Followers

Thursday, October 25, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 13


            WIRDA menghabiskan masa sendirian berkurung di sebuah apartmen di kawasan bukit tinggi di Bangsar. Sejak dia balik dari bertemu Filman tadi, dia terus mengunci diri dalam kamar apartmennya. Perasaannya entah kenapa berat. Bagaikan ada sebiji batu besar sedang menghempap seluruh jiwa dan perasaannya ketika ini. Kata-kata Filman padanya benar-benar melukakan hatinya.

            “Kenapa Wirda ke mari?” Soal Filman dingin.

            “Salah ke Wirda balik jumpa Fil? Jumpa anak kita?”

            “Setelah lima tahun baru nak tunjuk muka?”

            Dia terdiam seketika. Kata-kata Filman bagaikan memerlinya.

            “Wirda rindukan Melly, Fil.”

            Thanks to you, dia tak pernah ingat rupa mamanya. Wirda sangka, setelah Wirda lepaskan semuanya lima tahun dahulu, dan kini senang-senang Wirda balik ke mari seolah-olah tak ada apa yang berlaku?” Soal Filman serius.

            Persoalan demi persoalan yang dibangkitkan oleh Filman membuatkan dia merasa dirinya seperti dihujani panah beracun. Setiap satu panahan menikam tepat di jantungnya. Lukanya terasa sakit dan perit, sama seperti apa yang dirasakannya enam tahun yang lalu sewaktu dia dibawa ayahnya Tengku Hussain ke bilik pemeriksa perubatan.

            “Kenapa kita kat sini babah?” Tanyanya ingin tahu.

            Tengku Hussain tidak menjawab. Namun lengannya dipaut lelaki itu memasuki sebuah bilik. Di muka pintu, matanya menangkap kelibat tubuh Tengku Amar. Lelaki itu sedang ditenangkan oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali. Ada di antaranya yang berpakaian seragam polis.

            Dahinya berkerut menatap lesu yang terpapar pada wajah lelaki itu. Sejurus kemudian, pandangannya dialihkan. Di ruang tengah bilik itu, terdapat sekujur tubuh terlentang di atas troli dilindungi sehelai kain penutup. Sebelah tangan terjulur keluar dari celah-celah kain penutup tersebut.

Dia mengerling wajah si ayah dengan pandangan keliru. Tengku Hussain hanya memandangnya serba-salah.

            “Siapa yang meninggal tu babah?” Soalnya dengan nada curiga. Perasaan hairan mula bertapak di jiwa, disertai rasa resah yang tiba-tiba mengulit diri.

            “Wirda, dengar cakap babah ni baik-baik. Wirda kena tabah sayang. Wirda kena banyak bersabar dan anggap perkara ni sebagai ujian tuhan untuk kita.” Ujar Tengku Hussain seraya memegang kedua-dua belah bahunya. Namun anak matanya langsung tidak mampu berkalih dari mayat yang terbujur kaku di hadapannya.

            “Kenapa babah cakap macam ni? Siapa yang meninggal tu babah?” Ulangnya kian gelisah. Entah kenapa kehadiran Tengku Amar tambah mengusutkan fikirannya. Dia tahu ada sesuatu yang buruk sedang berlaku. Nalurinya dapat merasakan sesuatu, tapi untuk membuat andaian, dia benar-benar tidak mampu. Bimbang apa yang dirasakannya saat ini benar-benar berita buruk yang ingin dielakkannya.

            “Wirda, Firdaus sudah meninggal.” Bisik ayahnya dengan wajah simpati.

            Dia tersentak. Kata-kata lelaki itu bagai angin semilir merasuk ke hati. Tubuhnya bergetar mendengar nama itu disebut. Dia melemparkan pandangan tajam ke arah Tengku Hussain.

            “Apa babah merepek ni?” Soalnya dengan suara meninggi.

            Dia melihat mata ayahnya beredar ke arah Tengku Amar. Kedua-duanya saling memandang bagai sedang berkongsi rahsia. Sejurus mata Tengku Amar beralih pula ke wajahnya. Renungan lelaki itu tampak sayu.

            “Wirda, babah cakap betul. Firdaus dah tak ada lagi sayang. Dia dah tinggalkan kita.” Bisik Tengku Hussain lagi.

            Dia menggeleng. Tak mungkin! Lelaki itu tak mungkin sudah mati! Mereka sudah berjanji untuk bertemu malam ini dan menyambut anniversary percintaan mereka. Firdaus takkkan sesekali mungkir janji!

            “Tak! Babah bohong!” Dia bagai hilang pedoman diri.

            “Wirda..”

            “Orang tu tak mungkin Fir. Dia tak mungkin tinggalkan Wirda macam tu aje.” Usai berkata demikian, dia terus meluru ke arah troli di hadapannya. Kain penutup mayat segera dirungkai menyerlahkan seraut wajah yang kelihatan tenang biarpun berlumuran darah. Wajahnya terbeliak, membayangkan kejutan yang tak diduga.Tubuhnya hampir terjelupuk. Mujurlah ayahnya sempat menyambutnya.

            “Wirda…” keluhan Tengku Hussain berlanjutan. Namun dia sudah tidak mampu berkata apa-apa. Dia mengongoi bagai anak kecil. Hilang semua bahagia yang dirasakannya dalam sekelip mata, bila matanya terpandang wajah lelaki itu. Lelaki yang dicintainya sejak lima belas tahun yang lalu.

            Wirda mengesat air mata yang berpupuk di birai mata. Enam tahun lamanya  dia menangisi pemergian lelaki itu. Meratap duka sekeping hatinya yang tercalar kerana kehilangan cinta. Namun yang ditemukan kembali hanyalah kenangan yang tidak pernah pudar. Dan kerana itulah dia merasa berdosa pada Filman. Lelaki itu seorang yang baik. Yang memahami sebahagian dari dirinya, meskipun dia tidak pernah mengharapkan begitu. Yang sanggup menerima dirinya seadanya meskipun dia insan yang berdosa! Fil! Maafkan aku!

            “Kalau Wirda nak bawa Melly ke Milan, lupakan saja. Tapi kalau Wirda nak jenguk dia, datang aje kat rumah. Fil tak sangka Wirda masih boleh ingat jalan ke mari.”

            Sindiran itu menusuk ke sanubarinya. Dia masih terkesan dengan layanan Filman padanya. Selama ini Filman tidak pernah berkasar padanya. Tidak walaupun sekali! Namun kali ini Filman benar-benar tidak sudi menyerahkan Melia dalam jagaannya walaupun sebentar. Takut benar lelaki itu dia membawa lari Melia ke Milan. Dan bagaimana dengan aku? Sampai bila aku dan Melly akan hidup terpisah begini? Melly! Mama rindukan Melly! Mama bukan bermaksud mahu meninggalkan Melly. Tapi mama terpaksa tinggalkan tempat ini lima tahun yang lalu. Ketika itu fikiran mama terlalu kusut. Mama takut jika mama tak tinggalkan tempat ini, maka mama akan jadi gila memikirkan semua kesilapan yang mama lakukan pada papa Melly. Maafkan mama Melly! Bisik Wirda seraya mengesat tubir matanya yang bergenang air jernih.

1 comment:

Unknown said...

akak suke andai filman ngan danira di pertemu n perjodoh kan..biar lah wirda jadi kisah silam wat filman!!!

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!