CIKA tidak ada pilihan lain
selain mengikut sahaja aturan ibunya. Hendak melarikan diri, dia dikawal rapi
seperti banduan dengan warden penjara. Hendak buat agenda terancang bersama
Ubek tentulah sia-sia sahaja jika Ubek sudah dikasi warning sama ibunya agar tidak mendekatinya.
Sejak pagi tadi dia disuruh
bersiap cantik-cantik. Pakai lipstick
biar tebal dari biasa. Baju mestilah sopan santun dan kemas. Jangan selekeh
seperti hendak ke pasar. Kasut biarlah bertumit sedikit, bukan selipar jepun
yang selalu dipakainya kalau hendak memancing bersama Ubek. Itu pesan Puan
Bahyah yang tak habis-habis diulang dengar di telinganya sehingga dia naik muak.
“Hai yang buat muka macam cicak tertelan kapur
tu kenapa? Kan
umi dah cakap kelmarin. Sekarang ni umi yang akan heret awak jumpa dengan anak Auntie
Jamilah awak tu. Awak suka atau tak, awak kena ikut cakap umi.” Tegas Puan
Bahyah.
“Alah umi, takkan umi nak
ikut sekali. Malulah Cika.” Dia merengek-rengek dengan lagak manja. Harapannya
menggunung tinggi agar ibunya tidak pergi bersama kali ini. Tentu lebih mudah
untuk dia melepaskan diri jika wanita itu tidak ada.
“Jangan nak banyak songeh.
Cepat pergi bersiap, kejap lagi kita nak ke sana .” Sergah wanita itu tanpa
mempedulikannya.
Hendak tak hendak dia terpaksa memilih salah satu pakaian
yang ada di dalam almarinya. Wajahnya sekadar dimekap tipis. Lipstick dioles sedikit ke bibir. Dia
bersiap seadanya. Tak kuasa nak jumpa Idham Hariz! Bencinya!
Tahun 2000, dia berada di dalam Tingkatan 4 ketika itu.
Hidupnya normal. Normal dalam ertikata lain dia hanya tahu ke sekolah, balik ke
rumah, berborak dengan Ubek yang baru lepas sekolah, esoknya ke sekolah lagi
dan begitulah rutin hidupnya sepanjang tahun. Dua bulan kemudian, muncul Idham Hariz
yang tinggi lampai, segak dan memiliki karisma yang digilai pelajar-pelajar
perempuan di sekolahnya. Tidak terkecuali dirinya sendiri.
Tapi Idham tidak pernah mahu memandangnya. Dia sendiri
lebih maklum bagaimana dengan rupanya sewaktu berusia 16 tahun. Wajah hodohnya
ketika itu tak mungkin akan menarik perhatian Idham Hariz. Malah usikan lelaki
itu dari hari ke sehari semakin melampau apabila dia dimalukan di Malam Bakat
sekolah.
Dia sendiri tidak tahu kenapa dia dijadikan sasaran
lelaki itu. Semuanya kerana surat
cinta Gina yang ditujukan kepada Idham. Gina pun satu! Kalau nak tulis surat pun, sekurang-kurangnya tulislah nama sendiri di surat itu. Barulah orang
lain tidak salah sangka dan menyangka dia tuan empunya surat tersebut. Sejak kes surat cinta itulah, satu sekolah memandang
serong padanya. Malah setiap hari ada sahaja ejekan dan makian dari
peminat-peminat Idham yang menggelarnya perempuan tidak sedar diri.
Idham pula seperti bengang dengannya dan tidak
putus-putus memalukannya. Selalunya dia buat muka tidak kisah. Tapi di Malam
Bakat itu perbuatan Idham benar-benar melampaui batas. Ramai orang tahu dia
suka menyanyi meskipun suaranya seperti katak puru. Dengan nada suara sumbang
itu, dia tetap jua menyanyi apatah lagi hanya dia satu-satunya calon pelajar
tingkatan 4 yang sudi menampilkan diri membuat persembahan.
Tapi tanpa disedari, Idham dan teman-temannya mencuri
baju yang akan dipakai di malam persembahannya lalu membuat sedikit alteration pada pakaian tersebut. Tanpa
menyedari dirinya dikenakan, dia terus menyarung pakaian tersebut tanpa mengesyaki
apa-apa. Namun sebaik dia berada di pentas sekolah, semua pelajar-pelajar di
sekolahnya mengetawakannya. Dia tercengang, tidak pasti kenapa dirinya
diketawakan sebegitu rupa. Sehinggalah dia melihat sendiri bagaimana rupa gaun
hitam yang dijahit ibunya dengan labuci kini tertulis dengan perkatan LOSER di
hadapan baju. Dan ironinya perkataan itu sendiri dijahit dengan menggunakan
labuci-labuci yang sama di pakaiannya.
Kejadian itu membuatkan dia jatuh sakit dan tidak datang
ke sekolah hampir dua minggu. Dan selama dua minggu itu juga dia membuat
pelbagai kerenah agar dia ditukarkan ke sekolah lain. Pilihan sekolahnya ialah
sekolah tempat ibunya mengajar. Terpaksa! Bukan dia hendak sangat bersekolah di
sekolah yang sama ibunya berada. Tapi itu lebih baik dari dia berhadapan dengan
pelajar-pelajar di sekolahnya terutama Idham sendiri.
Puas Gina memujuk agar dia
melupakan kejadian malam itu. Tapi Gina cakap memang senang! Bukan gadis itu
yang berada di tempatnya. Bukan Gina yang perlu menanggung parah hati yang
berkecai apabila dimalukan sebegitu rupa. Malangnya hasrat hatinya tidak
kesampaian. Ibunya langsung tidak mahu melayan permintaannya untuk bertukar
sekolah.
Sejak malam itu dia semakin alergik mendengar nama Idham Hariz.
Malah mahu mengingati wajah lelaki itu juga dia tidak mahu. Tapi ALLAH lebih
berkuasa, maka didatangkan seorang wanita di rumahnya pada suatu hari. Puan
Jamilah rupa-rupanya kenalan lama ibunya sejak di universiti. Dan lebih ironi
Idham adalah anak tunggal wanita itu. Anehnya Idham pura-pura tidak
mengenalinya ketika itu. Membuatkan dia bertambah bengang dan geram dengan
lelaki itu. Idham berlagak seperti tidak rasa bersalah langsung. Kerana itu dia
memutuskan untuk melupakan segalanya termasuklah wajah Idham dari ingatannya.
Mujurlah selepas habis SPM, Idham menyambung pelajaran ke luar negara.
Maklumlah anak ahli perniagaan terkenal katakan.
“Hai padanlah umi tunggu lama, rupanya awak sedap-sedap
termenung kat sini.” Suara ibunya mencelah masuk ke gegendang telinganya. Dia
terpegun. Mendongak wajah memandang si ibu yang sudah mencerlung tajam. Baru
dia perasan dia masih berada di biliknya, sedang terkenangkan peristiwa pahit
yang berkait dengan orang yang akan ditemuinya nanti.
“Ni baju apa awak pakai ni Cika? Macam berkabung sahaja
umi tengok. Mekap tu biarlah cantik sikit, ini comot aje macam hantu opera.”
Ibunya menggeleng kepala melihat penampilannya hari itu.
“Umi, Cika tak berapa sihat la.” Dia memandang ibunya
dengan wajah berkerut. Cuba
memohon simpati dari ibu sendiri.
“Dah jangan nak bersandiwara dengan umi. Umi yang
lahirkan awak. Umi tahu benar ragam awak tu. Sudah, pergi tukar baju yang elok
sedikit. Nanti lari pula si Idham tu kalau tengok awak begini.” Suruh Puan
Bahyah.
Dengan wajah mencuka, Cika terpaksa mematuhi kata-kata
ibunya. Sudah azali begitu. Kata ibunya mesti dipatuhi atau kepala harus dipancung!
Sambil dia menukar pakaian yang lebih senonoh menurut pandangan ibunya,
mulutnya tak habis-habis mengomel. Geram kerana dipaksa bertemu dengan Puan Jamilah
dan Idham yang mahu dielakkannya.
* * * *
“DAH besar panjang si Idham
tu Cika. Handsome orangnya, ada
pendidikan yang baik, kerja yang bagus. Umi rasa antara banyak-banyak calon
yang umi carikan untuk awak tu, Idham yang paling bagus. Sesuai sangat untuk awak.”
Puan Bahyah tersenyum-senyum membayangkan hasrat hati. Gembira benar dia
apabila bercakap tentang anak sahabat baiknya itu.
“Dua bulan lepas Auntie Jamilah awak ada call umi, fasal awak. Umi kata awak tu
jenis liat nak kahwin. Terus dia cadangkan awak dipertemukan dengan si Idham
tu. Tapi umi ingat dia mesti tak serius, jadi umi pertemukan awak dengan yang
lain-lain. Tak sangka betul Idham tiba-tiba nak balik ke sini.” Cerita ibunya
sekadar mengulang cerita yang sama sejak beberapa hari yang lalu. Cika sendiri
sudah muak mahu mendengar cerita yang sama diperdengarkan berulangkali. Mahu
muntah darah dia kalau mendengar nama Idham disebut-sebut lagi. Aduh umi!
Cukuplah tu!
“Orang belajar kat oversea
takkan tak ada calon pilihan sendiri kut.” Cika mencebik, perlahan sahaja
suaranya.
Puan Bahyah mengerling ke arah si anak. Melihat wajah
Cika yang tidak ada mood, dia hanya
mampu mengeluh panjang.
“Idham tu anak kesayangan ibunya. Takkanlah dia nak cari
calon isteri yang bukan-bukan. Awak tu janganlah asyik nak buruk sangka dengan
orang, tak baik.”
“Umi, Cika tak buruk sangka. Cika cakap yang betul ni.”
“Sudah! Awak memang banyak songeh tahu Cika. Pening Umi
tengok awak ni. Rasanya tak ada mana-mana lelaki pun dalam dunia ni yang boleh handle awak macam umi.” Marah Puan
Bahyah.
“Umi, please…Cika..Cika
tak sukalah dengan Idham tu.” Cika mengeluh.
“Tak suka? Aik, jumpa pun jarang. Apa benda yang awak tak
suka fasal dia? Umi tengok Idham tu baik, kacak orangnya, berpendidikan tinggi
pulak tu. Apa yang tak kena dengan dia?” Soal Puan Bahyah.
Cika terdiam. Ringan mulutnya mahu bercerita dengan
ibunya tentang Idham. Tapi sejurus kemudian dia merasa tidak wajar pula dia membuka pekung 12 tahun yang lalu.
Lagipun hal itu sudah lama berlalu! Hal dah lama, tapi sakit hati masih kekal
di dalam!
Tanpa disedari, perbualan Cika dan Puan Bahyah mencuri
masuk ke gegendang telinga seorang lelaki yang duduk membelakangi Cika. Sudah
lama dia duduk di situ apabila kedua beranak itu muncul dan mengambil meja di
belakangnya. Mendengar perbualan itu, entah kenapa bibirnya tersenyum lebar.
Lucu! Di zaman moden ini, masih ada lagi kes kahwin kerana pilihan keluarga?
“Kenapa kau senyum-senyum tu?” Jak bertanya. Hairan
melihat si teman yang tersengih-sengih seperti ada sesuatu yang mencuit hati.
Nadim berpaling ke arah Jak yang sudah muncul dan duduk
di hadapannya. Dia sekadar menggelengkan kepala.
“So macamana dengan offer
abang tu? Kau setuju ke tidak ni?” Jak kembali ke pokok persoalan yang masih
belum selesai dibincangkan.
“Berapa lama?” Soalnya.
“Lebih kurang dua minggu. Fasal salary, kau jangan risau. Abang jamin memang lumayan.” Jak
tersengih.
“Dua minggu tu lama sangat.” Komennya separuh mengeluh.
“Come on Nadim.
Abang tak rasa itu masalah besar untuk kau. Lagipun antara banyak-banyak orang,
abang rasa kau yang paling layak.” Pujuk Jak.
Nadim tidak terus memberi jawapan. Dia mahu berfikir
dahulu sebelum memberi kata putus. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan pasport dan
tiket kapal terbang yang diserahkan kakaknya malam semalam. Tarikh penerbangannya
di tiket tersebut bertarikh dua minggu dari sekarang. Patutkah aku ke New York ? Atau patutkah
aku terima sahaja kerja yang Jak tawarkan? Entah kenapa, Nadim rungsing
memikirkannya.
Sedang dia tenggelam dalam persoalan yang memeningkan
dirinya, dia merasakan ada sesuatu yang melanggar kerusinya. Gadis di
belakangnya bingkas bangun. Perhatian Nadim beralih.
“Nak ke mana pulak ni?” Dia terdengar wanita di samping
gadis itu bertanya.
“Ke rest room.
Cika nak betulkan make up.” Jawab si
gadis.
“Jangan nak mengarut. Mekap awak dah cantik dah tu.”
Tegah si ibu.
“Sekejap la umi. Perut Cika memulas sangat ni.” Balas si
gadis pula lalu bergegas pergi dari situ. Nadim sempat berpaling lalu
terpandang kelibat tubuh itu yang bersarung gaun berwarna pink muda dan kasut
tumit tinggi yang sempurna dengan bentuk badannya.
“Kenapa Nadim?” Jak tiba-tiba bertanya. Hairan melihat
Nadim asyik merenung ke arah seorang gadis yang berlenggang-lenggok pergi ke
suatu arah.
Nadim hanya menggelengkan kepala.
“Soal tadi, INSYA ALLAH saya akan berikan jawapannya
esok. Bagi saya satu hari untuk berfikir.” Pinta Nadim.
Jak menarik nafas panjang. Sejurus dia mengangguk.
Menyetujui permintaan Nadim yang bukan keterlaluan.
Sepeninggalan Jak, Nadim masih termenung di kerusinya. Pergi
ke tak pergi ni? Kalau dia pergi, sekurang-kurangnya dia dapat lari dari
ayahnya dan Emilia. Mungkin ini peluang terbaik untuknya berehat dan
menenangkan fikiran.
Ketika dia mahu beredar, dia baru perasan gadis itu masih
belum kembali ke tempat duduknya. Dia sempat mengerling wajah si ibu yang
kelihatan gelisah. Namun dia malas mahu mengambil tahu perihal yang tidak ada
kena mengena dengannya. Langkahnya diatur ke arah keretanya.
Namun belum panjang langkahnya, tiba-tiba dia terhenti.
Nun jauh di hadapannya terdapat seorang gadis sedang bersandar di badan Toyota
Prius miliknya. Wajahnya berkerut, memerhatikan gadis itu. Pakaian gadis itu
kelihatan cantik dengan dress labuh
berwarna pink muda dan kasut tumit tinggi yang senada dengan warna pakaian.
Melihat pakaian gadis itu, entah kenapa Nadim tiba-tiba teringatkan sesuatu.
Gadis di restoran tadikah?
Tiba-tiba gadis itu menoleh, menyerlahkan seraut wajah
yang membuatkan Nadim tergaman. Wajah itu semakin mencuri tumpuan. Gadis itu
lagi! Gadis yang ditemui di tandas wanita di Jumbo Jeep. Kali kedua sewaktu dia
menyelamatkan gadis itu dari hampir jatuh di balkoni pejabat ayahnya. Dan hari
ini dia menemui semula gadis itu bagaikan putaran roda. Seolah-olah mereka mempunyai
ikatan dengan Jumbo Jeep itu.
Melihat gadis itu mengalihkan pandangan, dia berasa lega
sedikit. Ternyata arah pandangan mata gadis itu bukan tertumpu ke arahnya. Tapi
satu hal yang menjadi masalah besar ialah bagaimana dia mahu menuju ke arah
keretanya jika gadis itu seolah-olah mahu berkampung di situ. Hendak menegur
dan bertanya khabar tentulah janggal dirasakannya apatah lagi mereka baru
sahaja berperang dingin beberapa hari yang lalu. Silap-silap haribulan, dia
boleh kena penampar! Aduh tak sanggup!
Melihat kelibat seorang
budak lelaki berkulit hitam, berusia dalam belasan tahun, Nadim didatangi idea.
Dia segera menggamit budak lelaki itu supaya menghampirinya. Sambil menyeluk
saku seluar dan mengeluarkan sekeping not RM5, dia membisikkan sesuatu ke
telinga kanak-kanak itu.
“Boleh?” Tanyanya ingin tahu.
“Beres bang.” Jawab budak lelaki itu sambil menaikkan ibu
jarinya sebelum berlalu ke arah gadis di keretanya. Nadim hanya ketawa kecil.
Dia sendiri tidak tahu kenapa dia melakukan jenaka sebegini terhadap gadis itu.
Yang pasti ini tentunya menarik! Balas dendam? Entah, dia tidak pasti. Yang
nyata dia mahu mengenakan gadis yang poyo itu.
3 comments:
alahai curiousnya. nak lagi nak lagi.^^
alhamdulillah.. dah habis baca... thumb up..
alamak....
apa di buat Nadim tu ekk...
saspen tu.....
next n3...... plzz...
jeng jeng jeng.....
Post a Comment