Followers

Friday, August 1, 2014

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 22


HISYAM melangkah pantas ke ruang lobi hotel, diiringi dua lelaki berpakaian kemas. Apabila sampai di hadapan lift di bahagian lobi, dia terus menaiki lift tersebut menuju ke suatu arah.

            Apabila sampai ke destinasi yang dituju, dia segera melewati deretan bilik-bilik tersebut sehinggalah dia sampai ke bilik yang paling hujung. Seorang lelaki bercermin mata hitam dan berkepala botak sudah menunggu di hadapan bilik tersebut.

            “Tuan,” sapa lelaki itu.

            Hisyam memandang lelaki itu acuh tak acuh. “Ching, dia dah sampai?”

            “Dekat satu jam yang lalu,” beritahu lelaki yang dipanggil Ching itu.

Hisyam tidak banyak soal, terus menolak daun pintu di hadapannya. Kedua-dua lelaki yang mengiringinya diarah supaya menunggu di luar bilik.

            Seorang wanita sedang berdiri membelakanginya tatkala dia memasuki bilik tersebut. Hisyam tersenyum lebar. Perlahan-lahan tubuh wanita itu dirangkul dari belakang. Wanita itu ketawa kecil seraya berpaling menghadap ke arahnya.

            “Kenapa you lambat?” Soal wanita itu dengan nada manja.

            Sorry sayang, I banyak kerja kat pejabat tadi. You tak marah kan?”         

Marini sekadar tergelak. Marah? Untuk apa dia marah pada hal-hal seremeh itu?

            “I datang ni sebab nak tahu tentang Ezara. You dah jalankan apa yang kita bincangkan hari itu?” Tanya wanita itu.

            Hisyam tidak terus menjawab. Perlahan-lahan tubuh wanita kecil molek itu dilepaskan. Dia menghadap ke arah jendela kaca yang terbuka luas, sebelum melemparkan pandangan ke luar jendela.

            “Syam…,” panggil Marini lembut. Sikap membisu lelaki itu membimbangkannya. Risau takut apa yang dihajati gagal dikecapi.

            “You asyik cakap fasal Ezara, tak habis-habis dengan Ezara. Kenapa tak cakap fasal kita aje?” Suara Hisyam bagaikan merajuk hati dengannya. Marini tersenyum simpul.

            Sorry sayang, I tahu you marah. Tapi I nak you faham, Ezara penting buat I. Buat kita.” Pujuknya dengan nada mesra. Hampir dua tahun dia bergelumang dengan permainan ini, dia tahu di mana sasarannya. Dia yakin lelaki di hadapannya itu mampu melaksanakan apa yang dimahukannya.

            “Jangan bimbang. Selagi Herman masih percaya seratus peratus pada I, Ezara sudah separuh dalam genggaman kita. Tapi kita kena tunggu masa yang sesuai.” Ujar  Hisyam dengan yakin.

            “Masa yang sesuai? Tapi bila? I dah lama menunggu Syam.” Keluh Marini.

            “Sabarlah. Dah dua tahun you menunggu, takkan you tak boleh bersabar sedikit masa lagi. Bersusah payah I bawa you masuk ke dalam Ezara, ke dalam dakapan Herman. Lambat laun, Ezara pasti jadi milik kita.” Hisyam ketawa besar. Dia yakin benar apa yang direncanakannya akan menemui kejayaan suatu hari nanti.

            Marini terdiam. Dia harap apa yang dikatakan lelaki itu bakal dikotakan. Dia sudah bosan menunggu. Sudah setahun lamanya dia menjadi isteri Datuk Herman. Semuanya dilakukan demi untuk membalas dendam. Tujuannya cuma satu. Dia ingin merampas Ezara milik Datuk Herman, untuk membalas perlakuan lelaki itu terhadap keluarganya suatu ketika dulu.

            Namun untuk menjalankan rancangannya bukan semudah yang disangkakannya. Kedatangannya untuk menghadiri sidang temuduga di Ezara Sdn Bhd dua tahun yang lalu, mempertemukan dia dengan Hisyam, lelaki licik merangkap peguam penasihat untuk Ezara. Ternyata helahnya untuk mendekati Datuk Herman, dapat dihidu oleh Hisyam dalam sekelip mata. Mulanya dia menyangka Hisyam akan membongkarkan rahsianya, sebaliknya pula lelaki itu membantunya.  Tapi dia tahu benar bantuan lelaki itu bukannya percuma.

            “Kenapa you nak tolong I? Bukankah Datuk Herman tu kawan rapat you?” Pernah dia bertanyakan soalan itu kepada lelaki itu. Dan sememangnya, dia mendambakan jawapan yang jujur dari lelaki itu.

            “Bagi I, istilah sahabat tidak pernah wujud dalam prinsip hidup I. Sesiapa yang I boleh gunakan atau yang mempunyai kepentingan, maka dialah sahabat I. I bukan tolong you sebenarnya, tapi I tolong diri I sendiri. You kena ingat itu baik-baik.” Ujar Hisyam tegas.

            Dia terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Mulanya timbul perasaan ragu-ragu dalam dirinya untuk bekerjasama dengan Hisyam. Bimbang jika lelaki itu mengenakannya dalam diam-diam. Namun kemaruk dendam yang menyala membuatkan dia berani mengambil risiko ini.

            Apa yang you cakap pada Herman tadi?” Soalan Hisyam mengejutkan Marini dari lamunan yang panjang. Dia tersedar seraya memandang lelaki itu.

            “Biasalah, I cakap I nak pergi spa. Don’t worry, Herman tak syak apa-apa.” Jawab Marini. Dia tahu lelaki itu sangat berhati-hati dengan apa yang sedang mereka lakukan.

            “Baguslah, I tak nak masa kita berdua terganggu,” bisik Hisyam seraya melirik penuh makna ke arah wanita itu.

Marini tersenyum simpul. Dia tahu maksud lelaki itu. Keinginan Hisyam adalah salah satu syarat utama lelaki itu membantunya. Sejak dari mula, dia rela membiarkan dirinya jatuh pada pelukan lelaki itu, asalkan hajatnya kesampaian.

            “I nak mandi dulu,” ujar Hisyam seraya melonggarkan butang kemejanya. Terkelip-kelip mata Marini memerhatikan gelagat lelaki itu. Apabila tubuh lelaki itu terdedah, mata Marini tidak dapat lari dari menatap parut panjang di pinggang Hisyam.

            “Mana you dapat parut tu?” Dia pernah bertanyakan Hisyam tentang perihal parut lelaki itu suatu ketika dulu. Hisyam acuh tak acuh sahaja memandangnya.

            “I kemalangan dulu.” Jawab lelaki itu selamba.

            “Macam kena pisau.” Komennya lagi.

Entah kenapa wajah lelaki itu berubah sebaik mendengar kata-katanya. Namun lelaki itu seolah-olah tidak berminat untuk bercerita panjang.

Dia termenung panjang. Mengenangkan parut itu, dia dihujani rasa ngeri. Entah mengapa, dia yakin apa yang dikatakan oleh lelaki itu satu pembohongan. Parut yang memanjang di pinggang kiri lelaki itu tidak ubah seperti parut tikaman pisau, dan bukannya kemalangan seperti yang dikatakan lelaki itu.

*  *  *  *

AIR dari pancuran shower menerjah ke seluruh tubuhnya. Hisyam berasa lebih lega dan segar. Dia berdiri di hadapan cermin besar, memerhatikan tubuhnya yang masih sasa meskipun usianya sudah menjangkau lewat 40an. Tubuhnya masih tegap. Perutnya pula rata, tidak seperti lelaki-lelaki seusianya yang lain. Wajahnya juga masih menarik perhatian sehingga ada yang menyangka dia masih di angka 30an.

            Ketika dia mahu membalikkan tubuh, matanya tiba-tiba singgah pada parut panjang di pinggang kirinya. Dia meraba-raba parut tersebut buat seketika. Ada cerita di sebalik parut tersebut yang cuba diselindungkan selama ini. Cerita yang harus ditutup untuk mengekalkan reputasi dirinya sebagai seorang ahli perniagaan dan peguam korporat. Dan dia terpaksa membayar kehidupannya sekarang ini dengan nilai yang bukan murah. Semuanya berbaloi dan setimpal! Kerana kedudukan dan kekayaan, menjual kawan atau saudara sendiri pun sanggup dilakukannya. Itu yang dipegangnya selama ini.

            “Kau akan menyesal dengan apa yang kau lakukan ini Syam. Kau akan terima balasan setimpalnya.“ Suara itu masih tergiang-giang, cuba mengugutnya.

            Dia tersenyum sinis. Balasan? Sudah lima belas tahun lamanya, tapi balasan yang dikatakan lelaki itu tidak pernah mengunjunginya. Sebaliknya hidupnya lebih mewah dari dulu. Memang hartanya berlipat kali ganda. Rumah, tanah dan semua aset-aset di atas namanya, lebih dari cukup untuk menampung hidupnya pada masa akan datang. Tapi anehnya dia tidak pernah merasa puas dengan semua itu. Sebaliknya dia sedang menjalankan satu rancangan baru.

Kali ini Datuk Herman dan syarikatnya menjadi sasaran barunya. Dengan adanya penglibatan Datin Marini, lebih mudah untuknya menjalankan rancangannya. Dia tahu wanita itu mempunyai dendam peribadi terhadap Datuk Herman. Maka dengan kepintarannya dia berjaya memanipulasi Datin Marini ke dalam genggamannya. Dan perempuan bodoh itu adalah salah satu buah caturnya untuk dia meneruskan rancangannya itu!

2 comments:

Unknown said...

macamaner nk beli novel?

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!