Followers

Friday, January 4, 2013

Mencari Kiblat Cinta : Bab 27


SENYAP-SENYAP kakinya diatur ke arah warung kecil yang dipenuhi ramai pelanggan. Melihat ada meja kosong di suatu sudut, dia segera menempati meja tersebut. Matanya melilau memerhatikan suasana warung yang sudah semakin banyak berubah.

Seorang remaja perempuan berusia dalam lingkungan belasan tahun sedang mengelap meja berhampiran dengannya. Matanya ralit memerhatikan anak gadis itu. Melihat anak gadis itu, entah kenapa dia teringatkan dirinya suatu ketika dahulu. Suatu waktu dulu, begitulah dia berusaha membanting tulang empat keratnya. Dan duit itu sangat bererti buatnya bagi menampung perbelanjaannya.

       Setelah selesai menduduki peperiksaan SPM, dia terus membantu Pak Maidin dan Mak Minah di warung tersebut. Kadangkala sehingga ke malam dia masih berada di warung. Sedikit sebanyak tumpuannya terhadap Naufal semakin berkurangan. Mungkin itulah sebabnya Naufal semakin hanyut. Anak muda itu juga sudah pandai ponteng sekolah. Cakap-cakapnya juga sudah tidak berguna di telinga Naufal.

       “Naufal, kakak nak cakap sikit dengan Naufal…” Dia menegur ketika berselisih dengan anak muda itu.

       “Naufal sibuk kak, kita cakap esok aje.” Naufal mahu beredar. Tapi tangannya lebih pantas menghalang. Anak muda itu berpaling ke arahnya. Mata itu kelihatan dingin tidak beremosi.

       “Saiful datang tadi.” Dia menyebut tentang anak jiran mereka yang menjadi teman sekelas Naufal di sekolah.

       “Dia nak apa?” Soal Naufal selamba.

       “Dia bawa surat dari Cikgu Jamilah. Betul ke Naufal ponteng sekolah dah dekat seminggu?” Soalnya. Nada suaranya jelas hampa.

 “Kalau ya kenapa? Ini mesti Saiful yang mengadu pada cikgu. Bedebah betul si Saiful ni.” Rengus Naufal seraya mengepal-gepal penumbuknya.

Dia tersentak. Kata-kata Naufal yang agak kasar membuatkan dia kecewa. Sungguh dia tidak menyangka begini reaksi anak muda itu.

       “Naufal jangan nak salahkan Saiful. Dia cuma bawa surat dari sekolah. Apa nak jadi dengan Naufal ni? Kenapa Naufal ponteng sekolah? Bersusah payah kakak kerja cari duit siang malam, semuanya untuk tanggung duit sekolah Naufal, tapi ini balasan Naufal pada kakak?”  Herdiknya mulai hilang sabar.

       “Naufal tak minta kakak buat semua itu.” Jawab anak muda itu selamba.

Dia tersentak. Hatinya hancur luluh mendengar tutur kata Naufal yang tidak beralas. Ya ALLAH! Kenapa Naufal jadi begini?

       “Betul Naufal tak minta kakak buat semua tu. Tapi kakak lakukan semua ini kerana kakak sayangkan Naufal. Kakak nak Naufal berjaya dalam hidup. Kita hanya berdua Naufal. Ayah dan umi dah tak ada, kalau kita tak jaga satu sama lain siapa lagi?” Tuturnya sebak.

       “Naufal tak perlukan kakak untuk jaga Naufal. Naufal boleh jaga diri sendiri, kakak tak payah  risau.” Pintas anak muda itu dingin.

       “Naufal!” Herdiknya berang.

       Naufal memandangnya tidak berkelip. “Kakak ingat Naufal tak tahu yang kakak menyesal sebab terpaksa berhenti belajar? Jangan sebab kakak tak boleh lanjutkan pelajaran, kakak nak seret Naufal supaya jadi macam kakak. Naufal dah bosan pergi sekolah! Naufal dah bosan tengok hidup kita macam ni. Naufal dah bosan kak!” Jerit Naufal seraya menghempas pintu di hadapannya sekuat hati.

Dia terduduk lemah. Kata-kata Naufal menjeruk perasaannya. Naufal, tidakkah Naufal mengerti perasaan kakak? Istilah bosan atau kecewa takkan pernah ada dalam kamus hidup kakak selagi Naufal ada. Kakak hanya ada Naufal seorang, kakak tak boleh hidup tanpa Naufal. Dia mengesat airmata yang mengalir perlahan di cerun pipi.

Kenangan! Kenapa harus kembali jika kau tak mampu memulangkan kembali Naufal yang ku sayangi? Hati Danira berbisik pilu.

“Kakak nak minum apa?” Gadis remaja tadi kini sudah berada di hadapannya. Mata gadis itu berkerut sebaik menyedari pelupuk matanya kini bergenang air jernih. Menyedari keadaan itu, Danira pantas menyeka airmatanya sebelum memandang gadis  di hadapannya.

“Hmm bagi kakak sirap limau satu.”

“Makan?”

Danira menggeleng. Perutnya masih belum lapar. Gadis itu hendak kembali ke dalam, tapi jari jemari Danira lebih pantas memaut lengan si gadis.

“Dik sekejap…” tahan Danira. Gadis itu menoleh.

“Boleh kakak tahu Pak Maidin dengan Mak Minah ada lagi kat sini?” soalnya.

Gadis kecil itu menunjukkan wajah kaget.

“Tok dengan Ucu ada kat rumah. Hari ni mereka tak datang sebab Tok tengah sakit.” Jawab gadis kecil itu.

Danira tergaman. Panggilan Tok dan Ucu itu mengejutkannya.

“Adik  ni siapa dengan mereka?” Soal Danira ingin tahu.

“Mereka datuk dengan nenek saya.” Jawab gadis itu lagi.

Danira terdiam sejenak. Memang dia tahu Pak Maidin dan Mak Minah ada dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. Barangkali memang gadis itu cucu pasangan suami isteri itu.

            “Nama adik siapa?”

            “Nina.” Jawab bibir mungil itu.

            “Umur Nina berapa?”

            Lima belas tahun kak.” Jawab Nina.

            Danira terdiam. Masih muda, tapi sudah pandai membantu di kedai. Kalaulah  Naufal seperti Nina, tentu hatinya takkan segusar ini.

            “Kenapa kakak ni nampak sedih aje? Kakak nangis?” Tanya Nina dengan wajah berkerut. Terkelip-kelip matanya memerhatikan ke arah Danira.

Danira memandang anak gadis itu sambil menggelengkan kepala. Kakak sudah puas menangis dik. Kakak sudah letih! Sepanjang hidup kakak, kakak menangis. Tapi anehnya airmata ini tidak pernah mahu kering! Bisik hati kecil Danira sebak.

            “Pak Maidin dengan Mak Minah masih tinggal di rumah lama mereka?” Soalnya lagi ingin tahu. Entah kenapa dia terlalu ingin menemui pasangan suami isteri itu. Rindunya pada pasangan yang menjaganya suatu ketika dahulu sering membuak-buak.

            Ada kak, Tok dengan Ucu tak mahu pindah walaupun mak dah puas paksa. Kata Tok dengan Ucu, mereka nak tunggu anak angkat mereka balik.” Beritahu Nina.

            Danira tergaman. Anak angkat? Apakah yang dimaksudkan anak gadis itu dirinya? Apakah selama ini Pak Maidin dan Mak Minah sering menanti-nantikan kepulangannya?

*  *  *  *

            Seperti yang diduga, wanita tua itu terkejut besar apabila melihat dia terpacul di hadapan rumah. Danira cuba mengukir senyuman meskipun nampak kekok. Mak Minah menapak perlahan-lahan ke arahnya. Wajah wanita itu seolah kebingungan memandangnya.

            “Nira? Danira..?” Mak Minah bertanya sekadar mahu memastikan.

            Danira mengangguk. “Ini Nira, Mak Minah.”

            Sebaik mendengar kata-kata itu, Mak Minah terus meluru ke arah Danira. Tubuh gadis itu dirangkul erat. Air mata wanita tua itu merembes laju bagaikan air hujan. Danira membalas rangkulan wanita itu sekuat hatinya. Seperti Mak Minah, dia juga tidak mampu menahan sebaknya.

“Kenapa baru sekarang Nira balik cari kami? Kenapa Nira?” Tangis Mak Minah. Kesedihannya membuak-buak dengan kehadiran gadis itu.

            Hati Danira tersentuh. Dia tidak mampu menjawab pertanyaan itu, lantaran perasaan bersalah menghantui dirinya kini.

“Nira takut Mak Minah. Nira takut Mak Minah dan Pak Maidin tak sudi terima Nira lagi. Nira jahat! Nira dah susahkan Pak Maidin dengan Mak Minah.” Bisiknya di telinga wanita itu.

            Perlahan-lahan Mak Minah melonggarkan rangkulan. Wajah anak gadis itu diratah dalam-dalam. Danira tunduk ke bawah. Ada rasa sangsi yang tidak hilang dari lubuk hatinya.

Jari jemari Mak Minah bergerak ke bawah dagunya. Dia tergaman apabila menyedari wanita tua itu mengangkat dagunya.

            “Enam tahun kami tunggu Nira. Nira dah macam anak kami sendiri. Mustahil seorang ibu dan ayah akan membenci anaknya sendiri biar apa pun salahnya.” Bisik Mak Minah tulus.

Danira terkedu. Gugur lagi airmata yang cuba ditahan. Sekali lagi bahu wanita itu menjadi sasaran lalu esakannya pecah.

            “Nira…” panggil satu suara. Serentak Danira dan Mak Minah berpaling. Melihat seorang lelaki tua bertongkat, muncul di muka pintu, Danira segera meluru lalu menyembah sujud di kaki lelaki itu.

            “Nira minta maaf Pak Maidin. Nira dah hampakan Pak Maidin.” Tangis Danira dalam kesedihan. Dia memberanikan diri mendongak ke wajah lelaki tua itu. Pak Maidin hanya memandangnya dengan wajah sayu. Lelaki tua itu langsung tidak berkata apa-apa membuatkan hatinya tambah robek.

*  *  *  *

            Dia hanya mampu memandang rumah itu dari jauh. Enam tahun dahulu, rumah itu menjadi tempat berteduh buat dia dan Naufal. Rumah itu juga tempat dia berkongsi suka dan duka bersama adiknya. Jauh di sudut hati dia merindui rumah itu. Merindui setiap kehidupan yang mereka jalani di situ. Tapi kini rumah yang dirinduinya dulu hanya mampu ditatap dari jauh. Mana mungkin dia mendekati rumah yang bukan miliknya lagi.

            “Lepas Naufal hilang begitu saja, kebetulan tuan rumah ni balik ke mari. Bila dia tengok rumah ni kosong terbiar begitu saja, jadi dia sewakan rumah tu pada orang lain. Maaf Nira, Pak Maidin tak mampu buat apa-apa.” Jelas Pak Maidin di sampingnya.

            Danira menoleh lalu menatap mendung di wajah lelaki itu. Dia tahu Pak Maidin serba-salah. Namun mana mungkin dia akan menyalahkan lelaki itu.

            “Siapa yang menyewa kat situ sekarang Pak Maidin?” Tanyanya sekadar ingin tahu.

            “Pasangan suami isteri. Yang suami bekerja di bank, isterinya pula cikgu sekolah rendah. Mereka ada dua orang anak kecil.” Cerita Pak Maidin.

            “Habis barang-barang kami dulu ada kat mana Pak Maidin?” Tanya Danira sedikit cemas. Ada beberapa barang-barang peninggalan ayah dan ibunya yang perlu diambilnya kembali.

            “Pak Maidin simpan kat bilik kosong kat rumah kami. Pak Maidin yakin yang suatu hari nanti, Nira akan balik mencari kami.” Ujar Pak Maidin seraya tersenyum.

            Danira terdiam. Dia benar-benar rasa bersalah pada lelaki itu. Kepercayaan yang diberikan lelaki itu padanya, dibalas  pula dengan satu musibah.

            “Naufal ada balik ke mari?”

            Lelaki itu menggeleng. “Sejak Nira dipenjarakan, kami dah jarang-jarang jumpa Naufal. Pak Maidin ada ajak dia tinggal dengan kami tapi dia tak mahu. Dia ada cari Nira?” Pertanyaan yang diutarakannya kini dikembalikan semula. Dia hanya menggelengkan kepala. Raut wajahnya kembali muram sebaik perihal Naufal dibangkitkan semula dalam perbualan mereka.

            Pak Maidin tiba-tiba mengeluh panjang. Danira menoleh. Mata lelaki itu menjunam tepat ke wajahnya. Lelaki itu bagaikan ingin mengatakan sesuatu. Wajah itu berkerut-kerut seolah membendung sesuatu yang berat mahu diluahkan.

            “Kenapa Pak Maidin?” Soal Danira dengan wajah hairan.

            Renungan Pak Maidin terus menikam wajahnya. Dengusan nafas lelaki itu terdengar di tepi telinganya. Namun dia sabar menanti sehingga lelaki itu bersedia untuk berkata-kata.

“Boleh Pak Maidin tanya Nira sesuatu?” Pertanyaan lelaki itu dilontar cukup berhati-hati.

Dia hanya mengangguk.

“Kenapa Nira tak mahu jumpa kami? Kenapa Nira tak mahu jumpa dengan Naufal? Nira tahukan yang kami semua sayangkan Nira. Enam tahun dulu, hampir tiap-tiap minggu kami ke penjara dengan harapan mahu bertemu Nira. Tapi kami selalu pulang dengan tangan kosong. Kenapa Nira? Salah apa Pak Maidin dan Mak Minah dengan kamu sampai macam tu Nira buat pada kami?” Tanya lelaki tua itu dengan nada sebak.

            Danira tersentak. Lidahnya tiba-tiba kelu seribu bahasa. Dia benar-benar tidak menyangka Pak Maidin akan membangkitkan soal itu padanya. Bagaimana dia mahu berterus terang dengan lelaki itu tentang hakikat sebenar? Tentang apa yang membelenggu perasaannya sejak sekian lama.

            “Mak Minah kamu selalu menangis setiap kali kami pulang dari penjara dengan tangan kosong. Dia kecewa bila Nira menolak untuk jumpa kami.”

            Danira menggelengkan kepala dengan mata berkaca. “Nira minta maaf Pak Maidin. Nira tak pernah bermaksud mahu membuatkan Pak Maidin dan Mak Minah bersedih. Cuma Nira…Nira sebenarnya malu. Nira terlalu malu mahu berhadapan dengan semua orang terutama Pak Maidin. Berkali-kali Nira bisikkan dalam hati yang semua ini hanyalah mimpi. Dan berkali-kali juga Nira harapkan bila Nira terjaga dari mimpi ini, kita akan bersama-sama macam dulu. Tapi hakikatnya Nira tetap terkurung dalam sangkar besi itu.” Rintih Danira.

Pak Maidin memandang anak gadis itu dengan wajah simpati. Kedua-dua bahu Danira dipegang rapat.

            “Meskipun Pak Maidin tak faham kenapa semua ni boleh jadi begini, tapi hati Pak Maidin dan Mak Minah kamu tetap yakin yang kamu adalah Danira yang kami kenal selama ini. Kami yakin kamu tak bersalah Nira.” Bisik lelaki itu.

Danira terharu dengan kata-kata lelaki itu. Pak Maidin suami isteri sudah seperti ibu bapanya sendiri. Budi pasangan suami isteri itu terlalu besar untuknya selama ini.

            “Nira gembira kerana Pak Maidin masih mahu percayakan Nira. Nira dah tak ada sesiapa lagi selain Pak Maidin dan Mak Minah. Naufal pula hilang entah ke mana. Nira tak tahu kat mana nak cari dia lagi.” Keluh Danira. Fikirannya benar-benar terbeban dengan masalah adiknya.

            “Nira jangan bimbang. Pak Maidin percaya yang suatu hari nanti, Naufal pasti akan kembali pada Nira. Dia akan mencari kakaknya semula. Takdir takkan sekejam itu memisahkan kamu dua beradik.” Balas Pak Maidin cuba menenangkan perasaan gadis itu.

Danira terdiam. Dia juga mengimpikan harapan yang sama. Semoga kata-kata Pak Maidin akan menjadi kenyataan. Dan semoga dia akan sempat menemui Naufal selagi hayatnya masih dikandung badan.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!