Followers

Tuesday, December 18, 2018

Spy Hati Dari Chantilly (Bab 5)

KEPALANYA benar-benar sakit pagi itu. Namun dia gagahi dirinya bangun dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Semalam dia menghabiskan masanya minum-minum di kelab malam sehingga tidak ingat dunia. Juga seronok terkinja-kinja menari berpelukan dengan seorang gadis berbangsa Sweden yang baharu dikenalinya. Gadis itu datang ke Malaysia kerana melancong bersama kawan-kawannya.
Dia tergelak kecil. Lucu mengenangkan kebodohan diri sendiri. Semalam sepatutnya dia bertemu dengan Amsyar, teman rapatnya. Tapi entah apa sebabnya Amsyar tidak datang-datang ke kelab malam itu. Mujurlah ada gadis cantik itu menemaninya. Orangnya manja dan seksi. Pakaian Kristi memang tidak cukup kain, tapi itulah yang dia paling suka. Kalaulah datuknya boleh melihat dia ketika itu, pasti sudah lama lelaki itu rebah diserang sakit jantung.
Ketika dia memandang wajahnya sendiri di hadapan cermin, dahinya tiba-tiba berkerut. Ada lebam kecil di atas dahinya. Dia membelek-belek lebam itu dengan teliti. Pelik! Mana datangnya lebam ni?
Tiba-tiba ada sesuatu terlintas di fikiran. Kalau semalam dia mabuk teruk, siapa yang menghantar dia balik ke rumah? Dan siapa pula yang membawa dia masuk ke apartmennya? Takkan Kristi pulak! Terkedu-kedu dia cuba mengingatkan saat dia meninggalkan kelab malam itu sehingga dia boleh sampai ke ruang tamu apartmennya.
Ketika dia mahu melangkah ke arah peti ais mahu mengambil minuman sejuk untuk menghilangkan hausnya, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu di dalam bakul sampah di tepi sudut dapur. Ada beberapa botol mineral water di dalamnya, kulit epal hijau dan plastik roti.
Dia berteleku di sisi bakul sampahnya. Dari mana datangnya semua ini? Siapa yang mencuri makanannya seperti ini? Homelesskah? Ah mana mungkin! Tak mungkin sekuriti di apartmen itu akan membenarkan sebarangan orang masuk ke Desa Villa itu. Tak logik pula!

SURI Imani kelam kabut bersiap. Dia mahu memastikan penampilannya kemas bergaya kerana hari ini dia perlu menghadiri satu sesi interview kerja di sebuah syarikat. Dia hanya bergaya ringkas dengan kemeja plain warna putih dan slack kaki kembang berwarna hitam.
Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia segera bergegas keluar dari apartmennya. Ketika itu juga matanya terpandang seorang lelaki ikut keluar dari apartmen 6D di sebelah apartmennya sahaja. Darahnya serta-merta berderau. Alamak! Mamat tu pulak yang keluar!
Mikey Mikhail menoleh sekilas lalu, memerhatikan kelibat gadis yang baru keluar dari rumah sebelah. Hari tu rasanya yang duduk kat sebelah rumahnya tu gadis lain. Agak gempal dan rendah. Yang ini pula kalau tengok dari belakang, body memang lawa. Tinggi lampai pula tu! Siapa dia? Baru pindahkah? Sempat lagi Mikey Mikhail tertanya-tanya walhal jarum jam di tangannya semakin mendesak.
Menyedari dia semakin lewat, dia tidak ada pilihan lain selain bergegas ke arah pintu lift.
“Mikey, kau gila ke apa? Hari ni meeting kita dengan syarikat Tri-Vector tu. Datuk kau dah angin satu badan ni. Semua orang dah cair kena tembak. Kan aku dah ingatkan kau semalam.” Rungut Amsyar ketika dia menghubungi lelaki itu.
“Am, boleh tak kau diam? Aku on the way dah ni. Tapi jalan ni jem gila. Boleh tak kau hold klien tu for one hour?”
“Nak hold apanya? Datuk kau dah serahkan tugas tu pada si badak sumbu tu. Fariz tengah uruskan pegawai dari Tri-Vector tu. Tapi Tan Sri suruh kau jumpa dia lepas ni. Kau memang suka cari fasal kan Mikey, tak habis-habis.” Keluh Amsyar.
“Apa? Datuk aku bagi Fariz uruskan? Am, projek tu projek aku tau. Mana boleh dia senang-senang aje suruh orang lain handle projek tu.”
“Hmm..itu aku tak tahu. Kau kena cakap sendiri dengan dia. Kau pun satu, dah tau kita ada meeting, nak juga datang lambat. Atau kau mabuk lagi malam tadi?” Teka Amsyar.
Mikey Mikhail terdiam. Panggilannya ditamatkan tanpa dia menjawab pertanyaan Amsyar itu.
Pagi itu dia mengadap wajah Tan Sri Idzhar yang cemberut dengan hati kecut. Lelaki itu memang garang sekali jika ada pekerja-pekerja yang berbuat salah. Tapi dengannya Tan Sri Idhar dua kali ganda lebih garang dari biasa. Masakan tidak, dia cucu yang diharap-harapkan boleh menggantikan tempat yang bakal ditinggalkan datuknya suatu hari nanti.
Please datuk, bagi balik projek tu pada Mikey. Semua paper work, presentation, semuanya Mikey yang buat, tak adil kalau datuk tugaskan projek tu pada Fariz.”
“Tak adil? Orang yang paling tak bertanggungjawab dalam syarikat ini nak cakap fasal keadilan? Kalau fungsi kamu sekadar datang untuk menghuru-harakan syarikat yang datuk usahakan dengan seluruh tenaga dan keringat datuk, baik kamu diam.” Getus Tan Sri Idzhar dengan mata terjegil.
Mikey Mikhail terdiam. Hampa rasa hatinya mendengar kata penamat dari orang tua itu. Kalau orang lain mesti dia sudah tepuk meja menunjukkan protes. Tapi dengan datuknya yang garang macam singa, tindakan itu hanya akan membawa padah lain.
Dia berjalan di beranda pejabat yang menyambungkan bahagian admistration dengan bahagian-bahagian lain Nusa Jaya Corporation. Kepalanya tunduk sugul. Dari atas beranda dia melihat kosong ke arah pekerja-pekerja yang lalu lalang di ruang legar pejabat itu. Semuanya seperti biasa, tekun bekerja untuk Tan Sri Idzhar, untuk memajukan syarikat datuknya.
Tidak bertanggungjawab? Habis kalau aku tidak ada rasa tanggungjawab, takkan aku turun naik Tri-Vector semata-mata mahu berjumpa Tan Sri Hassan pemilik empayar Tri-Vector yang disegani ramai itu? Kalau aku hanya menghuru-harakan syarikat, tak mungkin kontrak kerjasama dengan Tri-Vector untuk Pusat Konvension dan Pusat Beli Belah yang diberi nama KL City Glass di luar negara, berharga hampir 1 billon itu berada dalam tangan? Keluh Mikey Mikhail seraya mengetap bibirnya.
“Marah sungguh nampaknya tu.” Tegur suatu suara.
Mikey Mikhail berpaling. Seorang wanita pertengahan usia yang agak bergaya tersenyum-senyum memandangnya. Walhal dia pula hanya membalas dengan keluhan.
“Aik? Auntie pun dapat juga jelingan tajam Mikey tu?” Usik wanita itu.
“Auntie Nita tahu apa yang datuk buat pada Mikey hari ni?” Tanyanya dengan wajah merah padam.
“Tahu.” Rosnita mengangguk.
“Dia dah rosakkan semua perancangan kerja Mikey. And you do nothing about it auntie.”
Getus Mikey Mikhail seraya menggelengnya.
“Mikey nak suruh auntie buat apa? Bangkang cakap datuk? Mikey lupa ya siapa yang paling berkuasa dalam Nusa Jaya ni? Dia Tan Sri Idzhar Azizi. Ayah auntie and the worst part, datuk kamu.” Rosnita mengingatkan seraya tersengih-sengih. Lucu pula melihat Mikey Mikhail yang sedang marah-marah begitu.
Semakin kuat keluhan Mikey Mikhail kedengaran.
Yes I know. Kalaulah arwah ayah masih hidup, tentu dia dah bantah keputusan datuk nak serahkan projek tu pada Fariz.”
Rosnita terdiam mendengar bicara Mikey Mikhail. Ada sekelumit kesayuan bermain di lubuk hati. Ayah yang disebut-sebut Mikey, sudah tidak ada lagi di dunia ini.
“Jangan cakap macam tu, auntie tahu dia bangga dengan Mikey. Cuma bila Mikey tak muncul-muncul pagi tadi, dia terus naik angin. Dia tu sayangkan kamu, cuma mungkin caranya sahaja yang agak keras.” Pujuk Rosnita.
Mikey Mikhail terdiam. Keluhan kasar menerpa di bibir. Dia meluruskan pandangan. Matanya kini tertancap ke arah seorang gadis yang terkocoh-kocoh baru masuk dari pintu lobi bangunan itu.
Si gadis agak comel dengan blause putih dan slack hitam. Rambutnya tidak panjang tetapi hitam lebat. Tidak perang seperti kebanyakan gadis-gadis kota yang lain. Entah kenapa dia memerhatikan gadis itu agak lama. Bukan tertarik selaku seorang lelaki tetapi sedang cuba menelah sesuatu. Seperti dia kenal sahaja wajah itu. Tapi di mana ya?


No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!