BUNYI
riuh rendah di luar mengejutkan dirinya dari tidur. Dia memasang telinga. Suara
yang sedang menyanyi-nyanyi itu didengari dengan teliti. Siapa pula suara
sumbang yang sedang berlatih pitching ni? Menganggu betul!
Dia memakai pijamanya
lalu melangkah ke muka pintu. Pintu di hadapannya dikuak berhati-hati sebelum
dia mengintai keluar. Dan pemandangan
yang sama malam semalam muncul lagi.
Suri Imani mendengus
kasar. Not again! Really?
Dia merenung ke arah
Mikey Mikhail yang masih melalut tidak tentu fasal. Kadangkala terfikir juga dia, ada 5 buah
pintu apartmen di sepanjang aras itu, tetapi selama ini dia tidak pernah nampak
atau bertembung dengan jiran-jiran lain kecuali Mikey Mikhail. Aneh! Mereka
yang lain tak pernah terganggu ke dengan bunyi bising dari lelaki itu? Mustahil
langsung tak!
Dia bercadang mahu
menghubungi pihak sekuriti Desa Villa, melaporkan gangguan dari lelaki pemabuk
itu. Tetapi baru dia hendak mendail ke pejabat sekuriti, ingatannya tiba-tiba
terperosok pada peristiwa lelaki itu membantunya di Nusa Jaya siang tadi. Dia baru berbudi dengan kau siang tadi
Suri, sekarang kau nak laporkan dia pada
sekuriti?
Suri Imani melepaskan
keluhan. Dia keluar semula dari rumahnya, lalu terpandang sesusuk tubuh itu
yang sudah tidur. Hmm..baguslah, kau dah tidur. Aman damai sedikit hidup aku!
Lepas ni tak payah lagi telinga ni naik berbirat mendengar benda-benda mengarut
itu keluar dari mulut kau! Getus Suri Imani lega.
SELESAI mengangkat
lelaki itu ke atas sofa, Suri Imani terduduk sebentar menghilangkan lelahnya.
Gila! Aku sahajakah gadis yang gila kerana membantu lelaki mabuk itu buat kali
kedua berturut-turut? Malah seperti tahu-tahu sahaja, dia mencari kad kunci
rumah lelaki itu di poket yang betul.
Melihat ke arah deretan
arak-arak yang tersusun di atas kabinet dapur itu, entah kenapa dia semakin
benci melihat pemandangan itu. Macamanalah malaikat nak masuk kalau brandi, bir
dan champagne itu tertenggek megah di situ?
Dia bingkas bangun dari sofa lalu berjalan ke arah botol-botol arak itu.
Bawah bibirnya digigit, kebiasaan yang sering dilakukannya jika dia sedang
berfikir panjang.
Matanya menjeling ke arah
Mikey Mikhail yang masih tertidur pulas tidak sedarkan diri. Bagus! Dengan
tahap alkohol lelaki itu, mungkin lelaki itu hanya akan bangun keesokan
harinya.
Dia membawa botol-botol
arak lelaki itu ke arah sinki lalu menuangkannya sehingga habis ke bawah sinki.
Setiap satu botol yang ada di rak itu dikosongkan. Botol-botol itu kemudian
dikumpul ke dalam karung plastik untuk dibuang.
Ketika dia asyik dengan
kerjanya, telinganya tiba-tiba menangkap suatu bunyi. Suri Imani segera menoleh ke arah Mikey
Mikhail. Tubuh lelaki itu bergerak-gerak sedikit, membuatkan jantungnya hampir
terhenti. Aduh! Macamana ni? Macamana kalau lelaki itu terjaga dan melihatnya
di situ? Apa yang patut diberikannya sebagai alasan?
Namun melihat Mikey
Mikhail berhenti bergerak, barulah lega sedikit hatinya. Dia harus cepat-cepat
menyelesaikan kerjanya sebelum tertangkap.
Namun sebaik daun pintu
di hadapannya dikuak, muncul seraut wajah sedang memandang ke arahnya. Suri
Imani tergaman. Lelaki di hadapannya ikut terperanjat. Wajah Suri Imani ditatap
tidak berkelip.
“You ni siapa?” Tanya
lelaki itu dengan dahi berkerut seribu.
“Err..sa..saya orang
gaji.” Jawab Suri Imani tanpa berfikir panjang.
“Orang gaji? Sejak bila
Mikey ambil orang gaji?” Suara lelaki itu semakin hairan.
Dia segera bergegas
keluar dari situ. Sasarannya ialah apartmennya sendiri. Cepat-cepat dia masuk
ke dalam rumahnya lalu mengunci pintu dengan dada berdebar-debar. Sejurus
menyedari karung sampah berisi botol-botol arak itu turut dibawanya masuk, Suri
Imani mengeluh panjang. Alamak!
AMSYAR melirik
ke arah si gadis yang bergegas memasuki apartmen 7D itu. Telinganya masih belum
pekak mendengar si gadis menyebut dia orang gaji. Habis kalau betul Mikey
Mikhail baru mengupah orang gaji, apa yang perempuan itu buat di rumah sebelah
pula? Pelik!
Dia melangkah masuk ke
dalam, lalu menemukan Mikey Mikhail yang sedang tertidur pulas di atas sofa.
Badan lelaki itu kuat berbau arak. Amsyar menggeleng. Dia duduk di hadapan
sahabatnya itu seraya mengeluh panjang. Bilalah Mikey ni nak berubah? Tiap-tiap
malam mabuk begini, sahabatnya itu hanya akan merosakkan diri sendiri. Dahulu
dia juga seperti Mikey Mikhail, sering mabuk-mabuk setiap hujung minggu. Malah
dia boleh dikatakan teman rapat Mikey Mikhail jika diajak berpoya-poya di luar.
Tetapi setelah ibunya jatuh sakit hampir setahun yang lalu, rutin mabuk bersama
Mikey Mikhail sudah ditinggalkannya sama sekali.
Teringat tujuan
kedatangannya, Amsyar segera menyeluk saku seluarnya. Mengeluarkan seutas
rantai lalu merenung rantai itu dengan senyuman. Kerana Mikey Mikhail, rantai
cantik itu tak lama lagi akan menjadi milik Shira, tunangnya. Thanks Mikey,
I owe you! Bisiknya seraya merenung wajah di hadapannya yang masih lagi
tidak sedarkan diri.
“Mikey….wake up.”
Usik Amsyar, cuba mengejutkan sahabatnya itu.
“Hmm…” suara sahutan
lelaki itu kedengaran. Tetapi mata lelaki itu masih terpejam rapat. Amsyar
mengeluh panjang. Dia beredar ke arah sinki, lalu mengisi air pili ke dalam
gelas kosong yang ditemukannya di atas para.
Air itu kemudian direnjis ke muka Mikey. Masih tidak ada reaksi. Amsyar
mengigit bibirnya. Tanpa berfikir panjang,
air di dalam gelas itu segera dicurah begitu sahaja ke muka Mikey.
“What the….” Suara
Mikey Mikhail singgah. Lelaki itu terpisat-pisat cuba membuka matanya.
“Bro, bangunlah. Aku
singgah sini bukan nak hadap muka kau sedang tidur.” Amsyar menolak-nolak tubuh
Mikey Mikhail dari atas sofa. Sengaja!
Mikey Mikhail memandang
layu ke arah Amsyar. Dia masih mamai dan pusing. Kepalanya terasa amat sakit
menyengat.
“Bila kau sampai?”
“Baru lagi. Aku singgah
nak jenguk keadaan kau,” ujar Amsyar.
“Kau dari mana?”
“Aku baru balik dinner.
Kau lupa hari ni aku ada makan malam dengan bakal mertua aku? Mak ayah aku pun
ada sekali. Aku ingat nak ajak kau, tapi kau off telefon sepanjang malam
ni. Aku risaukan kau, sebab tu aku datang. Tapi rupa-rupanya kau dah ada
program lain.” Senyum Amsyar penuh bermakna.
“Oh ya aku lupa, sorry
Am. Lagipun kalau aku ada pun, tak mungkin aku turut serta. Aku tak nak kena
bunuh dengan Shira. Kau tahulah girlfriend kau tu tak sukakan aku.”
Sahut Mikey Mikhail.
Amsyar ketawa kecil
mendengarnya. Shira bukan tidak sukakan Mikey Mikhail, cuma takut dia
terpengaruh dengan gaya hidup Mikey Mikhail, itu sahaja. Melihat Mikey Mikhail
terhuyung hayang cuba bangun dari sofa itu, dia terpinga-pinga.
“Nak ke mana tu?”
“Aku haus, nak cari
minuman,” ujar Mikey Mikhail. Dia berjalan ke arah kaunter barnya, tetapi
sebaik melihat kaunter bar itu kosong sahaja, dia tercengang-cengang. Aku salah
tengokkah? Dia menggosok-gosokkan matanya beberapa kali.
“Kau cari apa tu?” Dahi
Amsyar berkerut. Hairan melihat gerak-geri temannya yang seperti anak ayam
kehilangan ibu. Apa yang dicari Mikey Mikhail sebenarnya?
“Pelik! Mana perginya
botol-botol arak aku?” Suara Mikey Mikhail membuahkan pertanyaan.
Amsyar terpinga-pinga.
Mata Mikey Mikhail
mencerun ke arah sahabatnya. “Kau ada ambil arak-arak aku ya? Mana kau
alihkan?” Tanyanya ingin tahu.
“Gila kau! Aku nak buat
apa dengan arak-arak tu. Aku dah nak kahwin, aku tak nak sentuh benda haram tu
lagi.” Getus Amsyar.
“Baru pagi tadi aku
nampak botol-botol arak tu masih tersusun kat situ. Alih-alih kau datang hari
ni, hilang pulak. Kalau bukan kau, siapa lagi?” Mikey Mikhail tidak berniat
menuduh, tetapi itu hakikatnya.
Amsyar terdiam. Tiba-tiba
dia teringatkan gadis yang ditemuinya sebentar tadi. Semasa hendak keluar tadi,
gadis itu memegang karung sampah yang berbunyi seperti kaca berlaga di
dalamnya.
“Aku rasa kau kena tanya
pembantu rumah kau. Aku nampak dia yang
bawa keluar botol-botol kesayangan kau tu,” ujar Amsyar yakin.
Mikey Mikhail berpaling.
Sepasang matanya tajam mengulit wajah Amsyar agak lama. Pembantu rumah? Apa
yang Amsyar merepek ni?
“Listen here Am, seriously aku langsung
tak tahu apa yang kau cakapkan ni? Pembantu rumah apa yang kau merepek ni? Aku
tak pernah ambil mana-mana maid tahu. Lagi-lagi perempuan,” Ujar Mikey
Mikhail cuba menyakinkan sahabatnya.
“Tapi aku baru je nampak
dia tadi.” Amsyar sudah keliru dibuatnya.
“Kat mana kau nampak
dia?” Tanya Mikey Mikhail ingin tahu.
“Masa aku sampai, dia
baru keluar dari rumah kau ni. Aku nampak dia pegang plastik sampah berisi
botol-botol arak kau tu. Bila aku tanya, dia kata dia pembantu rumah kau.”
Jelas Amsyar.
Mikey Mikhail terdiam.
Perempuan? Pembantu rumah? Tak mungkin!
“Kenapa kau tak tahan
dia? Kau tak fikir ke yang dia mungkin pencuri yang nak mencuri di rumah aku
ni?” Getus Mikey Mikhail kesal.
“Aku tak fikir dia
mencuri.” Amsyar tersengih lebar.
“Mana kau tahu? Well
Mr. Am, siapa yang bawa lari arak-arak mahal aku kalau bukan perempuan tu?”
Jegil Mikey Mikhail.
“Entahlah, kau terpaksa
la tanya dia sendiri apa yang dia nak buat dengan arak-arak kau tu. Kalau
nampak dari wajahnya, dia bukan kaki mabuk macam kau.” Senyum Amsyar lagi.
Entah kenapa isu tentang ‘pembantu rumah’ Mikey Mikhail itu kedengaran kelakar
pula.
“Macamana aku nak tanya
dia? Entah ke mana dia lari. Jangan-jangan dia juga bawa lari semua
barang-barang berharga lain dalam rumah ni.” Getus Mikey Mikhail seraya matanya
liar mengawasi ruang persekitaran apartmennya, mencari-cari apa yang hilang
agar tersuluh segala syak wasangkanya.
Amsyar tersengih
gelihati. Nampaknya memang Mikey Mikhail langsung tak tahu apa-apa tentang
pembantu rumahnya. Tapi siapa perempuan itu agaknya? Entah kenapa Amsyar juga
berminat ingin tahu.
“Mikey, kalau kau nak cari dia, kau pergi
ajelah. Lagipun dia tinggal dekat je.” Sambung Amsyar selamba.
Mikey Mikhail
terkulat-kulat dibuatnya. Apa maksud temannya itu?
“Aku nampak dia masuk
rumah sebelah tadi. Rasanya dia tinggal sebelah rumah kau je,” ujar Amsyar.
Mikey Mikhail
tercengang-cengang. Pembantu rumahnya jiran sebelah rumahnya? What? Really?
DIA
masih terfikirkan kebenaran kata-kata Amsyar itu. Pelik! Macamana perempuan itu
boleh masuk ke rumahnya? Dan ironinya perempuan itu hanya dekat sahaja
dengannya. Patutlah semalam ada sisa-sisa makanan di dalam bakul sampah di
rumahnya. Dan hari ini arak-araknya pula hilang. Pasti perempuan itu punya
angkara.
Sebentar tadi dia sengaja
melihat rakaman CCTV yang dipasang di bilik tidurnya. Tetapi tidak ada
tanda-tanda perempuan yang Amsyar maksudkan. Ini bermakna perempuan itu tidak
pernah masuk ke bilik tidurnya sebaliknya hanya berlegar di sekitar ruang tamu
dan dapur sahaja. Ah! Nampaknya lepas ni dia kena pasang CCTV di bahagian ruang
tamu juga. Menyesal rasanya dia tidak melakukannya lebih awal! Keluhnya.
Mikey Mikhail bingkas
bangun. Dia mahu membersihkan tubuhnya dahulu sebelum dia berfikir apa yang
patut dilakukannya. Dan sudah pasti dia berhajat mahu bersemuka dengan
perempuan jiran sebelah. Dia tahu ada jiran baru yang berpindah masuk di
apartmen 7D itu Cuma dia gagal melihat wajah perempuan itu selama ini. Tak apa,
esok masih ada. Aku akan pastikan kau jatuh dalam perangkap aku! Getus hati
kecil Mikey Mikhail, tersengih lebar.
No comments:
Post a Comment