SURI Imani sedang duduk bersantai di beranda rumah apabila mendengar
namanya diseru Hana, teman baiknya. Perhatiannya segera beralih. Wajah Hana
nampak tegang seraya memandang ke arah skrin televisyen leper yang berada di
ruang tamu.
“Kenapa, Hana?”
“Tu bukan berlian yang
kita tengok semalam, kan?” soal Hana ingin tahu.
Dia menoleh ke arah televisyen.
Tertarik dengan gambar berlian di hadapannya dengan caption Le Diamant
Manquant.
“The Grand Conde,” bisik
Suri Imani tanpa disedari.
Walaupun dia tidak fasih
berbahasa Perancis tetapi sedikit sebanyak dia tahu apa yang sedang berlaku.
Paris dikejutkan dengan berita kehilangan The Grand Conde, berlian yang berada
di Musee de Conde yang dilawati mereka semalam.
“Pelik! Punyalah banyak berlian yang lebih
berharga kat situ, kenapa pilih The Grand Conde?” Bisik Suri Imani, seperti khusyuk
memikirkan sesuatu.
“Agaknya dia suka The
Grand Conde tu. Macam kau jugak,” ujar Hana.
“Suka?” Kerut di dahinya
melebar.
“Pink diamond with
pear shape and 9.01 carats. Not so lovely for woman. Every women will love Rose
of Dubai or Pink Star but not The Grand Conde.”
Entah kenapa kata-kata
itu diulang tayang di fikirannya. Selain dari dirinya, ada seseorang yang lebih
mengenali The Grand Conde. Dan orang itu adalah lelaki yang ditemuinya di depan
ruang galeri yang menempatkan The Grand Conde.
Dia memejamkan mata
sebentar. Cuba mengingatkan wajah lelaki itu. Cuba mengingatkan bagaimana suara
lelaki itu? Apakah sama dengan suara lelaki bertopeng yang ditemuinya semalam?
Tetapi sejurus kemudian dia membuka matanya dan mengeluh. Bukan senang nak
mengingatkan suara yang hanya berbual dengannya tak sampai lima minit pun. Ah!
Tak mungkin! Lelaki sekacak itu tak mungkin seorang pencuri! Aku banyak sangat
tengok filem Inggeris ni! Hati kecilnya menolak sangkaan yang baru tumbuh di
fikiran.
“Kau dah kemaskan barang-barang kau?”
Pertanyaan Hana membuatkan dia tersentak. Segera dia berpaling ke arah teman
yang terkelip-kelip memerhatikannya.
“Dah, aku dah siap kemas.
Malam nanti Farid datang ambil aku,” ujar Suri Imani, tersenyum.
“Untungnya orang tu, boyfriend hantar
pergi airport,” usik Hana.
“Mestilah dia hantar.
Kalau bukan dia siapa lagi,” ujar Suri Imani, ketawa kecil.
Hana hanya mencebik.
“Kau tu patut berterus terang
aje dengan Farid. Aku takut nanti kau yang perasan lebih sedangkan Farid tu
hanya anggap kau tu kawan biasa dia,” nasihat Hana.
Dia hanya mampu tersenyum
hambar. Berterus terang? Tidak cukupkah lagi signal yang dtunjukkannya pada
Farid? Semua perilakunya hanya menunjukkan yang dia amat menggilai lelaki
bernama Farid Ilham itu.
“Dia akan jadi hak aku,
Hana. Kau tengoklah nanti.” Suri Imani mengetap bibir. Bertekad sepenuh hati
mahu memiliki hati lelaki itu.
FARID
tersenyum memandangnya. Dia juga. Matanya asyik meraut pandang wajah Farid yang
sedang memandu. Sesekali Farid menoleh. Wajah lelaki itu berkerut melihatnya.
“Kenapa Suri asyik
pandang abang macam tu?” soal Farid.
“Suri berat hati nak
tinggalkan abang kat sini,” rengek Suri Imani. Manja macam anak kucing!
“Abang masih ada seminggu
kat sini. Nanti abang balik Kuala Lumpur, abang call Suri. Kita keluar
makan sama-sama,” cadang Farid, tersenyum.
“Lepas abang balik nanti,
ikut Suri balik rumah ya? Suri nak kenalkan abang dengan famili Suri. Abang
mesti kenal dengan Kak Lin. Dia kakak kesayangan Suri. Kalau abang dah kenal
dia, mesti abang suka dia. Dia baik, cantik.”
“Baik dan cantik macam
adiknya?” Farid ketawa besar.
Suri Imani hanya mampu
membalas ketawa Farid dengan senyuman. Bunyinya macam membanggakan diri, tetapi
itulah kenyataan. Dia memiliki seorang kakak yang cantik dan sempurna
serba-serbi. Dan sebagai seorang adik, tak salah dia berbangga dengan kakaknya
sendiri.
“Abang hantar Suri sampai
sini aje tau. Abang kena balik ke hotel untuk pembentangan sesi malam ni. Maaf
ya,” ujar Farid seraya menghentikan kereta yang dipandunya ke seberang jalan
Lapangan Terbang Antarabangsa Paris Charles de Gaulle. Sesetengah penduduk
Paris lebih mengenali Charles de Gaulle sebagai Roissy Airport.
“Tak apa, Suri faham
abang sibuk,” ujar Suri Imani, kemudian keluar dari perut kereta.
Farid turut keluar lalu
mengeluarkan bagasi Suri Imani dari dalam perut kereta.
Suri Imani memandang ke
arah Farid dengan wajah sedih. Seminggu dia berada di Paris, dan dalam tempoh
ini, Farid jarang-jarang menemaninya. Lelaki itu terlalu sibuk berseminar.
Mujurlah ada teman-teman lamanya seperti Hana, Atea dan Rachel yang sanggup
menemaninya berjalan-jalan di Paris.
“Ni yang buat muka sedih
kenapa? Macamlah abang tak balik lagi.” Farid sempat lagi berseloroh sebaik sahaja
dilihatnya wajah Suri Imani muram sekali.
“Suri sedih.”
“Sedih nak tinggalkan
abang kat sini?” Farid tersenyum-senyum.
Suri Imani hanya
mengangguk. Dah tahu bertanya pulak!
“Abang pun sedih bila
Suri pergi nanti. Siapa nak temankan abang makan Croissont lagi?”
“Suri batalkan aje tiket
dan temankan abang seminggu lagi boleh?”
Farid ketawa besar
dibuatnya. Sudah sampai depan CDG pun gadis itu masih mahu membuat kelakar.
“Suri tak rindu mama dan ayah?
Tak rindukan kakak Suri yang baik dan cantik tu?” soal Farid, sengaja menguji.
Suri Imani terdiam. Siapa
kata tak rindu? Tapi dia lebih berat hati mahu berpisah dengan lelaki yang
paling dicintainya. Farid ini macam tahu-tahu sahaja mencari kelemahannya.
KERETA yang
membawanya sudah sampai ke
destinasi. Tapi dia masih belum turun dari perut kereta. Matanya mengerling
lelaki di sampingnya yang kelihatan tenang.
“Do I have to do this?”
tanyanya separuh mengeluh.
Lelaki berjambang tebal
itu hanya tersenyum.
“Semuanya dah disediakan.
Pasport kamu pun dah disediakan. Naik kapal terbang ke Kuala Lumpur malam ni.
Dan tunggu arahan terbaru.”
Dia mengeluh panjang.
“Oh ya, Aria minta maaf pada kamu. Katanya dia
dah buat silap besar,” ujar lelaki itu.
Sekali lagi dia mengeluh
mendengar nama lelaki muda itu.
“Kamu jangan terlalu
berkasar dengan dia. Dia berbakat besar sebenarnya, cuma perlu diasuh.
Kesilapan malam semalam tak sepatutnya berlaku. Tetapi itu akan jadi latihan
yang bagus untuk kamu dan Aria,” nasihat lelaki itu.
“Kita dah bincang hal ni
dulu, uncle. I don’t need any
help. I’m doing this alone,” ujarnya, bertegas.
Lelaki itu tidak memberi
sebarang komen. Renungan lelaki itu menikam ke wajahnya agak lama. Dia hanya
mampu mengeluh.
“Fasal perempuan tu. Uncle dah jumpa dia?” Dia mengalihkan
pertanyaan pada hal yang lebih penting.
Lelaki itu menggeleng.
“Dia akan muncul jugak.
Kamu hanya perlu sabar.”
“Sampai bila?”
Lelaki itu tidak
menjawab. Arahan diberi kepada pemandunya untuk menghentikan kereta di hadapan
CDG. Lelaki itu mengangkat kening ke arahnya.
Dia menarik nafas
panjang. Memahami perbualan itu sudah berakhir. Dia turun dari perut kereta
dengan hanya bertemankan beg sandang kecilnya.
Langkahnya diatur ke arah
bangunan lapangan terbang. Dia menanti di boarding area dengan wajah
bosan. Semasa melewati sebuah kedai buku, dia sempat masuk dan membeli senaskhah
bahan bacaan. Buku itulah yang akan menjadi penemannya sewaktu menanti di
kawasan menunggu. Khusyuk dia membaca tanpa mempedulikan penumpang-penumpang
yang akan menaiki penerbangan yang sama dengannya.
Tiba-tiba sesuatu
terjatuh di kakinya. Dia merendahkan buku yang dibacanya, lalu ternampak
kelibat seorang gadis sedang tunduk mengutip barang-barangnya yang tercampak ke
lantai. Asalnya dia hendak membantu, tetapi sebaik sahaja terpandang raut wajah
itu, serta-merta dia menarik topi yang dipakainya sehingga rapat ke wajah. Dia
cam wajah itu. Itulah gadis yang ditemuinya di Musee de Conde kelmarin.
Walaupun sebelum ini mereka pernah berbual-bual, tetapi malam ini dia harus
berhati-hati. Malah rantai milik gadis
itu juga masih berada di tangannya. Kalau dia pulangkan sekarang, tentu ia akan
jadi masalah paling besar.
Tak semena-mena si gadis
duduk selang dua tempat kosong berhampiran dengannya. Dia menarik nafas
panjang. Bukunya dinaikkan ke muka, pura-pura khusyuk membaca walhal jika ada
kesempatan dia akan menjeling gadis itu yang kelihatan muram.
Di hadapan mereka,
seorang lelaki tua sedang membaca keratan akhbar yang memaparkan kecurian
berlian yang dipamer di Musee de Conde. Dia perasan mata si gadis turut
melencong ke arah akhbar itu. Gadis itu pastinya masih trauma dengan apa yang
telah berlaku semalam. Dia sendiri tidak pernah menyangka, setiap rancangannya
yang selalunya teliti kali ini terganggu dengan kesilapan teknikal yang
dilakukan oleh Aria, orang baru yang dihantar oleh Tuan Rourke. Malah kehadiran
gadis itu juga menjadi salah satu punca kekecohan di Musee de Conde.
Mujurlah dia dapat
melepaskan diri selepas dia menyelamatkan gadis itu dari terkena peluru salah
seorang pengawal. Jika tidak rekod bersihnya akan tercemar. Lagipun selama ini,
belum pernah kerja-kerja yang dilakukannya mengorbankan nyawa yang tak berdosa.
Seboleh-bolehnya dia tidak mahu mencederakan sesiapa.
Bunyi pengumuman di
lapangan terbang itu membuatkan khayalan singkatnya menghilang. Sudah sampai
masa penerbangannya. Dia menoleh mencari-cari wajah si gadis. Gadis itu turut
bangun dari kerusi yang didudukinya. Menyedari itu semua, dia tergamam. Jangan-jangan
gadis itu juga menaiki penerbangan yang sama dengannya. Aduh! Masalah besar!
No comments:
Post a Comment