Followers

Monday, July 21, 2014

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 20


NURLISA tersenyum-senyum melihat makanan yang siap dihidangkan di hadapan matanya. Makanan itu membuatkan perutnya mulai berkeroncong. Apatah lagi sejak dia keluar rumah tadi, hanya sekeping roti yang menjadi alas perutnya. Sesekali dia merenung Dina Azura yang masih rancak berbual melalui telefon bimbitnya. Alamak, bilalah minah ni nak sudah berbual? Dah naik sebu perutnya melihat makanan yang tengah panas menggelegak. Time panas-panas macam ni lah sedap membaham! Bisik Nurlisa sambil menelan liur.

            “Tak apalah tuan, nanti saya tengok schedule. Bila majlis tu nak diadakan?” Suara Dina Azura menerpa ke telinga Nurlisa.

            “Minggu depan? Tak apalah, nanti kalau ada kelapangan, saya akan susun semula jadual. Lagipun kalau permintaan ini datangnya dari Puan Alma sendiri, saya tak mampu nak menolaknya.” Ujar Dina Azura.

            Okay then. Bye!” Talian telefon diputuskan. Dina Azura segera memandang Nurlisa yang sibuk mencuit makanan di hadapannya.

            “Kalau dah lapar tu, ambil ajelah. Tak payah nak cuit itu, cuit ini.” Perli Dina Azura seraya tersenyum.

            Memang aku lapar. Semata-mata dengar Cik Dina nak belanja, aku ikat perut ni ketat-ketat supaya dapat melantak banyak-banyak. Tapi dah sampai kat sini, kau sibuk aje dengan telefon kau tu.” Rungut Nurlisa sambil mencebikkan bibirnya.

            “Nak buat macamana, bos aku mencari sampai ke mari. Ada urusan penting nak dibincangkan.” Ujar Dina Azura.

            “Apa yang penting sangat sampai tak boleh tunggu kau balik office esok?”

            “Adalah hal sikit, tapi tak sepenting urusan kita sekarang. Hah! tunggu apa lagi? Makanan dah ada depan mata, makanlah,” pelawa Dina Azura sambil mencapai gelas minuman lalu dihirupnya.

Tanpa membuang masa, Nurlisa terus mencapai piring hidangan dengan wajah teruja. Bukan senang dia nak makan malam berdua aje dengan Dina Azura yang selalu sibuk 24 jam. Sibuk temannya itu mengalahkan Perdana Menteri.

            “Macamana sekolah? Anak murid apa khabar?” tanya Dina Azura selamba.

            Tolonglah Dina, tak ada soalan lain ke nak ditanya? Aku bab-bab sekolah, bab anak murid ni, bosanlah nak diulang-ulang. Tak ada apa yang menariknya dengan kerja aku ni. Pagi mengajar, petang balik rumah. Lainlah macam kau, selalu keluar outsation, jumpa ramai klien. Tentu seronok kan?” Fikir Nurlisa.

            “Apa pulak yang seronoknya? Sekurang-kurangnya kau banyak cuti. Asal cuti sekolah aje, kau boleh santai kat rumah. Aku pula asyik berhempas pulas bekerja siang malam. Bosan tau tak!” Bidas Dina Azura.

            At least kau suka dengan kerja kau, itu kan perkara yang paling penting. Ya tak?”

            “Bagaimana dengan kau pulak? Takkan kerjaya yang kau pilih semasa di UPSI tu kau tak minat? Aku ingat kau benar-benar nak jadi cikgu.” Ujar Dina Azura.

            “Minat tu memanglah minat, cuma kadang-kadang ada masanya aku tension jugak. Berhadapan dengan kerenah budak-budak tu, adakala aku seronok tapi adakala juga aku rasa bosan.” Luah Nurlisa.

            “Mungkin kau kena keluar dari lingkungan sekolah itu sekejap dan cuba sesuatu yang baru. Pergi bercuti contohnya?” Cadang Dina Azura.

            “Cuti sekolah lambat lagi. Lagipun kalau aku nak bercuti sorang-sorang, tak ke mana aku nanti. Kalau kau temankan tak tahulah.” Nurlisa melirik nakal.

            No problem, tapi sekarang tak boleh. Aku kena siapkan projek dulu sebelum bulan 5 nanti. Tapi kalau kau nak pergi, aku akan cuba susun jadual aku. Bagaimana?”

            Nurlisa sekadar mengangguk. Dia menghirup minuman fresh orange yang masih berbaki di gelasnya sambil memandang susunatur restoran tersebut. Hiasan di restoran itu memang kreatif dan cantik. Makanannya pun boleh tahan sedap.

Ketika Nurlisa mengalihkan pandangan, sepasang matanya tertancap pada sepasang lelaki dan perempuan yang duduk tidak jauh dari mereka. Ralit dia memerhatikan pasangan itu.

            “Apa kau pandang tu?” tegur Dina Azura, hairan melihat Nurlisa yang kelihatan asyik memerhatikan ke suatu arah.

            “Cuba kau lihat pasangan tu, macam ada yang tak kena aje,” ujar Nurlisa rancak menjamu mata.

            Dina Azura berpaling ke belakangnya. Wajahnya berkerut. Apa pula masalah tu? Walaupun pasangan itu tidaklah bising, namun gerak-geri keduanya cukup mengundang beberapa pasang mata dari meja berhampiran.

            “Bergaduh agaknya,” Nurlisa bersuara perlahan.

            Dina Azura tidak memberi sebarang komen.

“Dahlah tu, jangan kita ambil peduli fasal orang lain.” Sambungnya seraya kembali menjamah makanannya. Namun sebelum sempat stik yang dipotongnya masuk ke mulut, Dina Azura mendengar satu bunyi kuat datang dari arah belakangnya. Dia melihat mulut Nurlisa terlopong.

            Dina Azura berpaling sekali lagi. Kali ini dia melihat gadis itu sudah terdampar di atas lantai dengan hujung bibirnya berdarah. Manakala lelaki itu pula bercekak pinggang dengan wajah garang.

            “Kau ingat aku ni bodoh? Senang kena tipu dengan perempuan murahan macam kau ni?” Herdik lelaki itu dengan wajah merah padam.

            “Memang kau tu yang bodoh. Aku tak pernah berjanji apa-apa pun dengan kau.” Jerit gadis yang memakai blaus merah jambu itu.

            “Setelah banyak duit aku kau kikis, sekarang kau nak tinggalkan aku macam tu aje? Kalau kau rasa kau boleh lepas, kau silap besar.” Lelaki yang berkemeja petak biru lembut itu seakan-akan tidak berpuas hati. Tangannya diacu-acukan di hadapan muka gadis itu. Si gadis kelihatan gugup.

Dua pelayan restoran tiba-tiba muncul di situ lalu memegang bahu lelaki yang sedang naik angin itu.

            “Adik tak apa-apa?” Tegur suatu suara.

            Gadis itu berpaling. Dua orang gadis sedang mendekatinya dengan wajah bimbang. Namun dia tidak menjawab. Bibirnya tersenyum sinis memandang lelaki yang meronta-ronta dari pegangan dua orang pelayan restoran itu. Baru puas hatinya, melihat lelaki sial itu dibawa pergi. Senang cerita, habis masalahnya!

            “Dik..?” Tegur Dina Azura lagi. Hairan kerana gadis itu tidak menyahut panggilannya. Dia memandang Nurlisa yang hanya mampu menjungkitkan bahunya.

            “Saya tak apa-apa, terima kasih.” Jawab gadis itu seraya cuba bangun. Namun ketika dia cuba berdiri, tiba-tiba dia mengaduh kesakitan seraya menekan-nekan perutnya. Dina Azura terkejut. Nurlisa juga begitu!

            Dik, kenapa ni? Kat mana yang sakit?” Tanya Dina Azura dengan wajah bimbang.

Gadis itu terus menekan-nekan perutnya. Dahinya berkerut menahan sakit yang tiba-tiba menerjah dirinya. Wajahnya sudah bermandikan peluh.

            “Tak boleh jadi ni, kita kena bawa dia ke hospital,” ujar Dina Azura kepada Nurlisa. Gadis itu hanya mengangguk tanpa banyak soal. Dalam keadaan begini, keadaan gadis itu lebih diutamakan. Dalam keadaan kelam kabut begitu, Dina Azura tergaman melihat setompok darah pekat yang melekat di atas lantai berhampiran mereka. Dia memandang Nurlisa yang turut terpaku melihat darah tersebut.

*  *  *  *

NURLISA membelek-belek duit syiling yang dikumpulkan dari dalam tas tangan. Syiling-syiling itu dimasukkan ke dalam lubang yang tersedia, sebelum dia mula menekan punat berwarna hijau. Sekejap sahaja dua cawan kopi sudah bertukar tangan.

            Nah, minum dulu kopi ni sementara menunggu. Agaknya lambat lagi doktor tu keluar.” Ujar Nurlisa seraya menyerahkan secawan kopi ke arah Dina Azura. Gadis itu menyambut, tapi kopi itu tidak segera dihirup. Dia asyik menekan-nekan telefon bimbit di tangannya. Nurlisa sekadar memerhatikan perlakuan gadis itu dengan wajah hairan.

            “Kau buat apa tu?”

            Aku dah cuba call nombor dalam dompet perempuan tu, tapi tak berbalas. Kawan punyalah ramai, tapi tak ada pulak yang angkat call. Itu yang aku cuba sms pula.” Balas Dina Azura.

            Nurlisa menjungkitkan bahunya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menolong. Untuk seketika, kedua-duanya senyap sahaja sambil menghirup kopi dari cawan masing-masing. Sesekali doktor dan jururawat yang keluar masuk dari bilik kecemasan itu menjadi tumpuan mereka.

            Setengah jam berlalu, seorang doktor muda menghampiri bangku menunggu di hadapan bilik rawatan. Kedua-dua gadis yang sedang tertidur di bangku menunggu itu dipanggil.

            “Cik…?” Panggil doktor itu, cuba mengejutkan dua wajah yang sedang terlena. Nurlisa yang pertama terjaga, terkejut besar melihat lelaki berpakaian serba putih sedang berteleku di hadapannya. Dia dengan cepat menyiku Dina Azura yang sedang sedap-sedap tidur di sampingnya.

            Maaf, cik berdua ni ke yang hantar gadis di bilik rawatan tadi?” Soal doktor berkaca mata nipis itu seraya tersenyum.

            “Ya, kami yang hantar. Macamana dengan dia?” Tanya Dina Azura.

            “Boleh saya tahu, apa hubungan cik berdua ni dengan gadis itu?” Tanya si doktor itu tanpa menjawab pertanyaaan Dina Azura.

            “Err..kami kawan dia.” Balas Nurlisa gugup. Dina Azura sekadar mengangguk mengiyakan. Bukan rugi apa-apapun kalau mereka mengaku kawan kepada gadis itu.

            That’s good, tapi saya harap benar kalau dapat bercakap sendiri dengan suaminya. Ada perkara yang harus kami bincangkan.” Balas doktor muda itu dengan wajah serius.

Dina Azura dan Nurlisa saling berpandangan. Suami? Dina Azura termenung panjang. Sebenarnya dia sendiri tidak pasti, apakah benar gadis muda itu sudah bersuami atau pun belum. Tak mungkin lelaki yang memukul gadis itu semasa di restoran tadi, suami gadis malang itu.

            “Err.. kalau doktor tak kisah, boleh kami tahu apa sakit dia?” Soal Nurlisa, benar-benar ingin tahu.

            Sebenarnya puan tadi mengalami keguguran.” Ujar lelaki itu lambat-lambat.

            “Keguguran?” Dina Azura tercengang. Nurlisa turut terkedu.

            Dari pemeriksaan yang kami buat, kandungan puan tadi baru masuk minggu kedua. Memang mudah berlaku keguguran kalau kandungan tak stabil, pesakit mengalami stress atau melakukan aktiviti-aktiviti berat.” Jelas doktor muda itu.

            Dina Azura terdiam. Matanya menjeling ke arah Nurlisa. Temannya itu kelihatan agak buntu dengan penjelasan doktor itu. Sudahlah mereka tidak kenal gadis itu, alih-alih saja mereka dapat tahu gadis itu keguguran pula.   

            “Doktor, boleh saya tahu keadaan pesakit yang baru dihantar ke mari sebentar tadi?” Suatu suara mencelah perbualan mereka.

Dina Azura berpaling. Seorang lelaki kelihatan cemas meluru ke arah mereka. Apabila Dina Azura memerhati dengan teliti, dahinya berkerut seribu. Johan?

            “Dina?” Lelaki itu turut terkejut melihat kehadirannya di situ. Nurlisa yang kelihatan hairan menyiku Dina Azura yang terpaku seperti patung.

*  *  *  *

JOHAN memandang gadis yang terbujur lemah di katil hospital dengan perasaan berbaur. Marah, simpati, malu, semuanya silih berganti. Entah bagaimana harus dia sampaikan berita itu pada ayahnya. Dia benar-benar tidak menyangka, sampai begitu sekali tindakan Sefiya memalukan mereka sekeluarga.

            Fia, mana perginya maruah kau sebagai seorang gadis? Ya ALLAH, bagaimana harus aku berdepan dengan kenyataan ini? Keluh Johan gusar.

            Sesekali dia berpaling ke suatu arah. Dia tahu sejak dari tadi, Dina Azura tidak pernah berganjak meninggalkan kawasan hospital itu. Gadis itu setia menanti di luar bilik. Hanya sesekali Dina Azura masuk menjengah.

            Kenapa tak balik lagi?” Tanya Johan, pura-pura tenang.

            “Saya nak tunggu awak. Saya suruh kawan saya balik dulu, lagipun esok saya cuti, tak perlu terburu-buru balik.” Balas Dina Azura perlahan.

            Johan terdiam. Hanya terdengar hela nafasnya ditarik agak kasar. Mendung di wajahnya tidak mampu disorokkan.

            “Dia adik perempuan saya. Sefiya namanya.” Ujar Johan memberitahu.

            “Maaf, saya tak tahu.” Jawab Dina Azura simpati. Dia faham perasaan lelaki itu. Mungkin dalam keadaan sekarang, Johan perlukan masa untuk bertenang.

            Kalau awak nak saya pergi, saya akan pergi.” Ujar Dina Azura, perlahan-lahan mengatur langkah.

            “Jangan pergi. Saya tahu saya tak berhak meminta awak tunggu di sini, tapi saya tak tahu nak buat apa lagi. Saya bingung Dina.” Luah Johan resah.

            Dina Azura terdiam. Dia berpaling lalu menatap lelaki itu.

“Anggaplah ini satu ujian Johan. Bertawakal pada ALLAH, beristighfar banyak-banyak. Pohon pada ALLAH agar ditunjukkan hidayahNYA untuk awak menyelesaikan semua masalah yang datang.”

            “Dulu Sefiya bukan begini. Tapi sejak umi kami meninggal dunia, Sefiya berubah jadi liar. Saya tahu ini semua kerana kawan-kawan yang mendampinginya. Bukan saya tidak cuba mengawasinya, tapi saya tak mampu. Dari hari ke sehari, Sefiya semakin sukar dikawal,” cerita Johan panjang lebar.

            Saya tahu dia marah bila umi meninggal dunia. Dia salahkan ayah saya kerana berkahwin lain di saat-saat umi terlantar sakit. Bukan saya tidak berusaha memahaminya, tapi saya sudah tidak tahu caranya. Saya buntu Dina. Benar-benar buntu.” Keluh Johan lagi.

            Dina Azura memandang gadis di atas katil itu. Wajah itu comel, masih muda dalam lingkungan usia 20 tahun. Sayang kerana pada usia muda begitu, sudah hanyut dilambung nafsu dan emosi hanya kerana dibebani masalah keluarga.

            Dalam diam-diam, dia bersyukur kerana masih dikuatkan iman menghadapi hidup, meskipun banyak ranjau dan duri kehidupan telah ditempuhinya. Kalau dikira, bukan hanya gadis itu sahaja yang bernasib malang. Dia juga tidak pernah merasa bahagia. Namun semua itu bukan alasan untuk dia memusnahkan hidupnya sendiri dengan perbuatan yang sia-sia.

            Sedikit sebanyak hatinya dilimpahi rasa simpati, lebih-lebih lagi apabila melihat keadaan Johan yang cemas dan serba tidak keruan.

            Dina, boleh awak janji sesuatu dengan saya?” Tiba-tiba Johan memandang ke arahnya.

            “Apa dia?”

            Tolong rahsiakan fasal Sefiya dari pengetahuan keluarga saya. Saya tak tahu apa yang akan ayah saya lakukan kalau dia tahu fasal Sefiya. Sefiya masih muda. Saya tak mahu kesilapannya kali ini membuatkan masa depannya terumbang-ambing. Saya harus selamatkan dia.” Ujar Johan.

            Dina Azura mengangguk tenang. Permintaan Johan itu wajar bagi pihak seorang abang yang merisaukan adiknya.

“Jangan bimbang Johan, saya akan rahsiakan perkara ini. Tapi awak harus lakukan sesuatu tentang Sefiya. Saya percaya, setiap manusia di dunia ini mempunyai peluang kedua dalam hidup mereka. Saya cuma harap bila Sefiya sedar nanti, awak jangan terburu-buru naik marah. Masih ada banyak cara untuk membetulkan keadaan,” nasihat Dina Azura panjang lebar.

            Johan memandang gadis itu. Kata-kata Dina Azura menampakkan kriteria seorang gadis yang matang dan bijak. Memang dia senang sekali berbual-bual dengan gadis itu. Terasa masalah yang membelenggu dirinya, menjadi ringan dengan kata-kata nasihat dari gadis itu. Apabila dia mengalihkan pandangan, wajah Sefiya mencuri perhatiannya. Mata gadis itu terbuka perlahan-lahan.

            “Johan, dia dah sedar.” Bisik Dina Azura.

            Johan segera merapati adiknya. Tangan Sefiya diraih perlahan lalu dibawa ke bibirnya. Satu kucupan singgah di situ.

Sefiya memandang sayu ke arah Johan. Dia merasa bersalah pada abangnya. Dia tahu dia sudah banyak menyusahkan Johan selama ini. Pasti Johan akan membencinya atas apa yang telah dilakukannya.

            “Abang….” Panggil Sefiya perlahan.

            “Fia masih lemah, rehatlah sayang. Abang takkan ke mana-mana.” Bisik Johan.

            “Fia minta maaf, Fia dah banyak buat salah pada abang. Fia tahu abang tentu marah dan benci pada Fia.” Tangis Sefiya sebak.

            Siapa kata abang bencikan  Fia? Fia satu-satunya adik abang, kasih sayang abang semuanya untuk Fia.” Balas Johan pula. Jari-jemarinya mengelus lembut rambut anak gadis itu yang beralun-alun.

            Dina Azura tersenyum. Adegan di hadapan matanya ditonton dengan perasaan berbaur. Kasih sayang dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Johan, membuatkan dia teringatkan Diaz. Alangkah baiknya jika Diaz juga bersikap seperti Johan. Penuh perhatian dan kasih sayang seorang abang! Keluhnya lalu perlahan-lahan mengundur diri dari bilik itu. Dia mahu membiarkan Johan dan Sefiya berbicara dalam keadaan yang tenang.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!