BUNYI burung-burung berkicauan saling
bertingkah di luar jendela, membuatkan dia terjaga dari lena. Lantas dia
terpisat-pisat membuka mata. Cahaya matahari yang mencelah dari ruang-ruang
kecil di selnya, memancarkan cahaya yang menyilaukan pandangan.
Siling
di atas bilik kecilnya diperhatikan. Pandangannya singgah kosong pada siling
yang tidak pernah berubah sejak enam tahun yang lalu. Setiap malam merenung
pada siling yang sama, dirinya seperti sudah lali. Lali pada kesepian dan
kekecewaan yang membalut dirinya saban malam.
Menyedari di mana dia berada, perlahan-lahan
dia bingkas bangun lalu mencuci muka dan mengambil wuduk di sinki kecil di tepi
sudut selnya yang dikongsi bersama seorang teman.
Ya
ALLAH! KepadaMU aku berserah dan hanya kepadaMU jua aku menyerahkan nasibku! Dia
mendakap kebesaran ILAHI, mengucap syukur pada RABBUL-RAHIM kerana diberi
peluang bernafas dan menghirup udara sebebasnya layak manusia lain.
“Awak
akan bebas Nira. Awak akan melangkah keluar dari bilik bergeriji besi itu buat
selama-lamanya. Dan percayalah, awak akan keluar sebagai manusia yang bersih, manusia
yang suci.” Kata-kata Joshua beberapa bulan yang lalu diterima antara percaya
dengan tidak. Malah sepanjang tempoh itu, dia masih meragui kata-kata lelaki
berketurunan Cina yang sangat fasih berbahasa melayu itu.
“Saya baru temui
saksi baru yang boleh membantu kes Danira ni. Saya boleh buktikan yang Danira
bukan pembunuh, dan Danira berada di tempat kejadian itu hanya kebetulan. Atau
lebih tepat lagi kerana seseorang. Seseorang yang cuba Danira lindungi selama
ini. ”Keluh Joshua, peguam belanya sejak enam tahun yang lalu.
Tubuhnya bergetar mendengar kata-kata Joshua. Saksi? Aneh!
Kenapa dengan tiba-tiba sahaja ada saksi yang nampak apa yang telah berlaku
enam tahun dahulu? Bagaimana kalau saksi itu membongkar semuanya? Tidak! Aku
tak boleh benarkan ia berlaku, lebih-lebih lagi sekarang!
“Apa yang Nira
fikirkan tu?” Satu suara tiba-tiba menegurnya.
Dia berpaling. Teman satu selnya yang baru bangun dari
tempat tidur, segera dipandang. Mata wanita itu asyik merenungnya dari tepi
katil.
“Takkan dah nak keluar dari tempat ni, masih tak happy? Nira bimbangkan apa?” Salmi wanita berusia lewat 40-an itu menegurnya.
“Tak
ada apa-apa Kak Sal. Nira cuma terfikir, boleh ke Nira biasakan diri kat luar sana selepas dah lama
terkurung kat sini? Lagipun orang macam Nira ni kelulusan tak ada, tempat
tinggal pun tak ada. Kat mana Nira nak pergi selepas keluar dari tempat ni nanti?”
Keluh
Danira.
Salmi terdiam. Dia bingkas bangun lalu menghampiri Danira.
Gadis itu sudah dianggap adiknya sendiri. Sudah enam tahun mereka berkongsi
satu sel. Setiap cerita dan kisah
gadis itu tersimpan rapi di dalam poketnya. Sedikit sebanyak dia mengerti apa
yang dirisaukan gadis itu sebenarnya.
“Kenapa Nira tak
cari je adik Nira tu?” Usul Salmi.
Mendengar
kata-kata Salmi, Danira termenung panjang. Perasaannya sebak apabila diungkit
soal adiknya. Memang itu sebab terbesar kenapa dia bersetuju bekerjasama dengan
Joshua agar dirinya dapat dibebaskan. Semuanya kerana adiknya! Dia harus
mencari Naufal dengan apa cara sekalipun!
“Nira
ni baik hati sayang. Sebab tu ALLAH berikan ujian yang cukup besar untuk Nira.
Kak Sal percaya suatu hari nanti, semua penderitaan Nira akan ALLAH balas
dengan kebahagiaan. Percayalah pada DIA.” Pujuk Salmi.
Danira
mengangguk. Airmata yang meluruh di pipi diseka dengan jari-jemarinya. Dia mahu
belajar untuk terus kuat menghadapi segala duri-duri hidup. Dia ingin kembali
seperti dulu. Tapi mampukah semua itu dipenuhi?
* * * *
Sebaik
pintu tembok besar itu dibuka, dia segera melangkah keluar. Kepalanya didongak
ke arah langit cerah yang sudah enam tahun tidak ditatapnya. Hukuman 15 tahun
penjara yang dibeban di atas kepalanya, dipendekkan kerana usaha Joshua serta
kerana saksi baru yang dikatakan lelaki itu.
Menurut Joshua, saksi itu tampil memberi
keterangan yang menafikan penglibatannya. Tapi siapa orangnya? Dan kenapa
selepas enam tahun, baru saksi itu muncul? Dan yang paling dibimbanginya,
apakah saksi itu tahu setiap perkara yang berlaku pada malam musibah itu? Malam
yang telah menghancurkan hidupnya?
“Betul
awak tak tahu siapa yang turut berada tempat kejadian?”
“Saya
dah kata saya tak tahu Joshua.” Nada
suaranya dikeraskan sedikit.
Lelaki
itu memandangnya seperti kurang yakin dengan kata-katanya. Sedikit sebanyak dia
jadi gugup dengan renungan Joshua. Biarlah Joshua terus meneka dalam kesamaran
siapakah orangnya. Dia tidak mahu membuka mulutnya. Lagipun semuanya telah
berlalu! Apa gunanya dia mengulang kisah silam jika ia tidak akan mengubah
apa-apa pun.
“Apa
Nira nak buat lepas keluar nanti?” Pertanyaan Salmi beberapa hari yang lalu menggantikan
ingatannya terhadap Joshua. Wanita berbadan besar berasal dari Kuala Selangor
itu memang prihatin orangnya. Sejak dia mula-mula dipenjarakan dahulu, Salmi lah
yang sering membantu dan melindunginya dari menjadi mangsa buli ‘Sister Kojak’. Wanita berwajah garang
dan bekas anggota penyeludup itu sering menganggunya sejak dia mula-mula
menjejakkan kakinya ke pusat tahanan wanita Kajang. Mujur ada Salmi yang
sentiasa mempertahankannya. Sejak hari itu dia menganggap Salmi kakaknya
sendiri. Tempat dia meluahkan segala cerita pahit yang menyelubungi hidupnya.
“Kalau
Nira bimbangkan tentang kerja, kakak akan tolong Nira. Lagipun kakak masih ada
ramai kawan di luar sana .
Kalau Nira dah keluar nanti, carilah anak saudara kakak. Dia boleh tolong Nira.”
Pesan Salmi.
Dia
mengangguk dengan wajah lesu. Saat ini, bukan kerja atau tempat tinggal yang difikirkannya,
tapi perkara pertama yang melintas di kepalanya adalah Naufal. Jauh di sudut
hati, dia amat merindui Naufal. Dahulu sewaktu dia berpisah dengan Naufal, anak
muda itu baru berusia 16 tahun. Sekarang sudah pasti usia Naufal mencecah 22
tahun. Sudah dewasa! Entah bagaimana dengan adiknya itu? Apakah hidup Naufal
baik-baik sahaja?
Sepasang
kakinya, diheret menjejak bumi ALLAH yang masih mengizinkan kakinya berlabuh.
Fikirannya terus melayang, sehingga dia tidak sedar kakinya tersasar sehingga
ke tengah jalan.
Bunyi hon yang agak kuat dan bingit singgah di
gegendang telinga. Dia terkejut besar. Wajah Naufal segera menghilang dari kelopak
fikiran. Matanya ditala ke suatu arah. Menyedari terdapat sebuah Audi Cope berhenti
hanya selang beberapa puluh meter jaraknya dari tempatnya berdiri, wajahnya
segera memucat. Dia memandang ke arah kereta bercermin gelap itu.
Pintu
kereta itu tiba-tiba dikuak. Sepasang kaki melangkah turun. Danira memalingkan
wajahnya. Hatinya gementar bimbang dimarahi si pemilik kereta itu. Bagaimana
kalau pemilik kenderaan itu marah dan mengugut mahu menyelesaikan insiden itu
di balai polis? Dalam keadaan
sekarang, dia tidak ingin lagi kembali ke sana .
Dia sudah letih berurusan dengan undang-undang. Cukuplah!
“Awak
tak apa-apa?” Suara lelaki itu kedengaran. Tidak lantang sebaliknya berbaur
kebimbangan. Danira cepat-cepat menggelengkan kepalanya. Dia tidak berani langsung
memandang wajah lelaki itu.
“Maaf,
saya tak nampak awak lalu tadi. Awak tak cedera kan ?” Lelaki itu tak sudah-sudah bertanya.
Sekali lagi Danira menggelengkan kepala. Memang dia tidak apa-apa. Malah tidak ada
sedikitpun cacat cela di tubuhnya. Hanya jantungnya sahaja yang berdegup
kencang seperti mahu melompat keluar dari injapnya.
“Kalau
awak nak ke mana-mana, saya boleh hantarkan.” Pelawa lelaki itu tak
disangka-sangka.
Kata-kata lelaki
itu membuatkan dia terpaku. Matanya segera mencuri pandang ke arah lelaki segak
berkaca mata hitam di hadapannya. Meskipun sebahagian wajah itu terselindung di
sebalik cermin mata hitam yang dipakainya, namun dia dapat merasakan pelawaan
lelaki itu ikhlas bukan dibuat-buat.
“Tak apalah encik, saya boleh jalan sendiri. Maaf sebab
buat kereta encik nyaris berlanggar tadi.” Ujar Danira resah. Dia mahu
meneruskan langkah, namun lelaki itu cepat-cepat menahannya.
“Tunggu
sekejap.” Pinta lelaki itu. Cermin mata yang dipakainya ditanggalkan
menyerlahkan seraut wajah kacak dengan rambut pendek yang kemas. Danira terpaku
sejenak memerhatikan lelaki itu apabila mata mereka berlaga.
Melihat lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari
dalam dompetnya, dia tercengang. Namun hatinya jadi lega sebaik menyedari
lelaki itu memegang sekeping kad. Kad itu dihulurkan ke arahnya. Dengan hati
separuh ragu-ragu, dia memaksa diri menerima jua pemberian lelaki itu.
“Kalau
ada kecederaan atau apa-apa masalah, awak contact
saya ya. Nombor saya ada kat dalam kad tu.” Ujar lelaki itu lagi.
Melihat Danira hanya berdiam diri, lelaki itu segera meminta
diri. Sekejap sahaja lelaki itu menghilang ke dalam perut keretanya. Tidak lama kemudian, Audi Cope berwarna hitam
berkilat itu dipecut agak laju sebelum menghilang dari pandangan.
Danira
segera melirik isi kad tersebut. Nama lelaki itu
jelas terpapar di situ. Dia mengeluh kecil. Entah apa gunanya kad itu padanya? Tak
mungkin dia akan menghubungi lelaki itu lagi selepas ini. Lagipun dia bukannya
cedera teruk atau patah riuk di sana-sini. Lelaki itu entah akan ditemuinya
lagi atau mungkin tidak. Namun kad
pemberian lelaki itu disimpan jua di dalam begnya. Sedikit pun dia tidak
menyedari dirinya diekori sebuah kenderaan yang berhenti di seberang jalan.
1 comment:
sian nye kat nira..dapat ke nira bertemu ngan naufal,dah enam tahun tk jumpa?n ade ke adik nye leh terima diri nye!alahai sape lah pemuda yg berhemah tu yer!!!
Post a Comment