KAKINYA menyusun
langkah lemah menyusuri denai kecil dari jalan besar yang dilaluinya, menuju
kawasan perumahan yang menempatkan taska milik Kamila. Sebaik sampai di hadapan
rumah dua tingkat yang dipenuhi dengan pelbagai karikatur kartun disney, langkahnya tiba-tiba terhenti.
Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Mak Minah yang mempelawanya
tinggal bersama mereka. Pak Maidin juga melahirkan harapan yang sama. Tapi kerana
Kamila, dia terpaksa menolak meskipun hatinya teringin menanti Naufal di rumah pasangan
suami isteri itu.
“Nira dah bekerja sekarang ni Pak Maidin. Nira kerja dekat taska.
Pemiliknya baik hati. Dia bukan setakat beri Nira kerja, tapi dia juga sediakan
tempat tinggal untuk Nira.” Ujarnya memberitahu pasangan suami isteri itu. Dia
tahu, Pak Maidin dan Mak Minah risau dengan keadaannya.
“Alhamdulillah syukur kalau Nira selesa kat situ. Tapi
kalau Nira nak kerja semula dengan kami kat warung tu, bila-bila masa datanglah.
Sejak dua menjak ni, Pak Maidin tak berapa sihat. Kaki ni pun terpaksa
bertongkat sebab Pak Maidin tergelincir tempohari sampai putus urat.” Ujar Pak
Maidin.
“Nira kalau boleh memang nak bantu Pak Maidin. Tapi tak
elok rasanya pergi begitu sahaja dari taska sedangkan Puan Kamila tu baik
sangat dengan Nira. INSYA ALLAH kalau
Nira ada masa, Nira akan bantu Pak Maidin dan Mak Minah kat warung tu macam
dulu.” Ujarnya seakan memberi janji. Pak Maidin tidak banyak soal hanya mengangguk
setuju.
Dia memandang beg plastik besar di tangannya. Hatinya
sudah tidak sabar mahu menatap isi kandungannya. Barang-barang itu adalah
barang-barang lama peninggalan arwah ayah dan ibunya. Itu sahaja yang
diambilnya dari rumah Pak Maidin tadi. Selebihnya dia berjanji mahu datang lagi
dan mengambilnya secara berdikit-dikit.
Ketika dia mahu membuka pintu pagar taska itu, sebuah
kereta Mercedez Benz berwarna hitam gelap berhenti di belakangnya. Dia segera
menoleh.
“Cik Evy…” Wajahnya berubah. Hatinya berdebar-debar
ketika melihat wanita itu. Tugu di dalam dirinya terasa bagaikan mahu runtuh.
Evelyn tidak bersuara. Sepasang mata milik wanita itu,
liar menerjah ke seluruh pelusuk wajahnya. Merenung dari atas ke bawah bagaikan
sedang mentafsir setiap kekurangan dirinya.
“You ada masa sekarang?” Evelyn merenung tajam ke arah
gadis bertudung litup itu. Wajah itu semakin manis. Tidak lagi pucat seperti
mula-mula gadis itu masih dipenjarakan. Kebebasan sememangnya membuatkan
seseorang nampak lebih menarik dan bersemangat. Dan seri di wajah itulah yang tidak
disenanginya dan menghadirkan sekelumit iri di hatinya selama ini.
“Masuk dalam kereta. Ada benda I nak cakap dengan you.” Pinta
wanita itu dengan wajah serius.
Danira tidak
berganjak. Timbul keraguan di hatinya untuk mengikut wanita itu. Apatah lagi
dia tidak tahu apa tujuan Evelyn mahu bertemunya.
Evelyn menatapnya tajam Wajah itu jelas tidak senang
dengan kedegilannya. Ada
dengus kasar menerpa keluar dari bibir Evelyn. “You takut I apa-apakan you?”
Evelyn meninggikan suara, namun tetap dengan nada sinis. Danira terpegun.
“Setelah apa yang Joshua sanggup buat untuk you, you
ingat senang sangat ke I nak calarkan reputasi I ni semata-mata untuk banduan
macam you?” Getus Evelyn tanpa berdolak dalih.
Danira
tersentap. Banduan? Harga dirinya jatuh ke tempat yang paling rendah dengan
hanya satu perkataan itu sahaja. Kata-kata Evelyn benar-benar membuatkan dia
rasa terhina. Nafasnya ditarik perlahan. Belajar untuk bersabar Nira! Bukankah
itu yang kau lakukan selama ini?
“Cik Evy baliklah, saya tak fikir kita ada apa-apa urusan
lagi. Lagipun antara saya dan Joshua tak ada apa-apa. Dia hanya peguam saya dan
saya hormati dia. Lepas ni saya takkan jumpa dia lagi kalau Cik Evy tak suka.”
Danira membalikkan tubuh kecilnya. Niatnya ingin beredar dari situ, namun suara
Evelyn sekali lagi menghentikan langkahnya.
“Ikut I ke hospital, jumpa Joshua.” Ujar wanita itu.
Danira terpempan. Hospital? Perlahan-lahan dia membalikkan
tubuh. Wajah Evelyn ditatap separuh bingung. Apa maksud wanita itu? Kenapa
Joshua ada di hospital?
* *
* *
Langkah wanita itu, diekori menuju ke wad kelas pertama
di sebuah hospital swasta di ibukota. Sepanjang perjalanan, Evelyn langsung
tidak mahu menjelaskan apa-apa yang boleh menghuraikan tanda tanya di hatinya
tentang Joshua. Apabila mereka sampai di hadapan sebuah bilik, langkah Evelyn
tiba-tiba terhenti. Danira kaget. Wanita itu tiba-tiba berpaling ke arahnya.
“Joshua ada kat dalam. You masuk, I tunggu kat sini
saja.” Arah Evelyn dengan wajah serius. Danira terpinga-pinga memerhatikan
wanita itu beredar ke arah bangku yang tersedia di luar bilik itu. Hatinya cuak
memikirkan apa sebenarnya yang telah berlaku pada Joshua. Tombol pintu di
hadapannya segera dipulas.
Sebaik daun pintu renggang, dia memberanikan diri melangkah
masuk. Matanya dengan segera terpandang sekujur tubuh yang terbaring di atas
katil. Sebaik wajah itu berpaling, dia terkesima. Joshua! Hatinya serta-merta
gementar melihat kesan-kesan lebam yang mewarnai wajah Joshua.
“Danira..” Wajah Joshua serta-merta berseri sebaik
menyedari kehadiran Danira di muka pintu. Lelaki itu cuba
bangun dari pembaringan, namun Danira cepat-cepat menahan.
“Josh, tak usah. Awak tengah sakit tu.”
Larang Danira.
“Bantu saya naikkan bed
ni.” Pinta Joshua.
Danira menurut.
Sebaik kepala lelaki itu berada dalam keadaan yang lebih selesa, Danira menarik
kerusi lalu duduk di samping Joshua. Lelaki itu memandangnya tidak berkelip.
“Kenapa boleh jadi macam ni Josh? Cik Evy kata awak masuk
hospital disebabkan saya. Apa maksud dia cakap macam tu? Macamana awak boleh
cedera?” Soal Danira bertubi-tubi. Dia ingin tahu cerita sebenar
dari mulut Joshua. Melihat kesan-kesan lebam di wajah Joshua serta balutan
simen di kaki lelaki itu, hatinya jadi sayu.
Joshua terdiam. Dia mengeluh panjang
mendengar kata-kata Danira. Separuh hatinya terasa jengkel dengan sikap Evelyn
yang sengaja mahu membesar-besarkan cerita mengenai kecederaannya.
“Josh please, tolong terus terang dengan saya. Saya benar-benar
bimbangkan awak.” Rayu Danira tetap berdegil ingin tahu.
Joshua meneliti
raut wajah manis di hadapannya. Danira kelihatan bersungguh-sungguh ingin tahu.
Tapi apakah dia sendiri bersedia untuk bercerita kisah malam itu? Malam yang
membuatkan dia terlantar lemah tidak berdaya seperti sekarang ini?
“Saya kena pukul Nira.” Perkataan itu terkeluar juga dari mulutnya. “But I’m fine. Saya masih kuat.” Sambung Joshua sambil tersenyum
hambar. Kejutan di wajah Danira membuatkan dia serba-salah.
“Siapa yang pukul awak Josh?” Soal Danira dengan wajah
serius.
Joshua terdiam. Dia tidak mahu membicarakan tentang
lelaki-lelaki yang memukulnya. Semua itu tidak penting berbanding dengan Danira
yang muncul di hadapannya. Hampir dua minggu lamanya dia tidak bertemu gadis
itu, entah kenapa ada sekelumit rasa rindu singgah di lubuk hatinya. Kesakitan
yang dialaminya tidak seberapa berbanding rasa gembiranya sebaik bertemu gadis
itu.
“Josh..”
“Saya tak
apa-apa Nira. Sungguh!”
“Jangan nak
bohong. Beritahu saya hal sebenarnya. Betul ke awak kena pukul sebab saya?”
Soal Danira lagi. Bersungguh-sungguh dia mahu menyelongkar cerita yang berat
mahu dituturkan lelaki itu.
Joshua terdiam.
Dia termenung jauh mengenangkan peristiwa malam itu. Sebenarnya dia sendiri
tidak nampak jelas rupa lelaki-lelaki yang menyerangnya di hadapan bangunan
firma guamannya malam itu. Ketika itu dia baru hendak pulang ke rumah setelah
menyelesaikan sedikit kerja di pejabat.
Setelah teruk dia dibelasah, salah seorang lelaki
berbadan besar itu mencampakkan sesuatu ke mukanya. Beberapa duit yang
terikat dan masih baru dilontar ke arahnya.
“Ini duit yang bos aku kasi untuk
kau. Upah untuk
tugas kau membebaskan Danira. Lepas ni kau jangan jumpa lagi dengan perempuan tu, atau
aku takkan lepaskan kau. Lagi satu jangan cuba-cuba nak menyoal perempuan tua tu
lagi. Kau takkan dapat apa-apa dari dia.” Ugut lelaki berbadan besar itu.
Dia terkial-kial
cuba
bangun. Lebam dan bengkal-bengkil di seluruh mukanya menyukarkan dia mengecam
lelaki-lelaki yang menyerangnya.
“Kenapa? Kenapa aku tak boleh jumpa Danira? Siapa kamu
semua?” Dia bertanya dengan nafas tersekat-sekat.
“Siapa kami tak penting. Yang penting ialah kau jaga
nyawa kau sendiri. Danira kepunyaan bos aku. Kalau kau berani jumpa dia lagi, kerjaya
kau dan kawan-kawan kau akan musnah di tangan kami. Lagipun kau tentu tak mahu
jadi macam kawan kau yang mati katak tu kan ?”
Suara lelaki berbadan besar itu sinis. Di antara dua lelaki lain yang turut berada
di situ, lelaki berbadan besar itu seolah-olah mendominasikan keadaan.
Dia terpegun. Kata-kata terakhir lelaki itu membuatkan
dia terpinga-pinga. Nafasnya tersekat-sekat.
“Memang bukan
Danira yang bunuh dia bukan? Kau dan orang-orang kau yang bunuh dia!” Tuduhnya melulu.
Kata-katanya menimbulkan rasa tidak
puas hati lelaki berbadan besar itu. Apabila lelaki itu mengeluarkan sebatang
kayu hoki dari dalam perut van, dia sudah kecut perut. Wajah lelaki berbadan
besar itu bengis menatap ke arahnya. Dan sekali lagi bagaikan satu ulang
tayang, dia dibelasah lagi seperti tadi. Tak cukup dengan itu, lelaki itu memukul
kakinya dengan batang kayu hoki membuatkan dia meraung kesakitan.
Akibatnya tulang kakinya disahkan doktor patah dan perlu disimen. Mujurlah
seorang pengawal keselamatan bangunan itu yang bertugas shift malam menemuinya yang ditinggalkan nyawa-nyawa ikan. Jika
tidak, pasti dia takkan berpeluang lagi bertemu Danira.
“Nira, awak sebenarnya tahu siapa
yang bunuh dia kan?”
Kata-kata yang tercerna keluar dari
bibir Joshua membuatkan Danira tersentak. Dia memandang lelaki itu dengan dahi
berkerut. Tidak habis-habis lagikah soal siasat lelaki itu selama ini? Dia
sudah bosan mengulang perkara yang sama di hadapan Joshua.
“Kalau awak tahu, beritahulah saya Nira.”
Pujuk Joshua.
“Apa gunanya Josh? Saya kan dah bebas sekarang ni.” Balas Danira acuh
tak acuh.
Joshua terdiam. Betul juga! Apa gunanya dia mengenang
kisah lama? Apa yang sudah berlaku takkan mampu diundur lagi.
Belum sempat dia mahu mengatakan sesuatu, pintu bilik itu tiba-tiba terbuka
luas. Seorang
wanita separuh umur melangkah masuk diikuti Evelyn dari belakang.
“Mummy!” Joshua terkejut besar.
Danira turut
menoleh. Matanya bertingkah pandang dengan seorang wanita dalam lingkungan usia
pertengahan yang agak bergaya. Namun sorot mata wanita itu tajam memandang ke
arahnya. Dia mula berasa tidak enak untuk terus berada di situ lebih lama.
“So inilah perempuan yang Josh kejar-kejar tu?” Sinis nada
suara yang keluar dari bibir semerah delima itu.
“Mummy...” suara Joshua agak keberatan.
“Sebab tu Josh tak mahu ikut mummy berhijrah ke Canada ? Sebab perempuan
ni?” Soal Madam Jenny dengan suara meninggi.
Joshua terdiam. Dia menoleh ke arah Danira yang kelihatan
panik dengan kehadiran ibunya yang tak disangka-sangka. Dia sendiri hairan bagaimana
ibunya boleh tahu perihal Danira. Ini pasti kerja Evelyn, gumam Joshua kesal.
Pantas matanya dilarikan ke arah Evelyn yang terpaku di suatu sudut.
2 comments:
Je veux, il est facile de changer les couleurs de modèle; une zone de la galerie; calendrier et bien sûr la région de blogging devrait être facile à gérer / mettre à jour. Des noms et des liens serait grandement apprécié ..
Bila nak smbg..xsbr nak tahu kesudahannya n_n
Post a Comment