ADRIANA melangkah masuk agak longlai. Dia berpapas pandang dengan seorang
gadis muda di ruang tamu yang segera menoleh ke arahnya. Hendak tak hendak
bibirnya segera melemparkan senyuman untuk gadis itu.
“Mimi, mak
kakak mana?” Tanyanya pada anak gadis berusia belasan tahun itu.
“Dia dah tidur.
Mimi dah bagi makcik makan tadi.”
“Dia tak
meragam?”
“Tak adalah
kak, makcik tu mana pernah meragam. Dia duduk elok-elok aje masa Mimi suapkan
dia.” Ujar Mimi.
“Lega kakak
dengar. Tak apalah, Mimi baliklah dulu. Nanti risau pula ayah dan mak Mimi tu.”
Suruh Adriana.
Mimi hanya
mengangguk. Dia bersalaman dengan Adriana sebelum keluar.
Adriana yang
teringatkan sesuatu segera mengejar anak gadis itu ke luar.
“Mimi sekejap.”
Dia menahan. Tiga not RM50 dikeluarkan dari poket seluarnya.
“Kakak lupa
yang kakak belum bayar lagi upah Mimi bulan ni. Nah, ini untuk Mimi.” Ujar
Adriana menyerahkan wang berjumlah RM150 itu.
Mimi
teragak-agak mahu mengambilnya. Dia tahu Adriana sendiri kesempitan wang sejak
akhir-akhir ini.
“Tapi kak..”
“Tak ada
tapi-tapi lagi. Mimi ambillah. Kakak tak mahu berhutang pada sesiapa, lagi-lagi
pada Mimi sebab Mimi yang tolong jaga mak kakak selama ini. Kalau tak ada Mimi,
susah kakak.” Ujar Adriana berterus-terang.
“Kak, jangan
cakap macam tu. Mimi sayangkan makcik, sebab tu Mimi tak kisah. Masa Mimi kecil
dulu, kalau ayah kerja dan mak pula nak ke mana-mana, makcik yang tolong jaga
Mimi. Sekarang bila makcik jadi macam tu, dah memang jadi tugas Mimi pula bantu
kakak.” Ujar Mimi sebak.
Adriana
mengangguk. Dia tahu gadis itu baik hati. Meskipun sudah tidak bersekolah sejak
2 tahun yang lalu, tapi anak gadis itu tidak pandai berpeleseran di luar
seperti gadis-gadis lain. Malah sanggup pula membantunya menjenguk ibunya jika
dia tidak ada di rumah. Pakcik Mail dan Makcik Timah memang pandai didik anak!
Bisik hati kecil Adriana.
“Kakak tahu
Mimi memang baik, selalu tolong kakak jaga mak kakak. Sebab tu Mimi kena ambil
duit ni. Jangan buat kakak serba-salah.” Pujuk Adriana. Melihat gadis itu mahu
juga menyambut wang yang dihulurkannya, dia segera jadi lega.
Usai gadis itu
pulang, Adriana segera menjenguk ibunya di kamar.
Wanita itu
sedang tidur di atas katil kecil di bilik itu. Adriana duduk di birai katil,
merenung wajah polos si ibu yang kelihatan tenang. Keadaan ibunya dari dulu sehingga
sekarang, langsung tidak ada apa-apa perubahan. Malah ibunya seperti tidak
mengenali dia dan Anas.
Maafkan Rian
mak. Sebab Rian, mak jadi macam ni! Bisik Adriana sedih. Dua tahun dia belajar
untuk memaafkan dirinya sendiri, tapi sepertinya ia tidak mungkin dapat
dilakukan.
Peristiwa malam
itu meskipun sudah lama berlalu tapi masih menghantui hidupnya. Tak mungkin dia
dapat melupakan peristiwa hitam itu. Ia seumpama parut yang akan kekal dalam
hidupnya sampai bila-bila pun.
Dua tahun yang
lalu, sama seperti malam-malam sebelumnya, dia dibelasah teruk oleh ayahnya.
Dia tidak tahu kenapa asyik-asyik dia yang menjadi mangsa kemarahan ayahnya.
Lelaki itu tidak pernah menyayanginya. Lelaki itu hanya sayangkan Anas seorang.
Di depan Anas, ayahnya seorang lelaki yang penyayang. Berbeza sekali di
hadapannya. Kerana itu dalam memori Anas, ayahnya lelaki yang baik. Ayahnya
lelaki yang penyayang. Sedangkan hanya dia dan ibunya sahaja yang menyedari
siapa lelaki bernama Abdullah bin Seman itu.
Bila ayahnya memukul dirinya bertalu-talu, dia masih
boleh menerimanya. Boleh menahan setiap perit dari balunan tali pinggang lelaki
itu. Tapi bila ibunya cuba menghalang dan ayahnya naik darah lalu memukul
ibunya bertalu-talu, dia sudah tidak mampu bersabar lalu berlari mencapai
sebilah pisau.
Lelaki itu
hanya ketawa melihatnya mengacah-acah pisau dapur itu dengan tangan
terketar-ketar.
“Kau takkan berani nak tikam aku dengan pisau tu Rian.
Kau tu anak aku, faham?”
“Rian bukan anak ayah. Rian tak ada ayah jahat macam ni.”Herdiknya
bersama esak tangis. Sesekali dia menjeling ibunya yang terbaring di atas
lantai tidak bergerak-gerak. Mulut ibunya berbusa dengan darah akibat ditendang
dan ditempeleng berkali-kali.
“Aku jahat?” Ketawa itu bergema lagi. Sinis nadanya.
“Hei budak, kalau bapak kau ni jahat, perempuan atas
lantai tu pun bukan perempuan baik. Dia pelacur yang aku kutip buat bini.”
Jerkah ayahnya seraya menuding ke arah ibunya yang tidak sedarkan diri.
Dia tersentak. Hancur luluh hatinya mendengar penghinaan
sebegitu dilemparkan seorang suami pada seorang isteri. Sampai hati ayahnya!
“Kalau kami ni sama-sama jahat, jangan ingat kau tu baik
sangat. Suatu hari nanti, kau juga akan jadi raksasa macam aku Rian. Mungkin
lebih jahat lagi.” Derai ketawa lelaki itu terus melumatkan hatinya yang semakin
hancur.
“Diam!” Dia menjerit seperti orang gila. Enggan
mendengar cercaan lelaki itu lagi. Dia memandang sayu ke arah ibunya yang tidak
bergerak-gerak sedari tadi.
Melihat peluang yang datang bergolek, lelaki itu mencuba
nasib lalu tiba-tiba menerkam ke arahnya. Dia terperanjat lalu mereka bergelut.
Ayahnya cuba merampas pisau di tangannya. Namun dia sudah nekad untuk melawan
sebelum dia dan ibunya mati malam itu. Dan semua itu berlaku agak pantas tanpa
disedari.
Beberapa saat
berlalu, wajah ayahnya tiba-tiba terbeliak. Mulut ayahnya berbusa dengan darah.
Dia terketar-ketar memandang tangannya sendiri yang berlumuran darah.
“Kau….k..kau anak tak g..guna.” Suara itu memaki tetapi
kedengaran lemah. Dan tanpa sebarang amaran, lelaki itu tersembam jatuh di
hadapannya. Dia semakin takut. Ya ALLAH! Apa aku dah buat ni? Tidak jauh dari
lelaki itu, tubuh ibunya sudah bergerak-gerak.
“Ri…Rian.” Suara ibunya lemah. Namun dia langsung tidak
berupaya mahu menyahutnya. Mulutnya langsung terkunci. Dia memeluk kedua-dua
lututnya sambil mengigil.
Adriana menekup wajahnya. Tangisan yang cuba ditahan
terhambur jua. Apa yang berlaku dua tahun yang lalu masih menghantuinya. Dia
tidak sengaja melakukannya. Malah dia hampir jadi gila memikirkan akibat dari
tindakannya. Dan malam itu dia tidak tahu pada siapa lagi dia boleh meminta
bantuan, kecuali Yasmin. Wanita itu datang bersama dua orang lelaki yang
menjadi orang suruhan. Dan apabila ayahnya dibawa pergi, itulah kali dia
terakhir dia melihat lelaki itu. Menurut Yasmin ayahnya sudah meninggal dunia
ketika dibawa pergi dari rumahnya.
“Ingat cakap kakak ni Rian, jangan beritahu sesiapa hal
ni. Kalau Rian tak nak masuk penjara, kunci mulut tu baik-baik.” Kata-kata
Yasmin dua tahun yang lalu masih segar di fikiran.
“Rian dah jadi
pembunuh kak.”
“Kau tak sengaja.
Ingat tu baik-baik. Ayah kau nak rogol kau, kau pertahankan diri kau dari dia
dan kau terpaksa tikam dia untuk selamatkan diri.”
“Tapi bukan
begitu sebenarnya..”
“Stop it Rian. Kalau hal ni terbongkar,
ini cerita yang akan kau pegang sampai mati. Kau faham tak?”
Perlahan-lahan
dia berpaling ke arah ibunya. Hatinya diruntun sayu. Maafkan Rian mak! Rian
benar-benar tak sengaja malam itu. Rian tahu mak trauma dengan kejadian malam
itu. Itu sebab mak tak ingat siapa Rian, mak tak mampu bercakap lagi. Kalaulah
dengan jadi begini, mak boleh lupakan kepahitan yang pernah kita harungi, Rian
rela mak tak sembuh sampai bila-bila pun. Rian tahu mak benci Rian. Mak tak
perlu ingat Rian dalam hati mak, cukuplah mak ingat Anas sahaja. Sentiasa ingat
dia dalam hati mak! Bisik Adriana seraya memegang tangan wanita itu lalu
dikucup perlahan bersama cucuran airmata membasahi pipi.
No comments:
Post a Comment