Followers

Wednesday, May 13, 2020

Beautiful Lie (Bab 18)


DIA keluar dari kedai serbaneka itu dengan wajah muram. Hajat di hati mahu memohon kerja di kedai itu rupanya tidak kesampaian. Menurut pemilik kedai itu, jawatan sebagai penjual di situ baharu sahaja dipenuhi. Hampa! Itulah perasaan yang berpupuk di hatinya saat ini.
                Dia benar-benar perlukan kerja saat ini. Banyak bil di rumah yang perlu dibayar. Ada mulut yang harus disuap, itu belum masuk duit belanja sekolah Anas yang harus dikirim ke sekolah asrama adiknya itu setiap bulan. Malah dia juga perlukan wang untuk mengupah orang untuk menjaga ibunya. Takkan nak harapkan Mimi sahaja membantu, sampai bila? Dia tahu gadis itu juga ada impian sendiri yang harus dikejar. Tak wajar kalau dia asyik menyusahkan Mimi sahaja. Pak Mail dan Mak Timah juga tentu mengharapkan yang terbaik untuk anak gadis mereka selain dari asyik terpaksa menjaga orang sakit seperti ibunya.
                Adriana benar-benar buntu. Hendak diharapkan pada wang mengajar tuisyen, macam jauh panggang dari api. Adham Mirza bukan mahu belajar sangat seperti keinginan ayahnya. Silap-silap haribulan, belum sempat dia mahu mengajar budak itu, dia sudah dipecat dari tugasnya. Lagipun dia perempuan, manalah mampu dia mahu menahan anak muda itu dari melarikan diri.
                Mengingatkan lelaki itu, dia teringatkan sesuatu. Jarum jam di pergelangan tangannya dikerling. Sudah pukul 3 petang. Dia sepatutnya ke banglo Tuan Fahrin untuk mengajar anak muda kerek itu. Kerana bimbang terlewat, dia segera menahan teksi yang kebetulan lalu di hadapannya. Mujurlah teksi itu mahu berhenti.
                Perjalanan ke rumah Tuan Fahrin mengambil masa yang lebih lama dari yang dijangka kerana kesesakan lalulintas. Jarum jam sudah masuk pukul 3.15 petang apabila dia sampai. Terkocoh-kocoh Adriana membayar wang tambang teksi lalu menyusun langkah ke arah rumah besar itu. Tapi belum sempat dia mahu bergegas masuk, sebuah motorsikal besar keluar dari perkarangan rumah itu.
                Adriana tergaman apabila motorsikal itu berhenti mendadak di hadapannya. Si penunggang menanggalkan topi keledar yang dipakainya menyerlahkan wajah Adham Mirza.
                “Kau lambat hari ni.” Ujar Mirza dingin.
                “Awak nak ke mana ni?” Tanya Adriana ingin tahu. Soal lambat yang Mirza perkatakan itu langsung tidak menarik perhatiannya.
                “Aku ingat kau tak nak datang tadi. Merajuk sebab hal kelmarin.”
                “Tapi saya kat sini sekarang. Awak tak boleh ke mana-mana sampai saya habis bincangkan jadual waktu belajar awak.” Ujar Adriana memberi amaran.
                “Kau datang sini sebab nak bincangkan jadual waktu aku aje kan?”
                Adriana mengangguk. Memang itu niatnya.
                “Kalau macam tu nah.” Tak semena-mena Mirza menghulurkan topi keledar ke arah Adriana.
                Adriana terpinga-pinga. Nak buat apa pulak ni?
                Melihat gadis itu masih terkemut-kemut, Mirza segera memakaikan anak gadis itu dengan topi keledar tersebut. Adriana terkedu.
                “Naik!” Arah Mirza.
                “Kita nak ke mana?”
                “Naik ajelah, aku dah lambat ni.” Gesa Mirza.
                Mahu tak mahu Adriana terpaksa menaiki motorsikal lelaki itu. Belum sempat dia mahu bertanya panjang lebar ke mana mereka mahu pergi, lelaki itu sudah  memacu motorsikalnya ke arah jalan besar. Adriana terkejut bercampur cemas. Motorsikal lelaki itu dipandu agak laju, membuatkan dia tidak ada pilihan lain selain terpaksa memaut pinggang lelaki itu.
                Mirza menyedarinya, namun dia buat-buat tidak peduli. Tapi muncul sekelumit senyuman di sudut bibirnya, membuatkan niat jahatnya kembali menggebu. Dengan sengaja dia melarikan motorsikalnya lebih laju menyebabkan Adriana memaut tubuhnya lebih rapat.
*  *  *  *
MEREKA singgah di pusat boling di sebuah pusat beli belah. Adriana menunggu di luar sementara Mirza masuk ke dalam. Sebentar kemudian lelaki itu keluar sambil bercakap-cakap dengan seorang lelaki berkumis nipis. Adriana mengerutkan dahinya. Lelaki yang berlawan cakap dengan Mirza itu jauh lebih tua dari anak muda itu. Kata Mirza tadi nak jumpa kawannya di situ. Tapi takkanlah Adham Mirza berkawan dengan lelaki itu pula! Mustahil!
                Tiba-tiba dia melihat Mirza menghulurkan duit pada lelaki itu. Si lelaki pula menghulurkan satu bungkusan ke arah Mirza. Wajah Mirza kelihatan ceria melihat bungkusan tersebut. Kedua-duanya bersalaman lalu berpecah haluan.
                Adriana mula disinggahi rasa sangsi. Apa yang ada di tangan anak muda itu sebenarnya? Takkanlah dadah pulak! Tapi duit yang Mirza hulurkan tadi kelihatan agak banyak. Ya ALLAH! Jangan-jangan memang benar Mirza terlibat dengan aktiviti tak sihat. Kalaulah betul bungkusan itu berisi dadah, dengan dia sekali akan terlibat lebih jauh! Fikir Adriana. Patutlah Mirza tak bagi dia masuk, dia disuruh menunggu di luar sahaja. Rupanya ini kerja budak  sombong tu!
                “Kerja aku dah selesai. Jom kita cari tempat minum, aku haus.” Ujar Mirza seraya mendahului langkah meninggalkan Adriana.
                Adriana menarik nafas panjang. Patutkah dia beredar dari situ begitu sahaja? Tapi sebagai orang yang lebih dewasa dari Adham Mirza, sepatutnya dia menasihati lelaki itu jika benar anak muda itu terlibat dengan gejala dadah.
                Melihat kelibat Mirza masuk ke dalam Kenny Roger’s, hendak tak hendak akhirnya dia terpaksa mengekori lelaki itu. Ketika Mirza memesan makanan, dia hanya berdiam diri. Anak mata lelaki itu kini menyorot ke arahnya.
                “Kau nak makan apa?” Tanya Mirza ingin tahu.
                Adriana menggeleng. Makan pada masa sekarang? Dia langsung tidak lalu meskipun hakikatnya dia juga kelaparan.
                Melihat gadis itu tidak mahu memesan apa-apa, Mirza menarik nafas panjang.
                “Order tadi tu buat dua set ya.” Ujarnya pada si pelayan. Gadis pelayan itu mengangguk lalu segera beredar dari situ. Mirza kembali menatap wajah Adriana yang kelihatan gelisah. Sejak mereka meninggalkan pusat boling tadi, dia perasan gadis itu seperti hendak tidak hendak sahaja  mengikutnya. Kelmarin bukan main lagi berani, hari ni kenapa takut pulak?
                “Kalau nak bincang fasal jadual ke apa ke, tunggu aku makan dulu.” Ujar Mirza tegas.
                Adriana menarik nafas panjang. Kalau tadi memang itu yang dia mahu bincangkan dengan Mirza. Tapi selepas dia tahu aktiviti Mirza, moodnya sudah tidak ada. Sebaliknya dia teringin mahu tahu isi kandungan sampul coklat yang ada di atas meja itu.
                “Siapa tadi tu?” Tanya Adriana ingin tahu.
                “Siapa?” Mirza mengerutkan dahinya.
                “Yang awak jumpa tadi.”
                “Kawan.” Ujar Mirza sepatah.
                “Tak  mungkin awak berkawan dengan lelaki tu. Saya tahu awak tipu.” Jolok Adriana. Dia nekad mahu ambil tahu siapa Mirza sebelum dia setuju menjadi tutor anak muda bermasalah itu. Kalau dulu Mirza yang jual mahal, sekarang biar dia pula yang jual mahal. Fair and square!
                “Kenapa? Aku tak boleh berkawan dengan lelaki tu?”  Sepasang mata Mirza tajam mengulit wajah Adriana. Tapi sebalik anak mata Adriana juga menikam tepat ke wajahnya, bebola matanya segera berkalih. Hatinya entah kenapa berdebar-debar tatkala dia menatap wajah manis di hadapannya.
                “Lelaki tu lebih tua dari awak. Mirza, awak tak terlibat dengan sebarang masalah kan?” Soal Adriana dengan wajah serius.
                Mirza tercengang. Masalah? Apa maksud anak gadis itu?
                “Saya tak nak awak buat yang bukan-bukan. Ingat sikit, tahun ni awak nak ambil exam penting. Awak tak kasihan ke dengan ayah awak? Dia betul-betul nak awak berjaya dalam pelajaran, bukan berkawan dengan orang yang bukan-bukan dan buat benda salah.” Pujuk Adriana.
                Mendadak bunyi ketawa Mirza memenuhi suasana di restoran itu. Adriana tercengang-cengang memandang anak muda itu. Kenapa Mirza ketawa? Lucukah kata-katanya sebentar tadi?
                “Aku ingat kau degil sahaja, rupa-rupanya gila juga. What a waste.” Ujar Mirza tersenyum-senyum.
                Tergaman Adriana mendengar tutur kasar lelaki itu.
                “Cik Adriana, kau ingat aku ada buat urusniaga haram ke dengan lelaki tu?”
                Adriana terkeliru.
                “Habis? Kenapa awak bagi duit pada lelaki tu? Apa yang dia bagi pada awak tadi?” Tanya Adriana ingin tahu.
                “Ini?” Mirza mengangkat bungkusan di hadapannya seraya tersengih.
                “Kau mesti ingat benda ni dadah kan?” Gelak Mirza seperti tahu apa yang ada di fikiran Adriana saat ini.
“Ayah aku pemilik sebuah syarikat besar. Datuk aku, taiko dalam industri pembinaan. Duit kami lebih dari cukup untuk dibelanjakan. Jadi buat apa aku nak buat kerja-kerja haram tu semua?” Soal Mirza tersengih-sengih. Bunyinya macam dia bercakap besar, tapi itulah kenyataannya.
Adriana mencerlung lelaki itu seperti masih tidak yakin dengan kata-kata Mirza. Gerak-geri Mirza yang selamba entah kenapa menyukarkan dirinya untuk percaya setiap butir kata anak muda di hadapannya.
“Kenapa? Tak percaya? Kalau tak percaya, kau tengok sendirilah.” Ujar Mirza lalu mengeluarkan isi bungkusan yang dipegangnya.
Adriana tercengang-cengang melihat apa yang ada di tangan Mirza. Masya ALLAH!
“Puas hati? Ini komik Superman edisi terhad 149 yang memang susah nak dapat walau di Kuala Lumpur ni. Jadi aku minta abang yang kerja di kedai komik tu dapatkannya dari Singapura. Mujur ada. Kau tahu aku bayar berapa untuk komik ni? Dekat RM2000 ringgit.” Ujar Mirza seperti berbangga melihat hasil usahanya mendapatkan komik tersebut berjaya.
Adriana melopong mendengar kata-kata lelaki itu. Komik budak-budak tu mencecah harga ribuan ringgit? Gila ke apa anak orang kaya ni?
“Awak bayar beribu hanya untuk komik ni?” Adriana tergelak-gelak kecil. Lucu entah kenapa!
“Hei ini edisi terhad lah. Kau ingat aku jadi kolektor edisi komik selama ini hanya untuk kumpul komik-komik murahan? Kalau aku jual semua komik-komik edisi terhad kat bilik aku tu, jangan-jangan aku dah boleh beli kondominium mewah di KL ni.” Ujar Mirza.
Adriana tergelak lagi. Ya ALLAH! Padanlah otak budak ni tak boleh pakai. Dia kata aku gila, walhal dia sebenarnya yang dah gila. Boleh masuk pasaran bursa saham ke kalau sekadar jual beli komik?
                Mirza mengeluh panjang melihat  Adriana yang sedang galak ketawa. Dia tahu anak gadis itu tentu berfikir yang bukan-bukan tentang hobinya mengumpul komik. Ah! Lantaklah kau nak ketawa ke apa ke. Aku beli komik ni pun bukan guna duit kau.
                “Kau kata nak bincang fasal jadual.” Mirza mengalihkan perbualan mereka.
                “Awak kata nak makan dulu.” Adriana masih tersenyum-senyum.
                “Bincang dululah, makanan macam lambat lagi.” Pintas Mirza.
                Adriana segera mengeluarkan jadual di dalam begnya, lalu diserahkan pada Mirza. Mirza menilik jadual tersebut agak lama. Beberapa ketika kemudian, anak mata Mirza beralih arah.
                “Dari Isnin sampai Jumaat ni semuanya kelas?” Mirza kelihatan tidak puas hati.
                Adriana sekadar mengangguk. Habis? Apa kau expect? Sekali seminggu je ke?
                “Aku tak ada masa banyak. Aku tak boleh setuju dengan timetable ni.”
                Tak ada masa banyak? Woi budak, kau ingat aku tak tahu yang kau tu sekarang dah berhenti pergi sekolah dan sekarang belajar di rumah sahaja. Banyak cekadak sungguh!
                “Tak setuju terpulang. Tapi ayah awak telefon saya kelmarin beritahu awak dah tak ke sekolah lagi mulai hari ini. Jadi terpaksalah saya buat jadual khas ni untuk awak. Isnin, Selasa dan Rabu, saya datang jam 3 petang sebab saya ada kelas sebelah pagi. Tapi hari Khamis dan Jumaat, kelas awak mula jam 9 pagi.” Ujar Adriana.
                “Isnin sampai Jumaat? Wait a minute. Kau ingat aku ni robot ke asyik nak belajar sahaja?” Marah Mirza.
                “Sebab awak bukan robot la saya buat jadual ni dari Isnin sampai Jumaat. Kalau awak tak setuju dengan jadual ni, awak boleh cakap dengan ayah awak aje. Saya tak kisah.” Ujar Adriana selamba.
                Mirza terdiam. Dia tidak puas hati sebenarnya, namun dia tidak mahu terus bertegang urat dengan perempuan itu. Percuma sahaja! Makanan yang baharu sampai ke meja hanya dipandang  sebelah mata. Tiba-tiba seleranya jadi tumpul. Kata-kata Adriana umpama mencurah minyak ke dalam api yang sedang marak. Macam tahu-tahu sahaja gadis itu mahu mengenakannya dengan menggunakan alasan ayahnya!
                “Jangan ingat aku nak sangat belajar dengan kau. Aku setuju sebab ini syarat ayah aku supaya aku tak payah berulang alik ke sekolah tu lagi.” Dengus Mirza separuh mengeluh.
                Adriana terkelip-kelip memerhatikan lelaki itu. Begitu sebabnya! Baru dia tahu. Jika tidak, jangan harap Mirza akan melayannya. Dasar kerek! Dahlah kerek, berlagak bagus pulak tu! Kutuk Adriana di dalam hati.
                “Dah, tunggu apa lagi? Makanlah, nanti sejuk pulak makanan tu.” Suruh Mirza dengan wajah dingin.
                Mereka menghadap makanan tanpa bersuara. Adriana sendiri tidak melepaskan peluang menjamah hidangan di hadapannya. Bukan dia hendak makan sangat, tapi sudah terlanjur Mirza membeli untuknya, makan sahajalah.
                Sesekali anak mata Mirza mengerling ke arah Adriana dalam diam. Gerak-geri Adriana lemah lembut. Suapannya juga teratur dan perlahan. Tidak gelojoh dan tidak juga terlalu sopan yang dibuat-buat. Gadis itu selamba sahaja.
                “Apa patut aku panggil kau?” Tanya Mirza tiba-tiba.
                Adriana berhenti mengunyah. Bebola matanya berlari ke arah Mirza yang kelihatan serius memandangnya.
                “Apa yang awak nak panggil saya?”
                “Jangan harap aku panggil kau cikgu.” Cemik Mirza.
                Adriana tersenyum-senyum dibuatnya. Dia sendiri tidak suka dipanggil dengan gelaran cikgu. Dia bukan cikgu bertauliah, hanya sebagai tutor yang membantu orang belajar. Itu sahaja!
                “Usia kita berbeza dua atau tiga tahun. Jadi elok awak panggil saya kakak. Kak Rian should be nice to hear.” Ujar Adriana selamba.
                “Kak Rian?” Mirza tersengih. Lucu kedengaran.
                “Aku panggil nama aje.” Ujar Mirza akhirnya. Tak kuasa dia mahu memanggil gadis itu dengan gelaran kakak. Geli geleman dirasakan!
                Adriana terdiam. Lantak kaulah! Dia menyelak juntaian rambut yang menutupi telinganya ke belakang. Tapi sejenak dia terpegun apabila jari-jari halusnya tersentuh lehernya. Adriana pantas meletakkan sudu dan garpu ke atas meja lalu bingkas bangun. Mirza yang melihat gadis itu terpinga-pinga.
                Sorry Mirza, saya kena balik dulu. Saya jumpa awak esok.” Ujar Adriana, lalu bergegas meninggalkan anak muda itu agak tergesa-gesa.
                “Hei, makanan kau banyak lagi ni.” Laung Mirza. Tapi percuma sahaja dia menyumbang suara tatkala kelibat gadis itu sebentar sahaja sudah menghilang. Mirza mengerutkan dahinya. Tergesa-gesa sangat tu nak ke mana sebenarnya?

Beautiful Lie (Bab 17)


BUNYI ketukan pada pintu biliknya mengejutkan dirinya. Dia berpaling lalu ternampak kelibat ayahnya di muka pintu. Lelaki itu melangkah masuk dengan wajah serius. Dia bangkit lalu bersandar di kepala kerusi. Sekadar memerhatikan lelaki itu dengan wajah lesu. Tengkuknya dipicit-picit lantaran ada rasa berdenyut-denyut di belakang kepala.
                You drunk again last night.” Keluh Tuan Fahrin kesal. Dia duduk di birai katil anaknya, memerhatikan wajah Mirza yang kelihatan kusut masai. Pakaian Mirza juga tidak bertukar, kuat dengan bau arak yang melekat pada tubuhnya. Entah pukul berapa Mirza balik malam semalam, dia langsung tidak sedar.
                Sorry pa, I keluar jumpa Toi semalam.” Ujarnya.
                “Toi again? Mirza, apa you tak ada kawan lain ke?”Keluh Tuan Fahrin. Dia bukan tidak berkenan Mirza rapat dengan Toi, tapi budak itu langsung tidak bercita-cita tinggi. Dia tahu Toi bekerja di sebuah bar sebagai bartender. Itu yang menyebabkan Mirza pulang dalam keadaan mabuk hampir setiap malam.
                Toi is my good friend pa.” Ujar Mirza cuba mempertahankan Toi dari kata-kata ayahnya yang berbaur sinis.
                A good friend? Are you sure Mirza?” Tuan Fahrin melemparkan tawanya.
                Mirza bangun lalu mencapai tualanya. Dia tidak suka mendengar kata-kata ayahnya kali ini. Baginya Toi satu-satunya kawannya meskipun lelaki itu tidak berfikir sedemikian.
                Tuan Fahrin mengeluh. Dia mengerti Mirza tidak suka dia memburuk-burukkan Toi. Rapat sungguh Mirza dengan Toi, budak dari Batu Pahat itu.
                Okay, fine. I’m not going to say anyhing about him again unless you promise me something.” Tuan Fahrin memandang si anak. Mirza sudah berpaling ke arahnya dengan raut wajah tertanya-tanya.
                Promise me that you will concentrate with your study from now on.”
                Again? Ah pa, I dah cakap yang I dah tak minat nak belajar. Tanpa SPM pun Mirza boleh ke luar negara.”
                “Jangan cakap benda-benda merepek tu lagi Mirza. Papa dah beritahu you sejak awal lagi apa pendirian papa. Dan papa takkan tukar fikiran.” Tegas Tuan Fahrin. Dia sudah nekad mahu lebih tegas pada Mirza.
                “Petang nanti cikgu tuisyen you datang, dia ada call papa tadi. Jadi jangan nak lari ke mana-mana. Tunggu sampai dia datang. Hari ni dia nak bincang fasal jadual you.” Pesan Tuan Fahrin.
                “Tapi..”
                “Jangan nak bertapi-tapi lagi. Papa rasa dia bagus, dia akan jadi cikgu yang baik untuk you nanti.” Ujar Tuan Fahrin.
                Mirza ketawa sinis. Bagus? Baik? Semua yang cantik ayahnya akan menganggap begitu. Lagi-lagi Adriana sudah mencuri perhatian ayahnya sejak awal. Bukan dia tidak sedar tatapan mata ayahnya pada gadis itu semacam sahaja.
                “Kenapa you ketawa?” Kerutan di dahi Tuan Fahrin mula melebar. Hairan melihat anak muda itu mengetawakannya. Apakah kata-katanya sebentar tadi melucukan?
                “Bukankah papa cakap begitu pada semua perempuan yang papa jumpa? Semua perempuan papa kata baik, lagi-lagi yang cantik macam Adriana Imaniyah.” Sindir Mirza.
                Terkelip-kelip mata Tuan Fahrin memerhatikan anak lelakinya.
                “Hmm…at least you belum buta fikir dia cantik dan masih ingat nama dia. Nama penuh pulak tu.” SenyumTuan Fahrin cuba mengenakan anaknya.
                Mirza merenung lelaki itu dengan wajah mencuka.
                This time pa? Really?”
                Okay….I’m sorry. Papa gurau aje, janganlah serius sangat. Kita tengok dulu macamana prestasi Adriana. Kalau dia bagus, mungkin papa boleh pertimbangkan agar you belajar di rumah sahaja, tak perlu ke sekolah tu. Lagipun papa tahu you tak suka pergi ke sekolah tu kan?” Pujuk Tuan Fahrin.
                Mirza terdiam. Kenapa dia tidak terfikir begini dulu? Mungkin ada baiknya juga dia berpura-pura setuju belajar dengan gadis itu agar dia tidak dipaksa ke sekolah itu semula.
                “Bagaimana? Setuju?” Tuan Fahrin melirik ke arah anaknya. Dia sedar kata-katanya membuatkan Mirza tertarik. Ini kerana dia tahu kelemahan Mirza ialah sekolah lama anaknya itu. Dari dahulu Mirza berkeras tidak mahu mengulang ke sekolah yang sama untuk peperiksaan ulangannya.
                “Deal.” Mirza mengalah akhirnya. Tak guna dia berkeras lagi kerana dia benar-benar berharap tidak perlu ke sekolah itu lagi. Usianya sudah mencecah 18 tahun lebih, dia sudah tidak betah mahu bergaul dengan rakan-rakan sekelasnya yang jauh lebih muda darinya.
                “Kalau macam tu, tunggu Adriana datang petang nanti, jangan nak ke mana-mana. Kejap lagi papa kena keluar, ada hal sikit. Kalau papa dengar you tak ada masa cikgu you datang, deal kita tamat. Faham?”
                Mirza mengeluh seraya mengangguk. Suka atau tidak, terpaksalah dia terima sahaja tanpa membantah.
*  *  *  *
ADRIANA tercegat di hadapan rumah besar itu hampir lima belas minit lamanya. Dia mendongak memandang rumah yang pernah dikunjunginya beberapa hari yang lalu. Ikutkan dirinya, berat hatinya mahu datang lagi. Tapi kerana dia benar-benar kesempitan duit dan perlukan wang, maka dia memaksa dirinya untuk datang lagi ke tempat itu. Sejak awal dia memaklumkan pada Tuan Fahrin tentang kedatangannya. Risau juga dia jika Mirza tidak ada di rumah ketika dia datang.
                Seorang pembantu rumah Indonesia membukakan pintu untuknya. Dia hanya tersenyum memandang wajah si pembantu rumah yang kelihatan agak ramah itu.
                “Saya nak jumpa dengan Mirza.”
                “Mbak Adriana?” Tanya pembantu rumah itu.
                Adriana sekadar mengangguk. Si pembantu tanpa banyak soal segera mempersilakannya masuk.
                “Sila duduk. Mbak mahu minum?”
                Adriana menggeleng. “Err.tak payahlah, saya sekejap sahaja. Tuan Fahrin ada?”
                Bapak udah keluar. Deng Mirza ada di kamarnya.”
                “Kalau macam tu boleh panggilkan dia ke mari?” Pinta Adriana.
                Bentar ya mbak.” Si pembantu rumah itu segera berlalu pergi. Tak lama kemudian wanita itu kembali semula.
                Deng Mirza bilang suruh mbak nungguin dia sebentar. Nanti saya bawakan minuman es buat mbak.” Ujar wanita itu.
                Belum sempat Adriana hendak bertanya sesuatu, wanita itu sudah menghilangkan dirinya. Dia segera mengeluh. Hendak tak hendak terpaksalah dia menunggu di situ.
                Setengah jam menanti, dia semakin gelisah. Satu jam berlalu, dia semakin tidak keruan. Dan apabila jarum jam beredar lima belas minit lagi, Ariana sudah tidak mampu menahan sabar. Mana budak ni? Aku pun banyak kerja juga selain dari hendak menanti dia sahaja. Itupun dia sengaja balik awal dari kampusnya semata-mata mahu ke mari bertemu Mirza.
                “Mirza mana? Dah lama saya tunggu ni.”Tanya Adriana pada pembantu rumah yang baru muncul di ruang tamu.
                Wanita itu kelihatan gelisah dan serba-salah mahu memandangnya.
                Maaf mbak, bibik sendiri enggak tahu ke mana deng menghilang. Kok baru sebentar tadi ada. Iya malah deng yang memesan mbak tungguin dia aja di kamar tamu. Sekarang udah hilang.” Ujar Bibik mengeluh.
                Wajah Adriana berubah. Bibirnya diketap rapat. Entah mengapa hatinya kuat mengatakan Mirza sengaja mahu membuatkan dia menunggu seperti orang bodoh di situ. Walhal anak muda itu pula senyap-senyap keluar entah ke mana.
                “Tak apalah bik, saya tak marah. Err..kalau macam tu saya balik dululah. Esok, cakap dengan Mirza saya akan datang lagi jam 3 petang.” Ujar Adriana.
                Bibik hanya mengangguk dengan wajah simpati. Sebaik anak gadis itu beredar, pandangan wanita itu melorot ke atas. Ada bayang-bayang kelihatan dari atas. Hatinya kesal kerana terpaksa berbohong dengan gadis yang datang ke situ untuk mengajar tuan mudanya.
                Mirza turun dari atas dengan selamba.
                “Dia dah balik?” Tanyanya pada bibik yang terkelip-kelip memerhatikannya.
                Wanita itu hanya mengangguk.
                Ngapain deng Mirza ngak mau melayan mbak tadi? Sampei pake bohong segala.” Keluh wanita itu.
                Mirza hanya mengangkat bahunya. Malas mahu melayan pertanyaan demi pertanyaan dari wanita itu. Sekalipun dia menjelaskannya, tak mungkin wanita itu faham akan dirinya.
                Dia segera membaringkan dirinya di atas sofa empuk di ruang tamu sambil melayan saluran HBO. Filem yang ditayangkan menarik perhatiannya. Seronok juga menonton tanpa gangguan! Canda hati kecil Mirza.
                Dia mencari-cari lagi beberapa saluran lain menggunakan alat kawalan jauh. Namun sedang dia leka menyorot beberapa buah iklan di televisyen, bunyi loceng pintu rumahnya menganggu tumpuannya pada rancangan yang sedang ditontonnya. Alamak! Siapa pulak yang datang ni? Memang tak boleh tengok orang senang langsung! Rungut Mirza sedikit berang.
                “Bik, tolong tengokkan siapa yang datang tu.” Laung Mirza. Namun wanita itu tidak muncul-muncul. Mirza mengeluh. Dengan langkah malas, dia bingkas bangun lalu menuju ke muka pintu.
                Sebaik daun pintu di hadapannya terkuak, muncul seraut wajah di hadapannya. Dia terpanar. Terpegun melihat anak gadis yang cuba dielakkannya sebentar tadi, kini muncul semula. Bezanya tadi dia terlepas, tapi kali ini melihat wajah terkejut anak gadis itu yang mula berubah kerlingan tajam, dia sudah tidak mampu mengelakkan diri lagi. Tertangkap jua dia akhirnya!
                Tanpa sebarang suara, Adriana melangkah masuk. Kakinya dihela ke arah ruang tamu sebelum mencapai buku-buku kolejnya yang tertinggal di atas sofa sebentar tadi. Dia langsung tidak memandang Mirza, sebaliknya terus bergegas ke muka pintu
                Mirza terkelip-kelip memerhatikan anak gadis itu. Dari gerak-geri Adriana, dia tahu gadis itu sedang marah. Hendak tak hendak dia segera mengekori Adriana ke luar.
                “Kau tak nak cakap sesuatu dengan aku?” Soalnya.
                Adriana berbuat endah tak endah terus menyarung kasutnya. Usai melakukannya, dia segera menuju ke arah pintu pagar. Hajat hatinya ingin berjalan kaki di hentian teksi berhampiran sebelum pulang ke rumah.
                Mirza menarik nafas. Marah ke? Sungguh dia tidak puas hati kerana gadis itu enggan mempedulikannya. Sekurang-kurangnya dia lebih suka mendengar anak gadis itu memarahinya tapi Adriana hanya berdiam diri bagaikan tidak kisah langsung.
                “Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Soal Mirza seraya mengejar anak gadis itu. Lengan Adriana dipaut agak kasar.
                Langkah Adriana terhenti mendadak. Dia berpaling ke arah Mirza. Wajah anak muda itu ditatap agak lama. Kacak! Desis hati kecilnya. Tapi rupa yang kacak tanpa sikap yang baik, tidak ada gunanya Adham Mirza! Bisik hati kecilnya.
                “Esok saya datang lagi jam 3 petang. Baik awak pastikan awak ada di rumah esok.” Ujar Adriana dengan wajah serius.
                “Kalau tidak?” Mirza tersengih nakal. Sengaja mahu menjolok sarang tebuan.
                “Atau saya akan laporkan terus pada ayah awak tentang perangai awak ni. Dia beritahu saya awak tak suka ke sekolah kan? Baik, kalau saya tak dapat mengajar awak dengan sempurna, saya percaya sekolah sahaja tempat yang paling sesuai untuk awak, Adham Mirza.” Balas Adriana selamba sebelum berlalu pergi.
                Wajah Mirza merah padam. Berani betul perempuan ni ugut aku! Kerana tidak puas hati dengan sikap acuh tak acuh Adriana, Mirza kembali ke dalam rumah lalu segera mengambil kunci motorsikalnya. Dia menunggang ke suatu arah, mencari-cari kelibat Adriana. Tak lama kemudian dia menemukan gadis itu sedang duduk seorang diri di hentian teksi sambil ralit membaca.
                Mirza menarik nafas panjang. Matanya tekun mengulit wajah Adriana yang seolah-olah tidak menyedari kehadirannya di situ. Entah apa yang menarik sangat tentang buku yang dibacanya? Tergerak hatinya mahu mendekati gadis itu. Namun belum sempat dia mahu turun dari motorsikalnya, sebuah teksi tiba-tiba berhenti tepat di hadapan Adriana. Gadis itu segera memasuki perut teksi itu tanpa menoleh ke kanan dan ke kiri.
                Mirza terpinga-pinga. Melihat teksi itu beredar, dia tidak ada pilihan lain selain terus mengekori teksi tersebut tanpa berfikir panjang.
*  *  *  *
KETIKA gadis itu berhenti di tepi jalan dan berjalan kaki di sepanjang laluan itu, Mirza turut memberhentikan motorsikalnya dan melangkah turun. Dia mengekori  Adriana senyap-senyap. Entah kenapa dia melakukannya dia sendiri tidak tahu. Yang pasti, hari ini hatinya tergerak mahu mengekori gadis itu.
                Semakin lama dia mengekori Adriana, semakin dia hairan. Ada sesuatu pada tempat itu yang mencuri perhatiannya. Ketika gadis itu membelok ke suatu arah dan duduk di sebuah bangku di laluan pejalan kaki berhampiran sebuah taman awam, wajahnya berkerut semula. Laluan itu, tempat itu dan bangku itu. Semuanya mengingatkan dirinya tentang malam di mana dia bertemu gadis itu buat pertama kali.
                Adriana duduk di bangku yang sama. Bersendirian dan larut dalam lamunan yang panjang. Sama seperti malam itu juga. Meskipun ketika itu dia dalam keadaan mabuk, tapi otaknya tidak lembab mencerna wajah muram gadis itu tempohari. Kini raut wajah yang sama terpapar di retina matanya, Meskipun tidak ada bulan dan bintang pada siang hari yang asyik dipandang anak gadis itu ketika ini, tapi melihat wajah itu seperti menanggung beban yang berat, hatinya mula tertanya-tanya. Masalah apa sebenarnya yang sedang membelenggu fikiran anak gadis itu?
                Dia ralit mengulit wajah Adriana. Bebola matanya langsung tidak mampu berkalih dari seraut wajah yang entah kenapa menjentik suatu perasaan halus yang diam-diam mula bersemi. Tapi menurut  tafsirannya itu hanya perkara normal. Lelaki mana yang tidak sukakan perempuan cantik. Tapi hanya sekadar itukah definisi hatinya saat ini? Hanya kerana Adriana cantik?
                Mirza cepat-cepat mengalihkan wajahnya. Come on Mirza, dia tutor kau. Seseorang yang mahu kau singkirkan dalam hidup kau. Suka dia boleh, tapi jangan sesekali jatuh cinta pada dia. Itu dilarang sama sekali! Tutur hati kecilnya memberi amaran pada diri sendiri.

Beautiful Lie (Bab 16)


BARTO tersenyum sinis melihat wanita anggun itu duduk sambil diapit dua orang suruhannya. Wajah Yasmin serius. Tatapan mata wanita itu tajam sekali. Ini mesti kerana kes anak-anak buahnya yang memukul anak buah wanita itu hari ini. Jika tidak masakan Yasmin sendiri datang menemuinya.
                “Kalau tujuan kau datang sebab hutang, aku baru nak selesaikan hutang aku. Nah dalam sampul surat tu ada separuh. Bakinya aku jelaskan minggu depan.” Ujar Barto lalu mencampakkan sampul surat sederhana besar di hadapan Yasmin.
                Yasmin sekadar memandang sampul surat tersebut. Hatinya menggerutu. Barto yang dahulu jauh berbeza dari Barto sekarang. Dahulu Barto begitu merendah diri, merayu Tuan Taufik memberi pinjam wang untuk membuka perniagaan kelab malamnya. Sekarang bila lelaki itu dah senang sedikit, sikap Barto jadi bongkak dan angkuh.
                “Kalau ikut surat perjanjian, kau kena jelaskan jumlah hutang sebanyak enam bulan itu sekaligus pada kami. Takkan nak bayar tiga puluh lima ribu tu pun tak mampu untuk peniaga besar macam kau.” Sindir Yasmin.
                Barto ketawa besar mendengar sindiran wanita itu.
                “Yas..Yas, aku tahu kau datang bukan sebab ini. Berterus-terang sahajalah.”
                Yasmin tersenyum sinis. Dia memang menanti-nanti Barto mengakuinya dahulu.
                “Aku tak nak cakap banyak dengan kau Barto. Aku cuma nak tahu kenapa budak aku jadi sasaran? Kenapa budak-budak kau pukul dia?” Soal Yasmin ingin tahu. Wajahnya serius.
                “Hal kecil aje. Pertengkaran budak-budak muda, biasalah tu.” Ujar Barto acuh tak acuh.
                Gedegum! Bergegar meja itu apabila ditepuk Yasmin agak kuat. Jojo dan Diman saling berpandangan sesama sendiri. Sesekali Yasmin naik angin, memang mereka gerun.
                “Hal kecil kau kata? Wake up Barto, budak kau tikam budak aku, dan kau kata ini hal kecil? This is not a joke.” Getus Yasmin berang.
                “Okey aku mengaku budak aku memang melampau kali ini. Tapi si Airis tu yang cari fasal dulu. Dulu dia belasah budak-budak aku kat Bukit Bintang, aku langsung tak berkira. Sekarang mereka cuma nak balas dendam.” Ujar Barto memberi alasan.
                Yasmin menarik nafas panjang. Barto masih tidak mahu mengalah. Dia melirik ke arah Jojo yang segera faham apa keinginannya. Jojo mengeluarkan sekeping sampul surat dari saku jaketnya. Sampul tersebut diletakkan di hadapan Barto.
                “Apa ni?” Barto terpinga-pinga tidak mengerti.
                “Buka dan tengok sendiri.” Ujar Yasmin.
                Barto segera mengambilnya lalu membuka sampul surat tersebut. Isi di dalamnya berupa beberapa helaian kertas dikeluarkan lalu dibaca. Sejurus wajah yang tadi tenang kini berubah kelat.         
“Apa makna semua ni Yas?”
                Yasmin ketawa kecil. Hatinya terhibur melihat riak resah yang mula terpapar di wajah lelaki itu. Rasakan! Kau ingat aku bodoh? Semata-mata sebab aku perempuan, kau ingat aku mudah ditipu?
                “Kenapa? Kau dah tak reti baca? Dalam dokumen tu jelas mengatakan Tuan Taufik dah serahkan semua saham-saham kelab kau atas nama dia pada aku. Begitu juga dengan beberapa orang pelabur lain. Kau dah tak ada hak ke atas kelab kau ni. Mulai saat ini, kelab ini milik aku Barto.” Ujar Yasmin tegas.
                “Mustahil! Kau tak boleh buat macam ni! Roulette ni hak aku, perniagaan aku.” Wajah Barto tegang.
                “Dua bulan lepas, kau kalah judi bukan? Dan kau pinjam duit lagi dengan Tuan Taufik dan kau gadaikan Roulette pada dia. Tak ingat?” Yasmin ketawa sinis.
                “Ya, tapi aku dah janji dengan Tuan Taufik nak tebus semula Roulette tu dari dia secepat mungkin. Kami dah buat perjanjian. Dia akan serahkan semula saham tu pada aku dan aku akan bagi dia 35% keuntungan Roulette setiap bulan.” Ujar Barto.
                Well, perjanjian kau dan dia dah berubah. Sekarang, aku pemilik baru Roulette.” Ujar Yasmin tersenyum.
                Barto menepuk meja sekuat hati. Wajahnya tegang dan merah padam. Menyedari situasi itu, Jojo yang berbadan besar segera mara ke hadapan. Dia akan membelasah Barto jika lelaki itu cuba mengapa-apakan Yasmin. Tapi bagaikan tahu akibat yang bakal diperolehi, Barto tidak berani melancarkan sebarang tindakan.
                “Jangan salahkan aku Barto, kau yang cari fasal dengan aku. Kau dah lupa aku siapa? Aku ada ramai kenalan yang berpengaruh. And one more thing, kau tikam salah orang Barto. Kau tahu siapa Airis tu? Kau fikir apa Tuan Taufik akan rasa bila dia dapat tahu kau dan orang-orang kau tikam Megat Airis Ilham, cucu dia. Sehelai rambutnya gugur kerana kau, kau akan terima balasannya dua kali ganda.” Yasmin mencerlung tajam ke arah Barto yang seakan tergaman. Jojo dan Diman saling berpandangan sesama sendiri.
                “Kau..kau bohong.” Barto tergagap-gagap.
                “Terserah kau mahu percaya atau tidak. Atau kalau mahu kau boleh tanyakan sendiri pada Tuan Taufik. Tapi budak tu, dia benar-benar cucu Tuan Taufik. Suatu hari nanti, dia akan warisi semua legasi Tuan Taufik. Kalau aku jadi kau, aku takkan cari fasal dengan Airis.” Yasmin tersenyum sinis sebelum beredar meninggalkan lelaki itu. Jojo dan Diman ikut bergegas keluar dari pejabat Roulette.
                Barto meraup wajah. Marahnya memuncak kali ini. Damn! Perempuan bedebah! Sundal! Maki Barto berkali-kali dengan mata merah menyala.

Thursday, May 7, 2020

Beautiful Lie (Bab 15)


MELIHAT tangan gadis itu mengigil sakan, Airis hanya mampu mengeluh. Dia merenung wajah kalut gadis di hadapannya agak lama. Adriana! Dia benar-benar tidak menyangka Yasmin akan membawa gadis itu ke rumahnya. Tapi dari cara Adriana memandangnya, dia tahu Adriana langsung tidak ingat siapa dia.
                Airis cuba bangun dari sofa dengan wajah berkerut menahan sakit. Adriana yang melihat lelaki itu terpinga-pinga.
                “Awak baring aje, awak kan cedera.” Suruhnya.
                Kata-kata Adriana tak diambil endah. Sebaliknya dia bersandar di dada sofa. Tangannya dihulurkan ke arah gadis di hadapannya.
                “Bagi sini jarum tu, aku jahit sendiri. Kau boleh balik.” Ujar Airis.
                Adriana teragak-agak mahu memberikan jarum di tangannya pada lelaki bertatoo itu. Dia tahu lelaki itu pasti marah kerana dia melambat-lambatkan masa untuk menjahit luka lelaki itu. Memang salahnya juga! Tiba-tiba sahaja dia tidak ada keberanian mahu melakukannya. Lagipun lelaki itu dalam keadaan jaga. Dia percaya dia akan lebih mudah melakukannya jika lelaki itu tidak sedarkan diri.
                “Aku kata bagi sini jarum tu.” Airis bertegas.
                No, saya buat. Biar saya yang buat.” Pintas Adriana sedikit gugup.
                Airis terdiam sejenak.
                “Kau berani?” Soalnya ingin tahu.
                Adriana mengangguk dengan wajah kecut. Berani atau tidak, terpaksalah dia buat juga.
                “Jahit sahaja sesuka hati kau. Jangan kisahkan aku. Aku dah biasa tahan sakit. Luka macam ni perkara biasa sahaja.” Ujar Airis berbohong. Tujuannya hanya untuk membuatkan gadis itu lebih tenang.
                Adriana mengangguk. Jahit sesuka hati? Aku jahit bentuk cross stich tu nanti baru kau tahu! Sempat lagi dia menggumam begitu. Ketika jarum pertama menyauk kulit lelaki itu, mata Airis dilihatnya terpejam-pejam sedikit sambil mengetapkan bibirnya.
Adriana menjeling. Dia tahu lelaki itu sedang menahan sakit. Namun dia teruskan sahaja menarik tali tangsi itu agak berhati-hati dan menjahit luka lelaki itu sehingga tertutup.
                Sesekali dari kelopak matanya, Airis leka sendiri merenung wajah gadis itu dari dekat. Baru semalam, dia habiskan masanya mengekori Adriana. Dan ironinya malam ini, dia dan gadis itu sedang berdua-duaan di rumahnya.Tak sangka dia dapat melihat wajah manis itu dari jarak dekat begini. Entah apa agenda Yasmin terhadap gadis itu? Dia tahu Yasmin banyak mengugut gadis itu sejak dua tahun yang lalu. Bermula dari hutang ayah Adriana, sehinggalah pada lelaki pendera yang diuruskannya.
                Dua tahun  yang lalu, dia ternampak suatu kejadian yang pertama kali membuatkan dia berang. Ketika itu Adriana masih bekerja di sebuah kelab malam yang sering dikunjunginya. Gadis itu masih muda, tapi terpaksa bekerja semata-mata kerana hutang judi ayahnya. Ketika itu dia berada bersama Yasmin apabila ternampak Dollah memukul anak gadisnya di lorong belakang kelab. Tindakan lelaki itu yang kasar sukar mahu diterimanya. Selama hayatnya dia sendiri tidak pernah memukul perempuan, inikan pula dipaksa melihat lelaki bedebah itu membelasah anak gadisnya seteruk itu.
                 Dia mahu membantu Adriana ketika itu tapi entah kenapa Yasmin menghalangnya.
                “Jangan campur urusan orang Airis.” Ujar Yasmin.
                “Tapi kalau diteruskan dia akan mati.” Ujarnya membantah.
                Yasmin memandangnya dengan senyuman sinis.
                “Sekalipun dia mati, kau dah janji dengan aku nak ikut semua arahan aku tanpa membantah. Kalau kau tak sanggup nak tengok budak tu dipukul, tutup mata kau.” Ujar Yasmin.
                Tapi dia tidak menutup matanya. Sebaliknya dia melihat dengan perasaan perit bagaimana Adriana dibelasah hingga bengkal-bengkil seluruh tubuh. Tak cukup dengan itu gadis itu ditempeleng berkali-kali. Suara teriakan Adriana yang kesakitan membuatkan dia hanya mampu mengetap bibir kegeraman. Sakit hatinya tidak terperi lagi. Buat pertama kali dalam hidupnya dia membenci dirinya sendiri kerana tidak berdaya membantu anak gadis itu.
                Damn it! Dia takkan bertahan Kak Yas.” Bisiknya seraya melirik ke arah Yasmin. Mengharapkan wanita itu akan bersuara memberi arahan. Dia sudah bersedia mahu membelasah Dollah.
                Yasmin tiba-tiba berpaling memandangnya.
                “Dia harus melalui seribu penderitaan dan kepahitan untuk menjadikan dia seorang yang kuat. Kalau kau tolong dia sekarang, dia akan terus jadi lemah dan mengharapkan ehsan orang. Aku tak mahu dia jadi gadis seperti itu Airis. Kau pernah melaluinya bukan? Jadi sepatutnya kau lebih tahu itu.” Bisikan Yasmin singgah di gegendang telinganya.
                Dia terpanar mendengar kata-kata Yasmin. Kau pernah melaluinya bukan? Airis menutup kelopak matanya. Hatinya pijar setiap kali mengingatkan kata-kata Yasmin. Dia paling mengerti apa maksud Yasmin terhadapnya.
                Dahulu sewaktu kecil pun dia sering menjadi karung tinju untuk seorang lelaki. Tempat lelaki itu melempiaskan kemarahan. Hidupnya ketika itu sangat sukar selepas kematian ibunya. Ayahnya pula seorang peninju Muay Thai yang sangat hebat dan dikenali. Tapi selepas satu perlawanan, ayahnya kalah dan cedera teruk. Lelaki itu mula menjadi pemarah dan sering memukulnya. Malah kadangkala ayahnya menghilangkan diri dan membiarkan dirinya sendirian di rumah dalam keadaan lapar dan tak terurus. Sejak kecil lagi dia sudah kenal erti sakit sehingga rasa sakit apa pun tidak mampu lagi dia tangisi kecuali tahan dan terus bertahan.
                “Kenapa? Sakit sangatkah?” Suara Adriana muncul.
                Airis membuka matanya. Merenung wajah cemas di hadapannya yang kelihatan risau. Dia tunduk ke arah abdomennya. Jahitan Adriana agak baik dan kemas.
                “Boleh kau ambilkan aku air? Aku haus.” Pintanya.
                Adriana mengangguk. Gadis itu segera bergegas ke arah dapur sebelum kembali dengan gelas berisi air putih. Dia mencapai gelas tersebut lalu meneguknya agak rakus. Memang dia benar-benar haus.
                Ketika dia mengalihkan pandangan, dia nampak Adriana asyik memerhatikannya. Bebola mata gadis itu leka memerhatikan setiap tatoo yang ada di tubuhnya.
                “Kau takut tengok tatoo ni?” Tanyanya seraya tersenyum.
                Adriana tergaman. Pantas anak gadis itu menggelengkan kepalanya.
                “Langsung tak takut? Tak nak tanya aku apa yang aku pernah buat?  Mungkin aku pernah merompak, menyamun atau mungkin juga aku pernah membunuh.” Ujar Airis seraya merenung wajah anak gadis itu yang mula berubah. Dia tahu ada gentar di hati gadis itu sebaik dia mencanang begitu.
                “Awak…awak pernah bunuh orang?” Tanya Adriana seperti gelisah.
                “Kau pernah?” Airis mengembalikan pertanyaan anak gadis itu dengan soalan juga.
                Adriana tersentak. Bunuh? Itu satu-satunya dosanya yang mungkin tidak akan diampuni sampai bila-bila. Perkataan itu sahaja membuatkan nafasnya kencang. Hatinya seperti direjam dengan kerikil-kerikil tajam.
                Airis merenung wajah di hadapannya tidak berkelip. Resah yang terpapar di wajah itu, dia paling mengerti apa maksudnya. Bukan niatnya bertanya begitu untuk mengembalikan Adriana pada kisah silamnya. Sebaliknya dia hanya terlanjur mahu Adriana mengingatkan dirinya.
                “Maaf, wrong question. Tak payah jawab, aku cuma bergurau.” Ujar Airis.
                Adriana menarik nafas panjang. Dia mengulit wajah lelaki itu dengan perasaan kesal. Tatoo yang ada pada badan lelaki itu sekali lagi ditatap. Dia tahu dia tidak berhak menilai apa pun yang dilakukan lelaki itu kerana dia juga tidak jauh bezanya.
                “Airis.” Ujar lelaki itu tiba-tiba.
                Adriana terpegun. Serentak wajah lelaki itu ditatap. Sepasang mata lelaki itu kini tertumpu ke arahnya.
                “Nama aku Airis.”
                Adriana menarik nafas.
                “Adriana.” Sebutnya lambat-lambat.
                Well, terima kasih Adriana sebab jahitan cantik ni. Maaf sebab kita bertemu begini. Kak Yas tak sepatutnya bawa kau ke mari.” Ujar Airis.
                Adriana terdiam. Mengingatkan Yasmin dia hanya mampu mengeluh. Entah ke mana perginya wanita itu sehingga sekarang belum pulang-pulang lagi.
                “Macamana awak kenal Kak Yas?”
                Airis terdiam.
                “Aku kerja dengan dia.” Ujarnya.
                “Kerja? Kerja yang macamana?”
                “Apa sahaja yang membolehkan kekuatan aku digunakan. Kadangkala aku jadi bodyguard, kadangkala jadi bouncer dan kadangkala jadi stalker untuk dia.” Ujar Airis selamba.
                Adriana tercengang-cengang.
                “Kenapa awak nak kerja untuk orang macam dia?” Terluncur soalan itu dari bibir Adriana.
                Airis tergaman. Bebola matanya dilemparkan ke arah Adriana agak lama.
                “Sebab orang macam tu yang selamatkan aku dari maut.” Ujar Airis.
                “Maksud awak?” Dahi Adriana berkerut.
                “Kalau bukan kerana Yasmin, aku mungkin dah lama mati.” Ujar Airis tanpa menjelaskan lebih dalam maksudnya.
                Adriana mengeluh.
                “Tapi orang macam tu juga yang telah menghancurkan hidup saya.” Bisik Adriana sebak. Dia bingkas bangun, lalu mencapai tas tangannya.
Airis terpisat-pisat memerhatikan gadis itu. Kata-kata Adriana membuatkan dia terkesima.
“Awak tak kisah kan kalau saya balik dulu? Saya tak boleh tinggalkan ibu saya lama-lama di rumah. Saya harap kecederaan awak tak parah.” Ujar Adriana.
Airis hanya mengangguk. Melihat gadis itu beredar meninggalkannya, keluhan kecilnya meniti keluar dari bibir. Kasihan Adriana! Seperti gadis itu, dia juga teringin mahu tahu, kenapa gadis baik hati seperti Adriana menjadi sasaran Yasmin sejak sekian lama? Apa tujuan Yasmin sebenarnya?

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!