Followers

Wednesday, October 20, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 28

BAHAROM asyik mengerling jam di permukaan dinding ruang tamu. Hampir pukul 12 tengah malam, namun Suria masih belum menampakkan batang hidung. Kadangkala sukar dia mahu melelapkan mata selagi tidak terdengar bunyi kereta Suria memasuki halaman rumahnya.

“Suria ni kuat ayah, sepuluh lelaki pun Suria boleh lawan,” gurau Suria setiap kali dia mengeluh panjang dengan kerja-kerja anak gadisnya yang tidak pernah habis sehingga ke lewat malam.

“Sepuluh lelaki sekalipun, Suria tu tetap perempuan. Ayah risaukan Suria.”

“Ayah nak risau apa? Kuala Lumpur ni bukan macam kawasan kampung. Lepas tengah malam pun, masih riuh rendah.” Balas anak gadis itu.

“Ramai tu memanglah ramai. Tapi berapa ramai orang baik yang ada di jalanan pada waktu-waktu seperti itu?” Dia memulangkan paku buah keras. Suria hanya tersenyum. Begitulah selalunya reaksi Suria, sehingga dia sudah naik muak mahu mengulang ayat yang sama.

Bunyi kenderaan menghampiri laman rumah membuatkan Baharom bingkas bangun, lalu mengintai dari sebalik tirai jendela di ruang tamu. Dari situ, dia terpandang kelibat Suria sedang melangkah dengan wajah kusam. Hatinya serta-merta merasa lega.

Melihat Suria semakin menghampiri rumah, Baharom cepat-cepat beredar ke kerusi rehatnya lalu berpura-pura menyelak halaman majalah yang entah apa isi kandungannya. Suria berpaling sebaik menyedari kelibat ayahnya.

“Ayah belum tidur lagi?” Dia tersenyum memandang lelaki itu.

“Belum. Kenapa Suria balik lambat?” Soal Baharom seraya berpaling ke arah anak gadisnya.

Suria tidak terus menjawab. Dia memandang jam di dinding dengan wajah berkerut. Sudah lewat malam! Salahnya juga kerana berteleku agak lama di pejabatnya menyiapkan laporan berita.

“Maaf ayah, Suria tak perasan masa dah lewat. Ralit sangat buat kerja sampai lupa nak tengok jam. Suria pun belum solat lagi ni. Suria naik atas dulu ya ayah?” Pinta anak gadis itu.

“Suria, duduk sekejap sayang. Ayah nak cakap sesuatu dengan Suria.” Suruh Baharom. Suria yang mahu melangkah ke biliknya tidak jadi berbuat demikian. Dia segera mencari tempat duduk di hadapan Baharom. Wajah si ayah ditenung dengan perasaan tanda tanya.

“Ayah nak cakap apa?”

Baharom tidak terus menjawab. Dia serba salah sedikit. “Emm….macamana dengan kes yang Suria tengah ikut sekarang ni?” Soal Baharom.

“Bolehlah, ada juga sedikit maklumat. Kenapa ayah tanya?”

“Tuan Izwan dah tahu siapa yang hantar email tu pada Suria?”

Suria menggeleng. “Pihak polis dah kesan IP komputer orang yang hantar email tu pada Suria. Tapi bila mereka buat serbuan, mereka cuma jumpa rumah kosong yang dah lama tak berpenghuni.” Ujar Suria dengan suara mendatar.

Baharom terdiam sejenak. Wajah anak gadis di hadapannya ditatap.

“Ayah bimbangkan keselamatan Suria. Kalau orang yang hantar email itu berniat jahat pada Suria bagaimana? Ayah nak Suria lupakan kes ni. Suruh wartawan lain yang uruskan. Ayah tak mahu Suria libatkan diri lagi.” Desak Baharom tiba-tiba.

Suria tersentak. Dia memandang ayahnya dengan wajah tidak percaya. Masuk kali ini sudah dua kali lelaki itu melarangnya terlibat dengan kes yang sedang disiasatnya. Selama tiga tahun dia menjadi wartawan, Baharom tidak pernah membantah walaupun ketika dia ditugaskan menemuramah penjenayah tegar yang hampir ke tali gantung. Ketika itu keadaannya lebih berbahaya berbanding sekarang, apatah lagi penjenayah itu adalah pembunuh bersiri yang telah meragut nyawa lima orang wanita yang tidak berdosa.

Begitu juga ketika dia berkeras mahu mengikut operasi pihak polis membanteras lanun di sempadan perairan Sabah, ayahnya juga tidak terlalu tegas membantah. Tapi kenapa kali ini berbeza? Itulah yang membuatkan dia jadi hairan.

“Please…ikut cakap ayah. Untuk kali ni saja. Jangan libatkan diri dengan kes ni lagi.” Rayu Baharom. Suria menarik nafas. Dia mengeluh panjang.

“Ayah, ini kes Suria. Suria dah berusaha keras nak dapatkan maklumat.”

“Orang dah kenal Suria sebagai wartawan jenayah yang bagus, apa lagi yang Suria mahu?” Tempelak Baharom.

“Tapi kemasyuran bukan tujuan Suria ayah. Suria lakukan semua ni sebab minat Suria, bukan sebab Suria nak cari nama,” pintas Suria.

Baharom terdiam. Dia tahu Suria degil orangnya. Anak gadis itu takkan semudah itu menurut setiap kata-katanya.

“Sepatutnya dari dulu lagi, ayah tak didik Suria dengan cara begini. Semuanya salah ayah,” keluh Baharom muram. Suria terkedu. Melihat wajah lelaki itu berubah, perlahan-lahan dia mendekati ayahnya. Jari jemarinya singgah di bahu lelaki itu. Baharom berpaling.

“Ayah tak salah. Ayah dah didik Suria dengan baik meskipun tanpa kehadiran seorang ibu dalam hidup Suria. Suria terlalu sayangkan ayah. Ayah adalah segala-galanya untuk Suria.” Bisikan Suria sayu.

Baharom terkedu. Tangannya merangkul tubuh Suria ke dalam pelukannya. Dia terharu. Pelupuk matanya mula digenangi lopak air. Dalam masa yang sama, matanya terpandang potret wajah isterinya yang terletak di suatu sudut. Fatihah, ini semua salah abang! Abang sangka dengan mendidik Suria menjadi keras hati dan tangkas akan melindungi dirinya dari bahaya. Tapi hasilnya, anak kita ini semakin terjerumus jauh ke dalam kancah bahaya yang dia sendiri tidak sedar kewujudannya.

* * * *

Sebaik dia menolak daun pintu biliknya, langkahnya tidak jadi diteruskan. Matanya mencerun ke bawah. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Dia tunduk lalu membongkok. Jari-jemarinya berlari ke arah serbuk hitam yang terdapat pada bawah pintu. Hidungnya menangkap bau yang agak keras menusuk ke hidungnya. Lada hitam? Suria tercengang. Lada hitam itu sudah bercampur dengan garam. Siapa pulak yang tumpahkan lada hitam dengan garam kat sini? Ayahkah? Suria ketawa gelihati. Macam-macam!

Dia segera menapak masuk ke biliknya. Seperti biasa, beg sandangnya dicampak ke atas tilam, manakala laptopnya pula dibuka. Dia masih ingin menyambung sedikit kerjanya yang terbengkalai dari pejabat tadi.

Selepas mandi dan bertukar pakaian, Suria menunaikan hutang solat Isyak yang masih belum langsai. Terasa segar sedikit tubuhnya setelah disirami air.

Di birai katil dia termenung panjang Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia teringatkan Nazrul. Sudah beberapa hari dia mengelakkan diri dari bertemu dengan lelaki itu. Padahal tugasnya diteruskan atas persetujuan Nazrul. Itu kata Akhbar beberapa hari yang lalu.

“Encik Nazrul benarkan awak terus follow kes tu. Awak cakap apa dengan dia Suria sampai dia setuju?” Soal Akhbar apabila memanggilnya ketika itu. Dia terkedu mendengar kata-kata Akhbar. Gembiranya bukan kepalang.

“Saya cuma minta dia tugaskan saya semula, itu aje Encik Akhbar. Lagipun saya berhak buat susulan kes ni.” Jawabnya acuh tak acuh.

“Pelik. Hari tu beria-ria saya pujuk dia tarik balik keputusan dia tapi dia tak endahkan. Sekarang, tiba-tiba aje dia bertukar fikiran.” Akhbar berkata seolah-olah pada diri sendiri.

Dia hanya diam mendengar sungutan Akhbar. Entah kenapa, malunya begitu menebal kerana terpaksa berkasar dengan lelaki itu tempohari. Tapi jika dia tidak berterus terang begitu, Nazrul pasti takkan faham.

“Saya risaukan keselamatan awak, itu saja!” Ungkapan lelaki itu benar-benar membuatkan dia tersenyum sendiri. Risaukan aku? Kenapa pula Nazrul harus risau? Aku bukanlah kekasih atau isteri dia untuk dia risaukan, gumam Suria sendirian.

“Saya sukakan Suria.” Sekali lagi bisikan Nazrul bercanda di cuping telinganya. Dia terpaku. Ingatannya kembali singgah di saat Nazrul membuat pengakuan itu di restoran tempohari. Sememangnya dia akui kata-kata Nazrul itu membuatkan separuh hatinya ingin melonjak terbang, meskipun dia sendiri tidak tahu apakah dia menyimpan perasaan yang sama terhadap Nazrul.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!