Followers

Wednesday, March 10, 2010

Sayangku Casper : Bab 20

“KITA tak tahu itu. Mungkin dia bukan orang yang kita cari.” Bantah Davian ketika mereka minum di kafeteria di kawasan kampus. Lelaki itu begitu asyik menikmati teh tarik di hadapannya.

Dia hanya diam. Tidak berminat mahu mengulas kata-kata Davian. Saat itu fikirannya bertebar jauh terkenangkan Tia Adila. Apakah gadis itu sememangnya gadis yang dicari-carinya sejak seminggu yang lalu? Atau Tia Adila hanyalah Tia Adila yang tidak pernah ada kena mengena dengan keluarga Casper yang terkenal memiliki maison couture milik mereka sendiri. Sebuah Fashion House yang diberi jolokan Fleur de Casper di kota Paris. Fleur bermakna sekuntum bunga, merujuk kepada anak perempuan granny yang sudah meninggal dunia belasan tahun yang lalu.

“Rafique, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?’ Bunyi jentikan jari Davian menyedarkan Rafique. Dia menoleh dengan wajah bingung.

“Bagaimana kalau memang dia gadis yang kita cari?” Soal Rafique keliru.

Davian terdiam. Seketika kemudian, Davian tersengih.

“Maksud kau, itu gadis yang kita cari?” Davian menjuihkan bibirnya. Rafique menoleh. Dari mejanya dia melihat kelibat Tia menuju ke suatu arah sambil memegang dulang makanannya. Wajah gadis itu berminyak-minyak dan hanya mengenakan T-shirt dan jeans.

“Raf, tengok dia betul-betul. Kau nak kata gadis itu benar-benar cucu Marianne de Casper? Even granny yang dah berumur 70 tahun tu pun nampak lebih anggun dari gadis itu yang benar-benar outdated. Come on, aku tak fikir dialah Adelie yang kita cari tu.” Ujar Davian lagi cuba menyakinkan temannya. Menggeleng kepalanya melihat Tia yang kelihatan selekah.

Rafique merenung gadis di hadapannya dengan wajah serius. Tia sudah pun menempati sebuah meja kosong tidak jauh dari situ. Rafique tiba-tiba bingkas bangun. Davian tercengang.

“Raf, nak pergi mana tu?” Soal Davian ingin tahu.

“Kejap, aku nak jumpa dia kejap.” Sahut Rafique lalu melangkah ke arah Tia. Tapi belum sempat dia mahu mendekati gadis itu, tiba-tiba seorang gadis bertubuh besar lewat di hadapannya lalu menepuk bahu Tia agak kuat. Tia yang sedang mengigit sebiji epal terkejut besar menyebabkan epal yang separuh digigit melantun ke arah dahi Rafique.

“Ouch!” Davian menutup mulut. Tergaman melihat Rafique yang sudah pun melencong dari situ sambil memegang kepalanya dengan dahi berkerut. Namun lelaki itu tidak pergi jauh dari Tia, hanya menempati sebuah bangku kosong membelakangi gadis itu.

“Hei Tia, apasal kau beritahu Doktor Syarif, kau yang buat assigment EIA aku tu?” Jerkah Karin dengan wajah cemberut. Tajam matanya merenung ke arah Tia yang sedang mengurut dada. Terkejut mendengar jerkahan yang seperti singa lapar.

“Mana ada Tia bagitahu kak. Sumpah Tia tak bagitahu apa-apa pun.” Nafi Tia.

“Habis? Mana dia tahu assigment tu kau yang punya?” Karin masih belum puas melempiaskan marahnya.

“Manalah Tia tahu. Hari tu kakak yang minta assigment Tia. Tia dah kata Doktor Syarif tu tegas orangnya tapi kakak tak nak dengar. Kakak nak juga ambil assigment Tia tu dan tiru bulat-bulat.” Keluh Tia. Sudah puas dia cuba mengingatkan Karin waktu itu, tapi kalau dah namanya otak duduk di kepala lutut, cakap apa pun dah tak berguna.

“Oh kau nak salahkan aku pulak ya? Nanti kau!” Tak disangka-sangka Karin mengambil coke di hadapan Tia lalu disimbah ke arah gadis itu. Tia tergaman. Satu kafeteria ikut tergaman melihat peristiwa itu, termasuklah Rafique dan Davian yang turut terlongo melihat gadis gempal itu mengganas.

“Puas hati aku! Padan muka kau!” Karin ketawa terbahak-bahak lalu beredar. Nada suaranya ketawa setinggi 5 oktaf, tahap pencapaian terbaik Siti Nurhaliza. Langsung dia tidak tahu malu menjadi perhatian pelajar-pelajar lain.

Tia mengesat mukanya yang sudah basah dengan coke. Meskipun dia malu dirinya menjadi perhatian ramai, namun dia cuba berlagak selamba. Salah satu kepakarannya yang menjadi dinding dirinya dari dilukai orang-orang seperti Karin dan ibu tirinya Halijah.

Sedang dia sibuk mengesat wajahnya, sehelai saputangan tiba-tiba disua ke arahnya. Tia mengangkat wajah. Melihat Rafique berada di hadapannya sambil merenung ke arahnya, dia cepat-cepat tersenyum.

“Eh awak tak balik lagi? Macamana dengan urusan awak? Dah selesai? Cakap saya betul kan? Blast mesti boleh tolong awak punya.”

“Ya, Blast dah banyak tolong saya.” Jawab Rafique.

“Blast memang genius. Tak rugi saya perkenalkan dia pada awak.”

“Ya, dia memang genius.” Rafique masih jua mengangguk sambil matanya tak berganjak dari wajah Tia yang seperti adunan air kacang soya yang dicampur lai ci kang.

“Siapa yang awak nak cari tu? Dah jumpa dia? Saya kenal dia?” Tia masih belum puas bertanya.

“Mungkin.” Jawab Rafique.

“Baguslah tu, kerja awak selesai, kerja saya pun dah selesai. Kejap lagi saya nak balik. Ingat nak makan sekejap sebelum balik, tapi sekarang saya dah tak lapar lagi. Baik saya balik dulu.” Tia segera bingkas bangun dari mejanya, tapi Rafique menahan. Tia tergaman.

“Boleh saya tahu siapa perempuan gempal yang buat awak macam ni?” Soal Rafique ingin tahu.

Tia terdiam. Dia serba-salah mahu memberitahu. Meskipun hubungannya dengan Karin tidak pernah baik, tapi dia masih tidak sanggup bercerita yang buruk-buruk tentang Karin.

“Melampau betul dia tu? Siapa dia tu?” Entah kenapa Rafique marah-marah. Geram dengan sikap Tia yang hanya tahu berdiam diri.

“Kakak saya.” Jawab Tia perlahan.

Rafique tercengang. Kakak? Amboi berbezanya saiz!

“Takkan kakak awak boleh buat awak sampai macam ni? Memalukan orang di khalayak ramai dah kira satu penghinaan tau. Boleh kena saman!”

Tia menoleh. Tersenyum-senyum memandang lelaki itu. Nak saman Karin? Nak guna apa buat upah peguam? Air liur?

“Kenapa awak senyum?” Rafique membuntangkan biji matanya ke arah Tia. Hairan melihat senyuman gadis itu yang meleweh ke arahnya.

“Takde, cuma kelakar je.”

“Fasal?”

“Kelakar sebab saya yang dimalukan, tapi awak pulak yang marah-marah.”

Rafique terdiam. Kata-kata Tia disambut dengan kerutan di dahi.

“Awak pelik.” Ujar Rafique.

“Pelik macamana?” Tia tercengang. Pelik macam makhluk asing dalam cerita Man In Black atau sepelik ayam jantan yang tak ada taji seperti yang dilihatnya dalam berita di televisyen baru-baru ini?

“Orang simbah air kat awak, tapi awak relaks je. Kalau saya, dah lama saya tumbuk orang tu.” Keluh Rafique seraya menggelengkan kepalanya. Kesal dengan sikap Tia yang terlalu beralah. Tia sekadar tersenyum.

“Sebenarnya saya teringin jugak nak tumbuk kakak saya tu, tapi nanti kalau dia mengadu kat mak tiri saya, siapa yang susah? Saya juga yang susah. Nanti kalau dia mengadu kat ayah saya, ayah saya lagi susah. Saya tak nak susahkan hati ayah saya, Rafique.” Tia berterus terang kali ini.

Rafique terdiam. Bicara gadis itu membuatkan kerutan di dahinya bertambah lebar.“Jadi perempuan tadi tu kakak tiri awak?”

Tia mengangguk.

“Mak awak?”

“Dah meninggal.” Jawab Tia ringkas. Dia tidak mahu memanjangkan kisah ibunya, kerana bimbang hatinya jadi sayu teringatkan arwah ibunya.

Rafique termenung panjang. Sekurang-kurangnya dia tahu serba sedikit tentang gadis di hadapannya. Meskipun dia masih ragu-ragu dengan ujian yang dilakukan oleh Blast di makmal sempitnya, namun dia tidak mahu membuat kesimpulan melulu. Dia akan terus menyiasat siapa gadis itu. Apakah Tia Adila benar-benar Adelie de Casper yang terpisah ribuan batu dari keluarganya?

1 comment:

agent_sesat said...

eeii..makin lama makin best...huarghh... :)

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!