelaki?” Wajah Tuan Aaziz berkerut. Gina dan Datuk
Fakhri turut menunjukkan wajah blur yang serupa.
“Lelaki yang tarik saya ke dalam tadi.” Ujar Cika.
Tuan Aaziz terdiam. Lelaki itu tiba-tiba menoleh ke arah
Rossie.
“Rossie, you nampak ke siapa yang selamatkan Cik
Syafika?” Soal Tuan Aaziz pada setiausahanya.
Rossie menggeleng. “Maaf tuan, kelam kabut sangat tadi.
Saya tak perasan.” Jawab Rossie sejujurnya.
Cika terdiam mendengar jawapan wanita cina itu. Aneh
sungguh, kenapa lelaki di Jumbo Jeep itu berada di sini? Kalau dia pekerja di
sini, sudah pasti orang di firma itu mengenalinya.
* * * *
“CIKA? Kau okey ke tak ni?”
Tanya Gina sewaktu mereka keluar minum di kafeteria di hadapan bangunan pejabat
petang itu.
Dia menoleh ke arah Gina agak lama. Apa punya soalan ni?
“Hari ni aku nyaris-nyaris jatuh dari tingkat tiga belas
tu, kau ingat aku okey ke?” Soal Cika kembali. Gina mengaru kepala tidak gatal.
Dia yang bertanya, Cika pula mengulas pertanyaannya. Ada logik ke?
“Habis yang muncung macam mak nenek ni kenapa? Hari ni
kau kan dah
jadi heroin, muka siap masuk televisyen lagi tadi. Apalagi yang kau menungkan
ni?” Tanya Gina lalu tersengih.
Cika mengeluh panjang. Fasal mukanya masuk televisyen,
itu satu hal. Dia sendiri tidak menyangka kes di firma guaman Tuan Aaziz
Ibrahim itu awal-awal sudah dihidu oleh wartawan. Malah dibesar-besarkan
sehingga tak fasal-fasal namanya jadi popular sekejap. Melihat wartawan dan
jurugambar itu sudah menanti di luar pejabatnya, mahu tak mahu dia terpaksa
melayan mana-mana yang patut. Hendak dihalau, macam tak kena pula dengan imej
heroin yang ditampilkannya hari ini secara tidak sengaja.
Tapi ketika ini, entah kenapa hatinya asyik teringat pada
wajah itu. Lelaki yang membantunya hari ini benar-benar membuatkan dia tidak
senang duduk. Sepertimana dia terkejut melihat lelaki itu, dia juga tahu lelaki
itu merasakan hal yang sama. Baru kelmarin mereka terserempak dan berbalah soal
yang tidak masuk akal, hari ini mereka bertemu sekali lagi dalam suasana yang
kecoh dan huru-hara.
“Gina…” panggil Cika.
Gina yang sedang ralit menghirup minumannya segera
mendongak ke arahnya.
“Kau memang tak perasan ke lelaki yang selamatkan aku
tadi?” Tanya Cika lagi. Dia tak sudah-sudah bertanya, sekadar mahu memastikan
yang lelaki itu benar-benar Nadim Ammar. Bukan sekadar hanya khayalannya
sahaja!
“Lelaki yang tarik tangan kau tu?” Gina mengerutkan
dahinya.
“Sorrylah Cika,
aku pun tak nampak muka mamat tu. Cuma nampak belakang dia aje. Itupun masa aku
nampak kau nak jatuh tadi, fikiran aku asyik melayang kat kau aje. Kalau Tom
Cruise atau Brad Pitt ada sekalipun, sah-sah aku tak perasan.” Jawab Gina
sambil tersengih.
“Aku sebenarnya nak ucapkan terima kasih pada dia sebab
tolong aku tadi. Tadi aku nak tanya orang-orang kat pejabat Tuan Aaziz tu fasal
lelaki tu, tapi aku segan pulak. Nanti
apa pulak kata diaorang kan .”
Maklumlah, orang berbudi kita mesti berbahasa. Meskipun lelaki itu sering
membuatkan dia sakit hati sejak dua menjak ini, tapi budi lelaki itu tidak
harus dilupakan begitu sahaja.
Gina tergelak besar. “Pelik! Ini kali pertama aku nampak
kau berminat dengan spesies yang namanya lelaki. Kau dah ubah selera kau ya!”
Usik Gina.
Cika tercengang. Gurauan Gina disambut dengan jelingan
panjang. “Jangan nak mengada-ngada buat spekulasi tak tentu hala. Aku tanya dia
sebab nak berterima kasih aje, bukan ada niat apa-apa pun.”
“Kalau ada pun, tak ada siapa pun yang nak marah.” Sahut
Gina selamba.
Cika terdiam. Kata-kata Gina membuatkan dia jadi keliru.
Dengan wajah muram, dia merenung gelas fresh
orange di hadapannya yang semakin kosong. Wajah lelaki itu tiba-tiba
tertancap pada gelas fresh orange tersebut.
Seolah-olah sedang tersenyum padanya.
* *
* *
TUAN AAZIZ termenung
panjang. Otaknya sedang ligat memikirkan sesuatu. Peristiwa siang tadi
membuatkan dia pening kepala. Dengan pihak polis dan juga wartawan yang
membanjiri perkarangan pejabatnya, ini bukan populariti yang dimahukannya untuk
berniaga.
Lelaki bernama Mat itu bukan
klien syarikat mereka. Lelaki itu diberhentikan kerja oleh syarikat biskut
tempatnya bekerja. Isteri dan anak-anaknya pula mengambil keputusan mahu
meninggalkannya. Mereka pula menolak kes tersebut kerana kekurangan bukti dan
susah hendak menang. Lagipun saluran pemberhentian lelaki itu mengikut saluran
yang betul. Tak fasal-fasal kerana itu, lelaki itu mengamuk lalu mengugut mahu
membunuh diri di pejabatnya. Teruk betul! Keluh Tuan Aaziz seraya memicit
kepalanya. Mujurlah tak ada apa-apa yang berlaku.
Sesekali singgah juga di kepalanya tentang apa yang
ditanya gadis pemilik syarikat G-Properties itu tentang lelaki yang
menyelamatkannya. Mungkinkah lelaki itu Nadim? Apakah anak muda itu ada singgah
di pejabatnya siang tadi? Tuan Aaziz tertanya-tanya sendiri.
“Shila, ini ayah. Kamu ada bercakap dengan Nadim sejak
dua menjak ni?”
Diam.
“Beritahu adik kamu tu, suruh dia datang jumpa ayah.
Jangan nak buat keras kepala dia sahaja.” Gumamnya dengan suara agak meninggi.
Begitulah dia selalunya. Kalau bercakap soal anak lelaki yang satu itu, dia
akan mudah naik angin tidak tentu hala.
“Suruh dia balik ke rumah, jangan nak duduk di luar
seperti orang yang tak ada keluarga.” Getusnya lagi. Semua arahan diberi kepada
Marseila, dengan harapan Marseila mampu memujuk adiknya. Tapi selama dua tahun
kebelakangan ini, dia sering dikecewakan anak itu. Nadim langsung tidak mahu
memahami kebimbangan seorang ayah sepertinya.
Tuan Aaziz melontar keluhan kesal. Po tret
seorang wanita di anjung mejanya diperhatikan. Wajah itu tenang dan sentiasa
tersenyum. Sayangnya arwah isterinya tidak ada bersama untuk mengawasi
anak-anak mereka. Aisyah! Bisik hati kecilnya. Siapa sangka dia merindui arwah
isterinya saat ini. Ala ngkah
baiknya jika wanita itu ada di sisinya ketika ini. Keluhnya seraya mengusap
wajah di dada potret tersebut.
* *
* *
MARSEILA menamatkan
perbualan dengan wajah keruh. Lelaki di hadapannya diam-diam memerhatikan ke
arahnya. Barangkali sudah menyedari perubahan airmukanya sebaik menerima
panggilan tersebut.
Keluhan Marseila kedengaran. Rungsing sekali! Jak segera
mengengsot mangkuk berisi banana split
ke arah gadis itu. Marseila mengangkat wajah. Tersenyum ke arah Jak.
“Thanks.”
Ujarnya.
“Siapa yang call?
Tuan Aaziz?”
Marseila mengangguk muram. “Dia cari Nadim.” Ujar
Marseila.
“Apa dia hendak?”
“Macam biasa. Dia hendak Nadim further study kat New
York . Dia hendak Nadim kahwin dengan Emilia. Dia
hendak Nadim turutkan semua kehendaknya.” Marseila berkata tenang.
“Budak free spirit macam
Nadim takkan ikut.” Komen Jak.
“Yes I know that.
Sebab itu I minta tolong you. You kawan I yang paling dekat. You paling rapat
dengan arwah mama dulu. I trust you more
than I trust anyone else.” Ujar Marseila lalu merenung lelaki di hadapannya itu.
Jak terdiam. Wajah manis Marseila dipandang agak lama. Ada sesuatu yang mahu
disebut, tapi dia sentiasa gagal sebelum mencuba. Marseila sering mengungkapkan
kata-kata tentang ‘kawan rapat’, my best
buddy, the sweet guy dan
macam-macam lagi. Itu tafsiran hati Marseila terhadapnya. Tapi gadis itu
sentiasa gagal mentafsir bahawa dia sudah sukakan anak gadis ibu angkatnya
sendiri.
“Ayah dengan Nadim sama-sama degil, sama-sama keras
kepala. Mereka tu sebenarnya sama sahaja. Susah
kalau masing-masing tak mahu mengalah. Kalaulah mama masih ada, tentu ayah tak
sekeras ini pada Nadim.” Keluh Marseila lagi.
“I akan jaga Nadim baik-baik. You jangan risau sangat.”
Ujar Jak. Memahami hati Marseila yang sering tidak keruan jika berbangkit soal
ayah dan adiknya.
“Thanks Jak. I
tahu I boleh berharap pada you.” Balas Marseila. Banana split dipotong sedikit lalu dibawa ke mulutnya. Sedap! Aroma
pisang nangka yang enak dengan aiskrim coklat dan vanila benar-benar cair di
mulutnya.
“Nice dessert.
You buat sendiri?” Puji Marseila seraya mengangkat ibu jari.
Jak mengangguk lalu tersenyum. Dia tahu Marseila paling
gemar dengan Banana Split.
“I belajar buat dessert
tu untuk you. Campuran aiskrim coklat dan vanila dengan fruit mixed mesti sama banyak supaya rasa krim pada pisang tu
menyerlah. You takkan jumpa hirisan badam, walnut,
cashew dan kacang-kacang lain ditabur di atas banana split tu sebanyak yang I hidangkan untuk you di mana-mana
restoran lain.” Canang Jak.
Marseila terkelip-kelip memerhatikan lelaki itu. Dia
hanya bertanya sedikit sahaja tapi penerangan Jak begitu panjang berjela. Tanpa
dapat ditahan-tahan, dia ketawa besar membuatkan Jak tercengang-cengang.
3 comments:
Best....#^_^
Hi there would you mind letting me know which hosting company you're working with? I've loaded your blog in 3 different browsers and I must say this blog loads a lot quicker then most.
Can you suggest a good internet hosting provider at a honest price?
Many thanks, I appreciate it!
Feel free to surf to my web blog :: buy heart rate monitor
Appreciate the recommendation. Will try it out.
Here is my weblog ... mazda rx 8 2011
Post a Comment