Followers

Saturday, June 19, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 15

BEBERAPA orang model sibuk memperagakan diri di hadapan kamera. Bunyi flash dan pancaran cahaya bergema memenuhi segenap ruang studio itu. Hafifi jurukamera Pelangi Raya masih tekun menjalankan tugasnya. Gambar harus diambil dengan cantik dan teliti, agar kualitinya nanti tidak menjejaskan jualan majalah. Sesekali kedengaran suara Hafifi menegur salah seorang model yang kelihatan sumbang gayanya.

Irina juga turut berada di situ. Kononnya hendak mengawasi perjalanan sesi fotografi hari itu, tapi dia pulak duduk termenung panjang di suatu sudut. Pandangannya menerawang jauh, seolah terkenangkan sesuatu.

Sesekali Hafifi mengerling bosnya yang kelihatan muram. Sudah hampir dua minggu dia melihat Irina berkeadaan begitu. Apabila ditegur, gadis itu hanya tersenyum hambar. Bergaduh dengan kekasih hatikah? Ingin benar dia mahu bertanya, tapi dengan segera membatalkan hasrat hatinya. Bimbang digelar busy body.

“Okey dah selesai. Tapi kita ada satu lagi sesi untuk esok. Datang awal sikit boleh?” Pesan Hafifi pada model-model itu. Kata-katanya disambut tepukan tangan para model yang gembira sesi penggambaran berakhir seperti yang dijadualkan.

Hafifi segera mengemaskan peralatan-peralatan yang sudah digunakan. Apabila dia menoleh semula, dilihatnya Irina masih di situ. Dia tersenyum sendiri. Hai, takkan tak habis lagi menungnya?

“Kau ni apasal Rina? Muram aje aku tengok. Takkan baru balik dari Australia, dah mimpikan kambing biri-biri kat sana,” Tegur Hafifi, sengaja mahu menghidupkan suasana. Irina memandangnya, tapi tidak berkata apa-apa. Hafifi menyedari yang umpannya tidak mengena.

“Kau bergaduh dengan Hazril ke? Aku perasan dah lama dia tak datang ke mari.” tanya Hafifi. Sekadar meneka!

Sebaik mendengar nama Hazril disebut, reaksi Irina mula berubah. Wajah pemuda itu dipandang dengan lirikan mata yang sukar ditebak oleh Hafifi. Irina kemudian tunduk memandang ke bawah. Hafifi semakin bingung.

“Rina, pasangan bergaduh tu adat lah. Aku pun selalu bergaduh dengan girlfriend aku. Tapi lama kelamaan okey la balik. Jangan ambil kisah sangat.” Pujuk anak muda itu.

“Kalau kami bergaduh kan lebih baik.” Irina bersuara lirih.

Hafifi tercengang mendengar kata-kata gadis itu. Aneh! Gadis seperti apa Irina ini kalau mengharapkan perhubungan yang disulami dengan pergaduhan? Bukankah setiap gadis mengidami kekasih hati yang romantik dan penyayang? Hafifi tiba-tiba merasa bingung.

Irina memandang Hafifi lalu tersenyum hambar. Dia tahu kebanyakan pekerja-pekerja di Pelangi Raya menganggapnya kekasih Hazril, termasuklah Hafifi sendiri. Tidak seorang pun tahu apa sebenarnya yang bermain di fikirannya saban waktu. Dia tidak tahu siapakah dia di mata Hazril sebenarnya. Cinta yang setia disemai sejak kecil rupa-rupanya langsung tak bererti apa-apa pada Hazril.

Sejak kecil dia sering mengimpikan sebuah mahligai perkahwinan yang indah disinari kebahagian yang akan kekal selama-lamanya. Di mahligai indah itu hanya ada dia dan jejaka yang paling dicintainya. Dan dia tidak nampak sesiapa lagi yang layak bertahta di hatinya melainkan Hazril. Tapi rupa-rupanya hanya dia seorang yang mengangankan impian itu sedangkan Hazril tidak. Hati Hazril langsung tidak wujud untuknya.

“Dah dekat waktu tengahari ni, apakata kau lunch dengan aku. Aku pun dah lama tak makan dengan kau.” Pelawa Hafifi yang masih setia menemani gadis itu sejak tadi.

“Kau tak ada janji dengan girlfriend hari ni?” Tanya Irina.

“Hari-hari makan dengan girlfriend, biar hari ni aku temankan kau pulak. Lagipun kau kan girlfriend pertama aku. Shall will go Cik Irina?” Hafifi menghulurkan tangannya lagak seorang pahlawan dahulu kala.

Irina tergelak kecil. Kadangkala gelagat Hafifi menghiburkannya. Dahulu sewaktu Hafifi mula-mula bekerja di Pelangi Raya, Irina masih ingat lagi lelaki itu seperti mahu memikatnya. Bermacam-macam cara dibuatnya dari menghantar bunga, belanja makan, tengok wayang sehinggalah membawanya naik Roller Coaster di Genting. Sewaktu itu dia sangkakan segala gelagat yang ditunjukkan oleh Hafifi tidak lebih menganggapnya seorang kawan biasa. Lagipun mereka selalu keluar beramai-ramai selepas habis waktu kerja.

Namun suatu hari apabila lelaki itu memberanikan diri untuk berterus terang, dia jadi serba salah. Mujurlah Hafifi bukannya seorang yang memaksa. Apabila diterangkan segalanya, lelaki itu cepat mengerti. Malah tidak pula berniat mahu memutuskan tali persahabatan. Hingga kini Hafifi menjadi salah seorang temannya yang paling akrab. Irina merasa cukup beruntung.

“Hai termenung lagi? Kata nak pergi makan.” Sergah Hafifi sambil menepuk bahu Irina. Irina menoleh. Wajah Hafifi ditenung lama. Lelaki itu kacak, tapi entah kenapa hatinya tidak mampu untuk jatuh cinta pada Hafifi.

“Pulak dah! Yang pandang aku ni kenapa? Handsome sangat ke aku hari ni?”

Irina ketawa besar. Perasan! Tanpa disedari isi lengan Hafifi dicari dan dikutil. Rasakan! Cubitan itu cukup membuatkan Hafifi terjerit. Sakit bercampur perit.

“Hadiah untuk orang yang perasan.” Sahut Irina selamba.

Serentak kedua-duanya ketawa. Tanpa disedari Hazril sedang berdiri di luar pintu studio. Hajatnya datang untuk mengajak Irina keluar makan bersama. Tapi sebaik dia mendengar rancangan kedua-duanya, dia hanya mampu tersenyum. Irina sudah berteman, tentu tidak elok jika dia menganggu rancangan kedua-duanya. Ah! Baik aku balik aje! Gumam Hazril seraya perlahan-lahan menghindar dari pintu studio itu. Ketika itu dia bertembung dengan Wan Mohamad, salah seorang eksekutif di Pelangi Raya.

“Encik Hazril, apa khabar sekarang? Lama tak nampak?” Tegur lelaki itu. Hazril sekadar tersenyum. Mereka saling sapa-menyapa, bertanyakan khabar.

“Ril?” Suatu suara singgah di pendengarannya.

Hazril berpaling. Melihat Irina memandang ke arahnya, dia hanya mampu mengeluh panjang.

Hafifi yang berdiri di sebelah Irina melemparkan senyuman pada Hazril. Malah lelaki itu sempat berbisik ke telinga Irina. “Sekarang kau dah boleh senyum, putera kau dah sampai. Lain kali kita lunch sama-sama okey.” Ujarnya sebelum beredar dari situ. Dia tidak ingin kacau daun!

Irina terpaku seperti patung memandang ke arah Hazril yang memandangnya dengan senyuman. Dia bagaikan tidak percaya Hazril boleh berada di situ. Untuk apa dia di sini? Mahu mencari akukah? Jauh di dasar hati dia mengharapkan tujuan lelaki itu sama seperti apa yang sedang difikirkannya saat ini.

* * * *

“Mimpi apa Ril datang ke mari?” Ringkas pertanyaan itu singgah ke telinga Hazril. Dia tersenyum. Memandang Irina yang kelihatan muram.

“Kita pesan makanan dulu? Dah lama kita tak makan sama-sama.” Balas Hazril tenang. Seorang pelayan yang kebetulan lalu di situ dipanggil.

Irina hanya membiarkan Hazril membuat pesanan. Dua pinggan nasi goreng ayam bersama satu jus mangga dan air tembikai dipesan. Hazril rupanya masih belum lupa menu kegemarannya.

“Ril belum jawab pertanyaan Rina tadi. Apa mimpi Ril datang?”

“Ril datang nak melawat Rina. Lagipun dah lama kita tak makan sama-sama. Salah ke?” Soal Hazril lembut seraya memandang gadis di hadapannya.

“Melawat Rina atau bimbangkan Pelangi Raya? Maklumlah Pelangi Raya kan amanat Ril pada Rina. Rina ni kan cuma pekerja biasa. Tentulah Ril takut kalau-kalau Pelangi Raya tidak semegah Perkasa Budi.” Ucapan Irina bernada hambar.

“Apa Rina cakap ni? Dari dulu lagi Ril percaya pada keupayaan Rina menguruskan Pelangi Raya. Sejak Rina mengetuai Pelangi Raya, kita dah banyak dapat kontrak-kontrak besar. Magazine Department and Advertising pun memberikan keuntungan yang besar. Ini semua jasa Rina!” Ujar Hazril, cuba menyakinkan gadis itu.

“Tapi tidaklah sebesar dan semegah Perkasa Budi. Apa tujuan Ril sebenarnya? Kita bukannya makan di sini sekadar untuk membincangkan hal bisnes kan?” Soal Irina sambil merenung tepat ke dalam anak mata lelaki di hadapannya. Entah mengapa, hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang cuba disampaikan oleh lelaki itu.

“Rina, salah ke kalau Ril ajak Rina makan tengahari bersama? Kita pun dah lama tak jumpa sejak Rina balik dari Australia. Apa Rina marahkan Ril ke?” Soal Hazril cuba menguji. Wajah gadis itu dipandangnya. Irina tergelak kecil.

“Marah? Marah kenapa pulak? Siapa Rina ni nak marahkan Ril? Selama ni Rina tak ada kedudukan yang penting dalam hati Ril. Jadi kenapa mesti Rina marah?”

Hazril mendengar dengan tenang. Kata-kata Irina meskipun disulami tawa tapi nampak sangat berselindung. Dia merenung ke dalam bebola mata gadis itu yang jelas berkaca. Ada air jernih yang bertakung membuatkan dia semakin dihimpit rasa bersalah.

“Rina, please. It’s not like that.”

“Kadang-kala Rina rasa diri Rina ni tak berguna, tak mampu nak menarik perhatian Ril walau sekuat mana pun Rina mencuba. Apa Rina ni tak cantik ke Ril? Apa Rina ni tak menarik di mata Ril?” Soal Irina bertalu-talu. Sudah lama dia mencari peluang untuk meluahkan perasaan hatinya. Dan hari ini, dia ingin mencari di mana letak nilainya di hati Hazril.

“Rina, that’s not the point....”

“Then what? Tell me!”

Hazril terdiam. Suara Irina yang meninggi menyebabkan beberapa pengunjung berdekatan yang sedang enak menjamu selera menoleh. Serba salah Hazril dibuatnya!

“Rina kita bincang hal ni kemudian saja okey?” Keluh Hazril.

“Kemudian?” Irina melirik tajam ke arah Hazril sebelum bingkas bangun. Hatinya meradang dengan kata-kata Hazril. Dia berpaling. Pada masa yang sama kebetulan seorang pelayan yang membawa sedulang makanan muncul ke arahnya. Irina tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan pelayan itu. Dulang makanan yang dipegang oleh pelayan itu tercampak lalu bertaburan di atas lantai.

“Stupid!” Bentak Irina pada pelayan itu. Meradang apabila bajunya dikotori dengan makanan. Pucat lesi wajah pelayan itu apabila memandang Irina. Berkali-kali kata-kata maaf dilontarkan, tapi anak gadis itu hanya mendengus kasar. Tanpa memandang Hazril, Irina berlalu dengan wajah berang.

Hazril hanya mampu memandang sehingga kelibat Irina menjauh lalu menghilang. Apabila dia memandang pelayan itu, dilihatnya pelayan itu turut memandangnya seperti ingin mengatakan sesuatu.

“Maaf encik….,” terpacul perkataan itu dari mulut pelayan wanita itu.

“Jangan bimbang, dia tak marahkan awak sebenarnya.” Ujar Hazril. Seketika kemudian dia mengeluh panjang. Irina!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!