BERKALI-KALI dia cuba mendail nombor telefon Cika
sepanjang hari, namun panggilannya langsung tidak diangkat anak gadisnya. Dia
mengenggam bucu telefon bimbitnya sekuat hati. Berang dengan sikap Cika yang
sengaja tidak makan nasihat. Bersusah payah dia mengaturkan pertemuan Cika
dengan Idham Hariz, tapi Cika tiba-tiba menghilangkan diri pula. Ini yang membuatkan
dia panas baran. Si Cika harus diajar hari ini! Nekad Puan Bahyah.
Tidak puas hati kerana tidak ada yang mendengar
rungutannya di rumah, maka dia menghubungi Ubek di pejabat pula. Hendak
menghubungi suaminya, lelaki itu sudah awal-awal memberi amaran jangan
menganggunya kerana sedang berlatih untuk persembahan konsert diraja.
“Ubek! Umi ni. Umi nak awak datang ambil umi kat rumah
sekarang juga. Umi nak pergi cari Cika sampai dapat. Lepas tu umi nak balun
budak bertuah tu cukup-cukup. Umi rasa dia mesti ada kat office dia sekarang. Kat mana lagi tempat dia nak bersembunyi kalau
tak di situ?” Suaranya umpama mortar meluncur keluar tanpa memberi peluang Ubek
berkata-kata.
“Umi kalau nak serang dia pun, tunggulah dia balik rumah
dulu. Baru serang dia puas-puas. Nanti Cika tak malu, umi yang terkedu kalau
sampai sana nanti.”
Bantah Ubek selamba.
“Awak ni nak menangkan siapa Ubek? Umi ke Cika?” Rungut
Puan Bahyah.
Ubek ketawa kecil di hujung talian. “Ubek sokong umilah,
tapi apa-apa hal, umi tunggulah Cika balik. Kejap lagi Ubek ada meeting ni. Okeylah, Ubek ada banyak kerja
ni. Nanti kita jumpa kat rumah ya. Bye!”
“Ubek!” Panggil Puan Bahyah. Tapi dia sudah terlambat.
Anak bujangnya sudah menamatkan perbualan. Bertuah punya anak! Keluh Puan
Bahyah. Adik dengan abang sama aje spesiesnya!
Dia mengigit bawah bibir.
Otaknya menerawang memikirkan sesuatu.Sejak dua menjak ni Cika semakin tidak
mendengar cakap. Dua hari lepas Cika dah mengkantoikan hajatnya hendak
bermenantukan Zain, anak saudara Puan Sapiah yang merupakan jiran kakak
sulungnya. Hari ini pulak sekali lagi Cika panjang akal dan menghilangkan diri
begitu sahaja. Mujur dia juga panjang akal dan terpaksa merangka pelbagai
alasan untuk Cika. Cirit-birit? Ah lantaklah apa sahaja, asalkan Puan Jamilah
dan Idham tidak berfikir yang bukan-bukan.
Dia memang berhajat besar
mahu menjodohkan Cika dengan Idham yang cukup sempurna di matanya. Idham
seorang broker saham yang bergaji besar. Senang hidup Cika nanti kalau
berkahwin dengan Idham. Cika…Cika, awak memang suka buat umi pening kepala!
Keluh Puan Bahyah, sudah mati akal mahu melahar anak gadisnya yang tidak makan
saman itu.
* *
* *
UBEK meletakkan telefon
sambil mengeluh panjang. Hai tak habis-habis uminya sibuk nak mencampuri hidup
Cika. Kasihan pula dia melihat Cika yang seperti burung raja udang yang
tersepit pada batang pisang. Hendak menolong pun dia tidak mampu. Silap-silap
dirinya pula menjadi target uminya. Aduh ampun!
Dia sendiri tidak tahu kenapa Cika susah sangat hendak
mencari teman lelaki. Pernah dahulu dia cuba memperkenalkan adiknya itu
dengan klien syarikatnya, tapi sekali sahaja gadis itu mahu keluar bersama
Bert. Kata Cika, lelaki itu bukan jenis yang dia suka. Masalahnya semua lelaki
di dunia ini adiknya itu tidak pernah suka. Selepas itu dia perkenalkan pula
Cika dengan teman satu sekolahnya Fikri. Belum sempat keluar berdating, Cika
sudah buat hal bermacam-macam ragam sehingga dia naik segan dengan Fikri.
Akhirnya dia sudah malas mahu mencampuri urusan adiknya.
“Kenapa perangai adik macam ni? Pelik sungguh abang
tengok.” Dia pernah slow talk dengan
adiknya semasa keluar memancing di hujung minggu.
Cika menoleh dengan wajah berkerut. “Pelik yang
macamana?”
“Yalah, abang tengok adik dengan lelaki macam planet Marikh
dengan planet of the apes. Tak join
langsung, apasal?” Pernah dia bertanyakan soalan itu dengan Cika. Namun gadis
itu hanya ketawa mendengar kata-katanya.
“Cika okey apa. Mana ada yang pelik.” Rungut anak gadis
itu.
“Adik tak nak kahwin?”
Gadis itu tergelak besar. “Belum ada jodoh macamana nak
kahwin?”
“Habis kalau jodoh tu ada depan mata, tapi adik yang tak
mahu macamana?”
“Mana abang tahu itu jodoh Cika? Bukankah patutnya Cika
yang rasakan sendiri bukan orang lain?” Jawab anak gadis itu.
“Adik dah nak masuk 29 tahun.” Dia cuba mengingatkan adiknya.
“Nope..wrong! Cika
sebenarnya 27 tahun dan baru nak masuk 28 tahun. Apasal semua orang asyik lupa umur Cika? Kat
Kuala Lumpur ni, umur 28 tahun tu kira muda lagi tau.” Pintas Cika enggan
mengalah.
“Eleh dia ni mengaku muda.” Dia ketawa mengekek mendengar
kata-kata Cika. Dasar minah perasan!
“Habis, abang ingat abang tu muda sangat lah?” Giliran
Cika pula mencebik.
Dia hanya mampu ketawa kecil mendengar kata-kata si adik
yang sudah mahu merajuk. Perbicaraan mereka terus terhenti setakat itu sahaja.
Bukan dia sengaja malas mahu masuk campur perihal Cika, tapi dalam masa yang
sama dia juga tidak mahu hilang partner memancingnya.
Ingat best ke memancing sorang-sorang
ni? Kalau dengan Cika, aktiviti memancing jadi lebih best sebab adiknya itu akan membawa pelbagai jenis bekal seperti
hendak berkelah pula gayanya.
Ubek ketawa kecil. Terasa lucu pula dia dengan sikap
Cika. Tapi sayangnya pada Cika memang melebihi segala-galanya, lantaran mereka
hanya dua beradik. Umurnya dengan Cika pula tidak jauh berbeza, hanya dua tahun
saja jaraknya. Maka kerana itu dia amat memahami kerenah dan sikap Cika kecuali
dalam soal mencari teman hidup. Yang itu dia surrender awal-awal. Tak berani nak masuk campur!
* *
* *
CIKA mengeluh panjang.
Dahinya berkerut memikirkan hal siang tadi. Kenapa pulak umi marah-marah dan
mencarinya? Bukankah uminya yang menyuruh dia balik sahaja? Terkejut dia
apabila Ubek menelefonnya sebentar tadi memberitahu tentang ibu mereka sedang
marah-marah dan mencarinya.
“Umi suruh adik balik cepat. Apa yang adik dah buat
sampai umi naik marah?” Soal Ubek sebentar tadi.
“Cika buat apa? Tak ada apa-apa pun.” Dia tergaman.
“Adik kat mana sekarang?”
“Cika ada kat shopping
complex ni, tengah beli barang.” Jawabnya.
“Kalau macam tu jangan balik lagi. Tunggu sampai umi
sejuk dulu baru adik balik.” Usul Ubek.
“Dah dekat nak malam ni abang.”
“Adik nak kena bambu dengan umi ke? Sanggup nak dengar
umi marah-marah adik macam selalu?” Soal Ubek.
“Habis? Cika nak buat apa?”
Ubek terdiam sebentar. Sejurus kemudian lelaki itu ketawa
kecil.
“Abang ada idea cantik punya. Itu pun kalau adik nak
dengar dan ikut cakap abang.” Gelak Ubek.
Seterusnya dia hanya mendengar. Tapi sejurus Ubek
menerangkannya, dia sudah tergelak-gelak kecil. Gila siot idea abangnya itu..
Jangan uminya kena heart attack cukuplah.
Tapi idea Ubek memang sentiasa gila-gila. Perangai Ubek memang hancur kalau
bab-bab mengenakan ibu mereka!
* *
* *
“DAHLAH tu Puan Bahyah oi,
dah dekat dua jam awak asyik berulang alik depan muka saya ni. Tak reti-reti
penat ke?” Tegur Encik Nordin seraya memerhatikan gerak-geri isterinya.
Puan Bahyah tidak mempedulikan kata-kata suaminya.
Sebaliknya matanya tak habis-habis merenung jarum jam di dinding ruang tamu.
Dah dekat pukul 10 malam ni. Ke mana Cika pergi? Ubek pun tidak menelefon-nelefon
ke rumah.
“Lepas Cika balik ni, cubalah slow talk dengan anak dara awak tu. Jangan asyik tahu nak marah
aje. Kita ni bukan muda lagi. Jantung awak tu kena dijaga. Jantung saya pun
sama.” Ujar Encik Nordin seraya ketawa kecil.
Puan Bahyah menjeling suaminya dengan ekor mata. Geram
hatinya mendengar kata-kata suaminya yang jelas menyindir.
“Jenis macam Cika ni bukan boleh bawa slow talk. Ada aje kerenah dia yang buat saya geram.
Awak pun sama.” Getus Puan Bahyah.
“Eh kenapa saya pulak?” Encik Nordin terpinga-pinga.
“Si Cika ni berani melawan sebab awak tu yang beri muka
sangat kat anak dara awak tu. Itu sebab Cika jadi macam tu.” Tuduh Puan Bahyah.
“Ni yang tak sedap dengar ni. Awak tu yang keras sangat
dengan dia. Suka paksa dia buat benda-benda yang dia tak suka. Itu sebab dia
memberontak.” Balas Encik Nordin pula. Bunga-bunga pertengkaran mula bercambah,
tapi nada suaranya tetap terkawal. Dia memang orang yang sangat tenang bila
berhadapan dengan masalah. Sikap positif Encik Nordin memang sering menundukkan
sikap keras kepala isterinya.
“Awak apa tahu? Saya ni kalau tak paksa si Cika tu, entah
sampai umur 30 pun dia takkan kahwin-kahwin.” Leter Puan Bahyah.
“Puan Bahyah, ajal maut dan jodoh ni kerja ALLAH. Kenapa
kita yang manusia ni memandai-mandai nak campur tangan soal yang hanya Dia yang
tahu? Kita patut bersyukur sebab Cika tu membesar sempurna, berpendidikan dan
yang paling penting hormatkan kita.” Nasihat Encik Nordin cuba berlembut.
Puan Bahyah hanya membisu seribu bahasa. Kata-kata suaminya
ditelan antara mahu dengan tidak. Suaminya kalau sudah bercakap dengan nada
serius, memang susah dia mahu menang lagi. Ada sahaja benda yang digunakan untuk
mematahkan cakap-cakapnya.
“Cika tu anak kita. Kalau dia tak kahwin-kahwin
sekalipun, dia tetap anak kita. Anak kesayangan saya dan awak. Bagi saya
asalkan Cika sihat dan gembira, itu sudah cukup bagi saya.” Sambung Encik
Nordin lagi.
Puan Bahyah tunduk. Termasuk juga kata-kata suaminya itu dalam fikiran. Dia
mengigit bibir. Cuba
memikirkan nasihat suaminya itu dari sudut positif. Jika difikir-fikirkan dia
memang kerap memarahi Cika sejak akhir-akhir ini. Tapi Cika tidak pernah
sekalipun berkasar atau meninggikan suara dengannya. Paling-paling pun Cika
akan menghilangkan diri. YA ALLAH! Aku ini terlalu memaksa diakah? Tapi sebagai
ibu, aku mahukan yang terbaik untuk Cika. Mahu anak itu menemui jodoh yang
sepadan dan hidup bahagia.
Bunyi kenderaan di luar laman rumah mengejutkan
kedua-duanya. Encik Nordin menjenguk ke luar.
“Ubek dah balik.” Ujarnya.
Puan Bahyah hanya mengeluh. Ingatkan Cika! Sekali lagi
dia mengerling ke arah jam dinding. Masa semakin berlalu, tapi Cika masih tidak
pulang-pulang lagi. Ke mana gadis itu pergi sebenarnya? Menjawab panggilan pun
tidak! Keluh Puan Bahyah risau.
“Astaghfirullahalazim, apa kena dengan adik kamu ni
Ubek?” Suara Encik Nordin yang meninggi mengejutkan Puan Bahyah. Dia berpaling.
Muncul Ubek di muka pintu sambil memapah Cika yang kusut masai. Puan Bahyah
tergaman. Serta-merta dia meluru ke arah kedua-dua anaknya.
“Ubek? Cika? Kenapa ni?” Soal Puan Bahyah gusar.
Ubek tidak menjawab. Dia segera memapah Cika ke arah sofa
berdekatan. Puan Bahyah dan Encik Nordin sekadar menuruti kedua-duanya dengan
wajah gusar.
“Ubek, kenapa dengan si Cika ni? Apa yang dah berlaku?”
Soal Puan Bahyah lagi. Dia segera memegang bahu anak gadisnya, membetulkan
rambut Cika yang kusut masai serta pipi yang sedikit kebiruan seperti
bekas-bekas lebam.
Ubek memandang kedua-dua ibubapanya silih berganti.
Bibirnya melepaskan keluhan kesal.
“Cika kena samun tadi umi, babah.”
“Hah?” Wajah Puan Bahyah pucat lesi. Cepat-cepat dia
merangkul bahu anak gadisnya. Apa yang Ubek katakan benar-benar menggerunkan
dirinya. Sudah banyak kes-kes melibatkan samun yang didengarnya dari
berita-berita di televisyen. Dan adakalanya sehingga meragut nyawa. Bagaimana
kalau kejadian yang berlaku hari ini membuatkan dia kehilangan Cika? Ya ALLAH,
dia tidak sanggup memikirkannya.
“Cika kena samun dengan dua orang mat rempit tadi.
Mujurlah dia tak apa-apa. Ubek tengah siap-siap nak balik bila Cika call Ubek tadi.” Jelas Ubek panjang
lebar.
“Dah report polis?”
Ubek menggeleng. Sempat pula melirik ke arah adiknya yang
hanya berdiam diri.
“Belum babah. Ubek dah nak call polis tadi, tapi Cika melarang. Dia kata dia tak nampak muka
dua orang penyangak tu. Nombor plat motor pun dia tak nampak. Jadi kalau kita
report polis pun percuma sahaja.” Ujar Ubek.
Encik Nordin mengangguk. Menyedari kata-kata Ubek ada
benarnya.
“Habis si Cika ni dah ke klinik ke belum?” Tanya Puan
Bahyah, risau melihat lebam-lebam di bawah mata serta di pipi Cika di sebelah
kiri. Encik Nordin turut menjenguk memerhatikan wajah anaknya yang sedikit
pucat. Rambut pun sudah mengerbang gaya
afro.
“Tak payahlah umi, babah. Cika tak apa-apa, cuma lebam
sikit aje. Masa Cika nak rampas beg tangan Cika, salah seorang penyangak tu
terus tempeleng Cika.”
“MASYA ALLAH! Kurang ajar punya penyamun tarbus. Berani
dia usik muka anak umi ni.” Getus Puan Bahyah berang.
“Cika sakit tahu umi. Habis satu badan Cika ni
sakit-sakit.” Cika mengadu domba.
“Alah kasihan anak umi ni. Jom umi bawa awak berehat kat
bilik. Nanti umi masakkan bubur dengan sup untuk awak.” Pujuk Puan Bahyah. Dia
segera memapah anak gadisnya naik ke atas sambil terkelip-kelip diperhatikan
Ubek dan Encik Nordin.
“Dah sejuk nampaknya umi kamu tu Ubek.” Selar Encik
Nordin.
Ubek hanya mengangguk sambil tersenyum gelihati. Lucu
kerana umpannya mengena. Hati uminya dengan segera sejuk gara-gara Cika disamun
hari ini. Lakonan dia dan Cika memang highclass.
Aaron Aziz pun boleh makan pasir!
4 comments:
jahat la ubek ne. >< tp xpe2 utk adk kesayangan, no hal punyer.ehehe lain kali jgn buat lg ek. kesian kat umi.^^ aish xsbr nak tunggu entry bru. cepat2 smbung ek kak. =)
Ahahahahaha comel je ubek dengan cika! Punyalah sayang adik, bermacam idea keluar!!
hahaha....
adik beradik sama2 sengal...
saya dh beli novel ni, dh abis baca
tu jam juga....
mmg best x rugi beli.....
silalah beli, pasti seronok
tahniah cik penulis....
cerita yg menarik.
ku terperanjat bila nampak novel ni kat mph dan terus rembat. Best ceritanya....
Post a Comment