TUBUHNYA berdebu, pakaiannya kotor dan rambutnya menggerbang. Kakinya tidak
bersarung sepatu, sebaliknya tumitnya sudah pecah-pecah kerana banyak berjalan
tanpa hala tujuan.
Hatinya kosong,
sama seperti fikirannya yang terawang-awang. Dia melihat dunia tidak lagi sama seperti
dulu. Dunia yang penuh dengan cinta seperti kata ibunya. Dunia yang penuh
dengan kasih sayang. Dunia itu sudah musnah. Tiada lagi cinta terpaut di
hatinya. Tiada lagi kasih sayang di jiwanya. Dia hanya insan yang kehilangan
segala-galanya.
Nun jauh di
hadapannya, bunyi ombak mengganas singgah di gegendang telinga. Dia tertarik.
Seolah-olah suara ombak itu bagaikan bisikan ibunya yang asyik memanggilnya.
“Tunggu bu…..”
bisiknya. Matanya terpejam rapat. Wajah wanita itu terbayang-bayang di fikiran.
Senyuman wanita itu bagaikan penawar duka yang mahukan dia melupakan
segala-galanya.
Langkahnya
dihela perlahan. Tumitnya perlahan memijak hamparan pasir yang dingin. Namun
matanya hanya melurus ke hadapan. Ke arah imej ibunya yang sedang melambai-lambai
ke arahnya. Panggilan itu harus disahut. Ya, itu sahaja yang ada di fikirannya
saat ini. Dan bunyi ombak menghempas ke batu itu semakin lama semakin jelas
kedengarannya.
Apabila kakinya
dibasahi air, dia tunduk. Sedar tak sedar separuh kakinya sudah ditenggelami
air.
“Jangan takut
sayang, mari dekat ibu.” Suara itu terus memanggil.
Buat kali
terakhir dia menitiskan airmatanya. Dunia, selamat tinggal! Andai dunia ini
hanya memberinya derita, lebih baik dia tinggalkan sahaja derita itu. Ibu, aku
akan datang menemanimu! Tunggu aku!
*
* * *
JALAN yang berliku di hadapannya tetap diredah meski dalam keadaan hujan
lebat. Dia tidak peduli langsung pada lekuk-lekuk jalan yang sesekali menganggu
kelancaran motorsikal yang dipandunya. Saat ini dia lebih berminat mahu segera
sampai ke destinasinya. Dia mahu mengejar gadis itu sebelum semuanya sudah
terlambat lagi. Gadis itu harus menjelaskan segala-galanya padanya. Harus!
Nun jauh di
hadapan, perjalanannya terganggu oleh sorotan cahaya dari kenderaan di hadapan.
Hendak tak hendak dia terpaksa memperlahankan kelajuan motorsikalnya. Hujan
yang membasahi mukanya langsung tidak dipedulikan. Dia mengetuk cermin tingkap
kereta di sebelahnya. Lelaki yang menjadi pemandu Toyota Camry itu menurunkan
jendelanya.
“Kenapa sesak
kat depan bro? Ada apa?” Dia bertanya.
“Entah, rasanya
ada kemalangan agaknya. Tadi aku dengar ada kereta jatuh gaung. Itulah, dah
tahu hujan lebat macam ni, yang nak bawa kereta laju sangat tu kenapa? Kan tak
fasal-fasal menyusahkan orang lain.” Bebel lelaki itu seraya menggelengkan
kepalanya.
Dia melontarkan
pandangan ke suatu arah. Seperti ada suatu suara yang menyuruhnya meneruskan perjalanan.
Dia mahu melihat apa yang sedang berlaku. Ada kereta polis dan ambulan sudah
berada di tempat kejadian. Terdapat juga anggota penyelamat yang baru tiba. Dia
memerhatikan kawasan itu dan ternampak penghadang jalan yang kelihatan rosak
dirempuh kenderaan. Hatinya entah kenapa gusar.
“Adik, adik tak
boleh berada kat sini. Adik kena berpatah balik. Bahaya.” Tegur salah seorang
anggota polis yang menahannya.
“Ada apa ni
encik?” Tanyanya pada anggota polis bertubuh gempal itu.
“Ada kemalangan
yang membabitkan sebuah kenderaan. Kereta tu jatuh gaung lebih kurang sejam
tadi dan terbakar. Anggota bomba masih cuba memadamkan kebakaran tu.” Ujar
anggota polis tersebut.
“Kereta apa?”
“Ada saksi yang
nampak sebuah kereta Proton Preve berwarna hitam menjunam ke bawah. Pihak bomba
sedang melancarkan usaha-usaha menyelamat.” Jelas anggota polis tersebut.
Mendengar
Proton Preve disebut, hatinya serta-merta berdebar. Lagi-lagi Adriana juga memandu
Preve berwarna hitam.
“Kawan saya
juga memandu Preve berwarna hitam dan mungkin melalui jalan ini. Namanya
Adriana.” Ujarnya pada anggota polis tersebut.
Wajah anggota polis
itu tiba-tiba berubah. Tanpa sebarang suara, lelaki itu segera menyeluk saku
bajunya.
“Apa nama kawan
adik tu Adriana Imaniyah Binti Abdullah?” Soal lelaki itu.
Dia hanya
mengangguk disulami rasa cemas dan panik saling berbaur.
“Ya, macamana
encik tahu nama penuhnya?”
“Sebab ini yang
kami jumpa di kaki gaung tadi. Mungkin terjatuh dari kereta mangsa.” Ujar
lelaki itu lalu menunjukkan sekeping tag nama pelajar milik Adriana, lengkap
dengan gambar gadis itu sekali.
Melihat tag
nama tersebut, tubuhnya mengigil. Nafasnya menjadi tidak keruan. Ya ALLAH!
Adriana! Bunyi riuh rendah di kawasan itu seperti lenyap. Dia tidak mendengar
apa-apa lagi kecuali suatu suara.
“Nama saya
Adriana. Saya diupah oleh ayah awak untuk jadi tutor peribadi awak.”
“Like I care. I don’t need a tutor.”
“But I do care. Saya dah diupah, jadi
mulai hari ini suka atau tidak, awak dah jadi anak murid saya.”
“Adik?” Suara
anggota polis itu kedengaran lagi. Kali ini bernada cemas. Dan dia terus
terjelepuk lemah ke arah tanah, bermandikan air hujan dan airmata seiring. Ada
tangisan di sudut hati, harga untuk kekesalan yang dirasainya saat ini. Malam
ini dia kehilangan dua insan yang amat bererti dalam hidupnya. Segala-galanya
seperti kelam.
Adriana! Aku benci kau! Kau patut jelaskan pada aku
kenapa semua ini berlaku? Aku takkan izinkan kau mati sebelum kau jelaskan
semuanya. Kau patut hidup supaya aku boleh balas dendam! Aku benci kau Adriana!
Jiwanya menjerit dalam kepayahan.
*
* * *
DIA menaiki tongkang jam 2 pagi itu, menuju ke suatu destinasi yang
agak jauh. Pakaiannya tidak banyak hanya yang bersarung di tubuhnya sahaja.
Pakaian yang dikenakannya agak kotor dan compang camping tetapi dia sedikit pun
tidak peduli. Matanya asyik mengawasi beg sandang yang dipegangnya sahaja.
“Ini duit 1
juta seperti yang dijanjikan. Bos nak kau tinggalkan tempat ni sementara
keadaan reda. Jangan muncul kat sini lagi dalam beberapa tahun ni. Pergi ke
Macau dan duduk senyap kat situ. Kalau ada kerja baru, bos akan panggil kau
balik.” Ujar lelaki itu semasa menyerahkan beg sandang yang penuh berisi wang
itu.
Dia tersenyum
senang. Kelam malam di hadapannya dipandang dengan riak wajah tajam. Sengihannya semakin lebar sebaik dia
teringat dendamnya yang sudah terbalas. Malam ini dia sudah bunuh 4 orang dan
dia takkan teragak-agak lagi melakukannya. Meskipun tanpa wang ini, dia tetap
akan melakukannya. Orang-orang yang telah memporak perandakan hidupnya, satu
persatu akan dicincang lumat. Inilah padah kerana mencari fasal dengannya!
Ketawanya
bergema kuat, seiring dengan bunyi kuat tongkang yang sedang membelah ombak.
Malam ini dia akan tinggalkan tempat ini buat sementara. Tapi dia akan kembali!
Dia masih punya seorang anak lelaki yang terpaksa ditinggalkannya. Suatu hari
nanti dia akan kembali bertemu dengan anak itu semula!
No comments:
Post a Comment