SUDAH hampir dua jam mereka menanti. Davian sudah tertidur di atas kerusi panjang di bilik itu. Setelah dia balik dari membeli makanan untuk Blast, dia langsung melepaskan penat di sofa panjang itu sehingga terlelap.
Tinggal Rafique dan Blast sahaja yang masih meneliti keputusan FAM yang sedang mengimbas wajah hampir seribu orang pelajar perempuan di kolej itu.
“Kau kata sekejap je. Ini dah makan dua jam dah ni. Bila nak siap?” Rafique merungut.Bengang pun ada kerana dia terpaksa memerap di bilik sempit itu sejak dua jam yang lalu. Habuk pun tarak!
“Sorrylah, aku lupa nak cakap yang program FAM aku ni memang cepat. Cuma komputer ni je yang lembab sikit. Almaklum komputer lama. Enjin pun enjin lama.” Blast tersenyum tanpa rasa bersalah.
Rafique mengeluh. Bengang juga dia memerhatikan kualiti program itu mengimbas gadis-gadis pelbagai wajah. Ada yang berkulit putih, hitam manis, kuning langsat dan sebagainya. Yang berkulit merah bata pun ada. Terlebih losyen UV agaknya! Rafique mencongak sendiri sambil mula menguap. Matanya sudah suam-suam kuku. Melihat Davian yang terlentang di atas sofa, ingin rasanya dia menolak jatuh tubuh temannya itu dan mengambil giliran berbaring pula. Tak guna si Davian ni! Aku dah berpeluh-peluh menanti, dia sedap-sedap aje dibuai mimpi! Gumam Rafique bengang.
“Blast, kau ada sofa lebih tak?” Tanya Rafique tanpa menoleh ke arah Blast.
Blast tidak menjawab. Rafique segera mengerling. Tapi dia hairan melihat wajah Blast yang terpaku seperti patung. Mata lelaki itu membuntang ke hadapan skrin.
Rafique turut mengalihkan pandangannya ke arah skrin komputer. Sejurus matanya terperosok pada satu wajah manis yang terpampang di hadapan skrin. Dia melihat peratus padanan wajah itu. 97 peratus? Biar betul!
Blast tiba-tiba menoleh. “Tia ke yang kau cari?” Tanya Blast dengan wajah bingung.
Rafique tidak menjawab. Dia mendekatkan dirinya ke hadapan skrin komputer. Wajah di hadapannya ditilik teliti. Tia Adila Binti Ahmad Faruk. Tak mungkin dia! Rafique kelihatan keliru. Apakah Tia Adila sememangnya anak keluarga Casper yang dicari-carinya? Dia melihat pula wajah kanak-kanak kecil yang sedang bermain basikal itu. Baru dia sedari, senyuman kanak-kanak itu dengan senyuman Tia memang ada sedikit persamaan.
2 comments:
ehmm...misteri....
isshhhhhhhh, tu mesti nak kenenkan tia dgn anak datin tu!! tak moh!!! apapun, akak follow..............
Post a Comment