ADRIANA membuang pandang ke luar kereta. Langsung tidak berkutik sedari
tadi. Sesekali Yasmin menoleh ke arah gadis di sampingnya. Diam sahaja ni
kenapa pulak? Masih risaukan hal tadi barangkali! Fikir Yasmin.
“Kau fikir
fasal Mirza ke?” Tanya Yasmin tersengih.
Adrina
terpisat-pisat. Nama Adham Mirza semakin alergik buat dirinya. Sebal dia setiap
kali memikirkan budak kaya sombong itu.
“Jangan
kisahkan dia. Dia tu memang macam tu. Bercakap ikut suka dia aje. Kau kena kuat
untuk hadapi budak macam tu.” Nasihat Yasmin.
Adriana melirik
ke arah wanita itu. Selamba sahaja wanita itu menasihatinya, walhal wanita itu
pun bukan boleh dipercayai sangat.
“Lagi satu
kakak nak pesan kat kau Rian. Jangan dilayan sangat Tuan Fahrin tu. Tugas kau
cuma mengajar Mirza, itu sahaja. Kalau Tuan Fahrin ajak kau ke mana-mana, tolak
sahaja pelawaan dia. Faham?”
Adriana ketawa
kecil. Lucu mendengar bicara Yasmin kali ini.
“Yang kau
ketawa ni kenapa? Salah kakak cakap?” Yasmin melirik tajam.
“Kenapa? Kak
Yas cemburukan Rian? Takut Rian pikat buah hati Kak Yas tu?” Adriana memulang
paku buah keras.
Yasmin terdiam.
“Kalau Kak Yas
cemburu, kenapa cari Rian?”
“Sebab kakak
tahu kau perlukan duit. Kebetulan Tuan Fahrin nak cari tutor untuk anaknya.”
Ujar Yasmin dengan suara mendatar.
“Kita berdua
tahu bukan itu sebab sebenarnya kan? Rian ni cuma alat Kak Yas untuk agenda
terancang Kak Yas tu. Apa yang Kak Yas rancangkan sebenarnya? Pikat Tuan Fahrin
atau tipu duit dia?” Sindir Adriana.
Yasmin mengetap
bibir. Mulut perempuan ni semakin lancang dari hari ke sehari. Kalau dahulu,
Adriana tahu juga takut setiap kali berhadapan dengannya. Tapi selepas apa yang
terjadi 2 tahun lalu, entah mana datangnya keberanian anak gadis itu. Tapi apa
pun, itulah yang membuatkan dia suka pada Adriana. Gadis itu mengingatkan
dirinya pada masa lalunya.
Dahulu dia juga gadis naif seperti Adriana. Sepanjang
hidupnya dia lurus seperti sudip. Hanya tahu mengalah dan menangis. Tapi
pengalaman hidup membuatkan dia terjebak dalam dunia baru. Kalau bukan kerana
masa silamnya yang kelam, belum tentu dia akan jadi sekuat seperti sekarang.
Dahulu dia hanya Yasmin, gadis miskin yang ibunya seorang pembantu rumah. Tapi
sekarang dia adalah hostess untuk
golongan kaya dan berpengaruh. Malah dengan usahanya selama beberapa tahun, dia
memiliki pengaruh dalam rangkaian kelab-kelab malam, malah mempunyai saham
dalam beberapa buah syarikat yang kukuh dalam Bursa Saham. Kenalan-kenalannya
adalah mereka yang berstatus. Dia mempunyai aset dan harta yang cukup banyak
dalam bentuk rumah, hartanah dan wang tunai. Dan dengan wajah cantik yang
dimilikinya, dia mampu mendapatkan apa sahaja yang diidamkannya. Duit, bukan
satu-satunya benda yang dimahukannya pada Fahrin Attar. Bukan!
“Buat sahaja kerja kau Rian. Jangan campur urusan kakak
dengan Tuan Fahrin. Kakak dah cakap dengan kau bukan, tujuan kau datang ke
rumah tu bukan untuk memikat sesiapa atau menyerahkan kehormatan diri. Tujuan
kau datang sebab Adham Mirza. Tuan Fahrin mahu dia berjaya dalam peperiksaannya
tahun ini. Itu syarat utama untuk dia ke luar negara tahun depan.” Ujar Yasmin.
“Dan sejak bila kakak ambil berat fasal pelajaran
seseorang?” Getus Adriana sinis.
Yasmin merenung tajam. Dia tahu Adriana sengaja mahu
mencabar kesabarannya. Dia mahu bersuara, tetapi panggilan telefon yang
diterimanya membuatkan dia terpaksa menjawab panggilan tersebut dahulu.
Beberapa saat berlalu, wajahnya berubah keruh.
“Teruk ke keadaan dia?”
Diam.
“Baik, kau suruh dia tunggu aku kat situ. Jangan ke
mana-mana.”
Yasmin memutuskan panggilan telefonnya. Wajahnya
berkerut. Adriana di samping wanita itu tertanya-tanya. Kenapa agaknya?
“Jojo, kita ke Espionage Hill sekarang.” Ujar Yasmin
pada pemandunya.
“Ada apa-apa yang tak kena ke Kak Yas?” Tanya Jojo.
Yasmin hanya diam. Mulut tidak berbicara, tapi hatinya
sebenarnya risau. Dia berpaling ke arah Adriana yang kelihatan tertanya-tanya.
Niat hati mahu menghantar Adriana pulang, tapi hal yang tiba-tiba muncul
mendadak membuatkan dia terpaksa menguruskan dahulu hal ini.
“Sorry, kau
kena ikut kakak sekejap. Kakak ada hal.” Ujar Yasmin dengan wajah serius.
Adriana mahu bertanya, tapi melihat wajah wanita itu
keruh semacam, dia terpaksa mendiamkan dirinya. Namun dia kesal juga kerana
bersetuju mengikut Yasmin tadi. Sepatutnya dia pulang dengan menaiki teksi atau
bas sahaja!
*
* * *
PINTU di hadapan mereka terbuka, menyerlahkan seraut wajah yang kelihatan
cemas memandang ke arah mereka. Yasmin melangkah masuk, sedang dia hanya mampu
terpaku di hadapan pintu. Hatinya ragu-ragu mahu melangkah masuk ke rumah orang
yang tidak dikenali. Bahkan yang membuka pintu itu lelaki, lagilah dia cemas.
“Mana dia?”
“Ada kat ruang
tamu Kak Yas.” Ujar lelaki itu.
Yasmin
berpaling ke arahnya dengan wajah berkerut.
“Apa yang kau
buat tu?” Tanya Yasmin dengan wajah serius.
Dia hanya
menggeleng, tanda tidak mahu mengikut wanita itu masuk. Tapi entah dari mana
datangnya sepasang tangan yang menolak tubuhnya ke dalam. Dia terkedu saat
menyedari Jojo sudah berada di belakangnya.
Yasmin enggan
mempedulikannya lalu mengikut lelaki yang membuka pintu tadi ke suatu arah.
Jojo turut mengekori kelibat Yasmin. Adriana tercengang-cengang, tidak tahu apa
yang harus dilakukannnya. Pintu sudah ada di belakangnya. Boleh sangat kalau
dia mahu balik sahaja. Tapi entah kenapa, hati di dalam teringin juga mahu tahu
apa yang membuatkan Yasmin kelihatan cemas dan datang ke apartmen mewah itu.
Didorong
perasaan ingin tahunya yang menebal, hendak tak hendak dia meneruskan
langkahnya yang tergendala. Semakin dekat, suara Yasmin yang sedang marah-marah
semakin jelas kedengaran.
Adriana
tergaman melihat Yasmin dan beberapa orang lelaki sedang menghadap sesusuk
tubuh yang terbaring di atas sofa. Adriana menjengah tapi dia gagal melihat
wajah lelaki yang sedang terbaring itu. Kenapa dengan lelaki itu? Sakitkah dia?
“Kau yakin ini
kerja orang-orang Barto?”
“Ya Kak Yas.
Kami pergi kutip duit di kelab malam Barto petang tadi. Alih-alih si Airis
ni terus bertumbuk dengan budak-budak Barto tu.
Salah seorangnya keluarkan pisau terus tikam Airis.” Cerita lelaki kurus keding
yang duduk berdekatan Jojo.
“Melampau!
Barto ni semakin berani buat aku marah. Berapa baki hutang Barto tu?”
“Lebih kurang
tiga puluh lima ribu termasuk faedah Kak Yas.”
“Baik. Dia
berani main kasar ya, aku akan pastikan dia bayar setiap sen hutang dia
termasuk faedah-faedahnya sekali. Kamu
berdua ikut aku, kita ke kelab Barto tu sekarang.” Arah Yasmin.
“Habis si Airis
ni macamana Kak Yas?”
Yasmin terdiam.
Matanya bulat memerhatikan lelaki yang tidak sedarkan diri di atas sofa di
ruang tamu itu. Wajah lelaki itu kelihatan pucat lesi.
“Kita bawa
Airis ke hospital ya Kak Yas?”
“Kau gila ke
apa Diman? Kan dia kena tikam ni.” Marah Jojo.
“Habis nak biar
dia mati kat sini?” Marah lelaki kurus keding itu pula.
Yasmin tunduk,
menyelak sedikit t-shirt yang dipakai lelaki itu sehingga ke paras dada.
Melihat luka tikaman besar tu sepanjang lebih kurang 5cm dengan kedalaman luka
2cm di bahagian rusuk kanan, dia mengeluh panjang. Mujurlah tidak di bahagian
perut. Tapi luka lelaki itu harus dijahit.
Yasmin
tiba-tiba berpaling. Matanya menyorot ke arah Adriana yang kelihatan bingung,
tidak tahu hujung pangkal. Dia mengerling ke arah Diman yang kelihatan gelisah.
“Carikan aku
peti First Aid, jarum dan juga tali tangsi. Bawa sekali kain bersih dan air.
Cepat.” Pinta Yasmin.
Diman yang
menerima arahan itu kelam-kabut menyediakannya. Mujurlah dia suka memancing,
jadi tidak ada masalah mencari tali tangsi seperti yang Yasmin mahukan. Sekejap
sahaja barang-barang itu berada di atas meja kopi di situ.
Yasmin bangun
lalu melangkah ke arah Adriana. Lengan gadis itu ditarik ke arah sofa. Adriana
terpanar melihat keadaan lelaki itu. Darah yang memenuhi pakaian lelaki itu
membuatkan tubuhnya tiba-tiba mengigil. Ya ALLAH! Apa dah berlaku pada lelaki
tu?
“Kau rawat dia
Rian. Semua alat-alat tu dah ada kat situ. Bersihkan luka dia dan jahit.” Arah
Yasmin.
Adriana
tercengang mendengar kata-kata Yasmin. Apa? Dah gilakah Yasmin? Mana mungkin
dia boleh melakukannya. Jahit luka? Tengok darah pun dia sudah takut, inikan
pula hendak menjahit luka lelaki itu.
Melihat Yasmin
mahu beredar dengan dua lelaki itu, Adriana segera menghalang wanita itu.
“Kak Yas nak ke
mana?”
“Aku ada hal
penting. Aku terpaksa tinggalkan kau kat sini. Lelaki atas sofa tu, dia orang aku
yang paling penting. Aku nak kau selamatkan dia, buat apa sahaja asalkan dia
selamat. Kejap lagi aku balik semula ambil kau.” Suruh Yasmin.
“Tapi Rian tak
pandai. Rian..”
“Jarum tu
jangan lupa sterilkan dulu. Nanti mati pulak dia.”
“Tapi kak,
Rian…”
Gedegum. Bunyi
pintu dikatup kuat membuatkan Adriana terduduk lemah. Ya ALLAH! Apa yang patut
aku buat? Terketar-ketar dia memandang ke arah lelaki yang masih tidak sedarkan
diri di atas sofa di ruang tamu. Hatinya menggerutu antara rasa marah dan risau
saling berbaur. Tak guna Yasmin! Berani dia buat macam ni pada aku! Aku bukan
jururawat, doktor pun bukan. Apa yang aku tahu fasal menjahit luka? Gumam
Adriana cemas.
Bagaimana kalau
dia pergi sahaja dari sini? Ini bukan masalah dia. Tak ada kena mengena
langsung dengan dirinya. Perlahan-lahan Adriana bangun lalu menghela langkah ke
muka pintu. Tapi belum sempat dia mahu mendekati pintu, langkahnya tiba-tiba
terhenti. Dia berpaling seraya mengigit bibirnya. Bagaimana kalau lelaki itu
mati semata-mata kerana dia lari? Apakah itu akan menjadi tanggungjawabnya?
Adriana
mengeluh. Hendak tak hendak dia berpatah balik ke arah lelaki itu. Wajah lelaki
itu ditatap sekilas lalu. Agak lama dia meraut wajah itu dengan teliti. Orangnya
agak kacak, berkulit kuning langsat dan agak tinggi kerana hujung kakinya
melebihi paras sofa yang menjadi tempat baringnya.
Siapa dia pada Yasmin? Hati Adriana tertanya-tanya. Dia
masih ingat lagi dialog Yasmin sebentar tadi. Orang yang Yasmin pentingkan?
Dia memandang ke
arah barang-barang yang disepahkan lelaki kurus keding itu tadi. Ada jarum,
tali, gunting dan juga sekotak peti First Aid. Beberapa helai tuala juga ada di
situ bersama sebesen air.
Dia mendekati
lelaki itu lebih rapat. Terketar-ketar tangannya cuba menyelak t-shirt yang
membalut tubuh lelaki itu. Tapi melihat liang luka yang masih berdarah itu,
tangannya dilepaskan mendadak. Wajahnya pucat lesi. Ya ALLAH! Teruk luka ni.
Lelaki ini sepatutnya dirawat di hospital.
Cepat-cepat dia
mencari telefon bimbit dari dalam kantung begnya. Sejurus dia mendapat telefon
bimbit itu di tangannya, dia segera menekan nombor kecemasan. Tapi sesaat
kemudian panggilan itu ditamatkan. Kelopak matanya dipejamkan. Tenang Adriana!
Kau tak boleh telefon nombor kecemasan atau cuba-cuba bawa lelaki ini ke
hospital. Takkan kau tak dengar kata-kata lelaki bertubuh besar tadi. Luka kena
tikam akan jadi kes polis. Dia menggeleng. Telefon bimbitnya disimpan kembali.
Apa patut aku
buat? Ya, dia patut membuka pakaian lelaki itu yang dibasahi darah terlebih
dahulu. Betul! Dia segera duduk berteleku di sisi lelaki itu. Berfikir-fikir
sejenak apa yang harus dimulainya dahulu.
Melihat ada
sebilah gunting di atas meja, dia mengambilnya. Dia ragu-ragu sebentar, tapi
mengenangkan dia sudah tidak ada pilihan lain lagi, maka dia segera mengunting
pakaian lelaki itu.
Sebaik tubuh di
hadapannya terdedah, Adriana terpaku. Matanya tak berganjak dari tubuh berotot
tegap itu. Tapi bukan tubuh six packs
itu yang menarik perhatiannya, sebaliknya dia lebih kecut perut melihat tatoo
yang memenuhi sebahagian tubuh lelaki itu, dari dada sehingga ke lengan. Seumur
hidupnya inilah kali pertama dia melihat tatoo di tubuh seseorang dari jarak
dekat.
Dia menelan liur.
Siapa agaknya lelaki ini? Samsengkah? Harap-harap bukan pembunuh atau perogol
kerana sudah terlalu banyak masalah yang dihadapinya. Dia tidak mahu menambah
sebarang masalah lagi. Selesaikan tugas ini cepat Adriana supaya kau boleh
cepat pulang! Bisik hati kecilnya.
Tali yang ada
diambil lalu dicucuk pada jarum jahit. Dia menarik nafas panjang. Tangannya
terketar-ketar memandang tubuh di hadapannya. Siapa sangka dia akan melakukan
kerja-kerja begini. Dia mengelap tubuh lelaki itu dengan tuala basah beberapa
kali sebelum dia kembali menyentuh jarum yang digeruninya. You can do it Adriana! Just do it and go home. Begitulah rentak
fikirannya ketika ini.
Ketika jarum jahit di tangannya semakin dekat dengan
kulit lelaki itu, tiba-tiba sepasang tangan menangkap jari-jemarinya. Adriana
terpaku. Dia berpaling, lalu bertentang mata dengan sepasang mata yang entah
sejak bila terbuka luas dan memerhatikannya. Renungan lelaki itu begitu dalam
menjamah serata wajahnya, membuatkan dia gelisah serta cemas.
“Jarum tu..” bisik lelaki itu lemah.
Adriana terdiam. Kenapa dengan jarum ni?
“Kau dah steril jarum tu? Baik kau buat sebelum kau buat
aku mati percuma.” Ujar lelaki itu dengan wajah
berkerut-kerut menahan sakit.
Adriana tercengang-cengang. Baru dia teringat yang dia
masih belum mensteril jarum itu seperti yang disuruh oleh Yasmin. Masya ALLAH!
Nyaris-nyaris dia menggunakannya. Silap-silap haribulan lelaki itu boleh
terkena jangkitan kuman. Adriana! Cuainya kau!
No comments:
Post a Comment